Mat Periuk mungkin kedengaran pelik kan ? Tahukah anda, Mat Periuk ini merupakan sebuah restoran milik Chef Kamarul yang terletak di Kg Tersusun Tasek, Perak dan tapak restoran ini suatu tika dahulu merupakan sebuah kedai milik bapa beliau yang telah diubahsuai menjadi sebuah cafe.

Mat Periuk

Imej via menarikdi

Asal Usul Mat Periuk

Mustahil anda tidak mengenali Chef Selebriti Malaysia ini. Beliau sering menjadi Chef masakan dan sering kelihatan di kaca tv anda.

Sudah pasti, jika berkunjung ke restoran ini, anda akan dapat merasai sentuhan masakan chef dalam setiap hidangan yang disajikan kepada para pelanggan.

Pelbagai pilihan makanan yang terdapat di sini bermula dari masakan panas tempatan sehinggalah makanan barat dan juga makanan Itali.

Antara makanan Barat yang dihidangkan di sini adalah seperti Mix Grilled Platter (campuran hidangan sosej, lamb chop, chicken grilled, ikan dori, mashed potato dan salad), Penne Carbonara, Chicken Maryland, Ribs Eye Steak dan banyak lagi.

Nasi Goreng Atuk

Imej via roslimansorblog

Keunikan Menu di Mat Periuk

Cafe ini turut mempunyai nama hidangan yang agak unik seiring dengan keunikan nama restorannya.

Antaranya adalah seperti Nasi Goreng Atok yang diilhamkan sendiri oleh Chef Kamarul berdasarkan citarasa arwah bapa Chef Kamarul sendiri yang sangat gemar dengan isi ikan yang digoreng bersama nasi, dari situ terhasillah menu Nasi Goreng Atok.

Satu lagi menu unik adalah Megi Goreng Raja – Raja mendapat nama kerana hidangan tersebut disajikan bersama udang galah yang bersaiz besar yang dianggap sebagai Raja udang.

Persembahan di setiap hidangan yang disajikan adalah sangat unik dan menarik bagi membuka selera para pelanggan.

Western Food

Imej via shahirahamran9092

Pelbagai Pilihan Minuman Pelik

Bukan menu santapan sahaja mempunyai nama yang unik, tidak ketinggalan juga air minuman di sini juga mempunyai nama yang agak pelik seperti Air Kahwin Campur.

Sudah pasti anda tertanya – tanya air apakah yang dihidangkan di sini. Kalau anda nak tahu, air ini merupakan campuran buah oren, mangga, laici dan juga longan yang ternyata sangat nyaman sewaktu anda mula menikmatinya.

Air Jelingan Manja pula merupakan campur air berkarbonat bersama buah laici, epal dan juga longan. Banyak nama minuman pelik – pelik di sini, jika anda nak tahu kenalah datang sendiri ke sini.

Persembahan Live Band

Café ini menampilkan hiasan yang ringkas dan menarik. Setiap hari Jumaat, Sabtu dan juga Ahad, terdapat live band kumpulan basking, Bullstreet Buskers membuat persembahan di sini dan anda boleh menjamu selera sambil dihiburkan oleh persembahan live band tersebut.

Café ini dibuka setiap hari mulai jam 4.00 petang sehingga jam 12.00 malam. Memandangkan restoran ini dikenakan dengan harga yang sangat berpatutan untuk setiap hidangan, jadi tidak hairanlah jika setiap hari café ini sentiasa dipenuhi para pelanggan yang ingin menjamu selera.

Alamat : Lot 22241, No.40, Hala Tasek Timur 10, Kampung Tersusun Tasek, 31400 Ipoh, Perak

Penulis: Harwati Rukari

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.