Kedai nasi lemak sedap di Melaka yang mana paling puas untuk dinikmati? 

Nasi lemak iaitu menu tradisi rakyat Malaysia kini menjadi trend untuk dinikmati tidak kira waktu. Jika kebiasaanya dahulu, ramai yang mencari nasi lemak untuk sarapan. Namun tidak kini, ramai yang menjualnya hingga larut malam ke lewat pagi kerana mendapat permintaan yang tinggi.

Satu lagi trend nasi lemak kini adalah dimakan dengan pelbagai jenis lauk sampingan seperti paru berlada, sambal tumis, ayam goreng berempah dan lain-lain. Kepelbagaian lauk ini menambah kenikmatan terhadap nasi lemak. Nak tahu kedai nasi lemak sedap di Melaka yang mendapat tempat di hati warga Melaka? Ini tempat-tempatnya.

Nasi Lemak Ejam

Terletak di Ayer Keroh Melaka, Nasi Lemak Ejam sangat terkenal dengan keenakan nasi lemaknya di Melaka. Kedai ini dibuka dari pagi hingga ke malam, memudahkan ramai penduduk dan pelancong untuk menikmatinya pada bila-bila masa.

Nasi yang dihidangkan sangat lembut dan berbau wangi kerana mereka mengukuskan nasi terlebih dahulu. Pilihan lauk paling laris adalah paru berlada, sambal kerang, sambal sotong, ayam berempah dan rendang daging.

Anda perlu cuba ayam berempahnya yang rangup di luar, lembut dan juicy pada bahagian isinya. Buat penggemar makanan pedas, Nasi Lemak Ejam dihidangkan bersama sambal yang pedas dan mengancam. Jika tidak mahu pedas, anda boleh meminta sambal sedikit.Harga sangat berpatutan iaitu serendah RM 2 sahaja. 

Alamat: Jalan Muzaffar Shah, Taman Muzaffar Shah, 75450 Ayer Keroh, Melaka

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-11.00 am | 4.00 pm-10.30 pm)

Nasi Lemak Eye On

Nasi Lemak Eye On pernah tular pada suatu ketika dahulu kerana menyediakan nasi lemak yang kena dengan kebanyakan selera warga Melaka. Pada ketika itu, pemilik Nasi Lemak Eye On memulakan penjualan nasi lemak dari kereta sahaja.

Kini mereka beroperasi di dua lokasi berbeza iaitu di Eye On dari Isnin hingga Khamis manakala di Night Street Market Melaka Sentral pada Jumaat hingga Ahad. Waktu kedai juga berbeza iaitu masing-masing pada 10.30 malam dan 8.30 malam. Jika mahukan info semasa tentang kedai ini, anda boleh ke Tiktok Nasi Lemak Eye On.

Antara kelebihan nasi lemak ini adalah dijual dengan harga yang murah. Aneka lauk dijual seperti sambal terlur, paru berlada, sambal sotong dan lain-lain. 

Nasi Lemak Factory 97

Sekiranya anda mahu menikmati sarapan atau makan tengah hari dengan nasi lemak, anda perlu datang ke Nasi Lemak Factory 97 yang berada di Durian Tunggal.

Nasi  lemak yang ditawarkan adalah dalam bentuk set dengan harga bawah RM 10 sahaja, termasuk nasi dan lauk-pauk. Apa keunikan nasi lemak di sini? Ia dihidangkan bersama jagung, memang unik! Jika ada yang tak tahu, kedai nasi lemak ini terletak di kilang jagung. Anda juga boleh membeli jagung susu dan lain-lain jagung yang anda inginkan.

Portion setiap nasi lemak banyak dan pasti membuatkan anda kekenyangan. Sambal pekat dan secukup rasa. Satu lagi menu yang disertakan pada nasi lemak termasuklah kangkung belacan. 

Alamat: No 4, Jalan IAN 4, Industri, Taman Angkasa Nuri, 76100 Durian Tunggal, Melaka

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (7.30 am-3.00 pm)

Nasi Lemak Duyong

Jika anda tanya kepada warga Melaka tentang nasi lemak paling sedap di sini, pasti Nasi Lemak Duyong tersenarai dalam salah satu tempat tersebut. Buka bermula 5.30 pagi namun orang mula beratur seawal 5 pagi. Jika lambat, berkemungkinan anda perlu datang semula untuk merasainya!

Bukan sekadar viral, malah rasa nasinya lembut dan berlemak. Sambal tidak terlalu pedas dan sedap. Harganya murah dan anda boleh dapatkan bawah RM 2 untuk sebungkus.

Alamat: Batu 4 1/2, Kampung Permatang, 75460 Ayer Molek, Melaka

Waktu operasi: Selasa-Jumaat (5.30 am-9.00 am)

Nasi Lemak Banda Kaba

Nasi lemak ayam merupakan menu best seller di Nasi Lemak Banda Kaba. Nasi lemak yang dihidangkan bersama ayam goreng berempah sebagai lauk utama memberikan rasa yang sukar diungkapkan keenakannya. Ayam juicy dan cukup rasa perapan rempah.

Nasi lemak bukan sahaja lengkap dengan telur, timun, nasi, sambal dan ikan bilis, malah tumis kangkung juga diletakkan bersama nasi lemak ini. Penggemar sayur pasti layan makan set nasi lemak ini.

Nasi lemak dihidangkan di atas daun pisang, mencantikkan dan menambah aroma nasi lemak panas. Paru berlada, sambal sotong, sambal kerang dan rendang ayam antara lauk lain yang disediakan oleh Nasi Lemak Banda Kaba.

Alamat: No 2 , Kampung Banda Kaba Jalan panjang 75000 melaka

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (4.30 pm-11.30 pm)

Nasi Lemak Kukus Pintu Gerbang

Hanya satu portion nasi lemak boleh buat anda tersandar kekenyangan! Harga nasi lemak murah iaitu serendah RM 3 sahaja. Nasi lemak biasa lengkap dengan nasi kukus yang gebu, sambal, ikan bilis dan kacang.

Walaupun hanya ada lima pilihan lauk seperti sambal sotong, rendang ayam dan ayam goreng berempah, kedai ini tetap dipenuhi pengunjung. Ada juga menu baru seperti nasi lemak ayam goreng dan sotong goreng. Ramai yang memuji keenakan sambal nasi lemak yang mengancam. 

Alamat: Lorong Nilam 12, Jalan Bukit Godek, Bukit Godek, 75050 Melaka

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (5.30 pm-11.00 pm)

Nasi Lemak Ujong Pasir

Di Nasi Lemak Ujong Pasir antara kedai nasi lemak di Melaka yang boleh anda dapatkan nasi lemak bersama sayur kangkung. Nasi lemak lejen ini menjual pelbagai jenis lauk bukan sahaja terdiri daripada sambal, malah pelbagai pilihan lauk atau ikan goreng.

Nak senang cari kedai nasi lemak ini, waze sahaja Restoran Ming Huat kerana mereka berniaga di perkarangan restoran ini.

Alamat: 140, Jalan Ujong Pasir, 75050 Melaka

Waktu operasi: Sabtu-Khamis (7.00 am-12.30 pm)

Nasi Lemak Istimewa Kg Morten

Merupakan kedai nasi lemak di Melaka yang dibuka pada waktu malam, sambil makan anda boleh menikmati permandangan yang cantik kerana kedai ini berada di tepi sungai Melaka. Kadangkala, ada cruise yang akan lalu disepanjang sungai ini.

Anda digalakkan untuk datang awal kerana nasi lemak istimewa ini selalu dipenuhi dengan pengunjung dan terus sold out! Nasi lemak boleh dimakan bersama pilihan lauk unik seperti tahu bakar dan sotong tepung. Lauk yang menjadi trend makan bersama nasi lemak juga ada iaitu ayam berempah, paru berlada dan aneka sambal.

Rasa sambal nasi lemak pula seimbang dengan rasa manis dan pedas. Nasinya semestinya berlemak, lembut dan gebu.

Alamat: 4, Lorong Tun Mamat 4, Kampung Morten, 75300 Melaka

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (6.00 pm-1.30 am)

Nasi Lemak Warisan Bachang

Kedai ini merupakan port sarapan buruan ramai warga Melaka dan pelancong. Keistimewaan nasi lemak ini dapat dilihat dari segi warna nasi yang berwarna hijau yang dipanggil nasi lemak pandan. Bukan itu sahaja, ada juga yang memanggil nasi lemak ini sebagai nasi lemak campur.

Di Nasi Lemak Warisan Bachang, terdapat lebih banyak pilihan sambal, lauk dan sayur sehingga anda pasti rambang mata untuk memilihnya. Tak tahu nak pilih apa? Sodok sahaja semua jenis lauk agar anda dapat rasa kesemuanya. 

Selain nasi lemak, banyak juga pilihan menu sarapan yang lain seperti roti canai dan nasi lemak. Tak kurang dengan kuih-muih tradisional yang beratur di atas meja.

Alamat: 409, Jalan Kenanga 3/21, Taman Kenanga Mewah, 75200 Melaka

Waktu operasi: Setiap hari (7.00 am-3.00 pm)

Nasi Lemak Balut

Teringin nak makan nasi lemak pada waktu malam yang unik dan lain-daripada yang lain? Anda pasti puas menikmati nasi lemak di Nasi Lemak Balut. Kedai yang dibuka bermula 5.30 petang ini menjual nasi lemak sebagai menu utama namun ada juga menu lain termasuklah masakan panas.

Nasi lemak yang disaluti telur diluarnya menjadi pilihan ramai pengunjung. Pilihan lauk pula ada rendang kerang dan sambal sotong adalah menu ‘killer’ yang perlu anda cuba. Merupakan nasi lemak balut pertama di Melaka, kedai ini juga dikenali sebagai Nasi Lemak High School Corner.

Alamat: High School, Jalan, Banda Hilir, 75000

Waktu operasi: Isnin-Sabtu (5.30 pm-12.00 am)

Tengok gambar sudah cukup membuatkan setiap mata yang memandang terliur akan menu kegemaran rakyat Malaysia ini. Setiap kedai mempunyai kelebihan dan rasa yang berbeza dari segi nasi dan sambalnya. 

Ada lagi kedai nasi lemak sedap di Melaka yang tidak tersenarai di atas? Jom kongsikan kepada kami agar semua rakyat Malaysia dapat mencubanya. Pernahkah anda mengunjungi kedai-kedai tersebut? Jika belum, jom ke salah satu kedai tersebut.

Tempat makan di Melaka seperti Coconut Shake Melaka, Roti Canai Kayu Arang Melaka dan Restoran Asam Pedas Lagenda antara yang terbaik di negeri penuh bersejarah ini. Jangan lupa singgah!

Penulis: Nur Syafiqah

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.