Masakan Korea merupakan jenis hidangan yang cukup popular di Malaysia. Bukti popularitinya terserlah apabila restoran yang menyajikan hidangan Korea ada banyak cawangannya di seluruh negeri.
Alang-alang berada di rumah, apa kata anda cuba masak hidangan Korea? Untuk itu, berikut kami senaraikan 12 resepi masakan Korea untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Topokki
Hidangan ini pasti anda biasa terdengar namanya, tambahan pula jika anda merupakan peminat drama Korea. Resepi ini dikongsikan oleh Zurina Zulkefli di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan topokki:
1 cawan tepung pulut
3 sudu besar tepung gandum
Secubit garam
Sedikit minyak bijan + air suam
Bahan kuah topokki:
3 ulas bawang putih (dicincang)
1 sudu besar minyak masak
1 sudu besar pes cili giling
Sedikit air
1 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tomato
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar gula
1 sudu kecil air rebusan ayam
Sos pedas Korea (jika mahu pedas)
Sosej (dihiris)
Telur ayam (direbus)
Bijan sebagai hiasan
Cara-cara:
Untuk topokki, campurkan tepung pulut, tepung gandum, garam dan sedikit minyak bijan dan air suam.
Uli sehingga menjadi doh. Doh sepatutnya tidak melekat di tangan.
Kemudian, uli doh secara memanjang dan potong kecil.
Sapukan minyak bijan atas pinggan, dan letakkan topokki. Seterusnya, kukus selama 5 minit.
Setelah dikukus, rendamkan topokki ke dalam air sejuk bagi mengekalkan kekenyalan tepokki.
Untuk kuah topokki, panaskan sesudu besar minyak masak kemudian tumiskan bawang putih yg dicincang sehingga bau wangi.
Masukkan pes cili giling, air, sos cili, sos tomato, sos tiram, gula dan air rebusan ayam. Boleh juga masukkan sos pedas Korea.
Kacau rata sehingga kuah likat rasa pedas pedas manis.
Masukkan topokki dan hirisan sosej ke dalam kuah dan masak beberapa minit.
Letakkan telur ayam rebus dan taburan bijan di atas topokki.
Sedia untuk dihidang.
#2 Korean Garlic Cheese Bread
Ini merupakan hidangan Korea yang telah viral pada tahun lepas – Korean Garlic Cheese Bread. Resepinya mudah, hidangannya juga sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Tyra Manan di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan sos bawang putih:
Bawang putih dicincang
100 g mentega
2 sudu besar mayonis
1 biji telur
Daun parsley
Bahan inti:
250 g krim keju
2 sudu besar susu pekat
Cara-cara:
Untuk sos bawang putih, cairkan mentega & biarkan sejuk sedikit.
Kemudian, campurkan semua bahan tadi. Jangan campur semasa masih panas, takut telurnya menjadi telur goreng.
Untuk bahan intinya, ambil roti burger dan potong kepada 6 bahagian. Boleh juga guna roti hamburger dan belahkan bahagian tepi (pastikan tidak putus).
Paipkan inti di celah-celah roti yang dibelah.
Sapukan sos bawang putih di atas roti.
Bakar pada suhu 150-160°C selama 10 hingga 15 minit, bergantung kepada oven masing-masing.
Sedia untuk dihidang.
#3 Ayam Goreng Pedas Korea
Melihat namanya sahaja pun sudah boleh buat anda terliur, bayangkan keenakannya. Resepi ayam goreng Korea yang viral ini juga mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Hidayah Rosedi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ayam (jumlah dan cara potongan mengikut kesukaan)
Tepung goreng rangup serbaguna (pedas / biasa)
1 sudu kecil lada hitam
1 inci halia
Bahan sos:
Cili kisar (mengikut kepedasan)
3 ulas bawang putih
Garam
Madu (megikut kesukaan)
Gula (mengikut kesukaan)
Cuka
4 sudu besar sos cili
Bijan yang diigoreng tanpa minyak / sangai
Daun bawang sebagai hiasan
Minyak untuk deep fry
Cara-cara:
Perap ayam dengan lada hitam dan halia.
Kemudian, golekkan ayam pada tepung serbaguna dan goreng hingga kuning keemasan. Ketepikan.
Untuk sos, tumbuk bawang putih dan tumis bersama cili kisar tadi hingga garing.
Masukkan sos, cuka, madu,gula, garam dan gaul rata (jangan campur air supaya kerangupan ayam lebih tahan lama dan tidak berair).
Kemudian, masukkan ayam yang digoreng tadi ke dalam sos yang dimasa.
Gaul rata hingga sos menyaluti seluruh ayam yang ada.
Setelah siap, tabur bijan dan daun bawang di atas ayam.
Sedia untuk dihidang.
#4 Bibimbap
Bibimbap merupakan nasi campur yang cukup terkenal di Korea. “Bibim” bermaksud mencampurkan manakala “bap” bermaksud nasi. Resepi ini dikongsikan oleh Zurina Zulkefli di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan sayuran :
1 biji timun Jepun (dihiris bulat)
1 biji lobak merah (dihiris panjang)
Cendawan black fungus / shitake (direndam dan dihiris panjang)
Bayam hijau (direbus dan ditoskan)
Telur ayam goreng mata
Daging ayam (dipotong kecil memanjang)
Lada hitam
Minyak bijan untuk menggoreng
Bahan nasi:
Beras sushi Jepun / beras biasa dan nasinya sedikit lembut
Rumpai laut
Bahan sos pedas manis:
Pes Korea gochujang / sos Korea pedas
Jika tiada sos pedas, boleh ganti dengan:
1 genggam cili kering (dibasuh bersih dan dipotong kecil)
2 labu bawang putih
Sedikit air suam
4 sudu besar gula
1 sudu besar garam
1 sudu besar sos cili
2 sudu besar kicap
1 sudu besar bancuhan air tepung jagung
Biji bijan
Cara-cara:
Menggunakan minyak bijan, gorengkan sayuran bimbap iaitu timun Jepun, lobak merah, dan cendawan shitake bersama daging ayam. Ketepikan.
Untuk nasi, hancurkan kepingan rumpai laut ke atas nasi. Ketepikan.
Untuk gentian sos pedas, rendam cili kering dalam air panas dan toskan.
Masukkan bawang putih dan cili kering ke dalam epngisar dan kisarkan.
Masukkan sedikit air suam, gula, garam, sos cili dan kicap dan kisarkan hingga hancur.
Setelah dikisar, masak semula di dalam kuali sehingga kering air dan masukkan 1 sudu besar bancuhan tepung jagung. Kacau sehingga mendidih.
Akhir sekali, taburkan sedikit biji bijan.
Untuk menyusun bibimbap, ratakan nasi bercampur rumpai laut di dalam mangkuk.
Letak telur mata ke atas nasi.
Susun sayuran dan ayam yg dimasak ke atas bahagian putih telur.
Letakkan 1 sudu besar sos pedas manis.
Sekiranya ada, boleh titiskan minyak bijan ke atas kuning telur. Taburkan biji bijan yg disangai mengikut citarasa.
Sedia untuk dihidang.
#5 Bulgogi
Ada penggemar daging di sini? Jika ya, anda boleh cuba resepi bulgogi yang cukup mudah ini. Resepi ini dikongsikan oleh Amirah Md Esa di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daging (dihiris memanjang)
1 sudu kecil (anggaran) soda bikarbonat
1 biji bawang Holland
3 ulas bawang putih (diparut)
1 inci halia (diparut)
Daun bawang (dipotong kasar)
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap lemak manis
1 sudu besar madu asli
Beberapa titis minyak bijan
1 sudu besar minyak zaitun
1 sudu kecil tepung jagung
Cara-cara:
Perap hirisan daging dengan soda bikarbonat selama 30 minit. Setelah 30 minit, cuci bersih daging dan toskan.
Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam mangkuk dan gaul rata. Masukkan juga daging yg telah dicuci dan ditoskan. Perap selama 30 minit.
Panaskan kuali yang telah disapu dengan minyak zaitun.
Masukkan daging dan kesemua bahan perapan dalam kuali. Biarkan masak.
Sedia untuk dihidang.
#6 Hotteok
Hotteok atau hoddeok ini merupakan antara resepi masakan Korea yang wajib anda cuba jika anda sukakan street food di Korea. Resepi ini dikongsikan oleh Muhammad Kairul di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 cawan tepung gandum
1 cawan tepung pulut
1 cawan air suam
1 sudu minyak sayuran
1 sudu gula
1 sudu garam
2 sudu mauripan
Bahan inti:
Kacang walnut
Gula perang
Bijan
Cara-cara:
Campurkan semua bahan kecuali bahan inti dan buatkan doh (seprrti doh roti). Biarkan sejam.
Untuk intinya, hancurkan kacang walnut.
Campurkan dengan gula perang dan bijan.
Carikkan dan bulatkan doh tadi.
Ratakan doh dan letakkan inti walnut di tengahnya. Bulatkan kembali.
Ulang proses (5) hingga bahan habis.
Goreng sehingga kedua-dua belah hotteok bertukar keperangan.
Sedia untuk dihidang.
#7 Kimbap
Jangan keliru dengan bibimbap pula. Kimbap ini merupakan hidangan nasi dan rumpai laut, di mana ‘kim’ bermaksud rumpai laut dan ‘bap’ bermaksud nasi. Resepi ini dikongsikan oleh Zurina Zulkefli di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan nasi:
Kepingan rumpai laut
Beras Jepun atau 2 cawan beras biasa
1 sudu kecil minyak
Secubit garam halus
Bahan inti:
1 ikat bayam hijau
1 biji timun (dipotong memanjang dan dibuang bahagian berjus)
1 biji lobak merah ( dibuang kulit dan dihiris memanjang)
3 biji telur ayam
Telur ayam (digoreng dadar dan dihiris memanjang)
Hirisan daging (diperap dengan sos tiram dan serbuk lada hitam)
Bahan lain:
Mayonis jenama Kewpie
Minyak bijan
Peralatan:
Tikar gulung untuk menggulung kimbap
Cara-cara:
Jika anda tiada beras Jepun, gunakan beras biasa.
Masak 2 cawan beras dan tanak lembut.
Setelah nasi siap dimasak, pindahkan ke mangkuk, tambahkan minyak bijan dan garam halus. Gaul rata.
Untuk intinya, petik bahagian bayam lembut, rebus 2 minit, angkat dan toskan.
Untuk lobak, sangai lobak merah di atas kuali. Boleh tambah secubit garam.
Dalam kuali yang lain, masak hirisan daging hingga kering jusnya.
Untuk susunan kimbap, tebarkan tikar penggulung.
Alas sekeping rumpai laut.
Ratakan nasi ke atas rumpai laut (pastikan ada ruang).
Letak inti satu per satu.
Gulung dan tekap kimbap sepenuhnya agar kimbap menjadi kemas.
Sapu minyak bijan ke atas kimbap, kemudian potong satu persatu.
Letakkan mayonis di atas kimbap.
Sedia untuk dihidang.
#8 Kimchi
Siapa sahaja yang tak pernah terdengar nama hidangan Korea ini? Ianya juga merupakan hidangan yang versatil kerana ia sesuai dinikmati dengan banyak hidangan. Resepi ini dikongsikan oleh Hasni Hazair Hasni di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Sebatang lobak merah
½ batang lobak putih
Seikat daun bawang
(bahan di atas potong dalam 2 cm)
Kobis cina (direndam dalam air garam selama 2 jam, dibasuh 3 kali dan ditoskan)
Sepaket serbuk cili.
2 sudu gula
5 sudu sos ikan
Bahan kisar:
Selabu bawang putih
Bawang besar
Halia
½ biji buah lai
Cara-cara:
Sediakan bekas besar untuk gaulkan bahan-bahan.
Masukkan semua bahan yang dikisar bersama sepaket cerbuk cili / 125 g. Boleh kurangkan jika mahu kurang pedas.
Tambahkan gula dan sos ikan (tidak perlukan garam kerana sos ikan sudah masin). Gaul sebati,
Setelah sebati, masukkan lobak merah, lobak putih, daun bawang yang dipotong dalam 2 cm. Gaul sebati.
Akhir sekali, masukkan kobis yang ditoskan. Gaul sebati.
Simpan dalam bekas bertutup (namun jangan terlalu penuh).
Jika mahu cepat masam, boleh peramkan kimchi dalam suhu bilik selama 2-3 hari. Kemudian, sejukkan dalam peti ais untuk tahan lama.
#9 Pajeon
Resepi masakan Korea seterusnya yang boleh anda cuba ialah pajeon atau lempeng daun bawang. Untuk ikut selera orang kita, daun bawang ini digantikan dengan kucai. Resepi ini dikongsikan oleh Novelis Afieyza Isahak di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan adunan:
1 cawan penuh tepung gandum
2 sudu penuh tepung jagung
1 cawan air kosong
Sedikit garam & gula
½ sudu soda bikarbonat
Cili merah
Lobak merah
Kucai (dipotong pendek)
Udang (dicincang)
Sekeping keju (dicarik-carik)
Sebutir telur
Bahan sos:
3 ulas bawang putih (ditumbuk)
4 sudu air kosong
3 sudu kicap
½ sudu serbuk lada hitam
½ sudu minyak bijan
1 sudu cuka
2 tangkai cili kering (dihiris halus)
½ sudu gula
½ biji bijan
Cara-cara:
Untuk adunan, satukan tepung gandum, tepung jagung, air, gula, keju dan garam.
Bahagi adunan kepada dua bahagian. 1 bahagian lebih, satu lagi kurangkan.
Masukkan kucai ke dalam bekas adunan yang lebih. Gaul rata.
Panaskan kuali, tuang adunan kucai bagi rata dan nipis. Pastikan api sentiasa perlahan.
Dalam dua minit, tabur hirisan lobak merah.
Sselepas dua minit, tuang dalam 3 sudu adunan yang kurang tadi di seluruh permukaan.
Tambahkan udang dan tuang telur.
Tabur hirisan cili merah dan sedikit lagi hirisan kucai. Tutup kuali.
Boleh terbalikkan apabila bahagian bawah sudah masak dan garing.
Tunggu bahagian sebelah lagi masak dengan cantik, kemudian matikan api.
Untuk sos, gaulkan semua bahan hingga sebati.
Sedia untuk dihidang.
#10 Wafel Korea
Wafel ala Korea ini juga merupakan antara resepi masakan Korea yang viral. Sangat enak dinikmati sambil menonton drama Korea kegemaran. resepi ini dikongsikan oleh Sakura Hanami di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan A:
140 g gula kastor
2 sudu kecil garam
240 g garam
100 g susu segar
100 g minyak masak
2 biji telur
Bahan B:
400 g tepung kek (jenama Blue Key, warna merah)
20 g serbuk penaik
2 sudu kecil esen vanila
Bahan inti wafel:
Krim putar coklat
Krim putar Rich Gold (plain)
Pewarna strawberi atau mangga, ikut kesukaan
Bahan inti krim keju:
250 g krim keju
70 g gula kastor
Bahan lain:
Buah-buahan kesukaan
Cara-cara:
Kacau bahan A hingga sebati.
Ayakkan bahan B dalam mangkuk berasingan.
Masukkan bahan A ke dalam bahan B. Kacau sebati sehingga tiada ketulan.
Panaskan waffle maker dan sapukan sedikit mentega atau canola spray di permukaannya.
Tuangkan adunan sehingga rata permukaannya.
Tunggu sehingga berbuih, kemudian tutupkan dan masak sehingga kekuningan.
Untuk inti krim keju, pukul bahan inti krim keju hingga menjadi lembut.
Pukul krim putar hingga mempunyai tanduk yang halus atau soft peak. Jangan terlalu kental.
Gaulkan krim putar ke dalam krim keju. Pukul sehingga menjadi sedikit kental.
Bahagikan mengikut pewarna dan perasa.
Boleh pipe di bahagian dalam wafel dan hiaskan dengan buah-buahan kesukaan anda.
Sedia untuk dihidang.
#11 Mandu
Mandu ini merupakan ladu Korea yang memang menggamit selera. Sesuai juga dijadikan snek, enak dan mengeyangkan! Resepi ini dikongsikan oleh Adlina Adlyenna di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Pembalut mandu atau dumpling wrapper / wanton wrapper
Bahan inti mandu:
1 biji tauhu (dicincang halus)
150 g daging kisar/ ayam kisar
2 sudu daun bawang diracik halus
1 sudu kecil bawang putih dipotong dadu.
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil serbuk lada hitam
1 sudu kicap cair
Seikat kecil ‘dangmyeon’ vermicelli noodles (direbus dan dipotong kecil)
Bahan sos mandu:
1 sudu besar kicap cair
1 sudu kecil cuka
1 sudu besar air
½ sudu gula
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil serbuk lada
1 sudu kecil bijan
Bahan sup:
Air
Daun bawang (diracik)
Seulas bawang putih (dipotong dadu)
1 sudu kecil minyak bijan
Garam secukup rasa
Tauhu
Cara-cara:
Msukkan semua bahan inti mandu dalam satu mangkuk dan gaulkan.
Letakkan inti di bahagian tengah dumpling wrapper, kemudian kelimkan di bahagian tepi.
Untuk sos mandu, campurkan semua bahan sos.
Untuk sos, didihkan air bersama daun bawang, bawang putih, minyak bijan dan garam.
Setelah mendidih, masukkan mandu dan tauhu.
Biarkan sehingga mandu masak.
Selain direbus, mandu juga boleh dikukus dan digoreng.
Untuk menggoreng, anda hanya perlu menggorengnya dengan minyak yang sedikit.
Tutup dengan penutup periuk selama 1-2 minit supaya intinya masak.
Sedia untuk dihidang.
#12 Dalgona
Jangan keliru, dalgona ini merupakan dalgona sebenar di Korea, sejenis gula keras berwarna perang yang sesuai dimakan begitu sahaja atau ditambah dalam minuman. Resepi ini dikongsikan oleh Erma Azizie di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 cawan gula
¾ sudu teh soda bikarbonat
Cara-cara:
Menggunakan api sederhana, cairkan gula hingga warnanya menjadi keperangan. Sentiasa gaul dan jangan hangus.
Setelah warnanya menjadi perang, matikan api dan terus masukkan soda bikarbonat. Gaul rata.
Letakkan di atas periuk keluli atau loyang dan tunggu ia menjadi sejuk dan mengeras.
Setelah ia mengeras, ketuk dalgona menggunakan batu lesung yang dibungkus dengan plastik hingga ia menjadi kepingan yang bersaiz sederhana.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi masakan Korea, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!