Tidak dinafikan, kafe yang menyajikan makanan Barat di negara kita ini boleh dijumpai di merata tempat. Kadangkala, boleh jumpa hingga 4-5 kafe di sesebuah jalan, memang kuat pengaruhnya!

Kami pasti bahawa kebanyakan rakyat Malaysia, tidak mengira bangsa dan umur, sangat menggemari makanan Barat. Sekali-sekala menukar citarasa dari nasi ke spagetti pun tidak salah, bukan?

Bagi orang Penang, adakah anda masih tercari-cari kafe manakah yang menghidangkan berbagai jenis makanan Barat yang enak? Kami yakin Pak Mat Western Cafe yang cukup popular di Simpang Ampat ini pasti cocok dengan citarasa anda!

Lamb Chop, Menu Paling Padu

Menu ini pasti tersenarai jika kita sebut sahaja tentang makanan Barat. Pasti ada sesetengah pembaca yang sudah lali mendengarnya, namun jika anda mencuba menu ini di Pak Mat Western Cafe, anda pasti akan terpegun dengan keenakannya!

lamb chop @ pak mat western cafe

Imej via Foursquare

Daging kambing yang diperap semalaman dengan sos perapan istimewa dan dibakar dengan sempurna ini cukup digemari ramai. Dibanjiri pula dengan sos lada hitam yang pekat dan pedas, memang ‘padu’!

Mix Platter, Hidangan Gabungan Paling ‘Meletup’!

Hidangan gabungan ini juga merupakan antara hidangan yang paling ‘top’ di Pak Mat Western Cafe. Bukan sahaja enak, malah saiz hidangannya yang besar menjanjikan kekenyangan yang tidak terhingga.

mix platter @ pak mat western cafe

Imej via Foursquare

Mix Platter ini menyajikan Chicken Chop, Meatball dan sosej yang dibanjiri dengan sos lada hitam yang pekat dan sos keju di atasnya. Walaupun saiz hidangan ini besar, kami yakin sepinggan pasti tidak cukup buat anda!

Aneka Jenis Spaghetti, Bikin Ramai Rambang Mata

Jika kita singgah di sesetengah kafe, pasti spaghetti yang disediakan ialah Spaghetti Bolognese atau Spaghetti Carbonara sahaja. Penggemar hidangan pasta pasti merasa bosan, bukan?

spaghetti meatball @ pak mat western caf

Imej via Foursquare

spaghetti @ pak mat western cafe

Imej via Facebook

Namun di Pak Mat Western Cafe, anda pasti akan teruja dengan kepelbagaian spaghetti yang disajikan. Ada Spaghetti Napolitana, Spaghetti Meatball, Spaghetti Salt & Pepper Squid dan banyak lagi!

Citarasa Hotel, Harga Warung

tagline pak mat western cafe

Imej via Foursquare

‘Citarasa hotel, harga warung’ – ini merupakan ‘tagline’ Pak Mat Western Cafe! ‘Tagline’ ini memang kena dengan kafenya dek kerana kualiti makanannya yang tinggi (setaraf dengan hotel) dan harganya yang sangat berpatutan.

chicken chop @ pak mat western cafe

Imej via Fousquare

Contohnya untuk Chicken Chop, harga yang ditawarkan ialah RM 8.90 sahaja. Hidangan ini menyajikan isi ayam goreng bersama sos lada hitam banjir,  roti bakar, kentang putar dan coleslaw. RM 8.90 untuk saiz hidangan sebesar ini? Berbaloi-baloi!

Banyak Lagi

Untuk minuman pula, jika dilihat pada menu ada berbagai jenis minuman. Dari minuman panas ke minuman berjus, semuanya ada. Pesan sahaja mengikut citarasa anda, pasti menyegarkan tekak.

lamb chop + add-on cheese @ pak mat western cafe

Imej via Foursquare

Bagi hidangan ‘add-on’, anda boleh memesan sos lada hitam, sos keju, coleslaw, kepingan keju, roti bakar dan banyak lagi untuk tambahan. Biasalah, kalau dah terlalu enak, pasti keinginan untuk menambah itu ada!

Kesimpulan

Terlalu banyak tarikan istimewa di Pak Mat Western Cafe ini sehinggakan kami sendiri terliur melihat gambar-gambarnya. Jika anda turut terliur sama, jangan lepaskan peluang ini dan lekas serbu Pak Mat Western Cafe.

Berikut kami senaraikan alamat dan waktu operasi kafe ini. Selamat menjamu selera!

Alamat: 14000 Simpang Ampat, Penang
Waktu Operasi: Setaiap hari, 5 petang – 12 tengah malam

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.