Mencari tempat makan nasi ulam di Kelantan?

Nasi ulam adalah hidangan tradisional kukus Betawi dan Melayu yang disajikan dengan pelbagai ramuan dan sayur-sayuran, yang biasanya terdapat dalam masakan Indonesia dan Malaysia.

Di Kelantan, nasi ulam ini merupakan antara hidangan yang popular. Berbeza dengan nasi kerabu, nasi ulam ini lebih banyak kuantiti ulam-ulamannya. Jika anda sukakan ulam, nasi ini pasti cocok dengan anda.

Masih tercari-cari tempat makan nasi ulam di Kelantan? Jangan risau, berikut kami senaraikan 6 tempat makan nasi ulam di Kelantan. Teruskan membaca!

#1 Restoran Cikgu Nasi Ulam Kampung Kraftangan

Alamat: Kampung Kraftangan, Jalan Hilir Kota (15300), Kota Bharu

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 11 am – 5 pm

Ini merupakan antara restoran yang paling popular di Kelantan – Restoran Cikgu Nasi Ulam Kampung Kraftangan. Jika anda baca ulasan di Internet, memang ada beribu ulasan positif tentang restoran ini.

Imej via Foursquare

Masakan tempatan merupakan konsep utama hidangan di restoran ini. Ada pelbagai jenis lauk-pauk yang disajikan. Antaranya termasuklah keli goreng, ayam goreng, singgang ikan dan banyak lagi.

Selain itu, ulam-ulaman di sini juga ada berbagai jenis. Lebih enak jika anda nikmatinya bersama budu. Jangan lupa untuk mencuba nasi ulam yang merupakan hidangan istimewa di sini.

Servis di restoran ini juga dikatakan cemerlang. Kebersihan ruang restoran terjaga dan konsep dekorasi restoran juga cantik. Memang sesuai jika anda ingin bersantai di sini bersama keluarga.

#2 D’Umi Nasi Ulam

Alamat: Jln Pasir Mas – Tanah Merah, 15100 Pasir Mas, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10 am – 5 pm

Berada sekitar daerah Pasir Mas dan ingin mencuba nasi ulam? Singgah sahaja di restoran D’Umi Nasi Ulam ini. Restoran ini juga terkenal dengan sajian seperti nasi ulam dan masakan kampung yang lain.

nasi ulam kelantan
Imej via Foursquare

Nasi ulam di sini memang enak dinikmati bersama lauk-pauknya yang pelbagai. Lauk-pauk yang disajikan berasaskan selera tempatan. Ulam-ulamannya juga segar dan ada beraneka jenis.

Untuk lauk-pauk anda boleh cuba daging bakar, masak lemak siput sedut, kari udang, ayam goreng dan banyak lagi. Memang berbagai! Servis restoran yang baik juga merupakan antara tarikan istimewa di sini.

#3 Nasi Ulam Nenda

Alamat: RnR, Bukit Belah, 18500 Machang, Kelantan

Sambil berhenti di RnR, semestinya anda ingin menjamu selera, bukan? Singgah sahaja di Nasi Ulam Nenda. Kedai makan yang terletak di RnR Bukit Belah di Machang ini sentiasa dikunjungi ramai.

Imej via Instagram

Semestinya nasi ulam adalah hidangan yang menjadi rebutan. Ulam-ulamannya memang banyak dan segar-segar. Antara yang boleh diplih ialah kacang botor, timun, petai, pegaga dan banyak lagi.

Masakan kampung merupakan jenis hidangan yang disajikan. Lauk-pauknya memang berbagai, bikin ramai rambang mata. Anda boleh pilih lauk-pauk seperti ikan goreng, patin tempoyak dan daging goreng kunyit. Jangan lupa untuk ambil budu lebih, pasti lebih sedap.

#4 Restoran Nasi Ulam Cikgu Taman Orkid

Alamat: Kawasan Perindustrian Mara, 16100 Pengkalan Chepa, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 11 am – 5 pm

Restoran Nasi Ulam Cikgu memang terkenal, jadi ianya mempunyai beberapa cawangan sekitar Kelantan. Salah satu cawangannya bertempat di Kawasan Perindustrian Mara di Pengkalan Chepa.

nasi ulam kelantan
Imej via Foursquare

Ulam-ulaman yang berbagai serta lauk-pauk yang sedap-sedap merupakan antara punca restoran ini sentiasa penuh dengan pelanggan. Budunya juga tidak ketinggalan kerana ianya merupakan pelengkap selera di sini.

#5 Warong Nasi Ulam

Alamat: Kampung Cherang, 15000 Kota Bharu, Kelantan

Sebut sahaja Warong Nasi Ulam Cherang, pasti ramai penduduk Kota Bharu yang pernah terdengar tentangnya. Ianya merupakan warung nasi ulam yang sangat popular sekitar sini dan ianya terletak di Kampung Cherang.

Warung ini juga boleh dikatakan legend kerana ianya mula beroperasi sejak tahun 1980-an lagi! Sebaik sahaja melangkah masuk ke warung ini, ulam-ulaman yang beraneka jenis pasti kelihatan.

Lauk-pauk yang disajikan pula berasaskan selera tempatan. Singgang ikan, kari ikan, masak lemak ikan keli, ayam pedas dan daging kicap merupakan antara menu yang disajikan. Budu mereka juga dikatakan mantap.

Imej via Foursquare

Sukakan colek? Colek merupakan makanan tradisi Kelantan dan ianya turut disajikan di restoran ini. Ramai pelanggan ketagih dengannya, rugi jika anda tak cuba!

#6 Nasi Ulam Cikgu RTC

Alamat: No 1&2 Medan Selera RTC, 15100 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 4 pm

Jika anda singgah di Medan Selera RTC, anda wajib berkunjung ke gerai Nasi Ulam Cikgu RTC ini. Gerai ini menyajikan nasi ulam yang memang sedap dan segar ulam-ulamannya.

Ianya merupakan salah satu cawangan Restoran Cikgu Nasi Ulam. Walaupun ianya sekadar cawangan, kualiti hidangan yang disajikan memang setaraf dengan restoran utamanya.

Jenis ulam-ulaman yang pelbagai merupakan antara tarikan istimewa gerai ini. Pelanggan-pelanggan juga meningggalkan ulasan yang positif tentang servis yang ditawarkan oleh gerai ini, memang terbaik!

Kesimpulan

Sudah jumpa port nasi ulam di Kelantan yang ingin dikunjungi? Jika berpeluang, singgah sahaja satu persatu tempat makan ini kerana semuanya memang menarik.

Kami juga ingin ingatkan agar anda singgah pada waktu yang sesuai, Takut nanti ruang dalam restoran dan ruang parkir penuh. Jangan terlepas peluang pula!

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.