Mencari resepi masakan cendawan untuk dicuba?

Cendawan merupakan jenis sayuran yang cukup berkhasiat. Ianya kaya dengan Beta Glucan yang mampu menguatkan sistem pertahanan badan.

Bukan itu sahaja, jenis cendawan juga ada berbagai. Rasanya yang sedap serta kegunaannya dalam masakan yang pelbagai membuatkan cendawan menjadi antara sayuran yang direbut di pasaran.

Masih tertanya-tanya tentang resepi berasaskan cendawan? Jangan risau, berikut kami senaraikan 12 resepi masakan cendawan untuk anda. Teruskan membaca!

#1 Wantan Cendawan Goreng Tepung

resepi masakan cendawan
Imej via Facebook

Selalunya anda terdengar nama cendawan goreng tepung, kali ini apa kata anda cuba wantan enoki goreng tepung pula? Resepi ini dikongsikan oleh Aishah Masri di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Cendawan enoki
  • Kulit wantan
  • Tepung goreng serbaguna
  • Minyak untuk menggoreng

Cara-cara:

  1. Buang akar cendawan, basuh dan leraikannya. Kemudian, toskan sehingga kering air.
  2. Balut dengan kulit wantan seperti dalam gambar. Lekatkan kulit wantan menggunakan air.
  3. Salutkan dengan tepung, tak perlu gunakan telur.
  4. Panaskan minyak dan goreng sehingga kekuningan.
  5. Sedia untuk dihidang.

#2 Mushroom Soup

resepi masakan cendawan mushroom soup
Imej via Facebook

Mushroom soup atau sup cendawan merupakan antara hidangan berasaskan cendawan yang cukup popular, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Eila Rostam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 biji bawang putih (dicincang halus)
  • 1 sudu butter
  • 4-5 biji cendawan butang (dicincang)
  • ½ cawan cendawan shitake (dicincang)
  • Sedikit serbuk lada hitam
  • Sedikit serbuk lada sulah
  • 200 ml susu segar
  • 1 sudu besar tepung gandum (dibancuh bersama air)
  • 1-2 cawan air (ikut kepekatan kuah yang diingini)
  • 1 kiub ayam
  • 1 keping keju cheddar (boleh tambah jika suka)
  • ½ sudu kecil serbuk parsley
  • Garam & serbuk perasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Cairkan mentega dan sentiasa perhatikan api supaya mentega tidak hangus.
  2. Tumis bawang putih sebentar.
  3. Masukkan kedua-dua jenis cendawan, tumis sekata.
  4. Masukkan serbuk lada hitam & serbuk lada sulah. Tumis sekata.
  5. Masukkan susu dan kacau sebati.
  6. Masukkan serbuk parsley.
  7. Masukkan kiub ayam, air dan tepung gandum. Teruskan kacau untuk mengelakkan tepung daripada bergentel.
  8. Masukkan sekeping keju. Kacau sehingga keju cair.
  9. Perasakan dgn garam & serbuk perasa jika perlu.
  10. Sesuaikan rasa. Jika dah cukup rasa, matikan api.
  11. Sedia untuk dihidang.

#3 Nasi Goreng Cendawan

resepi masakan cendawan nasi goreng cendawan
Imej via Facebook

Hidangan ini kerap kita lihat di kebayakan kedai makan. Anda juga boleh cuba resepi nasi goreng cendawan ini di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Tuan Abam Aduka di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan tumbuk:

  • 2 ulas bawang putih
  • 1 biji bawang merah ros
  • 8 biji cili padi
  • Secubit belacan

Bahan lain:

  • 2 biji telur
  • Udang basah
  • 4 batang sosej (dihiris)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • Cendawan tiram
  • Serbuk lada hitam *optional
  • Nasi sejuk
  • Garam dan perasa

Cara-cara:

  1. Tumbukkan bahan tumbuk.
  2. Tumiskan bahan tumbuk tadi.
  3. Masukkan bahan-bahan lain mengikut turutan hingga masak.
  4. Sedia untuk dihidang.

#4 Claypot Ayam Shitake

shitake claypot
Imej via Facebook

Claypot ayam shitake ini merupakan antara resepi masakan cendawan yang viral. Resepi ini dikongsikan oleh Ben Safwan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

Bahan nasi:

  • 1 pot beras Jasmine Siam wangi (dicuci bersih dan direndam 30 minit)
  • 1 pot air rebusan ayam (guna pot sukatan beras) / kiub pati ayam + air panas
  • Sedikit minyak bijan

Bahan untuk ayam:

  • 2 keping dada + peha ayam
  • ½ inci halia (ditumbuk halus/ mayang nipis)
  • 2 ulas bawang putih (ditumbuk halus/ mayang nipis)
  • 1 sudu besar sos tiram
  • ¼ sudu kecil chinese 5 spice
  • 2 sudu besar minyak bijan
  • 1 sudu besar kicap pekat
  • 1 sudu besar kicap cair
  • 1 sudu kecil serbuk lada hitam
  • 1 sudu kecil gula perang
  • 1 sudu kecil tepung jagung
  • Sedikit air rebusan ayam
  • Sedikit minyak masak

Bahan cendawan shitake:

  • 5-7 kuntum cendawan shitake kering
  • 2 tangkai daun bawang (dipotong kecil)
  • 3 tangkai cili kering(di cuci & potong-potong)
  • 1sudu besar lobak asin (direbus dulu, kemudian cincang halus) –*optional
  • Sedikit minyak bijan

Bahan hiasan:

  • Daun bawang
  • Bawang goreng

Peralatan:

  • Mangkuk tanah atau claypot

Cara-cara:

  1. Rebus ayam dulu sehingga 50-60% masak dan barulah gaulkan ayam dengan semua bahan-bahan untuk ayam dan ketepikan selama 30 minit. Boleh juga jika tidak direbus.
  2. Panaskan sedikit minyak bijan, kemudian tumis daun bawang & cili kering hingga naik bau.
  3. Kemudian, masukkan lobak asin diikuti cendawan shitake.
  4. Kacau hingga sebati, perasakan dengan sedikit gula & garam. Angkat dan ketepikan.
  5. Kemudian, masukkan air rebusan ayam ke dalam mangkuk tanah, tutup mangkuk dan jerang di atas api sehingga mendidih.
  6. Bila mendidih, masukkan beras yang dah dibasuh bersih,kecilkan api. Tutup mangkuk tanah dengan penutupnya, biarkan hingga nasi 80% masak.
  7. Sementara nasi masak, tumiskan ayam dan bahan-bahan perap.
  8. Masukkan air rebusan ayam, biarkan hingga ia agak pekat dan ayam masak.
  9.  Bila nasi sudah 80% masak, gemburkan sedikit dengan garpu.
  10. Masukkan ayam dan cendawan yang dah masak tadi ke dalam mangkuk.
  11. Tabur sedikit daun bawang, tutup semula mangkuk dan masak dengan api yang kecil sehingga nasi masak 100% dan daging ayam empuk.
  12. Matikan api.
  13. Tabukan dengan sedikit lagi bawang goreng.
  14. Sedia untuk dihidang.

#5 Sup Cendawan Shitake dan Isi Ketam

resepi masakan cendawan sup cendawan shitake
Imej via Facebook

Ingin menikmati hidangan bersup? Cubalah resepi sup cendawan shitake dan isi ketam ini, memang sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Laila Aznam di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 paket jejari ketam (disiat halus)
  • Cendawan shitake (dihiris & direndam hingga lembut)
  • Beberapa batang jagung muda ( potong kecil2 )
  • Lobak (dipotong dadu)
  • Beberapa keping isi ayam (dipotong dadu dan direbus, ambil airnya buat air rebusan)
  • 4 ulas bawang putih cincang
  • ½ inci halia hiris
  • 1 biji telur (dikocok)
  • 2 -3 sudu besar sos tiram
  • Serbuk lada sulah
  • Lada hitam hancur
  • Sedikit minyak bijan
  • Garam secukup rasa
  • Bancuhan air tepung jagung

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak. Tumis halia dan bawang putih cincang hingga naik bau.
  2. Masukkan air rebusan ayam secukupnya bersama isi ayam, jagung muda, lobak, cendawan shitake, sos tiram, minyak bijan, serbuk lada sulah, lada hitam hancur secukupnya dan biar mendidih.
  3. Perasakan dengan garam jika kurang rasanya dan masukkan jejari ketam. Kacau hingga mendidih.
  4. Masukkan jejari ketam dan kacau lagi hingga mendidih.
  5. Masukkan bancuhan tepung air tepung jagung, kemudian masukkan bancuhan air tepung jagung.
  6. Masukkan telur, kacau dengan segera dan biar seketika. Tutup api.
  7. Siap dihidangkan semasa masih panas.

#6 Tauhu Telur & Cendawan Shitake Masak Tiram

tauhu telur cendawan
Imej via Facebook

Pernah terdengar nama hidangan ini? Jika belum, anda wajib cuba kerana ianya merupakan antara resepi yang viral. Resepi ini dikongsikan oleh Mastura Khalid di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 paket tauhu telur (dipotong bulat, jangan terlalu nipis dikhuatiri akan hancur)
  • 4 pokok cendawan shitake / butang / tin
  • 4-5 ulas bawang putih (dicincang)
  • 5 sudu besar sos tiram
  • Minyak untuk menggoreng
  • Daun bawang untuk hiasan
  • Bawang goreng untuk hiasan

Cara-cara:

  1. Panaskan minyak dan goreng tauhu dalam minyak terseut.
  2. Semasa terbalikkan tauhu, terbalikkan dengan perlahan-lahan kerana dikhuatiri tauhu telur akan hancur.
  3. Setelah digoreng, angkat dan toskan minyak.
  4. Untuk kuahnya, tumis bawang putih hingga kekuningan.
  5. Masukkan cenawan shitake dan goreng sehingga cendawan kelihatan agak layu.
  6. Masukkan sos tiram, biar sekejap supaya ia mendidih.
  7. Setelah mendidih, masukkan tauhu telur tadi dan gaulkan dengan kuah tersebut.
  8. Masukkan sedikit air.
  9. Perasakan dengan garam jika perlu. Angkat setelah ia masak.
  10. Taburkan daun bawang dan bawang goreng di atasnya.
  11. Sedia untuk dihidang.

#7 Popia Cendawan Keju

popia cendawan cheese
Imej via Facebook

Sukakan cendawan dan keju? Alang-alang suka, cubalah resepi popia cendawan keju ini. Resepi ini dikongsikan oleh Diela Jalaludin di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 tin cendawan butang (dipotong dadu)
  • 2 batang lobak (dipotong dadu/ memanjang)
  • 1 biji bawang Holland (dipotong dadu)
  • 3 batang sosej (dihiris kecil)
  • 3 keping daging ayam
  • 1 tin krim cendawan Prego (tin biru)
  • 3 keping keju cheddar
  • Sedikit susu krim penuh
  • Sedikit mentega

Cara-cara:

  1. Panaskan mentega.
  2. Masukkan bawang Holland dan tumis hingga naik bau.
  3. Masukkan daging ayam, kacau hingga hancur dan tak berketul.
  4. Masukkan sosej, cendawan, lobak dan kacau.
  5. Masukkan krim cendawan dan kacau sebati.
  6. Jika terlalu pekat, masukkan susu krim penuh namun jangan terlalu banyak.
  7. Perasakan dengan sedikit lada hitam, gula dan garam.
  8. Setelah sebati, masukkan kepingan keju dan gaul hingga keju cair.
  9. Sedia untuk dihidang.

#8 Chawanmushi

chawanmushi
Imej via Facebook

Chawanmushi merupakan puding telur kastard Jepun yang menggunakan cendawan sebagai salah satu bahan utamanya. Resepi ini dikongsikan oleh Puan Sall di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 3 biji telur
  • 1½ setengah air
  • 1 sudu besar stok ayam
  • 1 sudu kecil kicap masin
  • Sedikit garam
  • Lobak (dipotong dadu) *optional
  • Cendawan shitake (dihiris nipis)
  • Sedikit daun bawang

Cara-cara:

  1. Panaskan air untuk kukusan.
  2. Bancuh telur, air, kicap, stok ayam dan perasakan mengikut selera anda.
  3. Tambahkan garam jika kurang masin.
  4. Masukkan udang, lobak dan cndawan.
  5. Masukkan telur dan masukkan daun bawang.
  6. Kukus selama 5-10 minit mengikut ketebalan cawan kukusan yang digunakan.
  7. Sedia untuk dihidang.

#9 Masak Lemak Cendawan Kukur

masak lemak cendawan kukur
Imej via Facebook

Satu lagi resepi masakan cendawan kukur yang boleh anda cuba ialah masak lemak cendawan kukur, sejenis masakan kampung. Resepi ini dikongsikan oleh Najib Norra di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 2 cawan kulat sisir / kulat kukur kering (dibersihkan dan direndam)
  • 15 biji cili padi
  • 4 ulas bawang merah
  • 1 ulas bawang putih
  • Sejemput ikan bilis (direndam sekejap)
  • 2 batang serai (dititik)
  • 900 ml santan sederhana pekat atau 200 ml santan kotak + 700 ml air
  • Garam & serbuk perasa secukupnya

Cara-cara:

  1. Tumbuk kulat yang dibersihkan da direndam menggunakan lesung batu dengan lembut (jangan sampai hancur).
  2. Tumbuk pula ramuan seperti cili padi, ikan bilis, bawang merah & bawang putih hingga lumat.
  3. Masukkan santan, bahan tumbuk, serai, kulat yang ditumbuk, garam dan serbuk perasa.
  4. Menggunakan api sederhana, masak, bahan tersebut sambil mengacaunya sentiasa.
  5. Jika boleh, masukkan sekeping asam gelugur.
  6. Matikan api setelah ianya sudah secukup rasa.
  7. Sedia untuk dihidang.

#10 Sate Cendawan Tiram

sate cendawan
Imej via Facebook

Jarang didengari, namun sebaik sahaja anda cuba, kami yakin anda akan menyukainya. Sate tiram ini juga mudah untuk disediakan. Resepi ini dikongsikan oleh Eka Zahra di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Cendawan tiram (dibasuh)
  • Bawang putih
  • Serbuk ketumbar
  • Serbuk jintan manis
  • Cili padi *optional
  • Serbuk perasa
  • Kicap manis
  • Minyak goreng atau minyak bijan
  • Cucuk sate

Cara-cara:

  1. Rebus cendawan sekejap hingga lembut, toskan dan perah airnya.
  2. Tumbuk lumat bawang putih, cili padi, serbuk ketumbar dan serbuk jintan manis.
  3. Kemudian, gaulkan dengan serbuk perisa, kicap manis dan minyak. Gaulkan cendawan dan perap 30 minit.
  4. Cucuk cendawan dengan cucuk sate.
  5. Campurkan minyak goreng atau minyak bijan dengan kicap manis. Kemudian, gaulkan sate cendawan.
  6. Bakar sate cendawan hingga kecoklatan.
  7. Hidangkan bersama kuah kacang atau sambal kicap.

#11 Pekasam Cendawan

pekasam cendawan
Imej via Facebook

Salah satu resepi masakan cendawan yang boleh anda cuba ialah pekasam cendawan. Rasanya yang masam dan masin pasti akan bikin anda ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Iza Fariza Mohamed di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 500 g cendawan tiram kelabu
  • 2 sudu besar garam kasar
  • 3 keping asam keping
  • 1 genggam beras sangai ditumbuk/dikisar

Cara-cara:

  1. Siatkan cendawan, cuci bersih dan tapis sekejap.
  2. Gaulkan cendawan dengan garam kasar dan asam keping.
  3. Perap selama 5-6 jam (tanpa air).
  4. Setalah itu, tapis atau sejat hingga kering airnya (tak perlu bilas).
  5. Gaulkan dengan beras yang disangai dan buat selapis demi selapis.
  6. Peramkan selama 2 malam.
  7. Kemudian, boleh goreng dengan meletakkan cilia pi dan bawang.
  8. Sedia untuk dihidang.

#12 Cendawan Kukur Petai Berlada

resepi masakan cendawan cendawan kukur berlada
Imej via Facebook

Ada penggemar cendawan kukur di sini? Ianya mempunyai banyak cara masakan, dan salah satunya ialah cendawan kukur petai berlada. Resepi ini dikongsikan oleh Zaid Azizy Yaakob di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Cili api
  • Bawang merah
  • Bawang putih
  • Ikan bilis
  • Cendawan ukur
  • Petai (diambil isinya)
  • Garam
  • Gula
  • Santan atau air (jika tidak mahu kering)

Cara-cara:

  1. Tumiskan cili api bersama bawang sehingga masak.
  2. Masukkan ikan bilis dan gaul rata.
  3. Masukkan cendawan kukur dan gaul rata.
  4. Masukkan petai, garam dan gula.
  5. Jika terlalu kering, boleh letakkan santan atau air.
  6. Sedia untuk dhidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi masakan cendawan, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.