Zaman dahulu masyarakat Melayu mendapatkan bahan asas makanan yang berada di sekeliling mereka sahaja. Oleh sebab itu, orang Melayu yang tinggal di kampung menanam pelbagai tumbuhan. Antaranya padi, ubi kayu, ubi keledek, jagung, pisang, keladi, kacang tanah, serai, cili, pucuk cekur manis dan banyak lagi.

Tanaman yang dihasilkan kebanyakan berada di sekeliling rumah atau pun di tanah kebun yang berhampiran. Bahan – bahan mentah seperti ini tidak perlu dibeli dan boleh didapati dengan mudah.

Kebanyakan masyarakat Melayu terdahulu selain bercucuk tanam di kebun atau ladang, ada juga yang menjadi nelayan di lautan. Sebelum memulakan hari di waktu pagi, biasanya mereka akan bersarapan terlebih dahulu sebagai alas perut sebelum mula bekerja. Ia diikuti pula dengan makan tengahari serta makan malam.

Antara makanan yang sering dimakan oleh masyarakat Melayu suatu tika dahulu adalah seperti yang disenarai di bawah :

#1. Ubi Rebus

Ketika zaman penjajahan Jepun dahulu, makanan ruji utama masyarakat Melayu adalah ubi rebus kerana sukar mendapatkan beras untuk dimakan. Ubi direbus dan dimakan begitu sahaja atau turut dicicah dengan kelapa parut. Malah, ia turut dimakan bersama kopi panas.

Ubi Rebus

Imej via intaidapur

Selain dijadikan sebagai alas perut, ubi juga mempunyai beberapa khasiat seperti mengubati penyakit reumatik, demam, sakit kepala, diarrea, kecacingan, kabur mata, nafsu makan, luka bernanah dan luka akibat kena panas.

Ubi Rebus

Imej via facebook

#2. Lempeng

Lempeng menjadi makanan masyarakat Melayu suatu tika dahulu. Ia merupakan makanan ringan yang boleh dimakan semasa sarapan pagi atau minum petang.

Lempeng

Imej via explorerasa

Terdapat dua jenis lempeng iaitu lempeng biasa dan lempeng kelapa. Lempeng berbentuk leper yang dimakan bersama sambal bilis atau kuah kari. Malah, ia juga boleh dimakan dengan mencicah kopi panas.

Lempeng

Imej via xalkimia

#3. Pisang Rebus

Pisang rebus biasanya diperolehi dari tanaman yang dihasilkan di sekitar rumah. Ia biasanya dimakan bersama parutan kelapa. Hidangan ini kaya dengan sumber tenaga, gula serta tidak mengandungi kolesterol dan tidak berminyak.

Pisang Rebus

Imej via butterkicap

Pisang yang sering dijadikan pisang rebus adalah dari jenis pisang nipah, pisang nangka, pisang abu dan pisang lang. Malah, pisang – pisang tersebut mestilah yang sudah hampir masak dan ia akan direbus untuk dijadikan sarapan pagi.

Pisang Rebus

Imej via mamakitchen

Masyarakat Melayu dahulu biasanya akan merebus atau mengukus pisang tersebut dan membawanya ke ladang atau sebagai bekalan di laut. Ia tidak mudah basi atau pun rosak.

#4. Nasi Lemak

Nasi Lemak merupakan makanan kegemaran ramai. Biasanya ia dijadikan sarapan pagi, namun seiring dengan peredaran zaman, kini ianya boleh dinikmati pada bila – bila masa sahaja.

Nasi Lemak

Imej via tokomesin

Nasi lemak dimasak menggunakan santan. Ia juga ditambah dengan hirisan bawang merah, halia dan serai. Malah, daun pandan juga dimasukkan bagi memberi aroma yang lebih mengliurkan. Orang Melayu biasanya menikmati nasi lemak bersama telur rebus, ikan bilis goreng dan juga sambal.

Nasi Lemak

Imej via xtra

Namun, pada hari ini nasi lemak dihidangkan bersama pelbagai jenis lauk seperti ayam, daging, udang, sotong, paru, limpa serta hati lembu.

#5. Lemang

Lemang merupakan sejenis makanan tradisi Melayu yang wajib ada semasa sambutan Hari Raya. Ia antara makanan kegemaran ramai termasuklah kaum Cina, India dan sebagainya.

Lemang

Imej via facebook

Sejak tahun 1864, lemang telah direkodkan sebagai hidangan istimewa yang disukai ramai. Makanan ini biasanya disajikan bersama rendang ataupun serunding.

Lemang

Imej via myrokan

Lemang diperbuat daripada beras pulut, santan dan sedikit garam. Ia akan dimasukkan ke dalam ruas buluh yang dilapik dengan daun pisang, sebelum dibakar sehingga masak.

Kaedah memasak lemang menggunakan buluh ini diadaptasi dari kaum asli di Malaysia. Rasa lemang yang lemak ini sememangnya enak sekali.

#6. Tapai

Tapai merupakan hidangan pencuci mulut yang diperbuat daripada beras pulut atau ubi kayu. Namun, tapai pulut lebih popular dan digemari ramai berbanding tapai ubi. Tapai pulut lebih enak dan rasanya lemak berbanding tapai ubi yang kurang enak.

Tapai

Imej via facebook

Bahan yang digunakan untuk membuat tapai agak ringkas seperti beras pulut atau ubi kayu, ragi dan sedikit gula. Kesemua bahan akan dicampur bersama dan dibungkus menggunakan daun tapai. Setelah siap dibungkus, ia akan disimpan dan diperam di dalam pasu tempayan besar yang ditutup dengan kain selama 3 hari. Tapai ini akan masak secara semulajadi dan setelah diperam ia sudah boleh dimakan.

Tapai

Imej via facebook

Air tapai rasanya manis dan boleh diminum, malah ia juga turut dijadikan sebagai ubat tradisional. Terdapat pantang larang semasa hendak membuat tapai. Seseorang itu tidak boleh memakan sirih atau mendekatkan dengan benda yang berwarna merah semasa tapai ini sedang dibungkus. Jika melanggar pantang, maka tapai tersebut akan bertukar warna menjadi merah dan rasanya pula tidak sedap.

Ketika membungkus, orang tersebut tidak boleh memakan benda – benda masam kerana tapai juga akan berubah menjadi masam. Tapai yang telah masak perlu dihabiskan dalam tempoh 2 hari kerana rasanya akan menjadi semakin manis. Ia boleh dimakan bersama cendol, atau dicampurkan dengan santan kelapa serta sedikit ais.

#7. Belacan

Masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh berpisah dengan belacan. Hampir kebanyakan makanan Melayu menggunakan belacan sebagai bahan masakan. Belacan merupakan perisa yang diperbuat daripada udang kecil atau udang geragau yang dikisar serta dimampatkan sebelum dijemur sehingga kering.

Belacan

Imej via shehanzstudio

Ia mempunyai bau yang agak kuat, namun rasanya tetap enak dan disukai ramai. Belacan yang dibakar sedikit sebelum digunakan lebih membangkitkan aromanya. Ia sering ditumbuk bersama cili untuk dijadikan sambal belacan yang menjadi kegemaran masyarakat Melayu.

Sambal Belacan

Imej via tumis

Pada masa kini, belacan turut digemari oleh bangsa bukan Melayu.

#8. Rendang

Rendang sebenarnya makanan yang berasal dari Padang dan salah satu hidangan istimewa masyarakat Minangkabau. Namun, ia telah menjadi salah satu makanan tradisi masyarakat Melayu sejak dahulu lagi.

Rendang

Imej via iresepi

Hidangan ini diperbuat daripada daging atau pun ayam, malah ada juga yang menggunakan daging itik untuk menghasilkan. Ia dimasak bersama cili giling, santan, serai, daun kunyit, halia, bawang merah yang kemudiannya dimasak beberapa jam.

Rendang Daging

Imej via friedchillies

Biasanya rendang disajikan bersama lemang atau nasi himpit menjelang sambutan Hari Raya setiap tahun. Malah, rendang juga turut dijadikan hidangan harian masyarakat Melayu.

#9. Putu Piring

Putu piring merupakan salah satu kuih tradisi masyarakat Melayu. Ia diperbuat daripada tepung ubi dan tepung beras, serta berintikan gula Melaka.

Putu Piring

Imej via facebook

Ia mendapat nama sempena bentuknya seperti piring. Kuih ini akan dibalut dengan kain putih sebelum dikukus dalam periuk khas.

Putu Piring

Imej via danielfooddiary

Setelah masak, ia akan diletakkan di atas kepingan kecil daun pisang yang dialas dengan inti kelapa parut muda.

#10. Botok – Botok

Botok- botok merupakan makanan tradisi masyarakat Johor. Ia seakan telur pindang yang hanya boleh disediakan oleh generasi lama di Johor sahaja bagi mendapatkan hasil yang terbaik.

Botok-botok

Imej via facebook

Hidangan ini dibungkus menggunakan daun pisang dan apabila dibuka anda akan melihat beberapa kepingan ikan yang diselaputi dengan banyak rempah ratus. Ikan yang sering digunakan untuk hidangan ini adalah ikan tenggiri atau ikan merah.

Botok-botok

Imej via hungrygowhere

Rempah ratus yang digunakan begitu istimewa yang menggunakan pelbagai herba termasuk beberapa jenis daun pokok bunga puding.

#11. Cencalok

Masyarakat Melayu di Melaka masih mengekalkan kepelbagaian makanan tradisionalnya. Cencaluk antara yang begitu popular di serata Malaysia.

Ia merupakan sejenis lauk yang boleh dimakan bersama nasi. Cencaluk diperbuat daripada udang halus atau udang geragau. Udang ini akan dicampurkan dengan air dan sedikit nasi.

Cencaluk

Imej via drzeze

Setelah ketiga-tiga bahan tadi sudah menjadi sebati, ia seterusnya akan dimasukkan ke dalam sebuah bekas iaitu pasu atau tempayan kecil dan ditutup rapat-rapat dengan menggunakan kain bersih dan diperam selama 3 hari.

Cencaluk

Imej via norazlitaaziz

Apabila ingin dimakan bersama nasi, ianya hendaklah dicampurkan dengan cili padi dan bawang besar yang dihiris. Kemudian perahan jus limau nipis atau limau kasturi dicampurkan untuk memberi rasa yang lebih sedap.

#12. Dodol

Dodol adalah sejenis pencuci mulut yang begitu terkenal di negeri Melaka. Pembuatannya agak rumit sehinggakan generasi muda masa kini tidak mahir membuatnya. Hanya generasi terdahulu yang handal menghasilkan dodol yang lemak manis.

Bahan-bahan yang digunakan untuk membuat dodol terdiri daripada santan kelapa, tepung beras, gula pasir, gula melaka dan garam. Kesemua bahan akan dicampurkan ke dalam kuali yang besar atau kawah dan dimasak dengan api yang sederhana besar.

Dodol

Imej via asapdapur

Dodol hendaklah sentiasa dikacau secara bergilir-gilir untuk mendapatkan hasil yang baik. Ia tidak boleh dibiarkan kerana jika dibiarkan, dodol akan hangus atau hangit dan melekat di bahagian bawahnya dan menghasilkan kerak.

Ia memakan masa yang agak lama iaitu lebih kurang 4 jam. Sekiranya dimasak kurang dari 4 jam, dodol yang dihasilkan rasanya tidak sedap. Warna dodol akan bertukar kepada warna coklat kehitaman setelah 2 jam dodol dimasak.

Dodol

Imej via friedchillies

Ia akan mendidih dan mengeluarkan gelembung-gelembung udara yang banyak. Dodol hendaklah sentiasa dikacau supaya gelembung dodol tersebut tidak terkeluar dari kawah.

Untuk mendapatkan hasil yang terbaik serta sedap, dodol mestilah berwarna coklat tua, berkilat dan pekat. Setelah sejuk, dodol tersebut boleh dipotong dan dimakan. Kebiasaannya dodol akan dihidang kepada tetamu pada hari-hari tertentu seperti hari-hari perayaan dan majlis kenduri.

#13. Rendang Pucuk Ubi

Rendang Pucuk Ubi ini merupakan salah satu hidangan yang berasal dari Negeri Sembilan. Ia menggunakan daun – daun kayu serta pucuk ubi yang dimasak kering sehingga daun bertukar menjadi kering dan gelap sebelum dihidangkan.

Rendang Pucuk Ubi

Imej via gramha

Makanan ini juga sudah semakin sukar ditemui melainkan di Negeri Sembilan. Namun, tidak ramai yang membuatnya kerana proses penyediaannya mengambil masa yang agak lama.

Rendang Pucuk Ubi

Imej via vitdaily

#14. Kerabu Kaduk

Kerabu kaduk adalah sangat popular di kalangan masyarakat Melayu. Ia menggunakan pucuk daun kaduk yang lembut serta dicampur dengan bahan – bahan lain seperti cili, udang kering, kelapa dan sebagainya.

Kerabu Kaduk

Imej via 365timeline

Biasanya ia sangat popular menjelang bulan Ramadhan dan dikatakan agak susah ditemui lagi pada masa kini. Namun, ia boleh dijumpai di kawasan perkampungan kecil di pantai timur.

Kerabu Kaduk

Imej via namakucell

#15. Ikan Bakar Tanah Liat

Adalah agak mustahil untuk melihat ikan dibakar menggunakan tanah liat pada masa kini. Namun, makanan ini masih dipraktikkan oleh masyarakat Melayu di negeri Perlis.

Penduduk Perlis menggunakan tanah sawah atau tanah yang diambil dari telaga untuk membalut ikan.

Ikan Bakar Tanah Liat

Imej via ohbulan

Setelah dibalut, ikan tersebut akan dibakar atas dan bawah sepertimana membakar kuih bahulu secara tradisional. Tanah yang membalut ikan akan merekah bagi menandakan ikan tersebut telah masak dan boleh dimakan.

Ikan Bakar Tanah Liat

Imej via ohbulan

#16. Otak – Otak

Bagi masyarakat Melayu yang tinggal di kawasan perkampungan nelayan, otak – otak begitu sinonim dan rapat dengan mereka. Otak – otak biasanya dijadikan sebagai hidangan ringan di waktu petang.

Otak Otak

Imej via rojakdaily

Lazimnya ia dibungkus menggunakan daun nipah atau daun kelapa. Ia diperbuat daripada isi ikan laut, malah isi ikan air tawar juga boleh dijadikan otak – otak. Ikan air tawar yang sesuai adalah ikan patin, ikan keli dan ikan tilapia merah.

Otak Otak

Imej via mpoc

Otak – otak yang siap dibungkus akan dibakar di atas dapur arang atau dapur biasa. Ianya enak dimakan semasa masih panas.

#17. Ketupat

Ketupat merupakan salah satu hidangan istimewa yang disajikan semasa perayaan Hari Raya. Ia diperbuat menggunakan beras atau beras pulut yang dibungkus menggunakan daun kelapa dan direbus sehingga masak.

Ketupat

Imej via foodforte

Selain ketupat daun kelapa, terdapat juga ketupat daun palas yang sangat popular di negeri Pantai Timur dan di sebelah utara. Ketupat palas merupakan ketupat pulut yang dibalut menggunakan daun palas.

Ketupat

Imej via popmama

Ia biasanya dianyam terlebih dahulu sebelum dimasukkan dengan pulut yang telah dimasak. Ketupat ini boleh dimakan begitu sahaja, atau dimakan bersama serunding malah ia boleh digoreng dahulu sebelum dimakan.

#Kesimpulan

Masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh dipisahkan dengan nasi kerana merupakan makanan ruji penduduk Asia. Di Malaysia, padi di tanam di Kedah dan Perlis yang juga dikenali sebagai Rice Bowl Of Malaysia.

Makanan Melayu tidak lengkap sekiranya tiada lauk pauk serta ulam – ulaman. Biasanya masakan Melayu berkisar kepada cili, santan dan belacan. Malah, ia bukan sahaja terkenal dengan keenakannya tetapi kepedasan rempah ratus yang digunakan.

Pelbagai rempah ratus yang terdiri dari rempah basah dan rempah kering digunakan dalam masakan Melayu. Selain itu, tidak ketinggalan juga penggunaan pelbagai daun herba digunakan bagi menambah rasa pada masakan.

Makanan tradisi masyarakat Melayu masih diteruskan hingga ke hari ini kerana permintaan terhadapnya masih tinggi. Malah, ia sememangnya harus diteruskan supaya generasi akan datang dapat mengenali serta menikmati hidangan dari zaman nenek moyang yang kian hilang.

Penulis: Harwati Rukari

Harwati Rukari

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.