Mencari tempat sarapan di Perlis?

Perlis merupakan negeri Utara yang mempunyai banyak tarikan yang menarik. Baik tempat bersejarah, tempat bersantai mahupun tempat makan, semuanya boleh didapati di sini. Ini termasuklah juga dengan tempat sarapan yang berbagai selera.

Masih mencari tempat sarapan di Perlis yang enak-enak? Berikut kami senaraikan 13 tempat sarapan di Perlis untuk anda. Teruskan membaca.

#1 Warung Tepi Sawah 769

Alamat: 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 7 am – 12 pm

Menikmati sarapan bertemankan pemandangan sawah padi yang cukup nyaman – satu idea sarapan yang memang menarik. Jika anda berkunjung ke Perlis, singgahlah bersarapan di Warung Tepi Sawah 769 untuk tujuan itu.

tempat sarapan perlis warung tepi sawah
Imej via Foursquare

Menu sarapan di sini berasaskan selera tempatan. Pek nga merupakan antara menu yang laku keras. Rugi jika anda singgah ke Perlis tetapi tidak cuba pek nga mereka. Pek nga di sini dihidangkan bersama gulai ikan atau susu pekat manis.

Selain pek nga, hidangan sarapan lain sepeti pulut ikan masin, nasi lemak dan roti gedit juga merupakan antara menu tersedap di sini. Mengenyangkan dan harganya berpatutan.

#2 Al-Sagoff Corner (Air Halia Asli)

Alamat: Persiaran Jubli Emas, Kampung Jejawi, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Khamis – Selasa, 8 am – 4 pm

“Tempat yang sesuai untuk menikmati sarapan yang berbagai” – salah satu ulasan yang diberikan oleh pengunjung di restoran Al-Sagoff Corner. Tidak hairanlah restoran ini kerap diserbu ramai. Bukan sahaja menyediakan hidangan yang beraneka, malah semuanya sedap-sedap belaka.

Imej via Foursquare

Restoran ini menempatkan gerai-gerai kecil yang menyediakan hidangan sarapan seperti Nasi Dagang, Roti Canai, Kuetiau, Bihun Sup, Nasi Kerabu dan Nasi Lemak yang cukup menggamit selera. Jangan lupa untuk mencuba Teh Tarik Halia yang sangat menyegarkan tekak.

#3 Capati Labu Sayong & Nasi Gulai Panas

Alamat: 26, Jalan Raja Syed Saffi, Kampung Bintong, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Khamis – Selasa, 7 am – 12 pm, 5 pm – 2 am

Ingin menikmati capati sebagai menu sarapan? Cubalah capati di Capati Labu Sayong & Nasi Gulai Panas. Restoran ini merupakan antara tempat makan capati yang cukup popular di Perlis, rugi jika anda tak singgah.

Imej via Foursquare

Capati di sini lembut, bersaiz besar dan cukup lazat dinikmati bersama kuah sardin, kari ayam atau kari daging. Bukan sahaja capati, malah nasi lemak dan kuih-muih juga turut disediakan di sini. Tempat makan juga cukup santai dan selesa.

#4 Shidi Roti Canai (SRC)

Alamat: Abi, Perlis, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Setiap hari, 6.45 – 11.45 am

Sebut sahaja menu sarapan, semestinya roti canai mula menjengah di minda. Untuk itu, singgahlah bersarapan di restoran Shidi Roti Canai (SRC) jika anda berada sekitar Kangar.

Imej via Foursquare

Selain roti canai, hidangan lain seperti roti telur, roti puri, nasi lemak, kuetiau goreng, roti sarang burung dan lempeng pisang juga turut disediakan di sini. Servis restoran yang bagus turut dipuji kebanyakan pelanggannya.

#5 Kak Pah Nasi Kerabu Taman Hijrah

Alamat: 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Selasa – Ahad, 7 am – 2 pm

Mengidamkan nasi kerabu? Di Kangar, salah satu tempat makan nasi kerabu yang terkenal ialah Kak Pah Nasi Kerabu Taman Hijrah. Ianya juga merupakan tempat sarapan yang dibuka seawal jam 7 pagi.

Kak Pah Nasi Kerabu Taman Hijrah tempat sarapan perlis
Imej via Instagram

Nasi kerabu di sini cukup enak dinikmati bersama ayam goreng yang rangup dan secukup rasa. Ditambah pula dengan ulam-ulaman segar dan telur masin, bergandalah kelazatannya. Hidangan lain seperti nasi lemak juga turut disediakan.

#6 Lyboy Corner

Alamat: Jalan Sekolah Derma, Pusat Bandar Kangar, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis, 7 am – 3.15 pm

Lyboy Corner menyediakan hidangan sarapan berasaskan selera tempatan dan Asia. Antara yang boleh dicuba termasuklah Roti Telur Gedik, Kuetiau Goreng, Mi Goreng, Bihun Hailam, Nasi Goreng Kampung dan Nasi Ayam.

lyboy corner
Imej via Foursquare

Roti Telur Gedik merupakan menu terlaris di restoran ini. Ianya menyajikan dua biji telur setengah masak bersama roti bakar yang disalut dengan planta dan kaya. Rasanya yang manis dan berlemak membuatkan ramai pelanggan ketagih dengan hidangan ini, rugi jika anda tak cuba.

#7 Warung Teratak Bonda

Alamat: 30, Persiaran Jubli Emas, Arau, 02600 Arau, Perlis

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis, 7.45 – 11.59 am

Warung Teratak Bonda ini juga terletak berhampiran dengan sawah padi. Sambil menikmati hidangan sarapan yang enak, anda juga dapat menghayati pemandangan sawah padi yang cukup cantik. Sebagai bonus, boleh juga bergambar di sini.

warung teratak bonda arau perlis sawah padi tempat sarapan perlis
Imej via Instagram

Untuk menu sarapan, cuba sahaja hidangan seperti nasi lemak, roti bakar, pek nga, pulut ikan kering dan roti sangkaya. Menu istimewa seperti lontong disediakan pada hari Sabtu manakala pada hari Ahad, hidangan mi kari sambil kerang ada disajikan. Memang bikin terliur, jadi lekaslah singgah.

#8 KOPITOK

Alamat: KM1, Jalan Raja Syed Alwi, Kampung Bukit Lagi, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 7.30 am – 1 pm

Selain gerai dan restoran, anda juga boleh menikmati sarapan pagi di kafe. KOPITOK merupakan antara kafe yang menyediakan hidangan sarapan berasaskan selera tempatan yang kena dengan citarasa ramai.

kopitok perlis
Imej via Foursquare

Hidangan yang wajib anda pesan ialah nasi lemak pandan yang disajikan bersama ayam goreng berempah. Selain itu, cubalah hidangan lain seperti roti bakar kaya dan telur, roti John dan kuih-muih tradisional. Untuk minuman, jangan lupa untuk menikmati teh bunga yang menyegarkan.

#9 Capati Corner

Alamat: 967, Jalan Kaki Bukit, Kampung Darat, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi Selasa – Ahad, 7 am – 10 pm

Satu lagi tempat sarapan di Perlis yang menyediakan capati ialah Capati Corner yang terletak di Kampung Darat. Bukan sahaja capati, malah hidangan sarapan tempatan yang lain juga boleh anda cuba di restoran ini.

Capati Corner Perlis
Imej via Foursquare

Capati di sini boleh dinikmati bersama kuah sardin, kari daging kari ayam dan kari kambing. Kuah yang kaya dengan rasa dan capati yang lembut dan bersaiz besar – satu gabungan yang terbaik untuk hidangan sarapan.

#10 Aminah Pulut Ayam

Alamat: Pekan Kuala Perlis, 02000 Kuala Perlis, Perlis

Waktu Operasi: Khamis – Selasa, 6.30 am – 1 pm manakala Ahad 6.30 am – 12 pm

Restoran Aminah Pulut Ayam menyediakan hidangan sarapan berasaskan pulut yang menjadi kegemaran ramai. Pulut mangga dan pulut ayam merupakan menu sarapan yang laku keras.

Kebanyakan sajian di sini merupakan sajian Thai. Nasi Khaomok, sejenis nasi beriani Siam cukup asli dan menambat selera. Ayam gorengnya juga rangup dan berempah, memang kena dengan citarasa ramai.

#11 Gerai Nasi Gulai Itik

Alamat: Berhadapan Ladang Tebu Padang Besar, 02100 Perlis

Negeri Utara sememangnya terkenal dengan lauk gulai. Ianya juga enak dinikmati semasa sarapan. Untuk itu, singgahlah di Gerai Nasi Gulai Itik yang menyediakan gulai itik yang sering diburu pelancong di sini. Warung ini dibuka seawal jam 8 pagi.

warung gulai itik depan ladang tebu padang besar
Imej via Foursquare

Gulai itik ini bukan sahaja sedap, malah aromanya juga boleh buat sesiapa sahaja terliur. Paling penting, harganya juga murah. Gulai nangka di sini juga turut mendapat sambutan yang hangat, alang-alang ke sini cuba sahaja kedua-dua jenis gulai.

#12 Warung Balun

Alamat: 1f, Jalan Raja Syed Alwi, Pusat Bandar Kangar, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 am – 1 pm

Restoran yang terletak di belakang Public Bank Kangar iaitu Warung Balun menyajikan hidangan sarapan tempatan. Pilihan menu sarapan memang berbagai dan suasana warung juga santai, sesuai untuk sesi lepak bersama rakan-rakan.

warung balun perlis

Kuetiau goreng udang, roti telur gedik, nasi lemak, mi goreng dan American Breakfast adalah antara menu yang boleh didapati. Untuk minuman, anda wajib cuba teh ais mereka yang dijamin sedap.

#13 NOOR MALABARI

Alamat: LOT 4968,, Taman Ira, 01000 Kangar, Perlis

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu, 7 am – 2 pm

Ingin bersarapan di kedai Mamak? Singgahlah di restoran Noor Malabari. Roti canai di sini dikatakan merupakan antara yang tersedap di sini, tidak hairanlah ianya kerap dipesan.

noor malabari perlis sarapan
Imej via Foursquare

Roti canainya disediakan bersama kuah kari ayam yang memang sedap. Nasihat kami, mintalah kuah banjir, pasti keenakannya lebih berganda. Selain itu, nasi kandar mereka juga tidak kurang hebatnya. Cukup enak dinikmati bersama lauk-pauk seperti kari kepala ikan dan ayam goreng.

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat sarapan di Perlis yang ingin anda singgah? Semua lokasi sarapan yang kami senaraikan ini memang terbaik, jadi singgah sahaja satu-persatu.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.