Walaupun negeri Perlis merupakan antara negeri terkecil di Malaysia, jangan pandang sebelah mata! Negeri ini mempunyai tarikan pelancong yang agak banyak. Aktiviti pelancongan seperti meneroka Gua Kelam memang cukup terkenal di sini.
Selain aktiviti pelancongan, Perlis juga terkenal dengan Harum Manis yang merupakan buah mangga yang dikatakan tersedap di sini. Patutlah Perlis begitu terkenal dengan menu Pulut Mangga, memang menyelerakan!
Ada pembaca di sini yang bercadang untuk berkunjung ke Perlis? Walaupun negeri Perlis ini kecil sahaja, namun tempat makan di sini agak berbagai. Jadi kami faham jika anda sendiri keliru mahu serbu yang mana satu kerana semuanya menarik-menarik belaka!
Anda pernah terdengar tentang Restoran Kuali Hangat? Restoran yang terletak di Jalan Padang Behor di Kangar ini cukup terkenal dengan masakan kampung dan lauk yang beraneka jenis. Rata-rata pelanggan mengakui keenakan lauk-pauk di sini!
Seperti namanya, restoran ini cukup terkenal dengan menu gulai yang dimasak dalam beberapa buah kuali besar panas-panas. Dari situlah ia mendapat nama ‘Kuali Hangat’, sangat menarik!
Sebelum kita singgah di mana-mana tempat makan, sudah semestinya kita akan melihat dekorasinya dulu, bukan? Di restoran ini, dari luar, anda akan nampak papan tanda ‘Restoran Kuali Hangaaat’ dan atap rumbia yang memang unik.
Dari segi interiornya pula, boleh dikatakan memang cantik dan santai. Kerusi dan mejanya tersusun cantik dan bahagian lauk-pauknya pula kemas dan bersih, patutlah ramai pelanggan memuji kebersihan dan kekemasannya!
Biasanya kalau anda singgah di mana-mana restoran, pasti anda kurang berpuas hati kerana walaupun anda sudah datang awal, lauk pauk di situ sentiasa kehabisan. Leceh, bukan?
Di Restoran Kuali Hangat, anda pasti tidak akan berhadapan dengan situasi yang sama. Hal ini kerana menurut restoran ini sendiri, mereka menyajikan lebih 100 jenis lauk-pauk.
Restoran ini menyediakan pelbagai jenis masakan dari pelbagai negeri, antaranya masakan Pahang, masakan Kelantan, masakan Perlis dan banyak lagi, termasuk masakan Indonesia dan masakan Thai. Pelanggan-pelangganya sendiri rambang mata!
Tetapi yang wajib cuba dan disyorkan sendiri oleh pemilik kedai ini adalah daging goreng kuali hangat. Sentiasa mendapat permintaan hangat daripada pengunjung. Manakala untuk penimat ikan pula, apa kata anda cuba kari ikan keli. Kedua-dua menu ini boleh dikatakan menu killer di restoran ini.
Siapa sahaja yang tidak menggemari daging kambing? Tambah pula jika dibuat gulai, aromanya sahaja sudah boleh bikin sesiapa sahaja kecur air liur!
Di Restoran Kuali Hangat, menu ini merupakan antara menu yang ‘laku keras’. Dimasak di dalam kuali besar panas-panas, daging kambing di sini lembut dan tidak terlalu liat.
Selain itu, kuah gulainya pula cukup berempah dan tidak terlalu cair. Cukup enak dimakan bersama sepinggan nasi panas bersama ulam-ulaman dan sambal, anda wajib cuba!
Tahukah anda yang Restoran Kuali Hangat ada menyediakan minuman percuma setiap hari iaitu air sirap ais dan air masak? Tak perlulah anda berbelanja lebih untuk minuman kerana air sirap ais di sini sudah memadai. Ianya juga tidak terlampau manis.
Selain itu pada setiap hari Jumaat, makanan percuma turut disediakan. Antaranya ialah bubur labu, bubur jagung, bubur kacang dan pisang. Boleh juga untuk dijadikan sebagai makanan sampingan!
Tidak lengkaplah sesuatu hidangan itu jika tiada ulam-ulaman atau kerabu! Di Restoran Kuali Hangat, ulaman-ulaman dan kerabu di sini memang sangat beraneka jenis!
Sebut sahaja apa yang terlintas di minda, hampir kesemua jenis ada! Dimakan pula bersama sambal belacan, lauk-pauk kegemaran anda dan nasi panas, memang bergandalah keenakannya!
Jika anda ke restoran lain, jika kehabisan lauk pasti kebanyakannya tidak akan menambah semula lauk-pauk lain, bukan? Namun anda tidak akan berhadapan dengan situasi ini jika anda ke Restoran Kuali Hangat!
Hal ini kerana jika kehabisan lauk, pihak restoran akan menambah atau menggantikan lauk tersebut dengan lauk yang sama atau lauk berlainan. Jadi anda usah risau jika anda datang sedikit lewat!
Kami yakin anda pasti sudah mula terliur sambil anda membaca tentang menu-menu istimewa di sini, bukan? Ini baharu sahaja kami senaraikan beberapa menu istimewa mereka. Belum lagi anda cuba kesemuanya!
Anda boleh mencuba sendiri menu-menu beraneka jenis ini hanya di Restoran Kuali Hangat. Berikut kami senaraikan alamat dan waktu operasi restoran ini:
Alamat: No 69, jalan, Kampung Padang Behor, 01000 Kangar, Perlis
Waktu operasi: Setiap hari kecuali Sabtu, bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang