Jom kita ke Kota Kinabalu. Disini terdapatnya pelbagai aktiviti dan makanan berasaskan seafoood yang menarik untuk dicuba.

Kami kongsikan 15 tempat makan menarik di Kota Kinabalu yang mendpat review positif ramai.

1. Le Doux

Imej via [ Le Doux ]

Bukan sahaja sedap, malah kafe ini terkenal dengan menu-menu yang murah dan berpatutan. Semestinya menu barat menjadi pilihan ramai. Kuantitinya yang banyak pasti mengenyangkan.

Selain menu barat, anda perlu cuba keenakan aneka pastri, pemanis mulut dan kopi asli di sini. Dah rasa pasti nak datang lagi. Dekorasi kafe juga estetik, satu kelebihan buat mereka yang Instagrammable.

Alamat: Royal Plaza Putatan

Waktu operasi: 11.00 am-8.00 pm

2. Hangout Resto

Imej via [ Hangout Resto Sabah ]

Vibe di Hangout Resto tidak kurang hebatnya. Dekorasi dalaman kedai berkonsepkan hitam dan kuning serta corak yang memukau menambahkan suasana yang indah.

Jika ada yang tidak tahu, kafe ini menyajikan burger dan kentang sebagai menu utama atau ‘signature dish’ buat pengunjung dan sesuai untuk semua golongan umur. Yang pasti, pengunjung pasti rambang mata untuk memilihnya.

Bagi kanak-kanak, mereka pasti suka dengan menu istimewa mini burger yang berwarna-warni. Makan pula bersama kentang yang rangup. Bagi dewasa, anda perlu cuba Pizza Classic, Grilled Salmon & Spaghetti dan Burger Bundle.

Alamat: Lot 8, 1st Floor, Block B, Segama Commercial Centre, Kota Kinabalu, Sabah

Waktu operasi: Selasa-Ahad (3.00 pm-11.00 pm)                                         

3. Little Sulap

Imej via [ Little Sulap ]

Teringin nak makan makanan tradisional warga Sabah? Datang saja ke Little Sulap yang menjual pelbagai menu tradisi yang sedap.

Terletak di tengah-tengah kota, kafe ini juga sangat estetik. Selepas menjamu selera, bolehlah anda ootd di pelbagai sudut.

Ada set ambuyat, hinava, linopot, tuhau dan barabbo antara menu yang perlu anda cuba. Selain itu, ada juga makanan barat yang dimasak dengan citarasa tempatan. Dengar cerita, kopi di sini antara yang tersedap di Kota Kinabalu.

Alamat: 5, Lorong Dewan, Pusat Bandar Kota Kinabalu, 88000 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu operasi: Setiap hari (10.00 am-10.00 pm)

4. Salim Spicy

Imej via [ Salim Spicy ]

Anda perlu datang ke Salim Spicy jika anda mahu mencari kelainan terhadap sajian sedap di Kota Kinabalu. Apa yang berbeza? Uniknya di sini mereka menyajikan pelbagai menu India yang pasti membuatkan ramai kekenyangan.

Menu istimewa yang perlu anda cuba semestinya nasi beriani yang dimasak di dalam buluh bersama lamb shank. Dengan set ini, lengkap bersama kuah dalca dan acar. Kuantiti hidangan memang memuaskan.

Bukan itu sahaja, antara menu yang pasti menambat hati pengunjung adalah Grilled Sirloin Steak Aglio Olio, Mee Goreng Mamak Salim dan roti canai.

Alamat: Lot 69/2.1,Lorong Lintas Plaza – 2 Lintas Plaza, Jln Lintas, Luyang, 88300 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-12.00 am)

5. Steamboat Bakar Kota Kinabalu

Imej via [ Steamboat Bakar Kota Kinabalu ]

Alamat: Taman Mat Salleh Phase 2, 88200 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (5.00pm – 10.00pm)

Ini merupakan restoran steamboat yang digemari ramai di Kota Kinabalu. Anda ada banyak pilihan daging dan makanan laut di sini. Semuanya segar dan harganya juga murah. Jadi, tidak perlu risau jika anda datang beramai-ramai.

Restorannya ringkas, bersih dan santai. Tapi, tidak ramai yang menyebut mengenai hal ini melainkan makanannya yang sedap dan kesesuaiannya sebagai lokasi makan bersama keluarga. Mereka turut menyediakan ais-krim, laksa dan cendol sebagai pencuci mulut. Bagi yang beragama Islam, ada surau disediakan untuk menunaikan solat.

6. Warung Pokdi Kelate

Imej via [ Warung PokDi Kelate ]

Alamat: Sulaman Sentral, Sepanggar, 88450 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (9.00 am-6.30 pm)

Warung Pokdi Kelate terletak berhampiran One Superstore dan bersebelahan dengan Farmasi Cosway.

Mereka menghidangkan masakan semenanjung seperti Nasi Campur, Nasi Lemak, Nasi Berlauk, Nasi Kak Wok, Nasi Gulai Ikan, Nasi Dagang, Nasi Kerabu, dan Laksa Penang. Selain itu, turut ada dalam menu ialah Roti Canai Cheese, Maggi Goreng dan Kerang Cheese. Persekitarannya agak bising terutama kerana lokasinya yang berdekatan dengan tempat-tempat yang sibuk.

7. Borenos Fried Chicken

Imej via [ Borenos Fried Chicken ]

Alamat: Lot G23, Ground Floor, Star City North Complex, Jalan Asia City, 88000 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Dibuka setiap hari selama 24 jam

Suka makan ayam goreng? Menunya pasti akan mengingatkan anda kepada jenama terkenal KFC. Tapi ramai pelanggan berpendapat yang Borenos Fried Chicken mempunyai rasa yang lebih sedap berbanding KFC.

Di luarnya rangup dan dalamnya lembut. Mereka juga ada burger jika anda mahu menambah hidangan. Paling menarik kerana ia dibuka selama 24 jam setiap hari. Jadi, anda boleh datang dan makan pada bila-bila masa anda mahu. Penghantaran di sekitar Kota Kinabalu turut disediakan.

8. Mashawi Grill’s Nasi Arab

Alamat: Bandar Sepanggar 1, 88400 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari

Letaknya bersebelahan dengan Hotel Tang Dynasty Bay. Restoran ini khas buat mereka yang mahukan makanan Arab. Makanannya sedap, dihidangkan panas, kurang berminyak dan dalam kuantiti yang banyak.

Sepertimana menu di restoran-restoran di Malaysia, mereka juga ada Mandi Chicken/Lamb, Kabsah, Kebab dan sebagainya. Untuk pengetahuan anda, Mashawi’s Grill merupakan satu-satunya restoran makanan Arab di Sabah. Hiasan dalamannya tidak menampakkan gaya Timur Tengah tetapi cukup selesa untuk menjamu selera.

9. Brunei Satay House

Imej via [ Brunei Satay House ]

Alamat: Taman Indah Permai, Jalan Sepanggar – Menggatal, 88450 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (7.30 am-8.55 pm)

Dapatkan rasa masakan Melayu Brunei di Brunei Satay House. Satenya lembut dan kuah kacangnya cukup sedap. Pilih sama ada sate ayam, daging, kambing, dan perut.

Tidak banyak yang dikatakan mengenainya melainkan satenya yang sedap dan terbaik di Kota Kinabalu. Selain sate, mereka juga ada makanan tradisional Brunei seperti Kelupis, Kouchung, Ikan Ampap, Ambuyat, Nasi Goreng Pulau Brunei, dan banyak lagi.

Restoran ini dimiliki oleh AG Shahril AG Ali dan pernah tersenarai dalam Malaysia Delicious 100 Halal and Muslim Friendly Food. Restorannya tidaklah begitu luas, malah tiada penghawa dingin. Tetapi ia cukup selesa untuk makan di sini.

10. Restoran D’Soka

Imej via [ Restoran D’Soka ]

Alamat: KM 17, Papar Highway, Kampung Laut Kinarut, 89600 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (9.30am – 11pm)

Restoran D’Soka menawarkan masakan asli Sabah. Jadi, ia amat sesuai kepada mereka yang datang dari luar Sabah dan ingin mencuba masakan Sabah.

Antara yang ada dalam menu ialah Ambuyat, Gulai Ikan, Kerabu Kerang, Sambal Ikan Masin, Sup Tulang, Daging Hitam Manis, dan juga minuman terkenal mereka iaitu Coconut Shake. Restorannya cukup selesa untuk menjamu selera, makanan gaya kampung yang lazat dan harganya juga berpatutan.

11. Kampung Nelayan Floating Seafood Market Restaurant

Alamat: Taman Tun Fuad, Bukit Padang, P.O Box 23004, 88790 Luyang

Waktu Operasi: Setiap hari (730am – 2pm, 630pm – 11pm)

Restorannya mengambil rekabentuk Minangkabau dan terletak di atas tasik taman botani. A+ untuk suasananya.

Kampung Nelayan juga merupakan satu-satunya restoran yang mempersembahkan tarian tradisional pada setiap malam bermula jam 745 malam sehingga 845 malam. Jadi, ia amat sesuai dan sentiasa menjadi tarikan kepada pelancong.

Menu restoran terdiri daripada lima bahagian iaitu ala-carte, sup, nasi dan mee, daging, dan pencuci mulut. Bagi pelanggan, Kampung Nelayan adalah syurga makanan laut yang anda mesti cuba.

12. Restoran Masakan Sedap

Alamat: No. 1-0-1, Block B, Lot 20, Kolam Centre Fasa 2, Jalan Lintas, 88300 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (12am – 12pm, 5pm – 12am)

Restoran Masakan Sedap
Imej via Foursquare

Kepada umat Islam, anda tidak perlu risau jika mahu makan di sini walaupun ia diusahakan oleh seorang yang berbangsa Cina dan bukan Islam.

Ini kerana restoran makanan laut ini telah mendapat sijil halal dari JAKIM. Jadi, anda akan dapat melihat ramai umat Islam menjamu selera bersama anda. Banyak makanan yang disukai pelanggan.

Antaranya Soft Shell Crab, Claypot Fish Head, Siput Tarik, Honey Lamb, Ikan Kukus dan banyak lagi. Ramai pelanggan merasakan yang harganya agak mahal tapi mengakui kualiti hidangannya boleh mencapai 4 bintang.

13. Grill Fish Buginese Harbour City

Imej via [ Grill Fish Buginese Habour City ]

Datang ke Kota Kinabalu rugi jika tidak makan makanan laut. Antara port terbaik yang perlu anda pergi semestinya Grill Fish Buginese Harbour City. Bukan sahaja sedap, malah ramai yang memuji kuantitinya yang banyak dengan harga berpatutan.

Aneka ikan bakar, udang, sotong dan lain-lain diambil segar, memberikan rasa yang luar biasa. Antara menu yang menjadi kegemaran ramai semestinya ikan bakar, udang butter buginese dan sotong bakar buginese. Makanan laut yang dibakar memang sedap kerana diperap bersama rempah dan sambal.

Alamat: Lot 26 & 27, Block B, Harbour City Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah

Waktu operasi: Setiap hari (10.30 am-10.00 am)

14. Aishah Kitchen Vietnam Restaurant

Imej via [ Aishah Kitchen- Vietnam Restaurant ]

Jika tanya warga Kota Kinabalu tentang tempat makan sedap di KK, pasti ada yang mencadangkannya untuk ke sini. Mana tidaknya, pelbagai makanan Vietnam disajikan dengan enak.

Antara menu menarik semestinya tiram segar. Makan set hotpot bersama pasangan pasti lebih sedap dan mengenyangkan. Aneka mi popular juga ada di sini seperti Bun Bo Hue, Bun Thit Nuong dan Pho Ga.

Alamat: Lot 7,GF,Blok F, Lintas Jaya Uptownship Jln Lintas, Kepayan Highway, 88300 Kota Kinabalu, Sabah

Waktu operasi: 11.00 am-10.00 pm

15. Warung Bandung

Alamat: Lot 4, Block C, Lintas Jaya Fasa 1, Penampang, 88300 Kota Kinabalu

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 1030pm)

Nasi Ayam Penyet dan Ayam Panggang Berlado adalah sebahagian menu di Warung Bandung. Ya, Warung Bandung ialah restoran masakan Indonesia. Ia dikatakan restoran yang menghidangkan Nasi Ayam Penyet paling sedap di Kota Kinabalu. Sambalnya pedas tetapi serasi dengan citarasa rakyat Malaysia.

Jadi, pada waktu puncak seperti pada waktu tengah hari, ia dipenuhi dengan pelanggan dan anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama sebelum mendapat hidangan anda.

Artikel Tempat Makan Menarik

Selain tempat makan menarik di Kota Kinabalu. Kami juga menulis artikel tempat makan menarik yang lain untuk anda cuba dan terjah.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.