Agar-agar merupakan jenis pencuci mulut yang sangat sesuai dinikmati semasa minum petang. Cara penyediaan yang mudah juga merupakan antara punca ianya sangat popular.
Adakah anda tercari-cari koleksi resepi agar-agar? Jangan risau, berikut kami senaraikan 10 resepi agar-agar untuk anda. Teruskan membaca!
#1 Agar-Agar Neapolitan
Selalunya kita terdengar tentang aiskrim Neapolitan. Kali ini, apa kata anda cuba resepi agar-agar Neapolitan pula? Rupa cantik, rasanya pun sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Tg Nielam Tg Ibrahim di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket agar-agar tali
1000 ml air
1½ cawan gula (mengikut kemanisan yang diinginkan)
2 biji telur
1 tin susu cair
1 penutup esen vanila
2 sudu besar tepung kastard (dibancuh dengan sedikit air)
Cara-cara:
Masak agar-agar dan gula sampai semua larut.
Sementara itu, kisarkan susu cair, telur dan esen vanilla.
Bila agar-agar dan gula sudah larut, masukkan susu dan telur yang dah dikisar tadi.
Kemudian, masukkan tepung kastard dan masak sampai menggelegak. Pastikan sentiasa kacau.
Bahagikan kepada 3 bahagian mengikut warna kesukaan. Kemudian, lapiskan satu persatu.
Sedia untuk dihidang.
#2 Agar-Agar Santan Pandan
Siapa sahaja yang tidak sukakan perisa pandan? Buat penggemarnya, cubalah resepi agar-agar santan pandan ini! Resepi ini dikongsikan oleh Mastura Razali di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket serbuk agar-agar 10 g
200ml santan pekat
800 ml air
¾ cawan gula
Sedikit garam
5/6 helai daun pandan (kisar halus dan ambil air yang jumlahnya 1000 ml)
Sedikit pewarna hijau (jika perlu)
Cara-cara:
Masakkan air bersama serbuk agar-agar, gula dan garam hingga larut.
Masukkan santan dan sentiasa kacau supaya santan tidak berketul.
Masak hingga mendidih, kemudian padamkan api.
Masukkan ke dalam acuan.
Sedia untuk dihidang.
#3 Agar-Agar Milo
Bayangkan keenakkan rasa coklat yang manis dibuat agar-agar, pasti sedap. Resepi agar-agar Milo ini juga mudah! Resepi ini dikongsikan oleh Mdm Kelly di laman Facebook.
Bahan-bahan:
300 ml air
1 paket agar-agar serbuk
1 tin susu cair
200-250 g gula
3 sudu serbuk Milo (bancuh dengan sedikit air panas)
Cara-cara:
Masak agar-agar dengan air.
Setelah mendidih, masukkan gula.
Kemudian, masukkan susu cair dan masak hinggan mendidih.
Masukkan separuh agar-agar putih dalam loyang dan bekukan di dalam peti.
Panaskan semula agar-agar tadi dan masukkan bancuhan Milo. Kacau hingga sebati.
Lorekkan agar-agar putih yang beku dengan garfu untuk dijadikan lubang supaya ianya mudah bercantum.
Sejukkan dalam peti dan sedia untuk dihidang,
#4 Agar-Agar Permata
Agar-agar permata ini pasti kerap dilihat di jamuan atau kenduri, bukan? Anda juga boleh mencubanya sendiri. Resepinya hanya memerlukan 5 bahan sahaja! Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Amalina Anati Abdullah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket agar-agar tali 25 g
6 cawan air
6 sudu besar gula
½ tin susu cair
Pewarna merah, hijau & kuning
Cara-cara:
Masukkan air, gula dan agar-agar.
Larutkan di atas api sederhana. Padamkan api.
Ambil 3 senduk kecil agar-agar yang telah larut tadi dan masukkan dalam 3 bekas berasingan.
Letakkan pewarna bagi setiap bekas dan sejukkan di bawah kipas.
Panaskan baki agar-agar dalam periuk di atas api sederhana dan masukkan susu cair.
Tuang agar-agar susu tadi dalam loyang.
Potong dadu agar-agar warna warni.
Masukkan agar-agat warna warni ke dalam agar-agar susu.
Biarkan sejuk bawah kipas sekejap, kemudian sejukkan dalam peti sejuk.
Setelah sejuk, sedia untuk dihidang.
#5 Agar-Agar Snow
Agar-agar ini cukup sesuai dinikmati semasa minum petang. Cara penyediannya juga tidak terlalu rumit. Resepi ini dikongsikan oleh Lia Sara di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahagian atas:
5 biji telur kuning
1 gelas susu cair
1 gelas santan
1 sudu teh esen vanilla
Secubit garam
Bahagian atas:
5 biji telur putih
Sedikit pewara merah
Cara-cara:
Masak agar-agar sampai mendidih, masukan gula dan biarkan selama 10 minit.
Untuk bahagian bawah, semua bahan ini dimasukan di dalam agar-agar bahagian bawah.
Masak selama 5 minit, masukan dalam loyang dan biarkan sejuk.
Untuk bahagian atas, putar telur putih hingga kembang.
Pada bahagian atas agar-agar, masukkan sedikit pewarna merah.
Masukkan telur putih yang diputar ke dalam agar-agar merah dan gaulkan semuanya.
Setelah bahagian bawah agar-agar sudah keras, letakkan bahagian atas agar-agar.
Biarkan sejuk dan simpan di dalam peti sejuk.
Sedia untuk dihidang.
#6 Agar-Agar Santan Gula Melaka Tanpa Telur
Kehabisan telur? Tidak mengapa, anda masih boleh menikmati agar-agar santan gula melaka menggunakan resepi ringkas ini. Resepi ini dikongsikan oleh Zuhaidar Mohd Sofi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket serbuk agar-agar 10 g
200 ml santan pekat
800 ml air
2 ketul gula melaka
Sedikit gula putih
Sedikit garam
2 helai daun pandan
Cara-cara:
Masak air, serbuk agar-agar, gula melaka, garam dan gula putih sampai larut.
Masukkan santan pekat dan kacau supaya tidak berketul.
Masak sampai mendidih. Agak lama sedikit, padamkan api.
Masukkan ke dalam loyang/acuan.
Sejukkan dalam peti ais, kemudian potong.
Sedia untuk dihidang.
#7 Agar-Agar Lumut Merah
Rasa lemak-lemak manis agar-agar ini membuatkan ramai menggemarinya. Anda juga boleh mencuba resepinya sendiri, mudah dan ringkas! Resepi ini dikongsikan oleh Tengku RosElyza Raja Muhammad di laman Facebook.
Bahan-bahan:
18 gm agar-agar tali
1250 ml air
1 sudu esen vanila
1 biji telur
2 sudu gula putih (boleh kurangkan)
1 kotak santan
1 cawan gula merah
Cara-cara:
Didihkan air, masukkan agar-agar tali dan biarkah ianya hancur.
Masukkan gula merah, gula putih dan esen vanila. Masak hingga mendidih.
Dalam bekas lain, masukkan santan dan telur. Kacau-kacaukan dan tuang dalam periuk.
Masak selama 5 minit menggunakan api perlahan.
Kuatkan api supaya buihnya naik kemudian padamkan api.
Tuangkan ke dalam loyang dan sejukkan.
Boleh dipotong. Sedia untuk dihidang.
#8 Agar-Agar Air Kelapa Selasih
Agar-agar air kelapa selasih ini jika dimakan sejuk-sejuk, pasti menyegarkan tekak. Anda juga akan menggunakan air kelapa muda yang asli, jadi rasanya lebih sedap. Resepi ini dikongsikan oleh Erny Shafrida di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1200 ml air kelapa muda (ditapis airnya dan asingkan isi kelapa, isi kelapa dihiris halus )
1 paket agar-agar tali 20 g
4 sudu besar gula
1 sudu besar biji selasih (direndam dengan 1 cawan air suam )
Segenggam gula batu
2 helai daun pandan (disimpul)
Cara-cara:
Masak air kelapa bersama daun pandan hingga mendidih dengan api yang sederhana.
Masukkan agar-agar, gula dan gula batu hingga larut, biarkan mendidih seketika
Masukkan biji selasih, isi kelapa dan pewarna biru.
Tuangkan ke dlm bekas plastik / loyang.
Biarkan sejuk baru dipotong.
Sedia untuk dihidang.
#9 Agar-Agar Buah
Nampak menarik agar-agar buah ini, pasti kanak-kanak akan menyukainya kerana rupanya yang cantik. Rasanya juga enak, jadi cubalah resepinya yang mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Ben Safwan di laman Facebook.
Bahan-bahan:
20 gram agar-agar tali
2 liter jumlah air kosong/air laici/air jagung (dicampur bersama)
½ cawan gula
1 tin laici
1 tin / 200 gram jagung manis dalam tin
Biji selasih ikut suka (diletak dalam air, biar kembang dan toskan)
Buah ikut kuantiti yang disukai (dipotong)
Cara-cara:
Rendam agar-agar tali selama 45 minit -1 jam.
Masak air kosong biar mendidih dahulu, baru tambah agar-agar yang siap direndam dan ditoskan.
Setelah betul-betul hancur, masukkan gula dan biar sebati.
Tambahkan satu tin laici fan satu tin jagung manis.
Susun buah di dalam bekas acuan dan tuangkan air didihan agar-agar panas di atas buah supaya buah lembik.
Sejukkan pada suhu bilik kemudian masukkan ke dalam peti sejuk sekitar 1 jam 30 minit.
Boleh potong dan sedia untuk dihidang.
#10 Agar-Agar Kering
Ini merupakan antara resepi agar-agar yang paling mudah dan popular – agar agar kering. Rupanya yang berwarna-warni pasti akan membuatkan anak-anak anda tertarik untuk mencubanya. Resepi ini dikongsikan oleh Siti Hajar Hashim di laman Facebook.
Bahan-bahan:
60 g agar-agar tali
1500 ml air
1500 g gula pasir
250 g gula batu (1 paket)
Pewarna
Cara-cara:
Basuh agar-agar dan masak bersama air hingga agar-agar cair.
Masukkan gula batu dan gula pasir, tunggu hingga mendidih dan gula cair.
Masukkan agar-agar ke dalam loyang dan tambah pewarna. Kacau sebati.
Biarkan agar-agar mengeras.
Setelah keras, potong kecil-kecil dan jemurkan sehingga kering.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi agar-agar, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!