Ikan tenggiri merupakan antara jenis ikan yang kerap digunakan dalam masakan tempatan. Ianya juga mempunyai pelbagai cara masakan, jadi tidak hairan lauk ini memang cukup popular di kebanyakan gerai.
Tiada idea untuk memasak ikan tenggiri? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 15 aneka resepi ikan tenggiri untuk anda cuba. Teruskan membaca!
#1 Ikan Tenggiri Masak Cuka
Ini merupakan antara menu makanan tengah hari yang cukup popular – ikan tenggiri masak cuka. Cara penyediaan yang mudah serta bahan-bahan yang ringkas merupakan antara keistimewaan menu ini. Resepi ini dikongsikan oleh Ina Nisa di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan digaul garam & kunyit (digoreng)
Bawang merah kecik (dihiris)
Bawang putih (dihiris)
Halia (dihiris)
Halba campur
Cili api merah & hijau
Cuka
Garam
Serbuk perasa
Bawang merah kecil/bawang putih (tidak perlu dihiris)
Cara-cara:
Tumis bahan yang dihiris.
Setelah naik bau, masukkan halba campur.
Masukkan cuka dan air. Setelah agak mendidih, masukkan ikan tenggiri.
Masukkan garam dan serbuk perasa. Sesuaikan rasa.
Masukkan bawang merah kecil / bawang putih dan cili ciiapi.
Tunggu mendidih sekejap dan matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#2 Masak Lemak Padang Ikan Tenggiri
Teringin untuk mencuba masak lemak Padang? Rasa kuah yang pedas dan berlemak ini pasti sesuai digandingkan dengan ikan tenggiri yang lembut isinya. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
5 atau 6 ketul ikan tenggiri (dibasuh bersih)
Sedikit kunyit
½ kotak kecil santan
2 cm halia
2 cm lengkuas
2 hirisan lengkuas
1 cm kunyit hidup
½ biji bawang besar atau 3 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
2 biji buah keras
2 batang cili merah
1 batang serai
1 helai daun salam
1 biji tomato
Minyak secukupnya
Garam
Serbuk perasa
½ cawan air
Cara-cara:
Lumurkan ikan dengan kunyit dan garam. Goreng hingga ikan masak. Ketepikan.
Panaskan minyak dan masukkan hirisan lengkuas, serai dan daun salam. Masak seketika.
Masukkan bahan yang telah dikisar dan masak sehingga pecah minyak.
Masukkan air dan santan. Masak sehingga mendidih.
Masukkan tomato dan ikan yang telah digoreng tadi.
Perasakan dengan garam dan serbuk perasa. Masak seketika dan matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#3 Ikan Tenggiri Berlado
Bagi peminat masakan pedas, anda wajib cuna resepi ikan tenggiri berlado ini. Pasti menyelerakan apabila dimakan bersama nasi panas-panas. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
7-8 keping ikan tenggiri
11 batang cili merah
3 ulas bawang putih
½ biji bawang besar
1 biji tomato (dibelah empat)
1 batang serai (dititik)
2 helai daun limau purut
1 sudu kecil serbuk belacan
1 sudu kecil serbuk perasa
Garam dan gula sebagai perasa
Daun ketumbar untuk hiasan
Cara-cara:
Lumurkan kunyit dan garam pada ikan.
Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak. Angkat dan ketepikan.
Menggunakan minyak yang sama, masukkan cili yang telah dikisar bersama serai dan daun limau purut. Tumis sehingga pecah minyak.
Kemudian, masukkan tomato, serbuk belacan dan bahan-bahan lain. Gaul sebati dan perasakan.
Masukkan ikan yang telah digoreng dan gaul sebati. Biarkan masak seketika.
Angkat dan taburkan daun ketumbar sebagai hiasan.
Sedia untuk dihidang.
#4 Masak Lemak Cili Api Negeri Sembilan Ikan Tenggiri
Tadi kita cuba resepi masak lemak Padang, kali ini apa kata anda cuba resepi masak lemak cili api Negeri Sembilan? Bahan-bahan dan cara penyediannya sangat ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh NuiSan Aliezsha di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri
Cili api (ditumbuk)
Kunyit hidup (ditumbuk)
Rebung (dicuci bersih dan diramas sedikit untuk buang bau air rendaman rebung. Toskan)
1½ biji kelapa tua parut (diperah dan diambil pati sahaja)
Asam keping
Cara-cara:
Sediakan kuali dan masukkan cili, rebung, santan dan ikan.
Biarkan mendidih dan pastikan sentiasa dikacau.
Setelah kuah hampir pekat, masukkan asam keping dan perasan dengan garam.
Sedia untuk dihidang.
#5 Asam Pedas Ikan Tenggiri
Ikan tenggiri juga sesuai dibuat asam pedas. Rasa masam dan pedas untuk hidangan ini pasti akan mencuri hati anda. Resepi ini dikongsikan oleh Fauziah Daud di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri
Tomato
Bendi
Daun kesum
Kacang buncis jika suka
Bahan kisar:
8 biji cili kering
2 biji bawang besar merah
3 ulas bawang putih
Sedikit halia
Sedikit kunyit hidup
Sedikit belacan jika suka
Cara-cara:
Kisar bahan kisar dan tapiskan air. Gunakan air sebagai kuah nanti.
Panaskan kuali dan tumis bahan yang ditapis hingga garing dan pecah minyak.
Masukkan air yang ditapis dan asam jawa. Jumlah air mengikut kepekatan kuah yang diinginkan.
Setelah mendidih, masukkan garam, gula dan serbuk perasa.
Masukkan ikan dan biar menggelegak.
Masukkan daun kesum, bendi dan tomato.
Setelah sayur-sayuran sedikit layu, matikan api.
Sedia untuk dihidang.
#6 Sup Sayur Bebola Tenggiri
Anda pasti biasa terdengar tentang bebola ikan, bukan? Apa kata kali ini anda buat bebola ikan tenggiri sendiri, pasti lebih sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Suzana Othman di laman Facebook.
Bahan-bahan:
3 hirisan ikan tenggiri (dibuang tulang dan ditumbuk atau dikisar menggunakan pemproses makanan)
1 sudu besar tepung jagung
Sedikit garam
Serbuk perasa
Secubit lada hitam
Bahan sup sayur:
3 biji bawang kecil (dihiris)
2 ulas bawang putih (dihiris)
Ikan bilis
3 pokok pakchoy (dipotong)
Lobak merah (dihiris)
Cara-cara:
Goreng bawang kecil dan bawang putih hingga layu, angkat dan ketepikan. Kemudian goreng bilis hingga garing. Angkat dan ketepikan.
Dalam periuk lain, didihkan air.
Masukkan bawang dan bilis yang telah digoreng.
Masukkan bebola ikan dan masak hingga bebola ikan timbul.
Kemudian, masukkan sayur dan perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
Matikan api. Taburkan daun bawang atau daun sup sebagai hiasan.
Sedia untuk dihidang.
#7 Jeruk Tenggiri Homemade
Jeruk tenggiri memang agak susah untuk didapati, jadi tidak hairan adakalanya harga yang ditawarkan sedikit mahal. Namun begitu, anda juga boleh buat jeruk tenggiri sendiri di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Kak Yah Tahir di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri
Garam kasar
Cuka
Asam keping
Minyak masak
Cara-cara:
Potong ikan tenggiri, bersihkan dan jemur bawah matahari.
Letak garam, cuka dan asam keping.
Lepas seminggu rendam dalamm minyak selama sebulan.
#8 Kola Urundai Ikan
Kola urundai merupakan masakan yang berasal dari India Selatan. Ianya merupakan bebola daging atau ikan yang berempah, dijamin lazat! Resepi ini dikongsikan oleh Sheena Supramaniam di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri (dikukus dan diambil isinya)
Bawang besar (dicincang)
Daun ketumbar (dicincang)
Daun kari (dicincang)
Garam
Sedikit serbuk kunyit
Serbuk cili (jika mahu)
Serbuk lada hitam (jika mahu)
Jintan manis (ditumbuk kasar)
2 sudu besar tepung jagung
1 sudu besar tepung beras
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Campurkan bawang besar, ketumbar dan daun kari. Kacau sebati dan tambahkan garam.
Tambahkan serbuk kunyit, serbuk cili dan serbuk lada hitam.
Masukkan jintan manis dan gaul sebati.
Masukkan tepung jagung dan tepung beras. Gaul sebati.
Bulat-bulatkan adunan.
Panaskan minyak dan masukkan satu persatu bebola. Goreng hingga masak dan boleh angkat.
Sedia untuk dihidang.
#9 Ikan Tenggiri Masak Merah
Selalunya kita terdengar hidangan ayam masak merah, tetapi pernahkah anda cuba tenggiri masak merah? Rasanya sangat sedap dan aromanya juga harum. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Ateekah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri (dipotong enam dan digoreng dahulu)
1 batang serai (diketuk)
1 helai daun pandan (disimpul)
4 ulas bawang putih (diketuk)
½ biji bawang besar (dipotong bulat)
5 sudu besar cili kisar
1 sudu kecil tomato pes
2 sudu besar sos cili
1 sudu besar sos tiram
1 biji tomato (dibelah 6)
1 sudu kecil serbuk belacan
Gula 1 sudu besar
Serbuk perasa (jika perlu)
Minyak secukupnya
Cara-cara:
Panaskan minyak dan masukkan serai, bawang putih dan daun pandan. Masak sehingga naik bau dan sedikit keperangan.
Masukkan bawang merah yang dipotong bulat. Masak sehingga layu .
Masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak dan cilinya masak dengan sempurna.
Apabila cili sudah pecah minyak,masukkan serbuk belacan, tomato, sos cili, sos tiram. Gaul rata.
Kemudian,masukkan gula dan ikan yang telah digoreng. Gaul sebati.
Sedia untuk dihidang.
#10 Ikan Tenggiri Masak Lada
Satu lagi resepi ikan tenggiri yang wajib anda cuba ialah ikan tenggiri masak lada. Walaupun kelihatan sama seperti asam pedas, ianya berbeza dari segi bahan-bahan utamanya. Resepi ini dikongsikan oleh Mazlinda Zakaria di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Daun kari
Halba campur
Ikan tenggiri
Kerisik
Air asam jawa
Bendi atau terung
Bahan A (dikisar):
Bawang merah
Bawang putih
Halia
Kunyit hidup
Cili kering
Belacan
Bahan B (dikisar kasar):
2 sudu jintan manis
1 sudu jintan putih
Lada hitam 1 sudu lada hitam
½ sudu kecil ketumbar
Cara-cara:
Tumis halba campur dengan daun kari.
Masukkan bahan A dan gaul-gaulkan.
Kemudian, masukkan bahan B dan tumis hingga garing.
Masukkan air asam jawa dan kerisik.
Selepas mendidih, masukkan ikan tenggiri dan bendi / terung.
Perasakan dengan garam.
Sedia untuk dihidang.
#11 Kari Mamak Ikan Tenggiri
Ikan tenggiri juga sesuai dibuat kari. Tambahan pula kari ala Mamak, memang sedap dimakan begitu sahaja! Resepi ini dikongsikan oleh Nourhayati Mat Saad di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1.5 kg Ikan tenggiri
4 labu bawang merah bombay (dimayang halus)
5 ulas bawang puteh (dimayang halus)
1 inci halia (dimayang)
2 keping kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
1 setengah sudu besar halba campur
4 tangkai daun kari
100 gm kari ikan
30 gm serbuk cili
(serbuk kari dan serbuk cili digaul dengan air)
1 sudu besar asam jawa
200 g
Sedikit minyak untuk menumis
Sayur tomato, cili besar hijau atau merah
Bendi atau terung bulat
Sedikit gula dan garam
Cara-cara:
Tumiskan halba campur, kulit kayu manis, bunga lawang dan halia, bawang yang dimayang.
Setelah agak kuning kuahnya, masukkan pes kari dan serbuk cili.
Setelah agak pecah minyak dan merah, boleh masukkan santan cair. Anda juga boleh guna susu cair.
Masukkan daun kari, asam jawa, garam dan gula. Daun kari boleh juga tumis terlebih awal bersama bawang tadi.
Dah nampak mendidih, boleh masukkan ikan. Kacau perlahan.
Menggunakan periuk berasingan, rebus air terlebih dahulu. Kemudian celurkan terung bulat.
Masukkan bendi, terung bulat yang dah dicelur, tomato dan cili besar.
Sedia untuk dihidang.
#12 Botok-Botok Ikan Tenggiri
Botok merupakan hidangan Jawa yang merangkumi kelapa parut, sayur-sayuran dan ikan yang dibalut dengan daun pisang. Hidangan botok yang popular ialah botok-botok tenggiri. Resepi ini dikongsikan oleh Anida Azmi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri (dipotong keping, jangan terlalu tebal)
Daun pisang
Lidi
1 cawan santan
2 sudu besar kerisik
3½ sudu besar rempah kari ikan
Sedikit minyak untuk menumis
Bahan kisar:
10 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 inci halia
1 inci lengkuas
½ cawan cili giling
3 batang serai
1 inci kunyit hidup
Bahan daun:
Pucuk betik
Pucuk kaduk
Pucuk mengkudu (dihiris)
Pucuk ubi
Daun kunyit (dihiris)
Daun kesum
Daun selasih
Cara-cara:
Tumis bahan kisar hingga garing.
Masukkan rempah kari, kerisik dan santan.
Masukkan garam, gula dan bahan perasa. Ketepikan dan biar sejuk.
Masukkan hirisan daun kunyit dan kacau rata.
Ambol daun pisang, lapiskan dan potong agak-agak muat ulam dan ikan. Layurkan daun pisang supaya daun lembut dan senang dilipat.
Untuk lapisan pertama, letak ulam dan rempah.
Untuk lapisan kedua, letak ikan dan tutup dengan rempah.
Lapiskan bersama daun kesum dan daun selasih.
Tutup bungkusan tadi dan kemaskan dengan lidi.
Susun dalam periuk kukus dan kukus selama 30 minit atau hingga ikan masak.
Sedia untuk dihidang.
#13 Ladu Ikan Tenggiri
Dumplings atau ladu merupakan masakan Cina yang sangat digemari oleh orang kita. Salah satu jenis ladu yang popular ialah ladu ikan. Resepi ini dikongsikan oleh Mazita Awang di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Isi ikan tenggiri
Isi ayam
Isi udang
Bawang putih (dicincang dan digoreng)
Sebuku halia (ditumbuk dan diambil airnya)
Cendawan shitake (direbus dan dihiris halus)
1 biji telur
Kulit ladu
Bahan perasa
Kicap cair
Air rebusan ayam
Lada sulah
Minyak bijan
Cara-cara:
Untuk inti, kisar bersama isi ayam dan isi ikan.
Masukkan daun bawang, telur dan cendawan Shitake. Perasakan ikut selera anda dan gaul sebati.
Letakkan inti ke atas ladu dan bentukkan ladu.
Untuk memasaknya, leetakkan sedikit minyak untuk garingkan bawah ladu dan letakkan sedikit air. Tutupkan.
Biar masak cara stim sehingga kering air dan biarkan kulit bawah ladu agak garing. Masak menggunakan api yang perlahan.
Sedia untuk dihidang.
#14 Ikan Tenggiri Masak Kicap
Sukakan hidangan masak kicap yang rasanya masin dan manis? Jika ya, anda wajib cuba resepi ikan tenggiri masak kicap ala Cina ini. Resepi ini dikongsikan oleh Amanina Matali di laman Facebook.
Bahan-bahan:
6 sudu Sos tiram
4 sudu kicap cair
4 sudu kicap pekat
2 sudu kicap manis
300 g ikan tenggiri (digoreng terlebih dulu)
Tomato (dipotong )
250 ml air
Bahan tumisan (dikisar)
2 inci halia dipotong halus
3 ulas bawang putih
4 biji bawang besar
Cili hijau dan merah (dipotong)
Cara-cara:
Goreng bahan tumisan sehingga wangi.
Masukkan semua kicap (boleh satukan dalam sebuah mangkuk).
Masukkan air. Setelah mendidih, masukkan tomato.
Masukkan ikan, biar ia mendidih selama 2-3 minit dan perasakan.
Hiaskan dengan daun bawang dan cili tadi
Sedia untuk dihidang.
#15 Gulai Lemak Kuning Terengganu Ikan Tenggiri
Berbeza dengan masak lemak Negeri Sembilan, gulai lemak kuning Terengganu yang juga dikenali dengan nama ‘kunyik kkuwah’ ini menggunakan bawang dan bahan tambahan lain. Resepi ini dikongsikan oleh Jang Muhamad di laman Facebook
Bahan-bahan:
Ikan tenggiri (digoreng separuh masak atau boleh saja tidak digoreng)
Santan pekat
Garam
Gula
Asam keping
Bahan kisar:
1 inci kunyit hidup
Sedikit lengkuas
7-8 biji bawang merah kecil
2 ulas bawang putih
Cara-cara:
Masukkan bahan kisar ke dalam periuk. Tambah sedikit air degan sedikit santan pekat.
Masak hingga mendidih lama dan biar bawang masak.
Masukkan 2 keping asam keping.
Setelah mendidih, masukkan baki santan, ikan dan sedikit air. Kalau mahu tekstur kuah yang pekat, tak perlu tambah air. Masak hingga mendidih.
Perasakan dengan garam dan gula.
Untuk sayur, boleh masukkan lada benggala, timun batang, lada hidup merah/ hijau atau kacang panjang jika suka.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi ikan tenggiri, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!