Corner mai Pokok Assam, mai cari capati sempoi. Pembuat capati otai ini telah memulakan perniagaan capatinya sejak tahun 1992 lagi. Tuan Murthia Ali seorang pengusaha capati ini telah lama bertapak di Pokok Assam Taiping.

Resepi Asli Turun Temurun

Resepi asli membuat capati ini sememangnya menggunakan tepung atta seratus peratus berprotein tinggi tanpa tambahan tepung gandum menjadikan setiap kepingan capati yang siap dimasak lembut serta enak dimakan. Bagi yang menggemari capati, ia sememangnya bagus untuk diet harian anda kerana capati tidak mempunyai karbohidrat yang tinggi yang boleh menyebabkan masalah kegemukan. Sudah tentu kandungan protein yang tinggi dalam capati bagus untuk tumbesaran badan.

Capati Sempoi

Imej via taipingzone

Peniaga capati ini tidak mengenakan harga yang mahal untuk sekeping capati, hanya RM 1 sahaja untuk menikmatinya. Dengan harga sebegini murah, capati yang dipesan dapat dinikmati bersama kuah sardin dan juga parpu.

Gabungan kuah sardin dan juga parpu sememangnya gabungan terbaik menjadikan hidangan capati anda begitu menyelerakan. Resepi yang digunakan juga merupakan resepi turun temurun keluarga Tuan Murthia Ali tanpa menggunakan sebarang serbuk perisa tambahan.

Roti Prata Boleh Dicuba

Bagi mempelbagaikan menu di warung kecilnya, Tuan Murthia Ali turut menyajikan roti prata buat para pelanggannya dengan harga hanya RM 1.30 sekeping. Ia bukanlah roti canai tetapi juga seakan capati namun keenakan serta kelainan roti prata ini tetap memikat jiwa. Capati dan roti prata ini juga amat sedap dimakan bersama kari ayam yang boleh dipesan secara add-on. Sememangnya marvellous jika turut dimakan bersama kari ayam yang pekat melikat ini.

Roti Prata

Imej via taipingzone

Kedai capati ini berada di kawasan rumah Tuan Murthia Ali sahaja. Tiada sebarang kedai makan khas seperti di tempat lain. Biarpun hanya menjalankan perniagaan di kawasan rumah sahaja, namun menu hidangan di sini tetap mendapat sambutan ramai.

Terutama sekali jiran tetangga yang sangat menggemari capati di sini. Kebiasaannya, kedai capati ini dibanjiri para pelanggan menjelang malam, iaitu selepas Maghrib. Ia sering dijadikan hidangan makan malam buat para pelanggan yang inginkan hidangan selain nasi.

Capati Sempoi

Imej via taipingzone

Terdapat juga pelanggan dari luar turut singgah  ke kedai capati ini kerana ingin merasai sendiri kelembutan capati di sini bersama keenakan kuah sardin dan parpunya. Capati yang disajikan tetap kekal lembut biarpun telah sejuk.

Roti pratanya yang agak tebal sedikit sememangnya cukup mengenyangkan. Biarpun sedikit tebal, ia juga agak lembut dan enak dimakan bersama kuah yang disediakan. Harga yang dikenakan kepada para pelanggan masih tetap kekal rendah kerana kedai capati hanya menjalankan perniagaan dari rumah sahaja.

Kedai capati ini memulakan perniagaan mulai jam 5.00 petang setiap hari dan akan tutup sebentar menjelang waktu solat Maghrib bagi pemilik kedai menunaikan solat terlebih dahulu.

Alamat: 31 Jalan Pokok Assam, Taiping.

Penulis: Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.