Menu mee celup memang tidak asing lagi di kalangan rakyat Malaysia terutama resepi dari negara Thailand. Tak dinafikan memang ramai yang menyukai mee celup sehinggakan menjadi menu utama yang dipesan ketika berada di restoran ala Thai.

Bagi yang tidak pernah merasai mee celup, ia seakan makanan sup yang dimakan bersama mi, kuay teaw atau bihun. Namun mee celup mempunyai ramuannya tersendiri. Kebiasaannya ia dimakan bersama sambal kicap, sambal cili, chili flakes dan lain-lain. Gabungan rasa masam, manis dan pedas membuatkan ramai yang bertambah.

Rahsia keenakan mee celup semestinya terletak pada kuahnya. Nak tahu bahan dan cara penyediaan untuk menghasilkan mee celup persis di Thailand? Ikuti resepi-resepi di bawah.

Resepi Mudah Mee Celup Ala Thai

Resepi pertama ini telah dikongsikan oleh Darul Iman di Facebook. Cara penyediaannya memang mudah seperti nama yang diberi. Uniknya resepi ini, pemiliknya memberi tips atau rahsia keenakan pembuatan cili jeruk. Cili jeruk ini memang perlu ada untuk dimakan bersama mee celup agar rasanya yang manis, masam dan pedas persis seperti di negara seberang.

Bahan-bahan Sup:

  • 2 kg tulang + daging + perut
  • Rempah sup bunjut dan pekakas
  • Akar ketumbar
  • Bawang putih goreng
  • 1 sudu besar lada hitam
  • Halia 2 inci
  • Lengkuas seinci
  • 4 sudu sos ikan
  • 4 sudu kicap
  • Serbuk lada sulah thai

Bahan-bahan lain:

  • Mee/bihun/kueteaw
  • Serbuk lada
  • Daun sup & daun bawang
  • Kacang goreng
  • Bawang goreng
  • Lobak masin
  • Limau nipis
  • Sawi/taugeh/kangkung
  • Lada besar hijau nak buat jeruk

Cara-cara:

1. Rebus tulang, daging dan perut hingga empuk dalam periuk 32 cm, isi air separuh.

2. Masukkan pekakas sup bunjut tulang Adabi.

3. Tumbuk akar ketumbar dan lada hitam. Masukkan ke dalam periuk bersama bawang putih.

4. Masukkan halia, lengkuas, kicap dan sos ikan. Perasakan dengan garam dan gula lalu letak lada sulah.

5. Masukkan taugeh agar baunya naik.

6. Biarkan sup mereneh dan meresap dalam daging. Perasakan semula jika tak cukup rasa. Tambah ajinomoto jika suka.

Bahan-bahan tambahan:

1. Jeruk lada (Letak cili, cuka dan sedikit garam)

2. Air lada (Letak cuka, sos ikan, garam dan gula kemudian kisarkannya)

Mee Celup Daging Perut Pedas Berapi

Jika anda suka akan kepedasan berganda anda memang perlu cuba resepi dari Tahrunnisah Jali. Namun kelainan pada supnya adalah beliau menggunakan daging dan bahagian perut lembu.

Resepi kali ini turut disertakan dengan cara membuat sup bawang putih yang menyedapkan lagi rasa supnya. Menurutnya lagi, kebiasaannya warga Kelantan dan Thailand akan meletakkan garam dan gula ke dalam mangkuk sup mereka terlebih dahulu.

Bahan-bahan:

  • 2.5 liter air
  • 1/2kg -1 kg tulang daging/daging lembu/ayam
  • Perut lembu
  • Bebola daging
  • 2 inci halia
  • Setengah cawan sos ikan
  • 4 sudu besar cuka
  • 2 batang serai diketuk
  • 2 bunjut rempah sup tulang
  • 2 batang kulit kayu manis*
  • 4 biji buah pelaga*
  • 4 biji bunga cengkih*
  • 2 kiub stok ayam
  • 2 sudu besar kicap
  • 4 ulas bawang putih di ketuk dan dipotong dadu*
  • 1 biji bawang besar dihiris nipis*

Cara-caranya:

1. Didihkan air dan tulang daging atau daging atau ayam.

2. Masukkan serai yang telah diketuk, sup bunjut, stok ayam dan kicap lalu masak sehingga daging empuk. 

3. Setelah empuk, keluarkan daging atau ayam . Hiris daging dengan nipis atau carik-carikkan ayam tersebut.

4. Perut perlulah direbus berasingan. Setelah perut sudah lembut, masukkannya ke dalam kuah sup tadi. Renehkan sebentar baru diangkat dan dipotong nipis.

5. Di dalam kuali, panaskan sedikit minyak dan goreng bawang merah dan putih yang dihiris halus serta kulit kayu manis, buah pelaga dan cengkih sehingga naik bau kemudian masukkan ke dalam air rebusan daging.

6. Siap untuk dihidangkan.

Cara Membuat Sambal Lada:

1.Kisar segenggam cili api merah bersama sedikit cuka.

Bahan Lada Jeruk:

  • 10 biji lada hijau
  • 1/2 cawan cuka
  • 1/2 cawan air
  • Sedikit gula
  • Sedikit garam

Cara Membuat Lada Jeruk:

1. Didihkan cuka dan air.

2. Masukkan lada hijau yang dipotong dan masukkan gula dan garam secukup rasa.

3. Apabila sudah berubah warna lada, tutup api dapur dan siap!

Bahan Minyak Bawang Putih:

  • 1 cawan minyak masak
  • 1 labu bawang putih

Cara-caranya:

1. Cuci bersih dan ketuk bawang putih dengan kulitnya sekali. Kemudian potong dadu kecil.

2. Panaskan minyak ke dalam kuali dan masukkan bawang putih. Goreng hingga kekuningan tetapi bukan hangus. Angkat dan simpan ke dalam botol.

Bahan lain:

  • Mee kuning
  • Kuey tiow
  • Bihun
  • Daun sup atau daun bawang yang dihiris nipis
  • Lobak asin direndam ke dalam air panas sekejap dan dipotong dadu
  • Bawang goreng
  • Garam
  • Gula
  • Asam limau nipis
  • Sawi rebus
  • Tauge

Cara hidang:

1. Masukkan mee kuning, kuey teow atau bihun ke dalam mangkuk.

2. Masukkan daging yang dihiris nipis, perut yang dipotong kecil atau ayam yang dicarik-carik serta semua bahan-bahan lain kemudian baru letak kuah yang betul-betul panas .

Tips: Kebiasaannya orang belah Kelantan atau Thailand akan meletakkan gula dan garam ke dalam mangkuk sup mereka.

Resepi Mi Celup Thai

Resepi ini pula adalah milik Hanisah Alyaa yang dikongsikannya di Facebook. Berbeza dengan resepi sebelum ini, supnya ditambah dengan bebola daging. Resepi sambal cili juga disertakan dengan olahan sendiri yang enak. Ini bahan-bahan dan caranya:

Bahan-bahan:

  • Ayam dan daging (direbus)
  • Bawang putih
  • Bawang merah
  • Rempah empat sekawan
  • Serai
  • 2 inci halia (diketuk)
  • ½ sudu lada hitam
  • 2 Sup bunjut
  • Batang ketumbar
  • Kicap pekat
  • Sos ikan
  • Garam
  • Gula
  • Secukup rasa
  • Bebola daging

Cara memasak:

1. Tumis bawang putih, bawang merah, rempah 4 sekawan, serai, halia & lada hitam.

2. Apabila sudah garing masuk air sup atau air rebusan ayam dan daging.

3. Masukkan sup bunjut, halia yang diketuk dan batang ketumbar.

4. Masukkan daging.

5. Apabila sudah mendidih, angkat daging dan masukkan kicap pekat, sos ikan, garam, gula, aji dan secukup rasa.

6. Masukkan bebola daging dan masak sehingga lembut.

Bahan lain yang dimakan bersama mi celup:  

  • Cili padi yang dikisar bersama air, sedikit garam, sedikit gula sikit dan 1 sudu perahan air limau.
  • Cili jeruk
  • Limau nipis
  • Cili flakes
  • Kacang tanah hancur
  • Lobak masin
  • Kangkung
  • Daun sup
  • Taugeh

Resepi cili:

1. Kisar cili padi, cili besar dan bawang putih.

2. Masukkan ke dalam mangkuk lalu masukkan sedikit gula dan garam.

3. Siap!

Tips: Kisar tiga labu bawang putih jeruk lalu masukkan ke dalam sup. Kisar bawang putih dengan air jeruk untuk dapatkan rasa yang lebih sedap.

Dah tahu resepi mee celup viral Thai pasti memudahkan anda untuk membuatnya. Masak untuk jamuan, perayaan atau sewaktu tetamu datang ke rumah pasti memuaskan. Ia dapat menjadi menu unik yang jarang ditemui jika menghadiri sesuatu majlis.

Gemar akan makanan Thailand selain mee celup? Ikuti resepi enak dan mudah yang lain dari negara ini seperti:

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.