Indonesia sememangnya terkenal dengan hidangan yang kaya dengan rempah ratusnya. Penghijrahan masyarakat Indonesia ke tanahair kita telah membawa pelbagai jenis budaya dan salah satunya adalah budaya masyarakat Jawa.

Terdapat ramai masyarakat Jawa yang sudah menetap serta bermastautin di Malaysia, malah ada yang menjadi warganegara di sini. Maka, tidak hairanlah makanan Jawa begitu terkenal dan mendapat sambutan. Namun, pada hari ini terdapat makanan Jawa yang sudah tidak dikenali lagi.

Biarpun terdapat makanan yang agak popular, namun ada juga yang sudah tidak diteruskan lagi oleh generasi masa kini. Bagi mengelakkan ini terjadi, lebih baik kita melihat senarai nama makanan Jawa yang semakin dilupakan.

Dengan adanya artikel ini, anak Jawa mungkin boleh meneruskan semula legasi makanan Jawa di masa hadapan.

#1. Nasi Ambeng

Nasi ambeng merupakan hidangan istimewa masyarakat jawa. Ia merupakan nasi putih yang dihidangkan dan diletakkan di atas dulang bersama lauk – pauk yang mengelilingi nasi putih tersebut.

Nasi ambeng

Imej via eatbook

Antara lauk – pauk yang disajikan bersama adalah sambal goreng, bergedil, ikan goreng telur rebus, tempe goreng, bihun goreng, urap, serunding kelapa dan opor ayam. Biasanya nasi ambeng disajikan di majllis – majlis kenduri sebagai tanda kesyukuran. Nasi ini jika dimakan menggunakan dulang akan dipanggil nasi ambeng, namun jika dibungkus dan dibawa pulang oleh tetamu ia akan dinamakan ‘berkat’.

Nasi ambeng

Imej via facebook

Biasanya hidangan ini akan dimakan beramai – ramai antara empat hingga lima orang dewasa. Bagi menikmati hidangan ini, nasi dimakan menggunakan tangan sahaja tanpa menggunakan sudu mahupun garfu.

Nasi ambeng ini turut membawa pengertian agar setiap orang atau semua pihak dikurniakan dengan rezeki yang banyak. Di Malaysia, nasi ambeng ini semakin popular dan diminati ramai terutama dari kalangan yang berketurunan jawa.

#2. Pecal

Pecal merupakan hidangan beraneka sayuran yang dimakan bersama sambal pecal atau sambal kacang. Bahan yang dimakan bersama sambal ini terdiri dari tauhu, taugeh, kacang panjang, timun, kangkung dan tempe. Kesemua bahan ini akan dicampurkan bersama sambal kacang dan digaul mesra.

Pecal

Imej via facebook

Makanan ini turut popular di Yogyakarta, Jawa Timur dan juga Jawa Tengah, malah di Malaysia ia turut menjadi kegemaran ramai. Pecal dalam bahasa Jawa membawa maksud tumbuk atau dihancurkan dengan cara menumbuk.

Pecal

Imej via facebook

#3. Tempe

Tempe berasal dari kacang soya yang telah melalui proses penapaian. Ia sangat terkenal di Asia Tenggara dan merupakan makanan masyarakat Jawa.

Tempe

Imej via lifestyle.okezone

Antara masakan Jawa yang menggunakan tempe adalah sambal goreng, lodeh dan banyak lagi. Ia juga boleh digoreng atau juga dikukus dan enak dimakan bersama sambal kicap.

Tempe

Imej via pontianak.tribunnews

Pada zaman penjajahan Jepun suatu tika dahulu, tempe menjadi salah satu makanan ketika itu dan ia bukan dihasilkan daripada kacang soya, tetapi dihasilkan daripada biji getah.

#4. Sambal Goreng

Sambal goreng sememangnya sedap, tambahan pula ia dimakan bersama nasi putih pastinya menggetarkan jiwa. Ia juga boleh dimakan begitu sahaja dan keenakannya tetap terpelihara.

Sambal goreng

Imej via mahamahu

Antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan sambal goreng ini adalah tempe, udang, kacang, hati, ikan bilis, kentang, kicap, garam, gula dan banyak lagi. Sambal ini menampilkan rasa manis, pedas dan lemak serta cukup berbeza dari sambal – sambal lain.

Sambal goreng

Imej via facebook

Hidangan ini begitu popular di kalangan masyarakat Jawa malah sering dijadikan lauk hidangan semasa majlis – majlis kenduri masyarakat Jawa.

#5. Ungkep

Mungkin ada yang tidak mengetahui tentang masakan ungkep ini. Ia merupakan antara hidangan tradisional masyarakat Jawa yang begitu popular.

Aroma yang begitu memukau cukup menyelerakan. Rasanya pula sukar digambarkan dengan kehadiran rasa lemak, manis, pedas serta wangi serai cukup menarik hati. Ia boleh dimakan begitu sahaja.

Ayam ungkep

Imej via uniek88

Ungkep ini menggunakan ayam samada ayam kampung mahupun ayam biasa. Namun, jika menggunakan ayam kampung,  isinya lebih manis dan teksturnya juga berbeza. Ayam ini dimasak menggunakan rempah ratus yang begitu istimewa dan meresap ke dalam ayam.

Ayam ungkep

Imej via says

Perkataan ungkep membawa maksud tutup di mana, ketika memasak ayam, ianya perlu ditutup ketika mendidih. Hidangan ini juga sering dijadikan salah satu menu wanita yang sedang berpantang. Pelbagai bahan campuran seperti halia, kunyit serta ketumbar memberikan rasa hangat kepada tubuh badan wanita yang berpantang.

Ayam ungkep ini adalah kering dan boleh disimpan beberapa hari tanpa mudah basi kerana dimasak dalam tempoh yang agak lama.

#5. Rempeyek

Rempeyek merupakan snek ringan masyarakat Jawa dan begitu popular menjelang perayaan. Ia dihasilkan daripada tepung beras, santan, jintan, ikan bilis serta kacang, dan digoreng menggunakan acuan khas.

Rempeyek

Imej via mohonclashh

Rempeyek ini begitu rangup serta menyelerakan. Kini, ia bukan sahaja dipelopori oleh masyarakat Jawa, namun masyarakat lain juga sudah mula mengkomersialkan rempeyek ini.

Rempeyek

Imej via anggunmuslimah

#6. Lemper Pulut Ayam @Daging

Lemper merupakan makanan ringan yang menggunakan beras pulut. Bahagian dalam pulut ini diletakkan isi ayam, ikan atau daging floss. Inti ini akan digulung di dalam beras pulut dan dibungkus di dalam daun pisang.

Lemper Pulut

Imej via idntimes

Lemper pulut ini juga kelihatan seperti kuih masyarakat Cina iaitu bak chang dan seakan onigiri Jepun. Beras pulut yang telah siap dibungkus akan dikukus atau dibakar dan akan membangkitkan aroma yang begitu menyelerakan.

Lemper Pulut

Imej via thehalalfoodblog

#7. Getuk Ubi

Getuk ubi antara makanan ringan masyarakat Jawa. Ia dihasilkan menggunakan ubi kayu yang direbus sehingga lembut. Ubi ini kemudiannya akan ditumbuk atau digiling sehingga halus.

Getuk ubi

Imej via ohbulan

Ubi yang telah siap ditumbuk halus akan dihidangkan bersama kelapa parut yang dicampur dengan sedikit gula dan garam. Masyarakat kini telah mengolah makanan ini dengan menggorengnya setelah dicelup tepung.

Getuk ubi

Imej via ummurifqi

Ia menjadi makanan kegemaran ramai biarpun bukan dari keturunan Jawa.

#8. Punten Nasi Bersama Sambal Bilis

Punten begitu terkenal di sekitar daerah Sabak Bernam Selangor. Ia merupakan makanan tradisi masyarakat Jawa di daerah tersebut.

Nasi punten

Imej via facebook

Punten ini seakan – akan nasi himpit yang begitu popular. Namun, terdapat sedikit perbezaan antara nasi himpit dan juga punten di mana ia mengandungi santan dan juga garam. Terdapat sesetengahnya mencampurkan daun pandan semasa merebus beras bagi membangkitkan aroma.

Nasi punten

Imej via facebook

Setelah beras dan masak siap dimasak, ia akan ditumbuk sehingga halus menggunakan lesung. Kemudian, ia akan ditekan di dalam bekas Loyang sehingga padar sebelum dipotong menjadi empar segi.

Punten biasanya dimakan bersama sambal cili padi dan bawang, sambal bilis dan enak dimakan pada waktu pagi dan petang.

#9. Jenang Kudus

Jika rakyat Malaysia begitu terkenal dengan dodol, masyarakat Jawa juga mempunyai makanan seakan dodol yang dikenali dengan nama jenag kudus. Ia diperbuat daripada tepung beras pulut, santan serta gula Jawa dan merupakan makanan ringan dari Kudus, Jawa Tengah.

Jenang kudus

Imej via omiyago

Semasa proses menghasilkan jenang kudus ini, tepung beras pulut akan digaul rta bersama air secukupnya. Ia kemudiannya dicampurkan dengan gula pasir, gula merah dan juga bijan. Adunan ini kemudiannya dimasak hingga sebati dan kental.

Jenang kudus

Imej via negerikuindonesia

Setelah ianya siap dimasak, jenang kudus akan disejukkan terlebih dahulu sebelum dibungkus dengan plastik. Proses  memasak jenang kudus ini mengambil masa selama empat jam menggunakan kayu seakan dayung sampai untuk memasak kuih ini.

Tekstur jenang kudus lebih lembut berbanding dodol serta memiliki rasa yang istimewa. Selari dengan perubahan zaman, jenang kudus ini mempunyai rasa baru seperti perisa durian, susu, halia, strawberi dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, warna aslinya masih dikekalkan iaitu warna coklat kerana ia diperbuat daripada gula jawa.

#10. Garang Asem

Garang asem merupakan makanan tradisional masyarakat di Jawa Tengah. Hidangan ini menggunakan ayam sebagai bahan utamanya yang dimasak menggunakan santan serta asam. Ia merupakan hidangan yang didominasi dengan rasa masam dan pedas.

Garang Asem

Imej via notepam

Garang asem basanya disajikan bersama nasi, ayam masam manis, tempe serta bergedil. Ia menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang begitu bertetapan dengan citarasa masyarakat Jawa.

Garang Asem

Imej via resepkoki

Terdapat pelbagai jenis garang asem yang lain seperti garang asem daging, garang asem ayam, garang asem ayam bening dan banyak lagi.

#11. Nasi Grombyang

Nasi grombyang merupakan nasi campur yang berasal dari masyarakat Pemalang, Jawa Tengah. Nama hidangan ini begitu unik dan dinamakan berdasarkan cara penyediaan nasi ini iaitu kuahnya adalah lebih banyak berbanding lauk.

Nasi grombyang

Imej via idntimes

Oleh kerana kuahnya yang agak banyak, maka makanan tersebut menjadi berkuah dan kelihatan ianya bergetar dan bergoyang di dalam mangkuk sehingga ada yang  menggelarnya nasi grombyang. Nasi grombyang ini begitu enak dimakan bersama sate kerbau.

Nasi grombyang

Imej via rarasarum

Hidangan ini telah pun wujud sejak era 60-an lagi. Pada ketika itu, penjual nasi grombyang menjaja secara tidak tetap tetapi menjual di sekitar kawasan kampung.

#12. Mee ongklok

Mee ongklok ini kelihatan seperti mee ayam di mana meenya direbus bersama kubis dan juga daging cincang. Kuah mee ongklok ini turut dicampurkan dengan ubi kayu dan menghasilkan kuah yang lebih pekat berbanding mee ayam.

Mee ongklok

Imej via jatenglive

Hidangan ini banyak terdapat di warung, restoran atau juga dijaja sekeliling kampung. Mee ini biasanya dimakan bersama sate daging, tempe serta kerepek tauhu. Makanan ini biasanya sangat sesuai dimakan pada musim sejuk atau hujan.

Mee ongklok

Imej via obyekwisatadieng

#13. Mangut Beong

Salah satu makanan tradisional Jawa yang berasal dari kota Magelang adalah mangut beong. Mangut merupakan gulai khas yang berasal dari daerah Jawa seperti Yogyakarta, Semarang dan Pati. Beong pula merupakan nama ikan yang banyak terdapat di daerah Magelang.

Mangut beong

Imej via fahmianhar

Kuah mangut terdiri dari campuran rempah serta santan. Penggabungan bahan – bahan serta ikan boeng ini ternyata menghasilkan rasa yang begitu enak sekali.

Mangut boeng

Imej via traveltodayindonesia

Beong merupakan ikan air tawar yang hidup di sungai-sungai besar dengan aliran air yang cukup deras. Rupanya seakan ikan keli, tekstur dagingnya agak kasar tidak seperti ikan patin, malah tidak mudah hancur. Ikan ini juga kaya dengan sumber protein dan sumber nutrisi yang lain.

#14. Tongseng

Tongseng adalah makanan tradisional dari Jawa Tengah yang menggunakan daging lembu, kambing atau kerbau. Ia merupakan gulai yang diperbuat daripada rempah ratus yang lebih ‘tajam’. Biasanya daging yang digunakan adalah daging yang masih melekat pada tulang, terutamanya yang terdapat pada tulang rusuk dan tulang belakang haiwan.

Tongseng

Imej via merahputih

Bahan – bahan utama yang terdiri daripada cili, bawang putih, tomato, kicap dan sebagainya akan ditumis. Ia turut dicampurkan dengan santan bagi menepati selera masyarakat Jawa. Tongseng biasanya dijual bersama dengan sate kambing.

Tongseng

Imej via facebook

#15. Serabi Solo

Serabi solo merupakan hidangan ringan atau pencuci mulut masyarakat Jawa tengah. Ia seakan – akan pancake namun lebih tradisional. Ia begitu digemari oleh semua lapisan masyarakat kerana rasanya yang manis.

Serabi solo

Imej via facebook

Serabi solo ini diperbuat daripada tepung beras, santan serta gula dan dimasak menggunakan kayu arang. Setelah siap dimasak, serabi ini akan diletakkan topping yang pelbagai seperti hirisan nangka, pisang atau juga coklat.

Serabi solo

Imej via

Kuih ini berbentuk bulat dan nipis serta garing. Di bahagian tengahnya pula lebih gebu dan padat. Serabi solo ini yang telah wujud sejak tahun 1923 turut dikenali sebagai serabi notosuman yang merupakan sebuah daerah di Indonesia.

#16. Horok-Horok

Horok-horok adalah makanan tradisional semakin sukar ditemui. Ia diperbuat daripada tepung jagung yang dikukus selama 15 minit dan dipotong kecil setelah masak. Kuih ini memiliki tekstur yang agak kenyal dan boleh dimakan bersama bakso dan lain – lain hidangan.

Horok - horok

Imej via ksmtour

Ia juga boleh dicampurkan dengan sedikit santan serta gula pasir dan dimakan seperti bubur. Horok – horok yang bertekstur kenyal ini memiliki sensasi serta rasa yang istimewa di saat anda menikmatinya. Horok – horok ini juga boleh dimakan sebagai pengganti nasi mahupun lontong kerana ia memiliki kandungan karbohidrat yang tinggi.

Horok - horok

Imej via food.detik

#17. Mendoan

Mendoan makanan yang diperbuat daripada tempe. Ia hampir sama dengan tempe goreng namun disaluti adunan tepung yang sebelum digoreng.

Mendoan

Imej via facebook

Tempe yang digunakan untuk menghasilkan mendoan ini adalah tempe yang agak nipis dan lebar. Makanan ringan ini adalah berasal dari Banyumas, Jawa Tengah di mana ‘mendoan’ berasal dari perkataan “mendo”. Ia membawa maksud “setengah masak” atau lembek.

Mendoan

Imej via facebook

Maka tidak hairanlah jika mendoan yang siap digoreng adalah lembek kerana digoreng setengah masak. Mendoan ini begitu enak dinikmati ketika masih panas. Ia boleh dimakan bersama sambal kicap atau boleh dimakan bersama cili padi.

Biasanya mendoan ini dijadikan sebagai lauk dan juga makanan ringan semasa bersantai bersama teman – teman serta keluarga.

#18. Ayam Engkong

Ayam engkong merupakan salah satu hidangan yang sering disajikan semasa majllis – majlis kenduri bagi masyarakat Jawa. Biasanya untuk menghasilkan hidangan ini, ayam kampung dan ayam tua paling sesuai dijadikan bahan utama. Ini kerana isinya yang tidak mudah hancur dan lebih manis.

Ayam engkong

Imej via facebook

Antara bahan lain yang turut digunakan adalah seperti jintan halus dan kasar, ketumbar, serai, halia, santan serta beberapa bahan lain digunakan hampir 20 jenis bahan. Ayam engkong ini turut disajikan sebagai salah satu juadah hari raya masyarakat Jawa.

Ayam engkong

Imej via facebook

Kesimpulan

Begitu banyak makanan tradisi masyarakat Jawa yang semakin ditinggalkan. Tidak ramai yang masih meneruskan legasi makanan Jawa di negara ini.

Malah, ada yang langsung tidak pernah mendengar nama makanan yang sememangnya makanan masyarakat Jawa. Oleh itu, jika anda merupakan anak Jawa, marilah sama – sama kita memperkenalkan hidangan warisan kepada generasi yang akan datang.

Penulis: Harwati Rukari

Harwati Rukari

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.