Sebut sahaja roti canai Pelangi pasti anda teringat kedai yang berada di Kuala Selangor, iaitu antara kedai terawal yang memperkenalkan menu unik ini. Bagi mereka yang tidak pernah mendengar atau merasai roti canai ini, anda memang perlu cuba.

Jika ada yang tak tahu, Kuala Selangor adalah antara daerah yang mempunyai banyak tempat menarik untuk percutian seisi keluarga. Bukan itu sahaja, banyak tempat makan viral dan sedap di sini termasuklah Roti Canai Pelangi.

Roti Canai Pelangi yang terletak di Kuala Selangor ini turut dikenali sebagai Warung Dimyati Roti Canai. Buat anda yang tak pernah pergi ke kedai viral ini, pasti banyak persoalan yang berada di minda.

Apa yang ada di sini? Apakah waktu operasi kedainya? Dan mengapa dinamakan roti canai pelangi? Jom kita teroka sebagai bayangan atau gambaran anda sebelum datang ke sini.

Apa Yang Menarik?

Roti Canai Pelangi merupakan sebuah warung yang menjual aneka menu untuk sarapan. Menu yang terkenal dan terlaris semestinya roti canai pelangi.

Mana tidaknya, menu roti canai yang berwarni-warni memang susah dijumpai di mana-mana tempat. Bukan sekadar warna roti canai yang unik, malah rasanya turut memukau setiap pengunjung.

Apa yang menarik pada roti canai ini adalah bukan sekadar letak pewarna, malah setiap warna mempunyai rasa dan melambangkan buah-buahan.

Roti canai berwarna oren adalah durian, warna merah adalah strawberi manakala kuning adalah jagung. Selain itu, roti canai hijau adalah perisa epal manakala roti canai biru berperisa keladi. Ada juga roti canai original buat penggemar setia roti canai biasa.

Selain roti canai pelangi, ada juga menu ringan yang lain berasaskan roti termasuklah roti kahwin, roti boom, roti planta dan sebagainya. Namun menu hot yang perlu juga dicuba adalah Roti Telur Goyang dan Roti Telur Jantan. Tak sah ke warung untuk sarapan jika tiada menu enak ini.

Sebelum terlupa, tak lengkap rasa roti canai jika tidak dicicah dengan kuahnya. Menariknya Warung Dimyati ini menawarkan lima pilihan kuah untuk dicicah bersama roti canai iaitu kari kambing, kari ceker, kari daging, kari biasa dan kuah dal.

Yang penting, roti canainya yang sememangnya lembut, garing dan gebu dimakan pula bersama kuah kari yang pekat, likat dan secukup rasa. Memang padu sehingga membuatkan ramai menjilat jari.

Menu Lain

Apa? Tak cukup kenyang jika makan roti canai untuk sarapan? Jangan risau kerana warung ini bukan sahaja menjual roti canai. Banyak juga menu lain yang pasti buat anda rambang mata. Dari menu utama sarapan yang berat sehinggalah kuih-muih yang enak.

Ada yang menjadikan nasi lemak sebagai menu wajib untuk sarapan. Sekiranya anda adalah salah seorang daripadanya, warung ini memang ‘syurga’ nasi lemak buat anda. Cuba lauk nasi lemak yang luar biasa di kedai ini seperti sambal telur puyuh, sambal lala dan sambal sotong, pasti tersandar selepas memakannya.

Selain itu, ada menu yang siap dibungkus dan diletakkan di satu ruangan khas. Kuey teow goreng, bihun, nasi ambeng, lontong semuanya ada. Kuih-muih yang terdapatkan di warung ini juga pasti membuatkan ramai yang rambang mata untuk memilih. Dengar cerita, pecal di warung ini antara menu lain yang sedap dan laris.

Konsep & Harga

Walaupun namanya warung, namun ruangnya sangat luas. Jarak antara meja juga selesa dan paling penting warungnya bersih.

Di ruangan roti canai, ia merupakan dapur terbuka di mana terdapat tiga hingga empat orang yang berada di bahagian ini untuk masak dan tebar roti canai. Bolehlah anda melihat cara memasak dan menebar roti dengan dekat.

Disebabkan warung ini sentiasa dipenuhi ramai pengunjung, pihak warung menetapkan konsep layan diri untuk memudahkan pengunjung. Pesan dan ambil makanan serta minuman yang anda inginkan lalu bayar di kaunter.

Soal harga, bagi kami memang murah dan sangat berpatutan dengan kualiti, kuantiti, rasa makanan dan servis yang ditawarkan. Rata-rata komen atau review di Facebook terhadap warung ini sangat berpuas hati dan menjadikannya tempat sarapan yang perlu dikunjungi lagi jika ke Kuala Selangor.

Maklumat Lanjut

Sebelum anda ke sini, ini maklumat penting yang anda perlu tahu. Jika anda mahukan maklumat lanjut, layari laman Facebook atau telefon nombor yang tertera di bawah.

Lokasi: Lot 2430 Batu 3 Kampung Sungai Yu 1, 45000 Kuala Selangor, Selangor

Waktu operasi: Dibuka setiap hari kecuali Isnin & Jumaat (7.00 pagi hingga 12.00 tengahhari)

Laman Facebook: Roti Canai Pelangi

No telefon: 0135868924

Bayangkan sahaja roti canai pelangi tidak cukup untuk menerangkan keunikan dan keenakan menu di kedai ini. Anda perlu mencubanya sendiri untuk mengetahui adakah kedai ini menepati citarasa anda atau tidak.

Datang seawal yang mungkin kerana tempat ini sering dipenuhi ramai pengunjung. Silap-silap jika anda datang lewat, tak sempatlah anda merasai keenakan menu viral dan sedap ini.

Jika bercuti ke Kuala Selangor, jangan lupa masukkan kedai ini dalam senarai tempat makan yang perlu dicuba di daerah ini. Selamat mencuba!

Banyak lagi tempat makan menarik di Kuala Selangor. Jika anda berada di daerah ini, jangan lupa kunjungi tempat makan ini:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.