Anda ingin mengadakan jamuan dalam jangka masa terdekat ini, namun kekeringan idea memikirkan menu? Untuk jamuan, semestinya kita perlu menyediakan menu yang ringkas namun masih sedap.
Untuk itu, berikut kami senaraikan 10 menu ringkas untuk jamuan yang sedap-sedap dan boleh anda cuba dan sajikan. Teruskan membaca!
#1 Roti Jala
Menu ini sering ditemui di kebanyakan jamuan dan cara penyediannya juga tidak terlalu susah. Ianya juga enak dinikmati bersama kuah kari. Resepi ini dikongsikan oleh Nora Syikin Azmi di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 kg tepung gandum
1 sudu besar tepung ubi (supaya jala tidak mudah putus)
2 bji telor
½ tin susu cair
2 sudu besar minyak masak
1 sudu besar garam
pewarna kuning
air secukupnya
Cara-cara:
Satukan semua bahan, kacau dan pukul hingga sebati.
Kisar bahan tersebut dan tuang dalam acuan roti jala.
Biarkan adunan selama 10 minit.
Mula menjala.
#2 Kek Cawan Coklat Lembap
Kek cawan merupakan antara menu ringkas untuk jamuan yang kerap disajikan. Ianya cukup enak dinikmati jika teksturnya lembap. Resepi ini dikongsikan oleh Khadijah Jaafar di laman Facebook.
Bahan-bahan:
½ cawan (100 g) gula pasir
½ cawan (100 g) gula perang
1 biji telur
½ cawan (120 ml) yogurt
½ cawan (120 ml) minyak
1 sudu teh esen vanila
½ cawan (120 ml) air panas
Bahan kering:
1 cawan(130 g) tepung serbaguna
6 sudu besar (43 g) serbuk koko
1 sudu teh baking soda
½ sudu teh garam
Cara-cara:
Panaskan oven pada suhu 148°C
Campurkan semua bahan-bahan kering dalam satu mangkuk. Ayak & ketepikan.
Dalam mangkuk yang lain – satukan telur, gula, minyak, yogurt & esen vanila. Pukul hingga sebati.
Masukkan campuran bahan kering tadi sedikit demi sedikit dan gaul sebati. sebati.
Masukkan air panas dan gaul sebati (adunan kelihatan sedikit cair).
Tuangkan adunan ke dalam acuan kek cawan. Isikan separuh kerana adunan ini akan naik.
Bakar selama 18 – 23 minit.
Kalau suka rasa kopi, boleh juga tambahkan 1 sudu kecil serbuk kopi segera.
#3 Kuih Seri Muka
Kuih ini merupakan kuih tradisional yang cukup popular. Ianya juga boleh dijadikan sebagai menu untuk jamuan. Resepi ini dikongsikan oleh Masni Bahari di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan lapisan bawah:
1 cawan beras pulut (dibasuh dan direndam selama 1 jam)
1 cawan santan cair
1 sudu kecil gula
Sedikit garam
Bahan lapisan atas:
1 cawan santan pekat (kotak)
1 cawan air pandan (daun pandan dikisar)
½ cawan gula (boleh tambah jika mahu)
2 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar tepung jagung
1 biji telur
Pewarna hijau *optional
Sedikit garam
Cara-cara:
Untuk lapisan bawah, satukan semua bahan dan kukus hingga pulut masak.
Setelah masak, tuang ke dalam acuan dan padat-padatkan. Ketepikan.
Untuk lapisan atas, satukan semua bahan, kacau rata dan kisarkan.
Masak sekejap di atas api perlahan.
Setelah suam, tuangkan ke atas pulut tadi.
Kukus selama 40 minit.
Setelah masak, angkat dan sejukkan.
Sedia untuk dihidang.
#4 Koktel Bandung
Tak sahlah senarai menu jamuan ini jika kami tidak senaraikan koktel bandung. Minuman ini memang kerap ditemui di kebanyakan jamuan. Resepinya juga mudah. Resepi ini dikongsikan oleh Ira Idris di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 tin laici
1 tin buah buahan campur
1 tin susu pekat
1 tin susu cair
Perasa sirap
Ais
Cara-cara:
Campurkan semua bahan kecuali ais.
Tambahkan sedikit airuntuk mengurangkan kemanisan.
Tambahkan ais.
Sedia untuk dihidang.
#5 Puding Karamel
Menu ini cukup enak dinikmati semasa cuaca panas-panas. Rasanya yang manis serta aroma yang harum pasti akan memikat hati para tetamu. Resepi ini dikongsikan oleh Marina Ismail di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Bahan lapisan gula karamel:
5 sudu besar gula
2 sudu besar air
Bahan puding telur:
5 biji telur saiz B
1 tin susu cair (400 ml)
15 0ml air
2 sudu besar susu pekat
Sedikit esen vanila
Cara-cara:
Masukkan gula dalam loyang pembakar dan letakkan di atas api kecil.
Sentiasa kacau hingga ianya menjadi cair dan berwarna keperangan.
Apabila gula sudah cair dan mula bertukar warna perang, gerakkan loyang supaya karamel rata di setiap sudut loyang. Sejukkan.
Untuk lapisan puding telur, campurkan semua bahan dan pukul rata. Tak perlu pukul hingga kembang.
Kemudian, tapiskan supaya puding menjadi licin.
Masukkan dalam loyang dan masak menggunakan kaedah water bath di dalam ove.
Bakar pada suhu 170°C menggunakan api atas bawah selama 45 – 50 minit.
Sedia untuk dihidang.
#6 Agar-Agar Permata
Agar-agar permata ini sering dilihat di jamuan atau kenduri. Anda juga boleh mencuba dan menyajikannya di jamuan sendiri. Resepinya hanya memerlukan 5 bahan sahaja! Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Amalina Anati Abdullah di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket agar-agar tali 25 g
6 cawan air
6 sudu besar gula
½ tin susu cair
Pewarna merah, hijau & kuning
Cara-cara:
Masukkan air, gula dan agar-agar.
Larutkan di atas api sederhana. Padamkan api.
Ambil 3 senduk kecil agar-agar yang telah larut tadi dan masukkan dalam 3 bekas berasingan.
Letakkan pewarna bagi setiap bekas dan sejukkan di bawah kipas.
Panaskan baki agar-agar dalam periuk di atas api sederhana dan masukkan susu cair.
Tuang agar-agar susu tadi dalam loyang.
Potong dadu agar-agar warna warni.
Masukkan agar-agar warna warni ke dalam agar-agar susu.
Biarkan sejuk bawah kipas sekejap, kemudian sejukkan dalam peti sejuk.
Setelah sejuk, sedia untuk dihidang.
#7 Popia Carbonara
Hidangan yang berkrim ini pasti akan digemari oleh tetamu-tetamu anda – popia carbonara! Resepinya juga mudah dan bahannya cukup ringkas. Resepi ini dikongsikan oleh Nurul Amiza di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Kubis (dihiris)
Lobak (dihiris)
Bawang besar (dihiris)
Patti daging lembu / daging kisar
Sosej
Sos carbonara
Kulit popia
Cara-cara:
Tumiskan bawang.
Kemudian, masukkan bahan-bahan di atas kecuali kulit popia.
Perasakan dengan garam.
Balut int dengan kulit popia.
Gorengkan.
Sedia untuk dihidang.
#8 Sanwich Tuna
Kedengaran ringkas, namun ini juga merupakan antara menu yang boleh anda sediakan dalam masa yang singkat untuk jamuan. Resepi ini dikongsikan oleh MasAyu Legacy di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Roti
Salad
Bahan 1:
Tuna mayonis
Sedikit bawang besar (dipotong dadu)
1 sudu besar mayonis
1 sudu besar sos cili
Sedikit cili api
Bahan 2:
Timun (dipotong dadu)
Tomato (dipotong dadu)
1 sudu mayonis
1 sudu sos cili
Cara-cara:
Gaulkan bahan 1 dan bahan 2 secara berasingan.
Gunakan 3 keping roti untuk 1 set sandwich.
Letakkan bahan 1 pada roti dan lapikkan dengan kepingan roti yang kedua.
Letakkan bahan 2 pada roti tadi dan tutup dengan kepingan roti ketiga.
Potong roti secara silang pangkah.
Ulangi langkah 2 – 5 hingga bahan habis.
Sedia untuk dihidang.
#9 Spaghetti Bolognese
Ingin menyediakan makanan berat namun masih ringka? Cubalah resepi spaghetti bolognese ini, pasti sesuai disajikan untuk jamuan. Resepi ini dikongsikan oleh Syikin Gilis di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 paket spaghetti
1 tin cendawan
1 botol sos spaghetti cendawan
Daging kisar
Sosej (dipotong kecil)
Bebola ikan (dipotong dadu)
Isi ayam (dipotong kecil)
5 ulas bawang putih (diketuk)
½ biji bawang besar (dipotong dadu)
Oregano
Minyak untuk menumis
Cara-cara:
Rebus spaghetti 10-15 bersama satu sudu planta / marjerin dan sedikit garam. Tapis dan ketepikan.
Masukkan minyak, tumis bawang putih dan bawang besar sehingga sedikit garing dan naik bau.
Masukkan sos spaghetti dan tambah separuh botol air. Kemudian masukkan cendawan dan sedikit oregano.
Biarkan seketika dan masak sekitar 20 minit menggunakan api sederhana sehingga warna bertukar kemerahan sedikit.
Pastikan tekstur kuah menjadi sedikit pekat. Tambahkan 3-4 sudu gula dan sedikit garam.
Taburkan sedikit oregano di atas spaghetti.
Sedia untuk dihidang.
#10 Dadih Susu
Hidangan ni pasti diburu oleh kanak-kanak – dadih susu! Rasanya yang manis dan berkrim pasti akan memikat hati sesiapa sahaja. Resep ini dikongsikan oleh Niswah Hasina di laman Facebook.
Bahan-bahan:
1 liter susu kotak
Agar-agar tali (20 g) (dibahagikan kepada tiga, ambil satu bahagian sahaja)
Gula mengikut kemanisan
Secubit garam
1 liter air masak
Cara-cara:
Masukkan agar-agar ke dalam periuk.
Masukkan air masak dan pastikan ianya menenggelami agar-agar.
Masak hingga agar-agar larut.
Masukkan susu, gula dan garam.
Biarkan panas hingga naik wap. Pastikn tidak mendidih.
Sejukkan dan tapis.
Tuangkan ke dalam bekas.
Sedia untuk dihidang.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi menu ringkas untuk jamuan, kami juga ada menulis tentang resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!