Mencari tempat makan yang menyajikan nasi air di Kota Bharu?

Nasi air merupakan hidangan yang popular di Kelantan dan Terengganu. Ianya berbeza dengan bubur nasi dari segi cara penyedian dan tekstur dan ianya dihidangkan bersama sup. Menarik bunyinya, bukan?

Jika anda berada di Kota Bharu, ada beberapa tempat makan yang menyajikan nasi air yang wajib anda singgah. Semestinya kebanyakannya memang popular dan sentiasa penuh dengan pelanggan.

Tempat makan manakah yang kami maksudkan? Berikut kami senaraikan 6 tempat makan yang menyajikan nasi air di Kota Bharu. Teruskan membaca!

#1 Maksu Nab Nasi Air

Alamat: Berek 12, Paya Bemban, Jalan Hospital, 15200 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 11 am – 5 pm

Restoran Maksu Nab Nasi Air ini tidak perlu kami perkenalkan lagi, tambahan pula jika anda menetap di Kota Bharu. Pasti biasa terdengar namanya, bukan?

Ianya merupakan antara restoran nasi air yang top di Kota Bharu. Restoran ini mula beroperasi sejak awal 90-an lagi, jelas menunjukkan yang ianya merupakan restoran yang legend.

nasi air kota bharu
Imej via Foursquare

Semestinya menu terlaris di sini ialah nasi air atau lebih dikenali dengan nama nasi air special. Dah nama pun special, semestinya nasi air di sini sedap dan kena dengan citarasa ramai.

Menu lain yang turut disajikan di sini ialah nasi ayam Hainan dan cucur udang. Harga yang ditawarkan untuk makanan di sini semuanya berpatutan dan tidak mencekik darah, sangat berbaloi.

#2 Nasi Air Hidang Pok Sen

Alamat: Bangunan Kwsp, Lot 444, Jalan Padang Garong, Kelantan, 15000 Kota Bharu

Waktu Operasi: 24 jam

Nasi Air Hidang Pok Sen yang terletak di Jalan Padang Garong ini juga merupakan antara gerai nasi air di Kota Bharu yang terkenal. Jika anda baca ulasan tentang restoran ini di Internet, kebanyakannya positif-positif belaka.

Restoran ini menyajikan nasi air yang bukan sahaja sedap, malah asli dan menjanjikan kekenyangan kepada sesiapa yang mencubanya. Sehinggakan ada yang mengatakan yang nasi air di sini memang tiada tandingan, memang bikin ketagih!

nasi air kota bharu
Imej via Foursquare

Selain nasi air, restoran ini juga turut menyajikan hidangan lain yang berasaskan selera tempatan. Antaranya ialah mi goreng, tosai, nasi kerabu, nasi lemak, nasi goreng dan banyak lagi. Sangat beraneka, boleh buat ramai rambang mata.

#3 Nasi Air, Air Nyior

Alamat: 1865, Jalan Abdul Kadir Adabi, Taman Kenangan, 15200 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 10 am – 5 pm

Bagi yang teringin untuk menikmati hidangan Pantai Timur yang terkenal seperti nasi air dan celup celup, restoran Nasi Air, Air Nyior yang terletak di Jalan Abdul Kadir Adabi ini wajib anda kunjungi untuk tujuan itu.

nasi air kota bharu
Imej via Foursquare

Nasi air merupakan antara menu yang laku keras di restoran ini. Ramai pelanggan menggemari nasi air special yang disajikan bersama telur separuh masak. Ianya juga turut disajikan bersama kepingan daging dan ayam yang menggandakan keenakkannya.

Selain nasi air, mi celup juga merupakan antara hidangan Pantai Timur yang digemari ramai pelanggan. Untuk minuman, jangan lupa untuk cuba air kelapa mereka. Memang manis dan menyegarkan tekak.

#4 F.A. Nasi Air

Alamat: 1255, Jalan Baru Kebakat, Kampung Kedemit, 16210 Tumpat, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 12 pm – 12 am

Ingin mencuba nasi air yang lain daripada yang lain, namun masih enak? Singgah sahaja di F.A Nasi Air ini. Ianya merupakan antara restoran nasi air yang popular di Kelantan.

“Jatuh cinta dengan nasi air di sini’ merupakan antara ulasan yang ditinggalkan oleh salah seorang pelanggannya, jelas menunjukkan yang nasi air di sini memang istimewa. Apa yang begitu istimewa tentang nasi air di sini?

Imej via Foursquare

Semestinya terletak pada cara penyediannya. Nasi Air merupakan nasi air yang lebih menjurus kepada selera Thai yang kelihatan sama seperti bubur. Ianya boleh dinikmati dengan pelbagai lauk seperti ayam kunyit dan kerabu.

#5 Restoran Manna Wa Salwa

Alamat: Lot 2820, Jalan Long Yunus, 15200 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 7.30 am – 11 pm

Satu lagi retsoran yang menyajikan nasi air ala Thai ialah Restoran Manna Wa Salwa. Restoran yang terletak di Jalan Long Yunus ini menyajikan selera tempatan yang sedap-sedap.

Imej via Foursquare

Nasi air di sini dipuji oleh ramai kerana ianya memang secukup rasa. Harganya juga berpatutan, memang berbaloi dengan keenakkan yang dijanjikan.

Selain nasi air, restoran ini turut menyajikan menu lain seperti lontong, mi goreng dan roti canai. Dijamin sedap seperti nasi airnya, kami berani jamin. Servis yang baik serta ruang restoran yang luas juga merupakan antara tarikan istimewa restoran ini.

#6 Restoran Ikhwan Kota Bharu

Alamat: PT2222A, Jalan Long Yunus, 15200 Kota Bharu, Kelantan

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 am – 11 pm

Restoran Ikhwan Kota Bharu ini juga merupakan antara port nasi air di Kota Bharu yang wajiba nda kunjungi. Nasi airnya yang mendapat pujian ramai jelas membuktikan popularitinya.

Imej via Foursquare

Nasi air di sini disediakan ala Thai di mana ianya menyajikan nasi air bersama lauk-pauk. Lauk-pauk di sini termasuklah ikan bilis goreng, sup daging, kangkung belacan dan telur masin. Dengar nama pun boleh bikin terliur!

Kesimpulan

Sudah jumpa restoran nasi air di Kota Bharu yang ingin dikunjungi? Jika berpeluang, singgah sahaja satu persatu tempat makan ini kerana semuanya memang menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.