Hidangan nasi kerabu sudah tidak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia. Menu dari Pantai Timur ini mendapat sambutan di mana jua ia dijual. Dari pasar malam, gerai di kaki lima hinggalah ke restoran, hidangan ini menjadi pilihan ramai.

Nasi kerabu sering menjadi santapan wajib di negeri Pantai Timur pada waktu pagi. Namun, ia juga menjadi kegemaran masyarakat hampir di kesemua negeri. Ia turut menjadi hidangan makan pagi rakyat Malaysia.

Bagi penduduk yang berada di sekitar kawasan Sungai Merab dan juga Putrajaya, warung nasi kerabu Mok Su ini bukanlah sesuatu yang baru. Biarpun ia beroperasi hanya di tepi jalan, namun pelanggannya tetap ramai setiap hari.

Nasi Kerabu

Imej via facebook

Setiap hari warung ini dibuka mulai jam 6.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari. Pelanggan mulai ramai mulai jam 8.00 pagi dan kebanyakan merupakan kakitangan pejabat yang bekerja di Putrajaya serta kawasan berhampiran.

Lauk Pauk Yang Begitu Menyelerakan

Nasi kerabu Mok Su sangat enak dimakan bersama lauk – pauk yang dihidangkan seperti kambing bakar, daging bakar, ayam bakar, ikan celup tepung, solok lada, telur masin dan banyak lagi. Selain nasi kerabu, terdapat juga menu nasi dagang bersama gulai ikan, gulai itik, gulai ayam, serta bermacam lagi. Tidak ketinggalan juga menu laksam yang begitu menyelerakan.

Lauk Pauk

Imej via facebook

Nasi berlauk ikan juga turut dijual di sini. Malah, terdapat jua lauk kerutuk itik serta ayam kampung disediakan untuk pilihan pelanggan. Kuih muih tradisi rakyat Kelantan juga turut disajikan untuk para pelanggan.

Kuih akok yang begitu popular serta menggunakan resepi tradisi yang diwarisi turun temurun dari keluarganya turut disajikan di sini. Malah, ia dihasilkan sendiri oleh pemilik warung ini iaitu Mohd Hapiz.

Kambing Bakar Yang Popular

Nasi kerabu kambing bakar yang popular di sini menggunakan resepi bonda kepada pemilik warung ini. Beliau turut menjalankan perniagaan kedai makan di Kok Lanas, Kelantan. Ia ibarat penyambung legasi bondanya yang turut menjual nasi kerabu di Kok Lanas, Kelantan.

Harga makanan di sini juga sangat berbaloi memandangkan saiz hidangannya agak besar serta sangat menyelerakan. Nasi kerabu kambing bakar cumalah RM 12.00, nasi kerabu daging bakar pula adalah RM 7.50 manakala nasi kerabu ayam bakar pula adalah RM 7.00.

Kuih Akok

Imej via facebook

Mohd Hapiz memulakan perniagaannya dengan menjual kuih akok sahaja di bazar Ramadhan di Kelantan. Kemudian, beliau telah membuat keputusan untuk mengembangkan pasaran kuih akoknya hingga ke Putrajaya. Setelah beberapa bulan berniaga kuih akok, akhirnya nasi kerabu Mok Su diperkenalkan memandangkan menu tersebut mempunyai potensi yang sungguh menarik.

Nasi kerabu Mok Su menggunakan sebanyak 30 kilogram daging lembu, 25 kilogram daging kambing dan 25 ekor ayam bakar. Kesemua menu yang dijual kebiasaannya habis dijual menjelang jam 12.00 tengahari.

Lokasi warung yang terletak berhadapan dengan Institut Penilaian Negara ini menjadi tumpuan ramai kerana ia juga terletak di laluan kakitangan pejabat ke premis berhampiran.

Alamat : Gate 1, Putrajaya

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.