Ramai yang menyukai masakan kantonis. Cuma nak cari yang halal agak sukar. Kini Restoran Chinese Muslim Abdullah di Medan Meru Bestari, Meru di Ipoh, Perak menghidangkan masakan kantonis yang halal.
Restoran tersebut menghidangkan lebih 100 masakan berkonsepkan kantonis yang merupakan hidangan tradisi keluarga. Masakan kantonis merupakan hidangan masyarakat Cina namun, rasanya sesuai dengan lidah masyarakat Melayu di negara ini.
Paling penting, sajian makanan di restoran ini halal dan ia sesuai untuk semua lapisan masyarakat.
Hidangan kantonis yang menjadi tarikan di restoran itu antaranya ayam masak lemon, ikan siakap masak asam pedas. Sirip jagung yang diperbuat daripada tepung, ikan masak masam manis, kupang kam heong dan pelbagai jenis masakan udang lipan.
Pengunjung juga perlu mencuba hidangan sotong ribut yang merupakan hidangan tersendiri ciptaan keluarga pemilik untuk penggemar masakan kantonis.
Harga yang ditawarkan di restoran itu berpatutan iaitu untuk hidangan nasi goreng Cina serendah RM7. Hingga ke pelbagai masakan ikan pada harga maksimum RM70.
Bagi hidangan ikan, pemilik telah menetapkan saiznya yang besar pada harga maksimum iaitu RM70 untuk setiap masakan. Harga itu amat berpatutan dan pengunjung juga boleh merangka bajet mereka sebelum menempah hidangan.
Menu di restoran ini dipilih oleh bapa saudara pemilik dan mereka masih mengekalkan cita rasa resipi keluarga. Malah sos dan kebanyakan bahan disini adalah hasil air tangan pihak restoran sendiri.
Restoran Chinese Muslim Abdullah juga mementingkan aspek kebersihan. Pengunjung tidak perlu risau dengan kaedah penyediaan makanan kerana sembilan cef di restoran ini merupakan orang Islam
No. 5 & 5a & 5b, Jalan Meru Bestari A14, Bandar Meru Raya
30020 Ipoh, Perak
Waktu operasi : 4.30 petang – 12.00 tengah malam
Tutup setiap hari Khamis
Restoran ini boleh memuatkan sekitar 100 orang pada satu satu masa dan ia juga mempuyai dewan mini yang terletak di lantai dua. Ia juga mempunyai kemudahan surau dan bilik untuk para ibu yang memerlukan ruang pengurusan anak atau bayi mereka.