Nasi daging merupakan hidangan istimewa dari utara Semenanjung Malaysia. Hidangan ini merupakan nasi yang dimasak bersama potongan daging lembu serta rempah ratus istimewa. Aroma yang terhasil semasa memasak nasi daging ini membuatkan anda tidak senang duduk dibuatnya. Perut pun pasti terasa lapar tiba – tiba.

Bagi anda yang ingin mencuba sendiri keenakan nasi daging, sila datang ke Restoran Nasi Daging yang terletak di Taman Langat Utama, Banting Selangor. Nasi daging ini disajikan bersama air asam untuk dimakan bersama.

Nasi Daging

Imej via facebook

Chef Norman In The House

Nasi daging di restoran ini disediakan oleh Chef Norman Musa yang merupakan pemilik restoran ini. Chef Norman telah mengubah sedikit cara memasak nasi daging di mana nasi dan dagingnya tidak di masak sekali dalam periuk yang sama.

Beras akan ditumis terlebih dahulu bersama rempah ratus seperti jintan putih dan lada hitam bagi menaikkan aroma. Sebelum ditumis, rempah ratus tersebut di sangai terlebih dahulu, kemudian dikisar dan ditumis bersama beras. Air rebusan daging dicampurkan ke dalam beras untuk menghasilkan nasi daging.

Daging akan direbus terlebih dahulu sehingga lembut. Kemudian ia diperap bersama rempah khas sebelum dibakar di atas dapur bagi menghasilkan rasa yang lebih padu dan sesuai dengan nasi yang telah dimasak.

Nasi Daging

Imej via facebook

Resepi Turun Temurun

Istimewanya resepi ini merupakan resepi yang diturunkan oleh arwah ibu Chef Norman. Resepi tersebut kemudiannya telah diolah supaya ia menjadi resepi rahsianya yang tersendiri. Idea tercetus sewaktu Chef Norman bercadang untuk membuka restoran ini, lalu resepi yang ada diolah mengikut kesesuaian restoran.

Air asam yang terhasil menjadi salah satu pelengkap nasi daging yang menjadikan ia satu hidangan yang lengkap dan terbaik. Resepi air asam yang dihasilkan agak berbeza kerana ia berperisa kelapa. Kerisik yang ditambahkan menjadikan air asam sedikit berlemak dan rasanya lebih seimbang dengan rasa masam, manis dan pedas.

Selain air asam yang disediakan setiap hari, kuah dhal sayur juga disediakan sebagai menu tambahan buat pelanggan yang menggemari hidangan berkuah. Nasi daging yang disajikan buat pelanggan akan dihidangkan bersama sepinggan nasi, daging bakar bersama air asam, kuah dhal sayur dan juga salad.

Salad yang disajikan bukanlah salad kosong semata – mata. Namun, ia disajikan bersama kuah istimewa yang dicampurkan daun kemangi serta beberapa ramuan lain.

Nasi Daging

Imej via facebook

Menu Lain Juga Ada

Selain nasi daging, restoran ini turut menyajikan hidangan burung puyuh goreng halia serta ayam bakar. Chef Norman sengaja mengetengahkan hidangan nasi daging ini kerana ia kurang dikenali oleh pelanggan di sekitar Lembah Klang.

Memandangkan beliau merupakan anak jati Pulau Pinang, usaha memperkenalkan hidangan makanan utara ini kerana ingin berkongsi keenakan nasi daging ini dengan seluruh masyarakat Malaysia.

Restoran ini dibuka setiap hari kecuali hari Isnin mulai jam 12.00 pagi hingga jam 10.00 malam.

Alamat : 145 Jalan LU2/2, Taman Langat Utama, Bukit Changgang, 42700 Banting

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.