Mencari resepi pemanggang ajaib?

Pemanggang ajaib merupakan sejenis kuali pemanggang yang mempunyai dua permukaan. Hasil inovasi negara Korea ini cukup bermanfaat untuk kebanyakan pengguna kerana ia dapat menyediakan makanan dengan lebih cepat.

Tertanya-tanya tentang menu apa yang boleh dibuat dengan pemanggang ajaib? Berikut kami senaraikan 10 resepi pemanggang ajaib untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Kuah Bakar Pandan

resepi pemanggang ajaib
Imej via Facebook

Kedengaran unik, namun ianya menjadi! Anda dapat menyediakan kuih bakar pandan dengan menggunakan pemanggang ajaib, memang terbaik. Resepi ini dikongsikan oleh Nadia di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan tepung gandum
  • 1½ cawan santan pekat / kotak kecil santan
  • 2 cawan jus pandan
  • 3 biji telur gred A
  • 1 cawan gula pasir (kalau nak manis boleh tambah lagi)
  • 2 sudu kecil garam
  • 2 sudu besar marjerin/mentega
  • 2 sudu besar minyak masak
  • 1 sudu kecil pewarna hijau

Cara-cara:

  1. Campur kesemua sekali ke dalam blender,
  2. Panaskan pemanggang ajaib dan sapu marjerin, Tuangkan adunan tadi dan tabur bijan.
  3. Bakar dengan api paling perlahan.
  4. Setelah bahagian bawah kelihatan agak garing, pusing belah atas ke bawah untuk garingkan bahagian atas pula.
  5. Sedia untuk dihidang.

#2 Lasagna

resepi pemanggang ajaib
Imej via Facebook

Tadi kita cuba kuih tempatan, kali ini kita cuba hidangan Itali pula – lasagna! Hidangan yang mengeyangkan ini juga dapat disediakan dengan menggunakan pemanggang ajaib. Resepi ini dikongsikan oleh Sue Eja di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 12 keping roti
  • 3 biji telur
  • 200 ml susu krim penuh
  • Keju mozzarella
  • Keju cheddar

Bahan kuah:

  • Bawang Holland
  • Bawang putih
  • Isi ayam / daging / sosej
  • Tomato
  • Lada benggala
  • Sos spageti
  • Lada hitam
  • Garam

Cara-cara:

  1. Tumis bawang holland dan bawang putih.
  2. Setelah bawang kelihatan kekuningan, masukkan isi ayam / daging.
  3. Gorengkan sosj sekejap dan masukkan sos spageti.
  4. Masukkan sedikit air biar masak dan perasakan dengan garam dan lada hitam. Ketepikan.
  5. Sapu pemanggang ajaib dengan minyak.
  6. Pukul telur bersama susu.
  7. Ambil roti dan celupkan ke dalam susu dan telur tadi. Susun dalam pemanggang ajaib.
  8. Letakkan rata inti yang dimasak tadi di atas roti yang disusun.
  9. Letakkan keju cheddar, kemudian ulangi langkah 7-8.
  10. Di lapisan teratas, letakkan keju mozzarella.
  11. Menggunakan api kecil, masak sehingga keju mozzarella cair.
  12. Sedia untuk dihidang.

#3 Kek Sarang Semut

resepi pemanggang ajaib
Imej via Facebook

Kek yang manis dan lembap ini pasti merupakan antara kegemaran anda, bukan? Ianya dapat disediakan menggunakan pemanggang ajaib! Resepi ini dikongsikan oleh Liza Rania di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1½ cawan gula pasir
  • 2 sudu mentega
  • 1 cawan air panas
  • 5 biji telur
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • ½ cawan susu pekat
  • 1½ cawan tepung gandum
  • 1 sudu besar soda bikarbonat
  • 1 sudu kecil serbuk penaik

Cara-cara:

  1. Masak gula sehingga cair dan berwarna perang. Masukkan mentega dan kacau rata.
  2. Masukkan air perlahan-lahan dan kacau sehingga gula larut dan sebati.
  3. Ketepikan air gula dan biarkan sejuk.
  4. Pukul telur bersama susu pekat sehingga berbuih.
  5. Masukkan esen vanila dan kacau rata.
  6. Masukkan tepung, soda bikarbonat dan serbuk penaik ke dalam adunan. Putar sebati.
  7. Akhir sekali, tuang air gula dan putar sehingga adunan sebati. Tuangkan dalam pemanggangajaib api.
  8. Masak pada api paling kecil selama 25 minit (minit ke 15-20 boleh tengok untuk terbalikkan pemanggang).
  9. Tambah 5 minit untuk kek masak sepenuhnya.
  10. Sedia untuk dihidang.

#4 Pizza Buatan Sendiri

resepi pemanggang ajaib
Imej via Facebook

Namanya pizza buatan sendiri, cara penyediaan pula menggunakan pemanggang ajaib. Memang menarik, anda wajib cuba! Resepi ini dikongsikan oleh Azura MaEl di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 200 ml air suam
  • 1 peket yis mauripan
  • 1 sudu kecil gula
  • 1 sudu kecil susu pekat
  • 5 cawan tepung gandum
  • 1 biji telur
  • ¼ sudu kecil garam
  • 1 cawan majerin

Bahan topping:

  • Sos spageti
  • Sos cili
  • Tuna
  • Sosej
  • Keju cheddar / mozarella
  • Bawang holland

Cara-cara:

  1. Campurkan gula,dan susu pekat ke dalam air suam dan masukkan yis. Kacau biar rata dan biarkan selama lebih kurang 5 minit.
  2. Dalam mangkuk lain, masukkan 5 cawan tepung gandum, majerin, garam dan telur ke dalam mangkuk dan gaul sehingga menjadi serbuk roti.
  3. Masukkan yis yang dah naik tadi. Uli sehingga doh tidak melekat pada tangan. Tutup doh biarkan selama 20 atau 30 minit supaya doh naik dua kali ganda.
  4. Bila doh dah naik , tumbuk-tumbukkan dan uli sedikit.
  5. Leperkan bahagian atas dan cucuk sedikit dgn garpu. Letakkan topping.
  6. Bakar dalam pemanggang ajaib menggunakan api kecil selama lebih kurang 20-30 minit (bergantung kepada saiz dan ketebalan pizza masing-masing).
  7. Sedia untuk dihidang.

#5 Cornflakes Madu Mudah

resepi pemanggang ajaib
Imej via Facebook

Mudah, kerana bahan-bahannya dan cara penyediannya cukup ringkas dan pantas. Jika anda peminat tegar biskut cornflakes madu, anda wajib cuba resepinya. Resepi ini dikongsikan oleh Jannatul Islam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500 g cornflakes
  • 125 Buttercup
  • 1 cawan gula perang
  • 1 cawan madu

Cara-cara:

  1. Cairkan Buttercup, madu dan gula perang.
  2. Setelah sebati, padamkan api.
  3. Masukkan cornflakes dan letakkan dalam cawan kertas.
  4. Taburkan chocolate rice dan masak menggunakan pemanggang ajaib selama 10 minit pada api perlahan.
  5. Sedia untuk dihidang.

#6 Biskut Pelangi

Imej via Facebook

Rupa pun menarik, inikan pula rasanya. Lebih menarik, hidangan ini dapat disediakan dengan menggunakan pemanggang ajaib. Resepi ini dikongsikan oleh Zia Chasmen di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 biji putih telur
  • 1 cawan gula kastor
  • 2 cawan tepung gandum
  • ½ cawan tepung jagung
  • ½ sudu kecil emplex
  • 1 sudu kecil esen vanila
  • Pewarna (6 pilihan warna)
  • 250 g mentega

Cara-cara:

  1. Ayak tepung gandum, tepung jagung dan emplex.
  2. Pukul mentega, gula dan esen vanila sehingga sebati
  3. Masukkan putih telur sedikit demi sedikit.
  4. Masukkan campuran tepung, kaup balik sehingga rata.
  5. Bahagikan kepada 6 adunan, letakkan pewarna dan masukkan dalam piping bag.
  6. Paipkan atas loyang yang dah dilapik baking paper atau cawan kertas.
  7. Bakar menggunakan api kecil dalam 20-25 minit.

#7 Akok versi Pemanggang Ajaib

Imej via Facebook

Kuih akok ini selalunya dibakar dalam ketuhar atau acuan, kali ini apa kata anda cuba sediakannya menggunakan pemanggang ajaib pula? Resepi ini dikongsikan oleh Siti Zahrah Mohd Fakhri di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 8 biji telur (dipecahkan dalam 1 cawan)
  • 1 cawan santan pekat
  • 1 cawan air
  • 1 ketul gula melaka
  • ½ cawan gandum
  • 3 helai daun pandan (dicarik-carik)
  • 3 kuntum bunga cengkih
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Satukan gula melaka, air, daun pandan & bunga cengkih.
  2. Masak sehingga gula melaka larut.
  3. Keluarkan daun pandan & bunga cengkih. Kemudian, sejukkan sebentar.
  4. Masukkan santan, tepung, garam, telur dan air gula melaka ke dalam pengisar. Kisar hingga kembang (adunan kuih akok memang cair). Tapiskan adunan.
  5. Griskan loyang mufin dengan minyak masak.
  6. Masukkan acuan ke dalam pemanggang ajaib dan tuangkan adunan ke dalam acuan tersebut.
  7. Bakar menggunakan api kecil selama 15-20 minit.

#8 Tart

Imej via Facebook

Resepi pemanggang ajaib ini pasti akan buat anda teruja. Ya, anda juga boleh membuat tart menggunakan pemanggang ajaib! Resepi ini dikongsikan oleh Norliza Nordin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan crust:

  • 2 cawan tepung gandum
  • ½ cawan marjerin
  • ¼ cawan gula aising
  • 1 biji telur

Bahan inti:

  • 1 cawan susu cair
  • 4 biji telur
  • ½ cawan gula
  • 1 cawan air
  • 1 sudu besar tepung kastard
  • Esen vanila

Cara-cara:

  1. Gaulkan tepung, marjerin, gula aising hingga sebati,
  2. Masukkan telur dan uli hingga menjadi doh.
  3. Bentukkan dalam acuan tart.
  4. Cucuk bahagian tengah kerak.
  5. Untuk inti, pukul semua bahan hingga sebati.
  6. Tuang inti ke dalam kerak tadi.
  7. Masak menggunakan pemanggang ajaib. Gunakan api perlahan selama lebih kurang 20 minit.
  8. Sedia untuk dihidang.

#9 Ikan Percik

Resepi pemanggang ajaib ini cukup senang untuk dicuba, bahan-bahannya juga ringkas. Memang rugi jika anda tak cuba! Resepi ini dikongsikan oleh EnaZamri Rashid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan
  • Santan pekat
  • Garam
  • Gula
  • Asam jawa

Bahan kisar:

  • Cili kering
  • Bawang besar
  • Bawang putih
  • Halia
  • Kunyit
  • 2 batang serai

Cara-cara:

  1. Masak ikan menggunakan pemanggang ajaib.
  2. Campurkan santan pekat dengan bahan kisar.
  3. Letakkan garam, sedikit gula dan asam jawa. Masak sehingga pekat.
  4. Sedia untuk dihidang.

#10 Dangai

Imej via Facebook

Kuih dangai merupakan antara kuih tradisional yang popular. Ianya juga boleh disediakan menggunakan pemanggang ajaib. Resepi ini dikongsikan oleh Ruzana Ramli di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 cawan tepung pulut
  • 3 cawan kelapa parut putih
  • ½ cawan gula
  • Secubit garam

Cara-cara:

  1. Satukan semua bahan yang dinyatakan.
  2. Bakar sehingga masak.
  3. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi pemanggang ajaib, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi menarik yang lain. Jangan lupa untuk memberi komen dan berkongsi dengan rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.