Adakah anda mencari resepi ketam yang bukan sahaja sedap, malah ringkas?

Ketam merupakan salah satu makanan laut yang digemari ramai. Ketam yang segar dapat dilihat dari segi isinya yang lembut dan tebal. Memang nikmat jika ketamnya berkualiti tinggi!

Kami yakin anda pasti terliur jika terbayangkan kesegarannya. Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 resepi ketam pilihan ramai yang enak dan mudah.

#1 Ketam Telur Masin

resepi ketam

Imej via Facebook

Lauk yang dimasak bersama mentega dan telur masin merupakan lauk yang ‘hangat’ pada masa kini. Antara lauk yang dimasak sebegitu adalah ayam, sotong dan tidak terkecuali – ketam. Resepi ini dikongsikan oleh Diba Rdba di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 ekor ketam
  • 4 sudu besar mentega
  • 3 biji bawang putih (dicincang)
  • 6 batang cili padi (dipotong)
  • 1 tangkai daun kari
  • 3 biji telur masin direbus (ambil kuningnya sahaja. 1 biji diambil putihnya dan dihancurkan)
  • 1/2 tin Susu Cair
  • Sedikit garam jika perlu
  • Sedikit gula jika perlu

Untuk menggoreng ketam:

  • 2sudu besar tepung jagung
  • ½ sudu kecil lada sulah
  • Sedikit garam

Cara-cara:

  1. Bersihkan ketam dan potong dua. Ketuk-ketuk  bahagian sepit yang keras supaya mudah untuk dinikmati.
  2. Kukus ketam hingga 3/4 masak. Bila sudah masak, celup isi ketam ke dalam air ais dalam 20 saat. (untuk kekejalan isi ketam dan mengelakkan overcook)
  3. Lumurkan ketam dengan tepung jagung, lada sulah dan garam.
  4. Goreng seketika. Angkat, toskan dan ketepikan.
  5. Cairkan mentega dalam kuali yang panas, kemudian masukkan bawang putih, cili padi, daun kari, dan telur masin.
  6. Kacau hingga berbuih. Setelah berbuih, masukkan susu cair.
  7. Kacau dan kacau lagi biar semuanya sebati.
  8. Bila kuah sudah pekat, tambah garam, gula dan perasa.
  9. Bila kuah dah secukup rasa, masukkan ketam yang telah digoreng tadi. Balik-balikkan biar hingga kuahnya sebati dengan ketam.

#2 Chili Crab

resepi ketam

Imej via Facebook

Jika anda biasa ke Singapore, anda pasti tahu yang menu Chili Crab ini memang sangat popular di sana. Resepinya juga mudah, jadi tak perlu jauh-jauh ke Singapore. Resepi ini dikongsikan oleh Fara Amirullah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  •  2 biji bawang merah
  • 3 ulas bawang putih
  • 1 inci halia

(Kisar dan asingkan)

          Bahan cili kisar:

  • 15 tangkai cili kering 
  • 5 tangkai  cili api merah
  • Sedikit belacan
    (Kisar dan asingkan)

Bahan lain:

  •  2sudu sos cili 
  • ketam
  • 2  sudu sos tomato
  • 1 sudu sos seafood
  • 1 biji telur
  • lada hitam
  • lada sulah
  • tepung jagung

Cara-cara:

  1. Tumis bawang merah, bawang putih and halia yang telah dikisar.
  2. Bila naik bau, masukkan cili kisar.
  3. Tumis hingga cili masak dan masukkan sos.
  4. Tambahkan lada hitam dan lada sulah.
  5. Masukkan air mengikut kepekatan kuah yang diingini. Kemudian, masukkan ketam.
  6. Tutup kuali dan besarkan api. Masak dlm 5-7 minit untuk memastikan ketam masak sepenuhnya.
  7. Setelah ketam masak, masukkan telur yang dipukul.
  8. Kacau supaya ia sebati. Pastikan angkah 7 & 8 dilakukan secara cepat.

#3 Ketam dan Ayam Phad Ka Prao

resepi ketam

Imej via Facebook

Sukakan makanan Thai? Makanan Thai sememangnya banyak menggunakan makanan laut untuk hidangannya. Phad Ka Prao juga boleh dibuat menggunakan ketam, sangat menarik! Resepi ini dikongsikan oleh Wan LuQman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • ketam
  • isi ayam
  • daun selasih
  • cili padi
  • bawang putih (dicincang)
  • bawang kecil (dihiris)
  • gula secukupnya

Bahan bancuhan sos:

  • 3 sudu besar sos tiram
  • 2 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu besar sos ikan

Cara-cara:

  1. Goreng ketam sehingga masak.
  2. Tumis cili padi, bawang putih dan bawang hiris.
  3. Bila bahan tumisan sudah sedikit garing, masukkan isi ayam.
  4. Kemudian, masukkan bancuhan sos.
  5. Masukkan sedikit gula, mengikut citarasa.
  6. Setlah itu, masukkan ketam diikuti dengan daun selasih.
  7. Gaul rata sehingga daun selasih layu.
  8. Pastikan kuah pekat.

#4 Karaikudi Crab Masala

resepi ketam

Imej via Facebook

Tadi kita cuba resepi Thai, apa kata kali ini anda cuba resepi India pula – Karaikudi Crab Masala. Kaya dengan rempah dan harum aromanya! Resepi ini dikongsikan oleh Sheena Supramaniam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 biji bawang besar (dipotong dadu)
  • 2 biji tomato (dipotong dadu)
  • 2 sudu kecil halba
  • 1 sudu kecil biji sawi
  • daun kari
  • 2 inci halia
  • 6 – 10 ulas bawang putih
  • 1 genggam daun ketumbar
  • ketam
  • air asam jawa ( 1 sudu kecil asam jawa dan sedikit air)

Bahan pes Karaikudi Masala (dikisar):

  • 2 sudu besar ketumbar (dipanggang kering)
  • 1 sudu besar jintan
  • 1 cubit halba
  • 1 cubit biji sawi
  • 1 inci kunyit (dihiris)
  • 1 genggam cili kering (mengikut kepedasan)
  • 1 sudu kecil garam masala

Tambah sedikit air dan jadikan pes

Cara-cara:

  1. Kisarkan halia, bawang putih dan ketumbar. Tambah sedikit air semasa kisar.
  2. Panaskan minyak yang agak banyak kuantitinya dan masukkan biji sawi dan halba.
  3. Tumiskan bawang hingga naik bau.
  4. Masukkan daun kari dan bahan kisar pada langkah 1.
  5. Tumis hingga naik bau dan masukkan tomato. Tambah garam dan kacau supaya tomato cepat masak.
  6. Masukkan pes Karaikudi Masala. Kacau sekejap dan tambah sedikit air supaya masak sepenuhnya.
  7. Setelah pecah minyak, masukkan air asam jawa. Tumis hingga naik bau.
  8. Masukkan ketam dan teruskan kacau hingga masak.
  9. Tambahkan air sebelum masukkan air asam.
  10. Siap. Hiaskan bersama daun ketumbar.

#5 Sup Isi Ketam

resepi ketam

Imej via Facebook

Ingin mencuba resepi ketam yang lebih sihat? Cubalah resepi sup ketam ini. Hidangan bersup memang enak dinikmati terutamanya pada waktu tengah hari. Resepi ini dikongsi oleh Nurin NurHayati Muhammad di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 ulas bawang merah
  • 2 ulas kecil bawang putih
  • Sedikit halia
  •  Lada putih/serbuk lada campuran
  • Garam
  •  Ajinamoto
  •  Isi ketam
  • Kiub pati ikan bilis
  •  Daun sup
  • Bawang goreng
  • Jagung (tin creamer)
  • Loba (dipotong dadu)
  • Minyak bijan
  • Tepung jagung
  • 1 biji telur

Cara-cara:

  1. Tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga keperangan.
  2. Masukkan isi ketam dan gaulkan.
  3. Masukkan jagung dan lobak. Gaulkan.
  4. Masukkan telur.
  5. Tambahkan air. Untuk pekatkan kuah, tambah air tepung jagung.
  6. Tambahkan lada putih , garam , serbuk perasa , kiub pati ikan bilis dan sedikit minyak bijan. Gaul hingga sebati.
  7. Setelah menggelegak, tutup api.
  8. Hidangkan bersama daun goreng dan bawang sup.

#6 Ketam Kam Heong

resepi ketam

Imej via Facebook

Ketam Kam Heong merupakan salah satu masakan Cina yang sangat popular. Ianya mempunya rasa berempah dan pedas yang secukup rasa, enak dimakan bersama nasi putih panas! Resepi ini dikongsikan oleh Nisa Liyana di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3-4 ekor ketam
  • 1 biji bawang besar (dihiris)
  • 3 ulas bawang putih (diketuk)
  • 3 tangkai daun kari
  • 5 tangkai cili padi merah
  • 2 sudu makan rempah kari
  • Sedikit udang kering (ditumbuk)
  • 2-3 sudu besar sos tiram
  • 2-3 sudu besar kicap manis
  • Garam dan gula secukup rasa.
  • Sedikit air
  • Minyak untuk menumis

Cara-cara:

  1. Goreng ketam separuh masak dahulu.
  2. Tumis bawang besar, bawang putih, cili & daun kari hingga baik bau.
  3. Masukkan bancuhan rempah kari dan udang kering. Tumis lagi sehingga pecah minyak.
  4. Masukkan kicap & sos tiram. Tambah sedikit air untuk lebihkan kuah dan perasakan dengan garam & gula.
  5. Bila kuah dah sedap, masukkan ketam dan gaul rata dengan kuah.
  6. Biarkan sampai ketam masak sepenuhnya.

#7 Rasam Ketam

resepi ketam

Imej via Facebook

Rasam ketam merupakan masakan India yang sangat menyihatkan. Ianya baik untuk dinikmati bagi sesiapa yang menghidap selsema. Resepinya juga mudah! Resepi ini dikongsikan oleh Jay Shree di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A (ditumbuk / dikisar):

  • 1 sudu besar jintan manis
  • 1 sudu besar jintan putih
  • 1 sudu besar lada hitam
  • 5 kuntum bunga cengkih
  • bawang
  • bawang putih
  • daun kari

Bahan B (dipotong):

  • 3 tangkai cili kering
  • sedikit halia
  • sebiji tomato
  • daun kari
  • air asam jawa
  • daun ketumbar
  • air
  • 1 sudu kecil serbuk kunyit -1sudu kecil
  • 1 sudu kecil serbuk jintan manis dan putih

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan masukkan bahan (A)
  2. Selepas bau naik, masukkan bahan (B)
  3. Masukkan serbuk kunyit dan serbuk jintan manis & putih.
  4. Masukkan ketam dan gaulkan. Selepas itu tambah air dan garam.
  5. Masukkan air asam jawa.
  6. Biar mendidih selama 5minit (sampai ketam masak).
  7. Tutup api dan taburkan daun ketumbar sebagai hiasan.

#8 Gulai Ketam Tumis Darat

ketam

Imej via Facebook

Satu lagi resepi ketam yang wajib anda cuba ialah gulai ketam tumis darat. Sangat sesuai dinikmati oleh penggemar masakan gulai. Resepi ini dikongsikan oleh Zuraida Shaari di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan A:

  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 1/2 paket 25g rempah kari daging babas
  • 1 biji nanas masak
  • 4-5 ekor ketam
  • 1 cawan air

Bahan B:

  • Santan
  • Garam kasarBahan C:
  • 2 ulas bawang putih
  • 3 biji bawang merah
  • 3 helai daun kari
  • 1sudu besar halba campur

Cara-cara:

  1. Untuk bahan A – tumbuk bawang-bawang dan masukkan ke dalam periuk.
  2. Masukkan nanas,rempah kari, air dan kacau sebati.
  3. Masukkan ketam dan tutup periuk
  4. Rebus bahan A dahulu supaya rempah dan ketam masak.
  5. Bila sudah mendidih, masukkan bahan B.
  6. Masak sebentar lagi sambil kacau. Pastikan santan tidak pecah minyak.
  7. Matikan api.
  8. Dalam kuali, masukkan minyak masak kira-kira 2 senduk.
  9. Tumis bahan C dan masukkan bahan-bahan lain.

#9 Ketam Nipah Masak Black Pepper

Kami yakin pasti ramai pembaca yang suka lauk yang dimasak bersama lada hitam. Ianya kaya dengan rasa dan aroma yang memikat, jadi anda harus cuba resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Kalaivani Krishnasamy di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ketam nipah (dibersihkan)
  • Kicap manis ENAQ
  • Kicap pekat
  • 1 sudu sos tiram
  • Taucu (optional)
  • 2 bawang besar
  • 8 ulas bawang putih (dicincang)
  • Daun kari
  • Cili padi
  • 3 sudu serbuk lada hitam dan lada putih
  • 1/2 cawan air

Cara-cara:

  1. Kisarkan lada hitam.
  2. Sangai serbuk lada hitam dan lada putih sebentar.
  3. Tumis bawang besar, bawang putih dan cili padi (menggunakan minyak atau marjerin, terpulang).
  4. Setelah bawang layu, masukkan daun kari dan gaulkan.
  5. Masukkan taucu dan gaulkan.
  6. Masukkan  lada putih dan hitam yang disangai.
  7. Masukkan kicap manis dan sos tiram.
  8. Tambahkan kicap pedas dan gaul sebati.
  9. Perlahankan api dan masukkan ketam. Gaul sebati.
  10. Masukkan air untuk masak ketam.
  11. Tutup kuali dan tunggu sehingga kuah pekat dan ketam masak dengan sempurna dalam 5 minit.
  12. Perasakan dengan gula dan garam.

#10 Baby Crab Rangup

ketam

Imej via Facebook

Satu lagi resepi ketam yang boleh dicuba di rumah ialah baby crab yang digoreng rangup. Enak dijadikan kudapan sambil menonton cerita kegemaran! Resepi ini dikongsi oleh Hardz Bravo di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 4 ekor ketam  (dibersihkan dan dibelah dua)
  • Minyak secukupnya untuk mengoreng
  • 3 tangkai daun kari

Bahan bancuhan tepung:

  • 1cawan tepung beras
  • 3 sudu besar tepung gandum
  • 5 ulas bawang putih- mayang halus
  • 1 inci halia-mayang halus
  • 1 sudu besar serbuk cili
  • 1 sudu besar rempah kari ikan
  • 1/2 sudu besar serbuk kunyit
  • 1/2 sudu besar serbuk pati ayam(optional)
  • Garam secukup rasa
  • 1 biji telur
  •  Sedikit air

Cara-cara:

  1. Satukan kesemua bancuhan tepung dan gaul menjadi adunan yang tidak pekat atau cair.
  2. Panaskan minyak dan goreng daun kari hingga garing. Angkat, toskan dan ketepikan.
  3. Celup ketam dalam bancuhan tepung dan goreng terendam dalam minyak panas.
  4. Goreng ketam satu persatu supaya ianya garing.
  5. Angkat dan tabur daun kari sebagai hiasan.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ketam, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.