Sebut sahaja tentang laksa, kami yakin ianya pasti merupakan makanan kebanyakan pembaca di sini, bukan?
Ada pelbagai jenis laksa di negara kita, ada Laksa Utara, Laksa Johor, Laksa Sarawak dan banyak lagi. Kesemuanya berbeza dari segi rasa dan tekstur, tetapi keenakannya masih sama.
Pernahkah anda terdengar tentang laksa telur goreng bersarang? Hidangan ini cukup terkenal di Perak, terutamanya di sekitar Kuala Kangsar dan Ipoh.
Kepada pembaca yang teringin untuk merasai laksa telur goreng bersarang, singgah saja di kafe di Ipoh ini iaitu Kafe Setinggan.
Laksa yang biasa kita rasai selalunya dihidangkan bersama telur rebus atau telur mata. Namun di sini, keunikan utama menu ini iaitu telur goreng bersarang merupakan tarikan istimewa hidangan laksa ini.
Usah ragu-ragu tentang rasanya, sama enak sahaja seperti laksa yang lain. Laksa ini juga menggunakan resepi turun-temurun istimewa milik ibu pengusaha Kafe Setinggan ini sendiri.
Untuk nama menu ini pula, ianya dinamakan bersempena dengan telur sarang. Telur yang digoreng sehingga kembang ini seterusnya akan dicampur bersama laksa biasa, jadilah laksa telur goreng bersarang!
Berharga RM 3.50 sepinggan, tekstur laksanya lembut dan kuahnya yang ditambah dengan isi ikan temenung pelaling segar juga cukup rasa pedas dan masinnya. Patutlah ramai yang memuji-muji kelazatannya!
Bukan sahaja laksa yang digemari ramai di Kafe Setinggan, malah hidangan lain juga turut menerima tempias yang sama.
Antara hidangan berat lain yang dihidangkan di sini ialah nasi lemak dan nasi kukus yang dihidangkan bersama ayam goreng berempah. Berharga RM 5 sepinggan, ianya bukan sahaja murah, malah mengenyangkan!
Sebelum menjengah ke mana-mana restoran, semestinya dekorasinya akan menarik perhatian anda sebagai pelanggan, bukan?
Dekorasi Kafe Setinggan ini memang lain daripada yang lain. Menggunakan konsep ala kampung, ianya juga mewujudkan suasana yang santai. Bolehlah anda meluangkan masa bersama keluarga atau rakan sambil bergambar di sini!
Jika anda masih menginginkan laksa biasa, jangan risau. Laksa biasa juga turut dihidangkan, malah harga yang ditawarkan juga jauh lebih murah iaitu RM 2.50 sahaja!
Untuk tambahan seperti fishball dan fishcake, anda akan dicas 80 sen manakala untuk telur bersarang pula, anda akan dicas RM 1.20. Lebih banyak lebih enak, bukan?
Kafe Setinggan memang menerima banyak review yang positif daripada pelanggannya. Dari kualiti makanan yang dihidangkan hingga ke servis yang ditawarkan, semuanya memang terbaik!
Kepada pembaca yang sudah memasang niat untuk ke sini, anda disarankan untuk datang awal supaya tidak berebut tempat duduk nanti. Berikut kami sertakan butiran Kafe Setinggan, selamat menjamu selera!
Alamat: No. 1, Jalan Margosa, D/8 Seri Margosa, Bandar Seri Botani, Ipoh Perak
Waktu Operasi: 12 tengah hari – 7 malam setiap hari manakala Jumaat bermula jam 3:30 petang – 7 malam