Port Dickson antara pusat peranginan yang paling hampir dengan ibu kota Kuala Lumpur. Di kala hujung minggu, sememangnya seronok jika dapat menjejak kaki di pantai Port Dickson ini. Sekurang – kurangnya dapat menghilangkan lelah bekerja selama lima hari.

Angin pantai yang bertiup lembut cukup menenangkan. Tambahan pula datang bersama keluarga tercinta. Banyak aktiviti yang boleh dilakukan bersama samada bermandi manda atau hanya berehat di tepi pantai.

Hidangan salai

Imej via facebook

Setelah berseronok menghabiskan masa bersama, apa kata kita mengisi perut yang sedang berkeriuk lapar. Sedar tak sedar, waktu makan tengahari telah pun tiba. Apa kata kita jalan – jalan sekitar Port Dickson ini dan mencari restoran yang menyajikan hidangan tradisi  masyarakat Negeri Sembilan ini.

Gulai Lemak Salai Melotop

Hidangan tradisi masyarakat Negeri Sembilan sudah tentulah gulai lemak salai yang meletop – letop pedasnya. Sekitar Port Dickson ini terdapat sebuah tempat makan yang dikenali dengan Warung Salai & COD Port Dickson.

Sebenarnya warung ini menyajikan hidangan gulai lemak salai yang sangat digemari oleh masyarakat tempatan. Malah ia turut menjadi kegemaran masyarakat luar yang berkunjung ke sini.

Gulai Itik

Imej via facebook

Warung Salai & COD Port Dickson ini terletak di deretan rumah kedai berhampiran dengan Hotel Langit – Langit Port Dickson. Kelihatan set kerusi dan meja turut disediakan di sebelah luar restoran. Sebaik sahaja tiba di restoran ini, akan disambut dengan laungan Selamat Datang dari pekerja restoran.

Warna dinding restoran dihiasi dengan warna kuning kuah lemak yang cukup sinonim dengan hidangan yang disajikan di sini iaitu gulai salai. Suasana restoran juga cukup tenang membuatkan hati anda begitu rileks jika pertama kali tiba di sini. Tambahan pula restoran ini didendangkan dengan lagu nismilan yang popular di masa kini.

Anda pasti merasai suasana orang Nogori semasa berada di sini kerana dialunkan dengan lagu – lagu menarik orang Nogori. Ibarat penyanyi Waghih berada bersama anda di restoran ini.

Hidangan Salai Paling Best

Menu menarik di sini sudah tentulah hidangan salai yang sememangnya tradisi masyarakat di sini. Anda boleh mencuba pelbagai lauk pauk salai yang dimasak gulai lemak cili padi. Antaranya adalah ayam kampung salai, daging salai, perut salai, keli salai, puyuh salai, talapia salai dan itik salai.

Hidangan salai

Imej via facebook

Bagi yang belum pernah merasai lauk pauk salai ini, boleh mencuba daging salai yang sememangnya sedap. Tidak kurang juga keli dan itik salai yang pastinya tidak mengecewakan.

Selain gulai lemak salai, anda juga boleh mencuba hidangan asam pedas hawau yang pastinya mengiurkan. Asam pedas pula ada macam – macam menu. Antaranya adalah asam pedas tetel, asam pedas kembung, pari, ikan parang, asam pedas duri, tenggiri dan juga asam pedas telur ikan.

Terdapat juga menu istimewa turut dihidangkan iaitu hidangan ketam nipah dan juga udang galah. Walau bagaimanapun, hidangan ini berpandukan stok pasaran semasa dan harga juga mengikut harga pasaran.

Harga bagi hidangan gulai salai hanyalah RM 8.50 semangkuk manakala hidangan asam pedas pula hanyalah RM 9.00 semangkuk. Kedua – dua hidangan ini boleh dimakan untuk dua orang. Pastinya amat berbaloi dengan harga yang anda bayar.

Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 8.30 pagi hingga jam 7.00 malam.

Alamat : Warung Salai & COD, Taman Mewah, 71000 Port Dickson

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.