Ikan goreng adalah hidangan yang bukan sahaja enak, malah mudah untuk disediakan. Cara masakannya juga ada perbagai dan ianya sesuai untuk pelbagai jenis ikan.
Masih kekeringan idea memikirkan tentang cara masakannya? Tidak mengapa, berikut kami senaraikan 10 resepi ikan goreng untuk anda cuba. Teruskan membaca!
#1 Ikan Goreng Legend
Hidangan ini digelar ikan goreng legend kerana ianya adalah resepi turun temurun. Resepi ini dikongsikan oleh Wan Muhammad Hafiz Satar di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bawang putih
Halia
Garam kasar
Kunyit hidup
Ikan
Cara-cara:
Tumbuk lumat semua bahan kecuali ikan.
Sapukan bahan tumbuk ke atas ikan.
Biarkan sekejap, kemudian goreng sehingga ikan masak.
Sedia untuk dihidang.
#2 Ikan Goreng Masam Manis Pedas
Pasti ramai di kalangan pembaca yang menggemari hidangan Thai ini – ikan masam manis. Anda juga boleh cuba sendiri resepinya di rumah. Resepi ini dikongsikan oleh Maryam Salleh di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan (digaul dengan garam dan kunyit, kemudian digoreng garing)
Bahan sos:
Cili api (ditumbuk)
Bawang putih (ditumbuk)
Bawang Holland (dipotong dadu)
Minyak untuk menumis
Sos Thai Maepranom
Sedikit air
Cara-cara:
Panaskan minyak dan tumis bahan tumbuk.
Masukkan bawang holland.
Setelah bawang agak masak, masukkan sos Thai dan gaul rata. Tak perlu perasakan dengan garam dan gula kerana sos sudah secukup rasa.
Masukkan sedikit air supaya tekstur menjadi sedikit berkuah.
Tuangkan sos ke atas ikan yang siap digoreng.
Sedia untuk dihidang.
#3 Ikan Bilis Goreng Tepung
Ikan bilis besar ini sememangnya sinonim sebagai hidangan yang digoreng tepung. Kerangupannya pasti akan buat anda ketagih. Resepi ini dikongsikan oleh Syazwani Ghazali di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan bilis besar (dibasuh dan dibuang tulang dan kepala)
Tepung goreng rangup serbaguna
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Celupkan ikan bilis besar ke dalam tepung serbaguna. Gaul rata hingga semua ikan disaluti oleh tepung.
Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga rangup.
Sedia untuk dihidang.
#4 Ikan Goreng Assam
Mencari hidangan makanan tengah hari atau malam yang enak dan mudah untuk disediakan? Cuba sahaja buat ikan goreng assam, memang mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Wan LuQman di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan kembung
Bancuhan air asam jawa
6 biji bawang merah (dihiris)
3 tangkai cili merah
4 tangkai cili padi
3 ulas bawang putih (dihiris)
1 sudu kecil sos tiram
Bawang holland (dihiris)
Daun bawang (dicincang)
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Menggunakan minyak yang cukup untuk menenggelami ikan, panaskan minyak. Kemudian, gorengkan ikan kembung. Ketepikan.
Menggunakan minyak yang sama (boleh kurangkan jumlahnya), tumiskan bawang merah, bawang putih dan cili.
Setelah bahan tumisan sudah garing, masukkan sos tiram.
Masukkan air asam jawa dan perasakan dengan sedikit gula.
Kacau hingga masak dan pastikan rasa sudah seimbang.
Curahkan ke atas ikan yang telah digoreng tadi dan gaul rata.
Hiaskan dengan daun bawang dan bawang holland.
Sedia untuk dihidang.
#5 Ikan Celup Tepung (ICT)
Jika anda pernah ke Terengganu, semestinya hidangan yang digelar ICT ini pernah anda cuba, bukan? Anda juga boleh cuba resepinya sendiri. Resepi ini dikongsikan oleh Norafniza Hasni di laman Facebook.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung beras
2 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
Sedikit kapur makan
Garam
Serbuk kunyit
Air untuk bancuhan tepung (tidak terlalu pekat dan tidak terlalu cair)
Bahan kuah cili
3–4 sudu besar cili kering
½ gula melaka
Sedikit gula putih
Sedkit tepung jagung
Sedikit cuka
Air asam jawa
Cara-cara:
Campurkan air bersama tepung jagung dan tepung beras. Kacau sehingga menjadi pes.
Celupkan ikan satu-persatu di dalam pes.
Panaskan minyak dan goreng ikan sehingga masak dan rangup. Ketepikan.
Untuk kuah cili,masak semua bahan kuah cili menggunakan kuali berasingan.
Sedia untuk dihidang.
#6 Ikan Keli Goreng Berlada
Satu lagi resepi ikan goreng yang mudah dan popular ialah ikan keli goreng berlada. Bagi penggemar makanan pedas. anda boleh cuba resepi yang senang ini. Resepi ini dikongsikan oleh Nor Aida di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Sedikit gula
Garam
Serbuk perasa
Perahan limau kasturi
Ikan keli (digoreng dahulu)
Bahan kisar kasar:
3 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
3 tangkai cili merah besar
5 tangkai cili padi merah
5 tangkai cili padi hijau
Cara-cara:
Tumis bahan kisar kasar.
Masukkan sedikit gula, garam, serbuk perasa dan perahan limau kasturi.
Masak sehingga pecah minyak, kemudian masukkan ikan keli yang telah digoreng. Gaul sebati.
Sedia untuk dihidang.
#7 Ikan Rebus Goreng
Ini juga antara masakan kampung yang popular dan senang untuk dicuba – ikan rebus goreng. Resepi ini dikongsikan oleh Aroma Bonda di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan A:
Ikan selayang
Daun pandan
Halia
Lengkuas
Gula melaka
Asam keping
Garam
Cuka
Bahan lain:
Cili hijau (dipotong)
Cili merah (dipotong)
Bawang merah (dihiris)
Cara-cara:
Rebus bahan A dengan sedikit air selama 15 minit.
Setelah siap direbus, perap dalam peti sejuk bahagian chiller selama 1 malam.
Keluarkan dan boleh goreng ikan dengan cili dan bawang merah.
Sedia untuk dihidang.
#8 Ikan Goreng Asam Jawa
Hidangan ikan goreng asam jawa ini sangat sesuai dibuat bekal kerana cara penyediaan yang cukup mudah. Rasanya juga lazat, setiap suapan pasti akan menjanjikan kepuasan. Resepi ini dikongsikan oleh Hijrah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Beberapa ekor ikan kembung atau selar
2 sudu besar asam jawa
Cili padi merah
2 biji bawang besar
4 biji limau kasturi
Kicap manis/lemak
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Perap ikan kembung dengan asam jawa sekurang-kurangnya 20 minit.
Menggunakan api perlahan, goreng sehingga masak Jangan terlalu garing (ikan akan kelihatan sedikit hitam apabila digaul dengan asam jawa tadi).
Angkat ikan dan toskan minyak.
Taburkan cili api dan bawang yang telah dihiris ke atas ikan.
Masukkan kicap serta sedikit minyak yang masih panas.
Perahkan juga asam limau.
Sedia untuk dihidang.
#9 Ikan Kerapu Goreng Halia & Bawang Putih
Nama hidangan ini sendiri pasti sudah buat anda kecur air liur, bukan? Ikan kerapu sendiri merupakan antara ikan yang menjadi rebutan, jadi anda wajib cuba hidangan ini. Resepi ini dikongsikan oleh Yan Akif di laman Facebook
Bahan-bahan:
Bahan A:
Ikan kerapu
Garam
Kunyit
Tepung jagung
Minyak yang banyak untuk menggoreng
Limau
Bahan B
2 inci halia muda (dipotong memanjang)
Cili padi potong halus (ikut suka)
Bawang putih di(potong nipis)
Bahan C:
3 sudu besar kicap cair
1 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar sos ikan
3 titik minyak bijan
1 sudu kecil gula
1 sudu besar minyak
Cara-cara:
Lumurkan ikan kerapu dengan garam dan kunyit.
Kemudian, salutkan pula ikan tadi dengan tepung jagung.
Panaskan minyak dan goreng ikan kerapu hingga garing.
Angkat dan perahkan sedikit limau ke atas ikan kerapu. Ketepikan
Goreng garing bahan B dan ketepikan.
Panaskan minyak dan campurkan semua bahan C. Pastikan api tidak terlalu tinggi.
Kacau sehingga menggelegak dan matikan api.
Taburkan semua bahan B yang sudah digoreng garing ke atas ikan.
Kemudian, curahkan bahan C ke atas ikan.
Sedia untuk dihidang.
#10 Ikan Goreng Kicap Versi Pekat
Selain daripada ayam dan daging, ikan juga sesuai dibuat goreng kicap. Kali ini, versi kicap pekat pula. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Husna Mohamed Daud di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Ikan
Kunyit
Garam
1 mangkuk kecil kicap cair atau pekat
Bahan kisar:
Bawang merah
Bawang putih
Beberapa tangkai cili padi
Tomato
Cara-cara:
Perasakan ikan dengan garam dan kunyit. Goreng dan ketepikan.
Tumis bahan kisar hingga masak.
Masukkan kicap pekat atau kicap cair.
Masukkan ikan dan gaul rata.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi ikan goreng, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!