Mee celup Kelantan sememangnya antara menu yang sangat dicari orang ramai dan cukup terkenal di sekitar negeri ini. Malah, ada yang berpendapat mee celup di Kelantan mempunyai rasa yang berbeza dengan kebanyakan mee celup yang dijual di negeri lain.

Hal ini kerana mee celup Kelantan mempunyai tarikan serta keistimewaannya yang tersendiri dari segi bahan, rasa dan sebagainya. Tidak hairanlah ramai yang datang ke negeri ini semata-mata untuk mencuba mee celup yang luar biasa dan sedap.

Buat anda yang tercari-cari tempat makan mee celup yang betul-betul asli dan kena dengan tekak anda, memang Kelantan lah tempatnya. Nak senaraikan kesemua tempat tak aka nada penghujungnya. Oleh itu kami senaraikan 10 kedai mee celup yang paling best dan terbaik di Kelantan.

Aus Mee Celup

Imej via [ Warung Aus Mee Celup ]

Aus Mee Celup antara kedai makan yang menyediakan menu mee celup terbaik di Kelantan. Terkenal dengan menu mee celupnya yang sedap, kedai Aus Mee Celup telah menjadi pilihan ramai bukan sahaja penduduk setempat, malah ada juga yang sanggup datang dari jauh hanya untuk mencuba mee celup di kedai ini.

Mee celup di kedai ini memang lain daripada yang lain. Jika kita lihat menu mee celup di kedai-kedai lain, biasanya mereka akan menambah bahan seperti serbuk lada atau cili jeruk. Tapi di Aus Mee Celup, mereka menyediakan bahan tambahan iaitu perencah kari. Unik, istimewa dan sedap dimakan.

Lebih menarik, di Aus Mee Celup ini anda boleh menikmati mee celup telur goyang sambil menyegarkan tekak anda dengan pelbagai jenis smoothie fresh. Minum sewaktu cuaca panas pasti memberikan satu kepuasan.

Lokasi: Jalan Abdul Kadir Adabi, Kampung Paya Bemban, Kota Bharu.

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (12.30 tengahari – 9.30 malam)

Mee Celup Bonda Din

Imej via [ Mee Celup Bonda Din ]

Mee Celup Bonda Din terkenal setanding Aus Mee Celup. Kedai mee celup ini selalu dipenuhi oleh pelanggan. Malah pelanggan yang sudah biasa makan di sini pun tidak jemu datang untuk menikmati mee celup di kedai Mee Celup Bonda Din.

Mee celup bersama telur joget dan perut lembu menjadi menu utama terlaris pilihan orang ramai yang datang ke sini. Dengan harga yang sangat murah, anda dapat menikmati mee celup penuh mangkuk dan yang pasti cukup mengenyangkan perut anda.

Mee Celup Bonda Din menerima tempahan daripada orang ramai yang berminat untuk menempah mee celup atau menu lain yang terdapat di kedai ini. Untuk sebarang tempahan, anda bolehlah menghubungi nombor berikut (019-9815918).

Lokasi: Kampung Wakaf Tok Wali Peringat, Kota Bharu.

Waktu operasi: Selasa-Ahad (12.00 tengahari – 6.30 petang)

D’Bamboo Tapang Mee Celup RM1

D’Bamboo Tapang Mee Celup RM1 merupakan kedai mee celup yang viral di Kelantan dimana kedai ini menawarkan menu mee celup dengan harga RM1 sahaja. Memang sangat murah dan itulah yang membuatkan kedai D’Bamboo Tapang Mee Celup RM1 selalu menjadi tumpuan orang ramai.

Bukan mee celup sahaja yang dijual dengan harga RM1, malah menu lain seperti mee sup, keropok goreng, ABC, ice blended dan juga lockching atau sate ikan dijual dengan harga sedemikian.

Memang rugi jika ke Kelantan tetapi tidak singgah di D’Bamboo Tapang Mee Celup RM1 kerana anda bukan sahaja dapat menikmati mee celup sedap dengan harga yang sangat murah, malah dapat menikmatinya dalam suasana pondok buluh yang sangat unik.

Lokasi: Kg Tapang, Jalan Dusun Raja, Kota Bharu Waktu operasi: Setiap hari (11.00 pagi – 6.00 petang)

Kak Ma Mee Celup & Cendol Boba Manja

Jika anda seorang penggemar mee celup dan udang galah, anda memang perlu mencubanya di kedai Kak Ma Mee Celup. Terletak di Pasir Puteh, mee celup yang dihidangkan penuh mangkuk dengan udang galah special pasti membuatkan anda kekenyangan.

Tidak hairanlah ramai orang mencadangkan kedai ini untuk menikmati mee celup yang enak. Selain mee celup udang galah, mee celup perut muda juga menjadi menu terlaris buat yang datang ke kedai ini. Makan pula dengan cendol boba manja yang sedap, pasti terangkat.

Lokasi: Kampung Banggol Stol Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (1.00 tengahari – 10.00 malam)

Mee Celup Special Batu 30 (Cawangan Kubang Kerian)

Imej via [ Mee Celup Special Batu 30 ]

Kedai Mee Celup Special Batu 30 (Cawangan Kubang Kerian) juga sering mendapat tumpuan ramai pengunjung. Walaupun kedai ini tidak menyediakan perkhidmatan makan di kedai dan hanya boleh dibungkus atau COD sahaja, namun pelanggan tidak putus-putus datang membeli mee celup di sini.

Apa yang membuatkan mee celup di kedai ini disukai ramai adalah terdapat perut-perut lembu bulat diletakkan bersama mee celup. Sukar untuk menjumpai hidangan seperti ini sehinggakan ia menjadi menu terlaris dan kena dengan tekak ramai pembeli.

Lokasi:Jalan Raja Perempuan Zainab II & Jalan Kubang Kerian, Kubang Kerian.

Mee Celup Angoh Wakaf Bata

Kedai Mee Celup Angah Wakaf Bata tidak ketinggalan dalam senarai kedai mee celup Kelantan yang tersedap. Ramai yang mengesyorkan untuk mencuba mee celup di sini. Rata-rata pengunjung memang berpuas hati dengan servis, harga dan rasa mee celupnya.

Menu mee celup di kedai ini dikatakan menepati dengan selera kebanyakan pelanggan. Jadi, anda yang belum pernah mencuba mee celup di sini, bolehlah datang beramai-ramai bersama kawan-kawan dan keluarga.

Lokasi: Kampung Wakaf Bata, Machang.

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (12.30 tengahari – 7.00 malam)

Kak Ma Mee Celup Lakota Jeli

Terletak di Jeli, Kak Ma Mee Celup Lakota Jeli antara kedai mee celup yang terkenal di sini. Mee celup ala Thai menjadi menu kesukaan rata-rata pengunjung setempat dan pengunjung luar. Harganya memang murah dan layanannya cukup memuaskan.

Jangan lupa untuk cuba rojak ayam dan coconut shake di sini. Dengar cerita ramai yang menyukai menu ini sehingga ada yang bertambah.

Lokasi:Kampung Jeli, Kelantan.

Pok Lie Mee Celup

Terkenal dengan menu mee celup telur ‘gedik’ yang dikatakan marvellous, inilah kedai Pok Lie Mee Celup, sebuah warung kampung terkenal di Lembah Sireh.

Istimewanya mee celup di kedai Pok Lie Mee Celup yang dimiliki oleh Encik Wan Mohd Zukepli Wan Chik ini adalah supnya yang dibuat menggunakan ramuan rahsia Pok Lie sendiri.

Resepi dan air tangan orang lama memang tidak dapat dinafikan mengancam. Nak tahu sedap atau tidak, anda perlulah ke sini dan cubanya sendiri.

Lokasi: Kampung Sirih, Kota Bharu.

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (12.00 tengahari – 6.00 petang)

Mee Celup Telur Terapung

Imej via [ Mee Celup Telur Terapung Gua Musang ]

Mee Celup Telur Terapung antara port mee celup yang wajib anda cuba di Gua Musang. Mee celup dengan telur terapung berserta sup panas yang rasanya sangat padu,  pasti memuaskan ramai pengunjung.

Dah alang-alang anda datang untuk mencuba menu mee celup telur terapung di kedai ini, jangan lupa untuk cuba menu-menu lain yang ada seperti masakan panas, ABC dan cendol.

Lokasi: Bandar Baru Gua Musang.

Waktu operasi: Setiap hari (10.15 pagi – 6.15 petang)

Kak Na Mee Celup Telur Gedik

Mee celup telur gedik sememangnya menu mee celup yang cukup terkenal di banyak tempat di negeri ini. Rupa-rupanya, Kak Na Mee Celup Telur Gedik inilah antara kedai yang paling awal memperkenalkan menu telur gedik dalam mee celup.

Tidak hairanlah ramai orang selalu datang dan serbu kedai lejen ini. Dari menu biasa hinggalah double special seperti mee celup perut bulat, semuanya ada. Harganya juga sangat berpatutan dengan rasa dan kuantitinya.

Selain mee celup, antara menu yang perlu anda cuba adalah Bingsu Naga dan Air Cincau Special dengan aiskrim.

Lokasi: Jln Pasir Mas – Tanah Merah, Kampung Pengkalan Rambutan, Pasir Mas, Kelantan.

Waktu operasi: Khamis-Selasa (12 tengahari – 7 petang)

Pernahkah anda mencuba mee celup Kelantan yang tersenarai di atas? Jika tidak, kunjungilah sewaktu percutian anda ke negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Rugi jika ke Kelantan tetapi tidak merasai menu popular di negeri ini termasuk mee celup. Rasanya memang tidak sama seperti yang dijual di negeri lain. Jom ajak keluarga dan rakan-rakan mencuba menu enak ini!

Nak tahu tempat makan sedap yang lain terdapat di Kelantan? Anda perlu datang ke kedai ini:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.