Mencari resepi ikan patin?

Ikan patin merupakan spesies ikan air tawar yang cukup terkenal di negara kita, tambahan pula di negeri Pantai Timur. Ikan ini juga kaya dengan pelbagai khasiat yang diperlukan oleh tubuh badan kita.

Ada pelbagai cara masakan untuk ikan patin yang boleh dicuba. Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 resepi ikan patin buat anda. Teruskan membaca!

#1 Tempoyak Ikan Patin

resepi ikan patin
Imej via Facebook

Hidangan ini tidak perlu diperkenalkan lagi, kami yakin anda pernah terdengar tentangnya. Tak perlu susah-susah ke Pahang, kerana anda juga boleh cuba resepi patin tempoyak ini di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Ieda Ida di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Cili (ditumbuk)
  • Kunyit (ditumbuk)
  • Daun kesum
  • Timun tua *optional
  • Air masak
  • Ikan patin

Cara-cara:

  1. Tumbuk cili dan kunyit hingga lumat. Jumlah mengikut kepedasan yang diinginkan.
  2. Masukkan ikan patin, daun kesum dan timun tua.
  3. Masukkan cili dan kunyit yang ditumbuk lumat tadi.
  4. Masukkan air masak dan masak hingga mendidih. Perasakan hingga secukup rasa.
  5. Sedia untuk dihidang.

#2 Pais Patin

resepi ikan patin
Imej via Facebook

Pais patin ini juga merupakan hidangan yang popular di Pahang. Bagi yang tidak tahu, ianya merupakan ikan bakar tempoyak. Resepinya juga ringkas dan rasanya dijamin enak. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Khomariah Norrohman di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Kunyit hidup
  • Cili padi ( hijau + merah)
  • Tempoyak
  • Garam
  • Perasa
  • Gula
  • Daun kunyit
  • Daun kesum
  • Daun pisang
  • Kerajang aluminium
  • Ikan patin

Cara-cara:

  1. Tumbuk/kisar kunyit hidup dan cili padi.
  2. Racik halus daun kunyit dan daun kesum.
  3. Satukan semua bahan-bahan dengan tempoyak dan lumur pada ikan.
  4. Lapik daun pisang di atas kerajang aluminium dan letakkan ikan.
  5. Bungkus kemas dan bakar menggunakan pemanggang hingga masak.
  6. Sedia untuk dihidang.

#3 Pekasam Patin

resepi ikan patin
Imej via Facebook

Ada penggemar ikan pekasam di sini? Selalunya ia menggunakan ikan gelama, apa kati kali ini anda cuba ikan patin pula. Resepi ini dikongsikan oleh Adnan Bin Mat Abu di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan patin
  • Asam keping
  • Sedikit air
  • Garam
  • Cili padi
  • Bawang putih
  • Minyak untuk menggoreng
  • Serbuk kunyit
  • Asam keping
  • Gula
  • Hirisan bawang besar

Ada penggemar ikan pekasam di sini? Selalunya ia menggunakan ikan gelama, apa kati kali ini anda cuba ikan patin pula. Resepi ini dikongsikan oleh Adnan Bin Mat Abu di laman Facebook.

Cara-cara:

  1. Cuci ikan dengan air dan asam keping. Tabur garam.
  2. Gaul dengan asam jawa. Biarkan di suhu bilik selama 1 hingga 2 jam.
  3. Gorengkan menggunakan api sederhana.
  4. Tumbuk cili padi dan bawang putih.
  5. Tumis cili padi tadi hingga naik minyak.
  6. Tambah serbuk kunyit, asam keping, gula dan garam serta hirisan bawang besar.
  7. Siram kuah cili padi tadi atas ikan.
  8. Sedia untuk dihidang.

#4 Kari Ikan Patin

resepi ikan patin
Imej via Facebook

Jarang didengari, namun tak salah jika anda cuba resepi ini sendiri. Kelembutan isi ikan patin serta rasa berempah kuah kari pasti akan buat anda tambah berpinggan-pinggan. Resepi ini dikongsikan oleh Nin Emira di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan patin 1 atau 2 ekor (anggaran 3-4ketul)
  • 5 biji bawang merah kecil*
  • 2 ulas bawang putih*
  • 4 batang cili api*
  • 3 sudu besar serbuk kari ikan (dibancuh dengan sedikit air)
  • Sedikit asam jawa
  • Daun kari
  • Bendi
  • Tomato

Cara-cara:

  1. Kisarkan bahan bertanda * dan masukkan dalam kuali.
  2. Masukkan bancuhan serbuk kari dan masukkan air asam jawa.
  3. Masukkan daun kari dan ikan.
  4. Buka api dan pastikan air tidak terlalu banyak.
  5. Setelah hampir masak, masukkan bendi.
  6. Akhir sekali, masukkan tomato.
  7. Sedia untuk dihidang.

#5 Ikan Patin Bakar

Imej via Facebook

Resepi ikan patin ini wajib dicuba jika anda peminat tegar ikan bakar. Ianya akan dinikmati bersama serunding halia, memang sedap! Resepi ini dikongsikan oleh Siti Zanariah Khalit di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan patin (dicuci bersih, dipotong tiga dan dilumur garam)

Bahan kisar:

  • 6 biji cili kering (direndam dalam air panas)
  • 2 ulas bawang putih
  • 4 biji bawang merah
  • 1 inci halia
  • ½ inci kunyit
  • Sedikit belacan
  • Sedikit gula merah

Bahan serunding halia:

  • ½ kg halia tua (dihiris halus)
  • 2 labu bawang putih (dihiris)
  • 1 mangkuk ikan bilis
  • Lada hitam tumbuk *optional

Cara-cara:

  1. Perap ikan bersama bahan kisar selama ½ jam.
  2. Masukkan ke dalam peti sejuk
  3. Panaskan kuali. Lapikkan dengan daun pisang kemudian letak sedikit minyak.
  4. Letak ikan dan bakar.
  5. Balik-balikkan ikan supaya masak rata kedua-dua bahagian.
  6. Setelah masak, bolehlah diangkat.
  7. Untu serunding halia, goreng bawang putih hingga perang dan angkat.
  8. Goreng halia hingga perang dan angkat.
  9. Goreng ikan bilis dan angkat.
  10. Tumbuk kasar ikan bilis yang sudah digoreng tadi.
  11. Gaulkan semua bahan dan simpan dalam bekas kedap udara.
  12. Sedia untuk dihidang.

#6 Sambal Patin Tempoyak

Imej via Facebook

Selalunya kita mencuba hidangan gulai patin tempoyak. Kali ini, apa kata anda cuba kelainan untuk resepi patin tempoyak dengan membuat sambal patin tempoyak? Resepi ini dikongsikan oleh Muhtasib Raudah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • 1 ekor ikan patin (digoreng garing)
  • 20 biji bawang merah
  • 4 ulas bawang putih
  • 1 mangkuk cili kering kisar
  • Sedikit kunyit
  • 4 sudu atau lebih tempoyak
  • Air asam jawa
  • Gula melaka
  • Garam
  • Perencah

Cara-cara:

  1. Kisar bawang merah, bawang putih dan lunyit.
  2. Tumis bersama cili kisar hingga naik minyak.
  3. Masukkan air asam jawa, garam, gula melaka dan perencah.
  4. Masukkan tempoyak dan ikan yang digoreng garing tadi. Gaul sebati.
  5. Sedia untuk dihidang.

#7 Asam Pedas Patin

Imej via Facebook

Asam pedas meruakan cara masakan yang cukup sedap. Rasa masam dan pedas yang seimbang pasti membuatkan ramai menggemarinya. Cubalah resepi asam pedas patin yang dijamin sedap ini! Resepi ini dikongsikan oleh Rodza Azilah di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan patin
  • Pes asam jawa
  • Lada hitam tumbuk(anggaran 1sudu)
  • Kiub ikan bilis seketul
  • Daun kesum
  • Garam dan perasa

Bahan kisar:

  • Cili kering
  • Bwg merah
  • Bwg putih
  • Kunyit hidup
  • Sedikit belacan
  • Sedikit ikan bilis

Cara-cara:

  1. Tumis bahan kisar. Jika sedikit kering tambahkan air.
  2. Tambahkan pes asam jawa semasa menumis.
  3. Ulang langkah menumis dan menambahkan air sebanyak 5 kali.
  4. Masukkan ikan dan air, pastikan tidak terlalu cair.
  5. Masukan kiub pati ikan bilis, lada hitam, garam dan perasa.
  6. Masukkan daun kesum dan renehkan hingga ikan masak.
  7. Tutupkan api.
  8. Sedia untuk dihidang.

#8 Patin Goreng Berlada Tempoyak

Imej via Facebook

Satu lagi resepi patin tempoyak yang wajib anda cuba – patin goreng berlada tempoyak. Cara penyediaanya mudah dan bahannya juga ringkas. resepi ini dikongsikan oleh Dhan Norihan di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan patin
  • 2 ulas bawang merah
  • 2 ulas bawang putih
  • Cili padi merah
  • 2 sudu besar tempoyak
  • Sedikit air
  • Garam
  • Serbuk perasa

Cara-cara:

  1. Gaulkan ikan patin dengan garam dan kunyit. Goreng garing.
  2. Tumbuk bawang dan cili, kemudian tumiskan bahan tumbuk
  3. Masukkan tempoyak dan tambahkan air mengikut kepekatan yang diinginkan.
  4. Perasakan dengan garam dan serbuk perasa.
  5. Curahkan ke atas ikan yang digoreng garing tadi.
  6. Sedia untuk dihidang.

#9 Asam Rebus Patin

Imej via Facebook

Bagi pembaca yang menggemari masak asam. resepi patin ini wajib anda cuba. Pasti enak dinikmati bersama nasi putih panas semasa makan tengah hari! Resepi ini dikongsikan oleh Azmiesha Cincau Misha di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan patin
  • Cili api
  • 3-4 biji bawang besar
  • Daun kesum
  • Kunyit
  • Asam keping
  • Garam
  • Serbuk perasa

Cara-cara:

  1. Kisarkan cili, bawang besar dan kunyit.
  2. Masukkan ikan, asam keping, daun kesum, garam dan serbuk perasa.
  3. Didihkan hingga kuah surut.
  4. Sedia untuk dihidang.

#10 Sup Kepala Ikan Patin

Imej via Facebook

Ingin mencuba resepi yang lebih sihat? Apa kata anda cuba resepi sup kepala ikan patin ini. Jarang didengari, namun ianya dijamin sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Waty Mahtiva di laman Facebook.

Bahan-bahan:

  • Ikan patin
  • Serai (dititik)
  • Bawang putih
  • Air secukupnya
  • Sos ikan
  • Garam
  • Gula
  • Tomato
  • Cili
  • Daun sup
  • Daun bawang
  • Jus limau

Cara-cara:

  1. Masukkan air, serai dan bawang putih.
  2. Biarkan air mendidih.
  3. Masukkan ikan.
  4. Tambahkan sos ikan, garam dan gula.
  5. Setelag ikan masak, masukkan tomato.
  6. Letakkan sedikit cili, daun sup, daun bawang dan jus limau.
  7. Sedia untuk dihidang.

Resepi Menarik Lain

Selain koleksi resepi ikan patin, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.