Restoran ini sering mendapat perhatian orang ramai. Malah, berita dari mulut ke mulut juga tersebar luas antara satu sama lain. Yang pastinya restoran ini telah beroperasi sudah agak lama. Restoran ini telah pun mempunyai pelanggan tetap yang sehingga kini masih menjamu selera di sini.

Jika di lihat dari mata kasar, restoran ini kelihatan biasa sahaja. Namun, ada sesuatu yang istimewa di sini. Kalau anda nak tahu, restoran ini menyajikan pelbagai hidangan masak lemak cili api yang menjadi menu kemestian bagi masyarakat Negeri Sembilan. Bukan itu sahaja, menu – menu yang terdapat di sini juga merupakan hidangan eksotik yang sukar diperolehi di tempat lain.

Daging Rusa

Imej via azlinnurainazmann

Antara menu yang disajikan di restoran ini adalah Masak Lemak Ayam Kampung, Masak Lemak Siput Sedut, Ayam Kampung Goreng, Masak Lemak Daging Bakar + Cendawan Gerigit, Masak Lemak Tembusu (Usus Besar Lembu), Masak Lemak Ikan Keli Bakar, Masak Lemak Ikan Talapia, Masak Lemak Daging Landak, Masak Lemak Daging Rusa, Masak Lemak Kulit Lembu, Sambal Tempoyak, Sambal Belacan, Budu, Ulam-ulaman dan bermacam – macam lagi.

Deretan Masak Lemak inilah yang membuatkan ramai pelanggan berkunjung untuk mengisi ruang perut yang kekosongan serta kelaparan. Ia sememangnya menggamit nafsu makan setiap yang datang ke sini.

Masak Lemak Daging Landak sering kehabisan awal kerana ramai yang meminati hidangan tersebut. Tidak kurang juga ramai yang ingin mencuba sendiri keenakan daging landak tersebut. Menu otak lembu, ayam hutan, kancil, landak dan rusa hanya boleh didapati pada bulan – bulan tertentu sahaja.

Masak Lemak Cili Api

Imej via facebook

Daging bakar bersama cendawan gerigit juga sering mendapat perhatian ramai kerana cendawan jenis ini sukar ditemui. Cendawan jenis ini sering dijumpai hidup di batang pokok getah. Kombinasi daging bersama cendawan pipit ini sangatlah tepat dipadukan bersama masak lemak cili padi yang membuatkan anda terangkat sewaktu menikmatinya.

Ikan keli dan ikan tilapia bakar pula tidak mengecewakan kerana bau yang ditidak hanyir dan dimasak sempurna. Tembusu atau lebih mudah dikenali sebagai usus besar lembu pula turut menjadi rebutan. Masak Lemak Tembusu terasa lemak, berkrim serta juicy di bahagian dalam.

Restoran Nelayan

Imej via facebook

 Keenakan Jangek

Lagi satu menu pelik dan jarang di dengar dalam masyarakat kita selain masyarakat Negeri Sembilan adalah hidangan jangek. Jangek sebenarnya adalah otot atau urat keting lembu yang bercantum dengan kulit haiwan dan banyak ditemui pada bahagian kaki terutama lutut ke bawah. Hidangan Masak Lemak Jangek ini dicampur dengan rebung manis yang telah dijeruk bagi menambahkan rasa sedikit masam menjadikan hidangan jangek ini lebih sedap.

Masyarakat di Negeri Sembilan menyifatkan jangek adalah masakan eksotik kerana tidak ramai yang sanggup menyediakannya setiap hari kerana prosesnya begitu lama untuk disiapkan sehingga menjadi satu menu hidangan.

 Restoran ini dibuka seawal jam 9.00 pagi hingga jam 11.00 malam setiap hari.

Alamat : Wisma PBNS, P/3, 102, Jalan Zaaba, Rahang Kechil, 70100 Seremban, Negeri Sembilan

Penulis: Harwati Rukari

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.