Mencari resepi tauhu yang boleh dicuba?

Tauhu merupakan sejenis makanan yang kaya dengan sumber protein. Ianya sering digunakan di dalam masakan untuk pelbagai hidangan sama ada sayur, makanan berat atau snek.

Ini jelas menunjukkan yang cara masakan untuk tauhu memang beraneka. Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 resepi tauhu untuk anda cuba. Teruskan membaca!

#1 Sup Tauhu Telur Cina

Imej via Facebook

Sukakan makanan bersup? Anda wajib cuba resepi sup tauhu telur ini, dijamin sedap dan menyihatkan. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Jannah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 ulas bawang putih (ditumbuk halus)
  • ½ sudu kecil lada hitam (ditumbuk kasar)
  • Tauhu telur
  • 1½ cawan air
  • 1 sudu kecil minyak bijan
  • Tepung jagung
  • Lobak
  • 1 kiub pati ayam
  • Daun bawang / ketumbar
  • 2 biji telur (dipukul)

Cara-cara:

  1. Salut kering tauhu telur dengan tepung jagung dan goreng. Ketepikan.
  2. Masukkan minyak bijan dan tumiskan bawang putih dan lada hitam.
  3. Kemudian, masukkan air.
  4. Masukkan lobak dan kiub pati ayam.
  5. Setelah mendidih, masukkan telur dan cepat-cepat gaul.
  6. Masukkan 1 sudu tepung jagung yang dibancuh dengan air.
  7. Setelah mendapat kepekatan yang diinginkan, masukkan tauhu telur.
  8. Taburkan dengan minyak bijan dan daun ketumbar / bawang.
  9. Sedia untuk dihidang.

#2 Tauhu Berlauk

Imej via Facebook

Ini merupakan antara resepi tauhu yang cukup popular – tauhu berlauk. Ianya sangat enak dinikmati begitu sahaja, rugi jika anda tak cuba resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Arfiza Farzira Abu Hasan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Lobak (dipotong dadu)
  • Bawang holland (dipotong dadu)
  • Daun sup (dipotong halus)
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • Telur

Bahan kisar halus:

  • 3 tiub tauhu telur
  • 3 ketul tauhu putih
  • 2 ketul isi ayam bahagian dada
  • 3 biji telur
  • 1 kiub pati ayam
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Campurkan bahan kisar halus dengan bahan-bahan lain dan gaul sebati.
  2. Masukkan ke dalam acuan dan kukus selama 5 – 10 minit sahaja.
  3. Angkat dan salutkan tauhu dengan telur. Gorengkan.
  4. Sedia untuk dihidang.

#3 Tauhu Begedil

resepi tauhu
Imej via Facebook

Ini juga merupakan antara resepi viral yang sangat terkenal – tauhu begedil. Ianya juga dijual di serata tempat, namun anda juga boleh mencuba resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Sekin Orkid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan isi tauhu:

  • Kentang
  • Bawang merah
  • Daging kisar/ayam
  • Daun sup
  • Garam secukup rasa

Bahan salut tauhu:

  • Telur
  • Sedikit garam

Bahan sos kicap:

  • Cili api
  • Bawang putih
  • Kicap manis
  • Garam secukup rasa
  • Sedikit air

Cara-cara:

  1. Rebus kentang sehingga empuk
  2. Tumis bawang, daging kisar, daun sup dan garam secukup rasa sehingga masak
  3. Lenyek kentang & gaul bersama bahan tumis tadi.
  4. Potong tauhu dari bahagian atasnya kepada bentuk x.
  5. Campur isi tauhu yang dikeluarkan dengan bahan tumis tadi.
  6. Isikan kentang yang sudah digaul sebati ke dalam tauhu.
  7. Celup tauhu dengan garam dan telur dan gorengkan.
  8. Untuk sambal kicap, gorengkan cili api dan bawang putih.
  9. Kisarkan, kemudian campurkan dengan kicap.
  10. Masukkan sedikit air dan masak hingga bahan kisar mendidih.
  11. Perasakan dengan garam dan gula.
  12. Sedia untuk dihidang.

#4 Tauhu Buatan Sendiri

Imej via Facebook

Ingin membuat sendiri tauhu di rumah? Cubalah resepi tauhu homemade yang ringkas bahannya ini! Resepi ini dikongsikan oleh Jumee Afuan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 kg kacang soya (direndam 1 malam).
  • Air (sukatan 1 cawan kacang : 2 cawan air)
  • 10 sudu besar cuka
  • 2 bakul yang sama saiz

Cara-cara:

  1. Lepas cuci kacang, rendam selama 1 malam dan keesokannya, cuci lagi. Toskan/tapiskan.
  2. Kisar kacang dengan sukatan air yang dinyatakan, kemudian tapiskan menggunakan kain kasa.
  3. Masak air kacang soya hingga hilang bau mentah.
  4. Masukkan cuka dan biar hingga berketul
  5. Letak dalam bakul dan alaskan dengan kain kasa.
  6. Tindih bakul dengan benda berat.
  7. Biar sejukkan sejuk dan buka kain.
  8. Potong tauhu ikut saiz disukai
  9. Gorengkan.

#5 Tauhu Telur

Imej via Facebook

Tauhu telur ini merupakan hidangan yang cukup mengenyangkan. Ianya juga merupakan resepi tauhu buatan sendiri yang wajib anda cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Syafiqah Nasuha di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 6 biji telur bersaiz besar (dipukul)
  • 500 ml susu soya panas
  • 5 g tepung jagung
  • 1 sudu kecil garam

Cara-cara:

  1. Campurkan susu soya panas tadi dengan garam dan tepung jagung. Kacau rata.
  2. Tuangkan adunan susu soya tadi dalam telur. Pukul perlahan hingga sebati.
  3. Masukkan dalam loyang. Kukus 20 minit dengan api perlahan dan alas tutup kukus dengan kain supaya air tak menitik.
  4. Setelah sejuk, keluarkan dari acuan dan potong mengikut bentuk kesukaan.

#6 Tauhu Kukus Daging Ayam

Imej via Facebook

Hidangan yang mengenyangkan dan menyelerakan pasti wajib disajikan buat anda dan keluarga. Jadi, cubalah resepi tauhu kukus daging ayam ini. Resepi ini dikongsikan oleh Pari Malar Thoraisingam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Tauhu lembut
  • Bawang (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Bawang putih (dipotong dadu)
  • Cendawan shitake / kacang pis
  • Daging ayam (dicincang halus)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • 3 sudu besar kicap masin
  • Sediki serbuk lada putih
  • Daun bawang sebagai hiasan

Cara-cara:

  1. Kukus tauhu lembut selama 15 minit dan buang air kukusan yang ada di dalam pinggan.
  2. Potong tebal tauhu yang dikukus (boleh dapat 5 kepingan). Ketepikan.
  3. Goreng bawang, bawang putih dan halia.
  4. Setelah bawang rangup, masukkan isi ayam. Gaul dan goreng.
  5. Masukkan sos tiram dan kicap masin. Goreng hingga masak.
  6. Masukkan serbuk lada putih.
  7. Setelah siap, tuangkan daging ayam di atas tauhu lembut yang dikukus.
  8. Hiaskan dengan daun bawang.
  9. Sedia untuk dihidang.

#7 Tauhu Goreng Rangup

resepi tauhu
Imej via Facebook

Tauhu bukan sahaja enak dibuat lauk, ianya juga sedap jika digoreng rangup. Makan pula dengan sambal kicap, pasti padu! Resepi ini dikongsikan oleh Mastura Razali di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 ketul tauhu basah (dipotong 4)
  • 5 sudu besar tepung gandum
  • 1 sudu besar tepung beras
  • ½ sudu kecil serbuk penaik
  • 1 cawan air
  • 1 kiub pati ayam + ⅓ cawan air panas (untuk hancurkan kiub pati ayam)

Cara-cara:

  1. Bancuh semua bahan kecuali tauhu.
  2. Setelah sebati, masukkan tauhu. Gaul sebati.
  3. Tapis / sejat, kemudian gorengkan tauhu. Simpan air bancuhan.
  4. Setelah kelihatan garing, tuangkan air bancuhan tadi dan sentiasa kacau.
  5. Biarkan tauhu garing.
  6. Angkat dan sejat minyak.
  7. Sedia untuk dihidang.

#8 Tauhu Goreng Suhun

resepi tauhu
Imej via Facebook

Hidangan tauhu goreng suhun ini mempunyai rasa masam dan manis yang seimbang, jadi ianya dijamin enak. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Fatimah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 biji tauhu (dipotong dadu)
  • 1 bungkus suhun
  • 12 ekor udang
  • Sedikit air asam jawa
  • Garam
  • Gula
  • ½ kiub pati ayam
  • Sedikit kicap manis
  • Sedikit daun bawang dan cili merah sebagai hiasan

Bahan tumbuk:

  • 2 biji cili merah
  • 5 biji cili padi
  • 5 ulas bawang kecil
  • 1 ulas bawang putih

Cara-cara:

  1. Gorengkan tauhu. Ketepikan.
  2. Tumiskan bahan tumbuk hingga pecah minyak.
  3. Masukkan udang, air asam jawa, kicap manis, kiub pati ayam, garam dan gula hingga kuah mengering.
  4. Masukkan suhun dan tauhu. Masak selama 5 minit.
  5. Hiaskan dengan daun bawang,
  6. Sedia untuk dihidang.

#9 Tauhu Pok Telur Masin

resepi tauhu
Imej via Facebook

Selalunya tauhu digoreng atau dibuat sambal. Apa kata kali ini anda cuba sedikit kelainan dan membuat tauhu pok telur masin? Resepi ini dikongsikan oleh Emma Haleigh di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Tauhu pok
  • Mentega
  • Bawang putih (dicincang halus)
  • Cili (dicincang halus)
  • Susu cair
  • Serbuk telur masin Bestari
  • Daun kari

Cara-cara:

  1. Goreng tauhu pok dan potong kepada empat. Ketepikan.
  2. Masukkan mentega ke dalam kuali dan tumis bahan cincang.
  3. Masukkan serbuk telur masin, susu dan daun kari.
  4. Akhir sekali, masukkan tauhu pok.
  5. Sedia untuk dihidang.

#10 Sambal Tauhu Telur

resepi tauhu
Imej via Facebook

Bagi pembaca yang sukakan makanan pedas, anda patut cuba resepi sambal tauhu telur ini. Resepi ini dikongsikan oleh Nur Asykeen di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Tauhu telur (dipotong)
  • 2 biji telur untuk menggoreng taufu (dipukul)
  • Garam & perasa
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan kisar:

  • Cili kering (direndam)
  • 10 biji bawang merah
  • Bawang putih
  • Halia

Cara-cara:

  1. Masukkan telur ke dalam mangkuk, pukul dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  2. Masukkan tauhu telur dan rendamkan dalam telur sekejap.
  3. Gorengkan dan ketepikan.
  4. Tumiskan bahan kisar dengan minyak.
  5. Setelah sambal garing, masukkan tauhu telur yang digoreng tadi. Kacau sebati.
  6. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi tauhu, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.