Rakyat Malaysia ternyata mempunyai citarasa yang berbeza. Dari masakan Melayu, ala Thai, masakan Cina, India, Barat, Jepun, Korea dan bermacam lagi jenis masakan telah menjadi pilihan ramai. Cuma yang membezakan adalah keenakan makanan yang dihidangkan, samada sedap ataupun tidak.

Sebagai pelanggan, sudah semestinya kita mahukan hidangan yang terbaik, sedap, berkualiti serta harga yang berpatutan. Untuk mendapatkan restoran yang terbaik, sudah pasti kita perlu membuat pencarian yang lebih teliti. Review – review dari pelanggan yang pernah menjamu selera di mana – mana restoran boleh dijadikan panduan.

Jom kita lihat, apa yang menarik di sekitar Seri Iskandar, Perak ini. Terdapat sebuah restoran yang dikenali sebagai Chillex Concept Café menghidangkan makanan Barat yang pastinya menarik perhatian anda.

T-Rex In The House

Apa yang menarik di restoran ini ? Kalau anda nak tahu, restoran ini menyediakan hidangan burger bersaiz 20cm dengan ketinggian 17.5cm dan dikenali dengan nama burger T-Rex. Ibarat nama dinosaur pula kan?

Patty daging dan ayam yang dihasilkan sendiri mempunyai berat sehingga 700 gram untuk setiap kepingan daging. Ia dihidangkan bersama sos cilli serta dilimpahi dengan keju cair dan juga kepingan kerepek nachos.

Burger T-Rex

Imej via facebook

Pemilik café ini, iaitu Muhammad Luqman Halim turut memperkenalkan hidangan Ultimate Big Plate dengan dua pilihan berbeza. Antaranya adalah kombinasi ayam panggang bersama kambing panggang yang dihidangkan dengan sos barbeku, salad dan kentang goreng berherba. Anda juga boleh memilih samada set deep fried yang terdiri daripada filet ikan goreng, ayam goreng, popcorn ayam bersama sos lada hitam, salad dan juga kentang goreng berherba.

Muhammad Luqman sentiasa mengekalkan keunikan hidangan Barat di cafenya supaya ia tidak mengecewakan para pelanggan yang menggemari hidangan yang terdapat di sini. Saiz hidangan yang besar memberikan kepuasan kepada pelanggan yang datang. Malah, kebanyakan pelanggan yang datang pasti teruja melihat saiz hidangan yang disajikan.

Selain saiz hidangan yang besar serta persembahan hidangan yang menarik, café ini menawarkan harga yang sangat berpatutan bagi setiap hidangan. Oleh sebab itu, café ini sering menjadi tumpuan ramai terutama di kalangan belia selain golongan yang telah berkeluarga.

Harga  makanan di sini bermula serendah RM 5.00 hingga RM 39.90 untuk setiap hidangan yang boleh dipilih samada set individu atau berkumpulan. Selain makanan Barat, café ini turut menyajikan masakan tempatan buat para pelanggannya. Ia sebagai pilihan bagi pelanggan yang ingin menikmati hidangan selain makanan barat.

Nasi Goreng 7 Sekawan

Pelanggan yang datang menjamu selera sering memilih nasi goreng yang dihidangkan dalam dulang. Sebanyak tujuh jenis nasi goreng dihidangkan bersama dalam satu dulang.

Nasi Goreng

Imej via facebook

Antara nasi goreng tersebut adalah nasi goreng sardin, nasi goreng kicap, nasi goreng kampung, nasi goreng kerabu, nasi goreng tomyam, nasi goreng Thai dan nasi goreng Cina. Hidangan set dulang ini disajikan bersama daging cincang, ayam goreng berempah dan juga air minuman percuma.

Makanan ringan yang boleh anda cuba di sini juga adalah roti John Long Island yang dilimpahi dengan keju cair serta keju mozzarella bersama kerepek nachos. Semestinya ia tidak sama dengan roti John di tempat lain. Rasanya, sudah tentulah kaya dengan limpahan keju dan sos yang meletops.

Roti John

Imej via facebook

Selesai menikmati hidangan utama, anda boleh memesan pencuci mulut yang ringkas dan sedap iaitu pisang bakar bersama aiskrim vanilla dan sos caramel. Jika tidak mahu mencuba pisang bakar tersebut, sangat lah rugi.

Anda juga disaran mencuba ABC yang bersaiz besar. Ia dihidangkan bersama buah – buahan segar. Antara pilihan ABC yang boleh anda cuba adalah ABC Mango Delight, ABC coklat strawberi, ABC buah Tropicana dan juga ABC chocholate bananalicious.

Café ini dibuka setiap hari mulai jam 5.00 petang setiap hari hingga jam 11.00 malam.

Alamat : Lot 168, SIBC, Tronoh 32610, Perak

Penulis: Harwati Rukari

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.