Dapur Bulan jika dialih Bahasa ke Bahasa Melayu, namun nama sebenar restoran ini adalah Moon’s Kitchen. Ia telah mula beroperasi sejak tahun 1998 dengan permulaan perniagaan merupakan jualan makanan Barat secara kecil – kecilan di medan selera yang terletak di Pandan Indah. Diusahakan oleh Aizuddin Khalid bersama sepupunya yang mempunyai minat yang sama.
Usaha yang berteruskan membuahkan hasil yang positif apabila perniagaan kecil – kecilan semakin mendapat tempat di hati pelanggan. Selepas 15 tahun beroperasi, Moon’s Kitchen telah beralih beroperasi ke sebuah restoran yang lebih luas dan selesa. Lokasi yang dipilih adalah di Putra Heights berikutan sambutan yang semakin meningkat setiap tahun.
Walaupun telah beralih ke sebuah restoran yang lebih besar dan selesa, namun harga makan yang ditawarkan masih pada harga yang sangat berpatutan. Harganya setanding dengan hidangan yang disajikan di restoran ini.
Moon’s Kitchen tetap menawarkan hidangan yang sama kepada para pelanggannya. Sudah tentu makanan Barat masih menjadi menu utama di sini. Antara menu yang ditawarkan di Moon’s Kitchen ini adalah seperti sizzling steak, pasta, burger, fish & chip serta fillet tempura.
Kebanyakan menu yang dihidangkan di sini merupakan inspirasi beberapa menu dari negara Barat iaitu Eropah, Perancis dan Itali yang mempunyai citarasa yang tersendiri. Sejak awal penubuhan Moon’s Kitchen, menu yang sering menjadi pilihan para pelanggan adalah Roasted Garlic Pepper Lamb, Black Pepper Steak dan juga Chipotle BBQ Beef Ribs. Kesemua daging untuk hidangan tersebut diimport dari Australia.
Setiap resepi bagi menu yang terdapat di sini diolah supaya dapat diterima oleh pelanggan di Malaysia yang lebih menggemari hidangan yang agak pedas. Sos lada hitam yang diadun oleh ketua chef menghasilkan rasa pedas dan berwarna hitam pekat menambat hati ramai pelanggan.
Terdapat juga hidangan khas yang juga agak terhad iaitu hidangan udang kara atau lobster yang diimport khas dari Kanada dan juga Amerika Syarikat. Hidangan terhad ini sering menjadi rebutan pelanggan. Kalau nak tahu apa istimewanya, silalah membuat pesanan hidangan udang kara semasa menjamu selera di sini.
Bagi mengekalkan elemen istimewa udang kara ini, setiap hari hanya lima ekor udang kara sahaja dihidangkan buat para pelanggan. Strategi ini supaya pelanggan yang datang menjamu selera di sini sentiasa ternanti – nantikan hidangan ini.
Terdapat tiga menu hidangan udang kara yang ditawarkan antaranya Thermidor, Garlic Butter dan juga Quattro Formaggi. Thermidor dimasak bersama cendawan serta keju parmesan sebelum ditabur dengan lebihan keju diatas udang kara tersebut bersama sos. Bagi hidangan Quattro Formaggi pula menggabungkan empat jenis keju iaitu krim keju, parmesan, Dutch gouda dan juga Swiss cheddar.
Setiap lobster dimasak hanya selama 30 minit sahaja bagi mengekalkan rasanya. Ia turut dihidangkan bersama salad, kentang goreng, lemon panggang dan juga clarified butter. Harga bagi setiap 700 hingga 800 gram udang kara adalah antara RM 200 hingga RM 250 dan bergantung pada harga pasaran terkini.
Restoran ini dibuka setiap hari mulai jam 4.00 petang hingga 10.00 malam pada hari bekerja. Walau bagaimana pun, waktu operasi restoran lebih awal pada hari Sabtu dan Ahad iaitu mulai jam 12.00 tengahari hingga jam 10.00 malam.
Alamat : 42A-G, Jalan Putra Mahkota 7/6A, Putra Heights, 47650 Subang Jaya