Bercadang untuk melancong ke Muar namun masih tercari-cari tempat makan menarik di Muar?

Muar merupakan sebuah pekan yang menarik untuk dikunjungi. Tidak kisahlah dari sudut makanan atau sudut tempat tarikan, ianya merupakan antara destinasi pelancongan utama di Johor.

Di sini kami senaraikan 25 tempat makan menarik sekitar Muar yang akan bikin anda tak sabar untuk serbu. Ingin tahu dengan lebih lanjut? Teruskan membaca!

#1 Muar Soup House

Alamat: 47, Jalan Sisi, Pekan Muar, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari  (12 pm- 12 am)

muar soup house

Imej via Foursquare

Muar Soup House ini merupakan antara restoran yang sangat terkenal sekitar Muar. Ramai pelanggan gemar singgah di sini untuk menikmati sup mereka yang dikatakan sangat istimewa.

Antara sup yang terbaik adalah sup kambing dan sup gearbox kambing. Selalunya, hidangan ini dinikmati bersama roti. Lebih enak dicicah berbanding dimakan begitu sahaja.

#2 Murtabak Tanah Melayu II

Alamat: 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 4 pm – 2 am manakala Ahad 5 pm – 2 am

Ingin mencuba murtabak yang cukup terkenal di Muar? Restoran murtabak yang sangat terkenal sekitar sini ialah restoran Murtabak Tanah Melayu II.

Imej via Foursquare

Restoran ini menyajikan murtabak keju yang digilai ramai. Ianya bukan sahaja tebal, malah kejunya juga banyak. Selain murtabak, mi bandung Muar juga merupakan antara menu yang tersedap di sini. Rugi tak cuba!

#3 Sai Kee Kopi 434

Alamat: 121, Jalan Maharani, 84000 Muar

Waktu Operasi: Isnin – Sabtu (7am – 6pm), ditutup pada hari Ahad

Sebaik sahaja anda masuk ke restorannya, anda akan disambut dengan bau kopi yang mengasyikkan. Tidak dinafikan, ramai menggemari kopi yang disediakan menggunakan resepi turun-temurun ini.

tempat makan muar

Imej via Foursquare

Kopi yang paling kerap disyorkan oleh pelanggannya ialah Elephant Coffee. Pekat dan tidak terlalu pahit, memang sempurna. Jika dinikmati untuk sarapan, pasti mampu membangkitkan ‘mood’!

#4 Medan Ikan Bakar Sabak Awor

Alamat :Jalan Cahaya (Taman Bakariah Indah), Muar, Johor 84000

Waktu Operasi: Setiap hari (5pm-12am)

Medan Ikan Bakar Sabak Sawor ini terletak berdekatan dengan menara peninjau. Jadi, sambil berjalan-jalan bolehlah anda singgah di sini untuk mencuba ikan bakar di beberapa gerai.

makan @ wak jos

Imej via Foursquare

Antara yang terbaik untuk gerai di sini adalah Gerai Wak Jos Ikan Bakar. Keistimewaan utama gerai ini terletak pada aneka jenis makanan laut yang disajikan, memang segar dan terbaik kualitinya!

#5 Mee Bandung Abu Bakar Hanifah

Alamat: Jalan Abdullah, Muar, Johor 84000

Waktu Operasi :Setiap hari (7am-4pm)

mee bandung abu bakar hanipah

Imej via Foursquare

Nama restoran ini sudah tidak asing lagi di kalangan pencinta mi bandung, terutamanya mi bandung Muar. Tak lain tak bukan semestinya Mee Bandung Abu Hanifah!

Keistimewaan utama terletak pada kuahnya yang dikatakan sangat seimbang rasanya, menjadikannya enak tak terkata. Anda juga boleh mendapatkan perencah mee bandung di sini, terubat rindu pada mi bandung Muar!

#6 Medan Selera Tanjung Emas

Alamat: Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari, 8 am – 6 pm

Sukakan makanan tempatan? Jika anda berada sekitar Taman Sri Tanjung, anda wajib serbu Medan Selera Tanjung Emas ini. Ianya merupakan antara medan selera yang paling popular di Muar.

Imej via Foursquare

Pelbagai jenis pilihan makanan tempatan ada disajikan di setiap gerai. Antaranya ialah mi bandung, rojak, mi rebus, sotong kangkung, tauhu bakar dan minuman seperti ABC dan Lai Chi Kang. Sangat beraneka!

#7 R&H Cafe Satay Maharani

Alamat: 15, jalan sri temenggong 26, Taman Sri Temenggong, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 7.30 am – 12.30 pm

Ingin menikmati sarapan berkonsepkan selera Muar? Anda wajib singgah di restoran R&H Cafe Satay Maharani yang terletak di Taman Sri Temenggong ini.

Imej via Foursquare

Restoran ini menyajikan hidangan beronsepkan masakan Muar yang enak dan asli. Antara yang boleh anda cuba ialah mi rebus, lontong, tauhu goyang, roti bakar dan banyak lagi menu sarapan tempatan yang enak-enak.

#8 Asam Pedas Jalan Joned

Alamat: Jalan Junid, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari, 11.30 am – 5 pm

Anda pasti biasa terdengar tentang asam pedas Melaka, namun pernahkah anda mencuba asam pedas versi Johor? Ianya berbeza dari segi warna, rasa, tekstur dan penggunaan bahan.

Imej via Foursquare

Jika anda teringin untuk mencuba resepi asam pedas Johor yang asli, singgah sahaja di restoran Asam Pedas Joned ini. Anda boleh cuba asam pedas ikan mayong, asam pedas ikan pari dan asam pedas kepala ikan.

#9 Burger D’Raje Western And Grill

Alamat: Jalan Parit Raja Tengah, Jln Parit Raja, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 4 pm – 12 am

Ada pembaca yang sukakan burger di sini? Jika ya, anda wajib terjah restoran Burger D’Raje Western & Grill yang terletak di Jalan Parit Raja ini.

Burger yang disajikan di sini bukan biasa-biasa. Jenis daging yang digunakan memang segar dan saiz hidangan juga besar. Memang puas hati jika anda mencubanya!

Imej via Foursquare

Antara burger yang boleh anda cuba ialah burger kambing, burger daging dan burger ayam. Stik dan hidangan makanan Barat lain juga trut mencuri perhatian ramai, jangan lupa untuk cuba ya.

#10 Faris Rich Kitchen

Alamat: Jalan Sungai Abong, Taman Sungai Abong Mulia, 84000 Muar

Waktu Operasi: Rabu – Isnin (6pm – 12am), ditutup pada hari Selasa

Selalunya jika anda beli roti john, pasti rotinya dihidangkan bersama sos dan isinya seperti telur dan daging tidak setebal yang anda harapkan. Kecewa? Semestinya.

tempat makan muar

Imej via Foursquare

Masalah tersebut tidak akan anda hadapi jika anda cuba roti john di Faris Kitchen. Roti john di sini tebal dan yang paling istimewa, disediakan bersama sos keju yang banyak di atasnya.

#11 Restoran Murtabak JD Singapore

Alamat : Jalan Kesang, Muar, Johor 84000

Waktu Operasi: Sabtu-Khamis(11am-12am)

Jika anda mencari murtabak bersaiz besar, sini adalah kawasannya. Restoran ini dikatakan restoran pertama membawa murtabak Singapore ke Muar. Ada banyak pilihan saiz murtabak boleh dipilih.

tempat makan muar

Imej via Foursquare

Yang istimewa tentang hidangan ini ialah sos cilinya dibuat sendiri. Jadi, rasanya mestilah lebih asli dan enak. Murtabaknya sendiri sudah sedap, tambahan pula bila dicicah.

Melihat gambar sahaja kami pasti anda pun sudah terliur bukan? Inikan pula merasainya sendiri!

#12 Satay Warisan

Alamat: 13, Jalan Majidi, Taman Sri Tanjung, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi:

Perut mula berkeroncong pagi-pagi mengidamkan sate? Usah bimbang, di Muar ada beberapa gerai sate, namun gerai ini merupakan antara yang terkenal – Satay Warisan.

satay warisan muar

Imej via Foursquare

Daging sate dibakar dengan cukup sempurna, menjadikan luarannya rangup namun lembut untuk isinya. Kuah kacangnya juga turut dipuji dek kerana kepekatannya.

#13 Mee Bandung Udang Galah Muo Ori

Alamat: Jalan Kesang, 84000 Muar

Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9:15am – 11pm), ditutup pada hari Jumaat

Muar memang terkenal dengan kelazatan mee bandungnya. Apa lagi jika ada 3 hingga 5 ekor udang galah bersama, memang boleh membangkitkan selera sesiapa sahaja!

Restoran Mee Bandung Udang Galah Muo Ori ini merupakan antara restoran mi bandung yang sangat popular di Muar. Apa keistimewaanya? Petunjuknya terletak pada namanya – ya, semestinya udang galah!

mee bandung udang galah muo ori

Imej via Foursquare

Saiz udang galahnya memang besar, malah ada yang sampai penuh pinggan! Jika dimakan seorang pun pasti dijamin kenyang. Udang galahnya juga segar dan isinya manis, rugi kalau tak cuba.

#14 Village Grill Café Muar

Alamat: 152, Jalan Bakariah, Kampung Parit Setongkat, 84000 Muar

Waktu Operasi: Selasa – Ahad (430am – 1130pm), ditutup pada hari Isnin

tempat makan muar

Imej via Foursquare

Restoran Village Grill Cafe Muar ini menggabungkan citarasa tempatan dan Barat. Jadi, memang sesuai untuk dinikmati oleh sesiapa sahaja. Suasananya juga santai, sesuai untuk dijadikan port ‘lepak’.

Saiz hidangannya  besar, berbaloi dengan harga yang ditawarkan. Antara hidangan yang boleh anda cuba ialah Chicken Cordon Bleu, Lamb Chop dan Grilled Chicken Chop.

#15 Mee Bandung Central

Alamat:MM 61 KR LOT 1440 BT 1 3/4 Tanjung Agas, Jalan Kesang, 84000, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (11am – 10pm)

tempat makan muar

Imej via Foursquare

Jadi, antara gerai mi bandung yang wajib anda terjah ialah Mee Bandung Central. Semestinya mi bandung yang disediakan ialah mi bandung Muar yang sedap.

Mi bandungnya disajikan bersama telur separuh masak, tauhu goreng dan sotong. Kuahnya yang pekat dan aromanya yang memikat memang bikin ramai pelanggan ketagih dengannya.

#16 Medan Asam Pedas Parit Jawa

Alamat: Medan Asam Pedas, MPM, 84150 Parit Jawa, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat (11am – 5pm)

Mengidam asam pedas? Tak perlu jauh-jauh ke Melaka jika anda berada di Muar. Kerana di Parit Jawa, ada sebuah medan selera yang khas disediakan untuk masakan berasaskan asam pedas – Medan Asam Pedas Parit Jawa!

asam pedas pak yahya

Imej via Foursquare

Ada beberapa gerai yang boleh anda singgah, namun gerai Pak Yahya Asam Pedas merupakan antara yang terlaris. Ada berbagai jenis ikan yang dimasak asam pedas. Cuba sahaja yang mana-mana, kerana semuanya sedap belaka.

#17 Zin Satay House

Alamat: 76-A, Jalan Bakri, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari, 3 pm – 12 am

Antara tempat makan di Muar yang menyajikan sate ialah restoran Zin Satay House. Terletak di Jalan Bakri, restoran ini boleh dikatakan agar terkenal sekitar sini.

tempat makan muar

Imej via Instagram

Antara jenis sate yang boleh anda nikmati ialah sate lembu, ayam, kambing, paru dan perut. Selain itu, mereka juga turut menyajikan menu lain seperti mi bandung, nasi goreng, burger dan roti john.

#18 Sahak Mee Bandung Muar

Alamat: Kampung Parit Keroma Darat, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 5 pm – 12 am

Tidak keterlaluan jika kami katakan yang Muar merupakan syurga mi bandung. Daerah ini memang dipenuhi dengan pelbagai tempat makan yang menyajikan mi bandung yang sedap-sedap.

Imej via Foursquare

Antaranya ialah restoran Sahak Mee Bandung Muar. Nama restoran yang terletak di Kampung Parit Keroma Darat ini sentiasa menjadi sebutan ramai, terutamanya di kalangan pencinta mi bandung.

Kuahnya pekat dan memang secukup rasa, jadi tidak hairanlah mi bandung di sini bikin ramai ketagih. Lauk yang disajikan juga ada banyak kuantitinya, memang best!

#19 Mutiara Muar BBQ Steamboat

Alamat: Lot 6, Lot 7, Bangunan Mara Muar, Jalan Maharani, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari. 6 pm – 12 am manakala Isnin & Ahad 6 – 11.30 pm

Teringin untuk menikmati steamboat? Di Muar, restoran Mutiara Muar BBQ Steamboat ini sememangnya terkenal di kalangan peminat steamboat.

Imej via Foursquare

Antara punca utama ianya begitu popular ialah restoran ini menyajikan pelbagai pilihan lauk untuk steamboat. Makanan laut seperti sotong, kupang dan lala memang segar.

Bukan itu sahaja, servis yang ditawarkan juga mendapat pujian ramai. Ada yang mengakui restoran ini memberikan layanan kelas pertama. Sangat menarik!

#20 Restoran Renney’s Satay Muar

Alamat: 204, Jalan Abdullah, Taman Sri Emas, 84000 Muar, Joho

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Isnin, 7 am – 3 pm

Tempat makan di Muar yang lain yang menyajikan sate ialah Restoran Renney’s Satay Muar.  Terletak di Taman Sri Emas, restoran ini merupakan antara port sarapan yang terkenal sekitar sini.

Imej via Foursquare

Semestinya sate merupakan antara menu terlaris. Isi yang lembut serta kuah sate yang enak membuatkan menu ini menjadi rebutan ramai. Menu sarapan lain seperti lontong, soto dan mi rebus juga wajib anda cuba!

#21 Esah Best Shell Out

Alamat: 152, Jalan Haji Omar, Taman Utama Satu, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Rabu – Ahad, 6.30 – 11.30 pm

Teringin untuk menikmati hidangan shell out? Hidangan shell out merupakan jenis hidangan yang kena dngan citarasa orang kita. Tidak hairanlah begitu ramai menggemarinya.

Imej via Foursquare

Jika anda berada sekitar Muar, singgah sahaja di restoran Esah Best Shell Out. Restoran ini dikatakan menyajikan hidangan shell out yang bukan sahaja enak, malah murah. Bukan itu sahaja, saiz hidangannya juga besar.

#22 Lepak Lepak

Alamat: Jalan Salleh & Jalan Haji Hassan Nandung, Muar

Waktu Operasi: Setiap hari, 5 pm – 1 am manakala Selasa 11 am – 1 am

Dengan melihat nama restoran ini sahaja, anda pasti boleh menggambarkan suasana santai di sini. Restoran Lepak Lepak ini merupakan antara tempat makanan yang santai sekitar sini.

Hidangan yang disajikan di restoran ini berkonsepkan selera tempatan dan Barat. Pada waktu tengah hari, ada pelbagai jenis lauk masakan kampung yang disajikan.

Imej via Foursquare

Untuk makan malam pula, sajian Barat seperi Lamb Chop dan Chicken Chop wajib anda cuba. Masakan panas seperti aneka jenis nasi goreng turut disediakan.

#23 Restoran Seri Muar

Alamat: 35a, Jalan Sulaiman, Taman Sri Maharani, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: 24 jam

Mula berkeroncong perut namun sudah lewat malam? Tidak mengapa, singgah sahaja menjamu selera di Restoran Seri Muar. Ianya merupakan restoran Mamak yang cukup sesuai untuk disinggah jika anda ingin bersantai.

Imej via Foursquare

Antara menu yang boleh anda cuba ialah naan keju, roti canai, naan tandoori, tosai, roti tisu dan maggi goreng. Servis dan kebersihan restoran yang cemerlang juga turut dipuji. WiFi juga ada disediakan, memang best.

#24 Rambo Selera

Alamat: no 10, Jalan Sungai Abong, Taman Marin, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 am – 2 pm

Seterusnya, tempat makan di Muar yang wajib anda lawati untuk sarapan pagi dan makanan tengah hari ialah restoran Rambo Selera Muar.

tempat makan muar

Imej via Instagram

Restoran ini menyajikan lauk-pauk yang berbagai dan murah. Bukan itu sahaja, rasanya juga sedap. Selera tempatan merupakan konsep hidangan yang disajikan, jadi jangan lupa cuba!

#25 Aneez Recipe’s

Alamat: Lot 4834 Parit Buaya, Jalan Parit Setongkat Darat, 84000 Muar, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari, 2 pm – 12 am

Sukakan makanan Barat? Di Muar, salah satu restoran makanan Barat yang menyajikan hidangan Barat yang bukan sahaja sedap malah murah ialah restoran Aneez Recipe’s.

Imej via Foursquare

Ada pelbagai menu yang boleh anda pesan. Menu yang popular ialah stik, Chicken Chop, Lamb Chop dan burger. Saiz hidangan juga besar, memang memuaskan hati!

Kesimpulan

Banyak juga tempat makan di Muar yang boleh anda terjah. Sebenarnya, ada banyak lagi namun kami senaraikan 25 sahaja dan senarai ini semestinya akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Jika berkesempatan ke Muar, usah lengah lagi ya. Serbu sahaja tempat-tempat makan yang kami senaraikan. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Selain tempat makan menarik di Muar, kami juga menulis artikel tempat makan menarik tempat lain yang patut anda cuba. Klik sahaja pada pautan di bawah untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.