Nilai 3 merupakan kawasan membeli belah yang terbesar di Nilai. Banyak barang yang boleh dibeli di sini. Dari kain pasang, cadar, peralatan dapur, perabot, dan macam – macam barangan yang ada.

Kalau datang pada waktu hujung minggu sudah pasti ramai pelanggan di sekitar kawasan ini. Sambil memilih barangan yang diingini, pastinya perut pun terasa lapar. Apa kata kita tinjau di mana hendak menjamu selera di sini.

Sup Be Dengung

Imej via facebook

Ada satu kawasan yang dikhaskan untuk pengusaha gerai makanan. Ia terletak berhampiran deretan kedai yang terdapat di Nilai 3 ini. Namun, jangan terkejut jika tidak ramai yang berniaga di sini.

Antara gerai yang masih bertahan mengusahakan perniagaan di sini adalah milik Pak Aji yang mengusahakan hidangan sup berdengung. Sebaik sahaja anda tiba di gerai ini, aroma sup yang begitu memukau pasti menusuk ke hidung anda. Pastinya anda tidak sabar untuk menjamu selera di sini.

Pelbagai Jenis Sup

Terdapat beberapa pilihan sup yang boleh anda nikmati di sini. Antaranya sup ayam, sup daging, sup usus, sup pentol, sup ekor dan bermacam lagi. Ternyata hidangan sup di sini tidak mengecewakan.

Kalau anda sedang demam, hiruplah sup yang ada di sini. Pastinya badan terasa segar dan kembali bertenaga. Sup berdengung mendapat nama kerana sambal yang dimakan bersama agak pedas dan terasa berdengung telinga jika makan agak banyak.

Sup Be Dengung

Imej via facebook

Selain hidangan sup, terdapat juga lauk pauk yang boleh dimakan bersama nasi putih. Sambal udang yang dihidangkan menggunakan udang yang segar dan masih terasa manisnya. Ikan goreng, ikan sambal, tempe goreng, itik masak lemak cili padi, sayur – sayuran goreng, ulam – ulaman bersama sambal belacan dan bermacam lagi. Ikan masin seperti sepat, kurau, bulu ayam turut terdapat di sini.

Anda juga boleh memesan bihun sup, mee sup atau kuetiaw sup jika tidak mahu menjamah nasi sewaktu makan tengahari. Tidak lokek dengan bahan – bahan tambahan di dalam sup membuatkan ia menjadi pilihan ramai.

Sup Berdengung Tanpa Ajinomoto

Sup yang dihidangkan di sini tidak menggunakan sebarang perasa tambahan. Malah, ia juga tidak menggunakan sebarang rebusan tulang lembu mahupun tulang ayam. Jadi, apakah agaknya ramuan sebenar yang digunakan  untuk menghasilkan sup yang sedap di gerai ini?

Lauk Sup Be Dengung

Imej via facebook

Sebenarnya, Pak Aji menggunakan rempah sup yang dihasilkan sendiri. Namun, ramuan dalam rempah ratus tersebut tidak dirungkaikan oleh Pak Aji. Walau bagaimana pun, sup Pak Aji dicampurkan dengan madu asli bagi menggantikan perasa tambahan atau ajinomoto.

Kelebihan menggunakan madu asli sebenarnya turut memberi pelbagai khasiat buat para pelanggannya. Selain, menjadikan hidangan sup semakin sedap, madu ini turut memanaskan badan serta menjadikan badan lebih sihat.

Sambal Belacan Sunquick

Pernah tak anda makan sambal belacan berwarna kuning dan dicampurkan dengan sunquick mangga ? Biasanya sambal belacan dicampurkan bersama perahan limau, air asam jawa, atau cuka. Tetapi, gerai sup berdengung ini terkenal dengan sambal belacan sunquick dan sentiasa mendapat sambutan dari pelanggan yang datang.

Sup Be Dengung

Imej via facebook

Gabungan cili, belacan dan juga sunquick mangga itu menghasilkan rasa masam, manis dan masin dalam sambal belacan. Sememangnya ia gabungan yang begitu serasi. Sambal belacannya pula berwarna kuning dan cantik sekali.

Gerai ini dibuka setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam dan menjadi tumpuan orang ramai menjelang tengahari.

Alamat :187-196, Jalan Nilai 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, 71800 Nilai, Negeri Sembilan

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.