Mencari tempat makan steamboat di Johor?

Johor merupakan salah satu negeri di Malaysia yang kaya dengan tempat makan yang menarik. Masakan kampung, hidangan Barat, sajian tradisional Johor dan kedai kopi, semuanya ada. Ini termasuklah dengan tempat makan steamboat.

Masih tercari-cari tempat makan steamboat di Johor yang menarik? Jangan risau, berikut kami senaraikan 10 tempat makan steamboat di Johor. Teruskan membaca!

Santuy Thai BBQ

Imej via Santuy Thai BBQ

Alamat: K2-206,De Stulang, Kompleks Perdagangan Stulang Laut, Jalan Ibrahim Sultan, 80300 Johor Bahru

Waktu operasi: Setiap hari (5.00 pm-12.30 am)

Santuy Thai BBQ antara port steamboat yang terkenal di Johor bukan sahaja dari kesedapan makanannya, malah vibe yang akan anda rasai sewaktu menikmati steamboat tersebut. Dari luar restoran nampak biasa iaitu berada di tingkat 2. Namun siapa sangka dekorasi dalaman sangat memukau, bertemakan tepi pantai. Mana yang nak healing, tempat ini pasti memuaskan anda!

Lebih 100 bahan yang boleh dipilih yang terdiri daripada bebola, makanan laut dan sayur disediakan dengan segar. Anda boleh pilih banyak mana anda mahu! Jangan lupa ambil sekali menu perapan yang sedap seperti Korean Style Striploin, Teriyaki Beeff Shabu Shabu, Smoke Duck dan sebagainya.

Merupakan cawangan kedua di Johor, harga steamboat untuk dewasa adalah RM 49.90, warga emas dengan RM 39.90 manakala kanak-kanak berharga 24.90 sahaja. Memang berbaloi dengan apa yang ditawarkan oleh restoran ini!

Muara Steamboat & Grill

Alamat: C1 Blok C, Persiaran Senibong, 81750 Masai, Johor

Waktu operasi: Setiap hari (12.00 pm-11.00 pm)

Merupakan antara tempat makan steamboat tersedap di Masai, port ini antara paling awal dibuka iaitu bermula 12.00 tengah hari. Jika ada yang teringin untuk makan steamboat pada waktu makan tengah hari, datang saja ke sini.

Dekorasi restoran mewah dan nampak eksklusif. Bersih, cantik, selesa malah mampu memuatkan ramai pelanggan dalam satu masa. Sesuai jika anda ingin mengadakan jamuan makan, sambutan hari jadi dan sebagainya. Nak lebih privasi, ada 8 bilik VIP menghadap laut untuk kumpulan anda malah disediakan set karaoke sekali!

Menu yang ditawarkan memang berbeza dari kebanyakan port steamboat yang lain dengan tambahan menu seperti wagyu, lobster dan lain-lain. Lebih unik, steamboat dan grill menggunakan arang agar aroma dan rasanya lebih sempurna! Jangan risau, pelbagai menu ala carte juga ditawarkan buat pengunjung.

Arang Steamboat & Grill

Alamat: Arang Steamboat & Grill, No 4 & 5, Jalan Jasa Jamal, Taman Jasa Jamal, 86400 Parit Raja, Johor

Waktu operasi: Setiap hari (5:30PM – 11:30PM)

Ini pula merupakan tempat makan steamboat di Johor yang termurah dengan harganya serendah RM 29.90 untuk dewasa manakala kanak-kanak berumur 6 hingga 12 tahun sekadar RM 18.90 sahaja! Nak dapatkan harga lebih berbaloi? Kunjungi Facebook mereka iaitu Arang Steamboat & Grill kerana mereka sering mengadakan promosi.

Walaupun harganya murah, namun pelbagai pilihan menu yang ada seperti kedai steamboat yang lain dan pilihan sup juga sedap. Tak cukup dengan itu, pelbagai pilihan sos sedap untuk anda makan bersama menu grill. Restoran ini turut menyediakan makanan bergoreng, menu barat, buah-buahan, pemanis mulut dan sebagainya. Berbaloi bukan?

Meletop Steamboat & Grill

Alamat: 72, Jalan Enau 11, Taman Teratai, 81110 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (5.30 pm – 12.00 am)

Meletop Steamboat & Grill ini bukan sahaja popular dengan kepelbagaian pilihan steamboat, malah servis yang baik dan ruang restoran yang luas juga turut dipuji ramai. Tempat parkir juga mudah untuk dicari.

Ramai pelanggan memuji kuah tomyam mereka. Rasanya sedikit pedas, jadi bagi penggemar makanan pedas, inilah hidangan yang wajib anda tambah semasa menikmati steambot. Pilihan steamboat lain seperti daging, ayam, udang dan kambing memang berkualiti.

Johor Steamboat

Alamat: 2, Jln Adda 3/3, Taman Adda Heights, 81100 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (5.00 pm – 12.00 am)

Ada penggemar makanan laut di sini? Jika anda mahu menikmati steamboat bersama makanan laut yang dijamin berkualiti, singgah sahaja di Johor Steamboat. Kualiti makanan laut mereka diakui oleh ramai pelanggan yang pernah menikmatinya.

Imej via Johor Steamboat

Daging di sini juga turut menjadi kegemaran ramai. Perapannya memang secukup rasa, semasa membakar daging pula aroma yang dihasilkan memang cukup harum. Pendek kata, boleh buat sesiapa sahaja terliur.

MrChef Steamboat & Grill

Alamat: 44, Jalan Setia Tropika 1/24, Setia Tropika, 81200 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Khamis – Selasa, 5 pm – 12 am

Dalam mencari restoran, bukan sahaja kepelbagaian makanan malah ruang restoran yang bersih dan selesa pasti menjadi keutamaan anda, bukan? MrChef Steambot & Grill memang menyediakan ruang yang selesa untuk pelanggannya.

mr chef steamboat grill tempat makan steamboat johor
Imej via Facebook

Salji Putih Cafe & Steamboat

Alamat: G 0-1 BLOCK A, Jalan Jaya Putra 1/1, Taman JP Perdana, 81100 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Selasa-Ahad (8.00 am-10.30 pm)

Walaupun kafe dibuka dari 8.00 pagi, namun buffet steamboat diadakan bermula 6.00 petang. Harga steamboat sangat berpatutan dengan hanya RM 34.00 untuk dewasa manakala kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun hanya RM 16.00 sahaja. Untuk kanak-kanak bawah 6 tahun adalah percuma. Kunjungi Facebook Salji Putih Cafe & Steamboat untuk pelbagai promosi yang sering mereka tawarkan.

Kafe ini sangat sesuai untuk dikunjungi terutama yang mempunyai pelbagai citarasa terhadap makanan. Datang bersama kelompok keluarga atau rakan-rakan memang best! Banyak pilihan bebola, makanan laut, sayur dan sebagainya disediakan dengan segar belaka.Terdapat dua pilihan sup iaitu pedas dan biasa. Memang kena dengan tekak.

Selain steamboat ada juga menu ala carte seperti chicken chop, oden, spaghetti, nasi lemak dan sebagainya. Tak cukup dengan itu, aneka pemanis mulut seperti kek yang pasti membuatkan anda rambang mata.

MJ Thai Sedap Empire

Alamat: No 186 Jalan Adda 7, Taman Adda Height, 81100 Johor Bahru, Johor

Waktu operasi: Jumaat-Rabu (4.00 pm-12.00 pm)

Imej via Thai Sedap

Antara kelebihan makan steamboat di sini adalah ditawakan dengan enam set. Setiap set mengandungi bahan istimewa yang terdiri daripada makanan laut, sayur, ayam, dan daging. Semuanya berkualiti dan segar. Ada set lala dan tiram untuk dibakar.

Dengar cerita, set tomyam, ketam bunga lada hitam dan ketam bunga nestum sangat sedap! Kenapa kami katakan lebih sedap? Hal ini kerana semuanya dimasak menggunakan arang untuk set steamboat dan daging bakar. Anda pasti berselera!

Set steamboat didatangkan dengan dua pilihan iaitu tomyam dan sup. Seperti kebanyakan kedai steamboat yang lain, setiap 100 gram lebihan makanan akan dicas RM 15 untuk mengelakkan pembaziran.

Bucida Garden Bbq & Steamboat

Alamat: 25, Jalan Suria 6, Bandar Baru Seri Alam, 81750 Masai, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari (5.00 pm – 1.00 am)

Hidangan steamboat di Bucida Garden Bbq & Steamboat bukan sahaja menyelerekan, malah harganya juga cukup berpatutan. Restoran buffet ini juga memang menjadi tumpuan penduduk di Masai, jadi rugi jika anda tak singgah menjamu selera.

Pelanggan di sini memuji kualiti pilihan steamboat yang disediakan – memang terbaik dan diperap dengan sempurna. Selain steamboat, hidangan pencuci mulut seperti aiskrim juga turut disediakan. Alang-alang pesan sahaja aiskrim di sini, memang menyegarkan tekak.

Kapten Steamboat and Grill

Alamat: Jalan Tun Abdul Razak (Susur 6), Taman Suria Muafakat, 81200 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Rabu-Isnin (3.00 pm – 12.00 am)

Mula beroperasi sejak tahun 2011, Kapten Steamboat and Grill ini merupakan antara tempat makan steamboat di Johor yang memang popular. Ada pelbagai jenis pilihan steamboat yang boleh dibuat jika anda singgah di sini.

Perapan juga ada berbagai jenis, ada yang rasa pedas, perasa madu dan lada hitam. Kebanyakan pelanggan memuji hirisan daging yang lembut. Makanan laut juga diakui segar, dijamin memuaskan hati.

Medan Steamboat Bandar Baru Uda

Alamat: 14, Jalan Padi Emas 6/1, Bandar Baru Uda, 81200 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: 5 pm – 2 am

Ini merupakan antara tempat makan steamboat di Johor yang wajib anda terjah – Medan Steamboat Bandar Baru Uda. Terdapat lebih kurang 15 jenis van luton yang menjual steamboat.

medan steamboat bandar baru uda
Imej via Foursquare

Ruang untuk makan di situ juga turut disediakan. Pilihan steamboat semestinya beraneka dan hidangan sampingan seperti rojak, otak-otak dan nasi ayam penyet juga boleh didapati. Persembahan dari buskers juga kadangkala turut diadakan.

Restoran Rawa

Alamat: 36, Jalan Kuning, Taman Pelangi, 80400 Johor Bahru, Johor

Waktu Operasi: Rabu – Isnin, 12 – 10 pm

Restoran Rawa ini bukan sahaja menyediakan hidangan steamboat, malah menu ala carte juga turut disajikan. Jika anda mahu menikmati hidangan yang pelbagai bersama keluarga, ini adalah tempat yang terbaik untuk bersantai sambil menjamu selera.

restoran rawa johor
Imej via Foursquare

Untuk hidangan steamboat, ramai menggemari hidangan steamboat yang menggunakan kuah tomyam. Rasa tomyam yang asli dan secukup rasa buat ramai ketagih dengannya. Menu ala carte yang wajib anda cuba ialah ketam telur masin yang menjadi rebutan ramai.

Krabby Planet Steamboat & Grill

Alamat: Tjmart Lot CN, Lot 5035, Jalan Air Hitam, Taman Pancasila, 81400 Senai, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari, 5 – 11 pm

Ada penggemar BBQ di sini? Rata-rata pelanggan yang singgah di Krabby Planet Steamboat & Grill mengakui yang BBQ mereka memang terbaik. Perapan yang sempurna dan kualiti bahan juga premium.

Krabby planet steamboat senai johor
Imej via Facebook

Mereka juga turut menyediakan hidangan steamboat yang lain seperti makanan laut dan steamboat. Hidangan sampingan seperti nasi goreng, bubur ayam, bihun goreng, sup tulang, sup cendawan, bubur kacang dan nuget juga ada disajikan.

Liza’s Kitchen Steamboat & Grill

Alamat: 49, Jln Zabedah, Kampung Pegawai, 83000 Batu Pahat, Johor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, hari minggu 5:30 pm – 12 am manakala hujung minggu 5 pm – 12 am

Jika anda berada sekitar Batu Pahat dan teringin untuk menikmati hidangan steamboat, lekaslah singgah di Liza’s Kitchen Steamboat & Grill. Restoran buffet ini merupakan antara tempat makan steamboat yang terkenal di situ.

liza's steamboat and grill tempat makan steamboat johor
Imej via Facebook

Ramai pelanggan memuji perapan daging yang cukup menggamit selera. Aromanya semasa dibakar memang harum. Makanan laut juga ada banyak pilihan dan segar-segar belaka. Hidangan sampingan seperti nasi goreng dan pasta juga boleh didapati.

River Steamboat

Alamat: G-03 ,Ground Floor ,Jalan Kolam Air 2, Mudra Tropika 80100, 80200 Johor Bahru, Johor

River Steamboat ini juga merupakan antara tempat makan steamboat di Johor yang menjadi pilihan ramai. Kedai makan ini bukan sahaja dipuji dari segi kualiti steamboatnya, malah servisnya yang cemerlang juga merupakan antara faktor ramai pelanggan menggemarinya.

river steamboat tempat makan steamboat johor
Imej via Instagram

Kepelbagaian jenis steamboat merupakan antara tarikan istimewa di sini. Staf mereka juga dikatakan cekap dan sekiranya bekalan steamboat habis, mereka akan segera menambah bekalan. Memang terbaik!

Pilihan lauk steamboat juga ada banyak dan segar. Terdapat lebih 10 jenis perapan boleh didapati di sini, semestinya akan buat anda rambang mata. Minuman dan pencuci mulut juga turut disediakan.

Kesimpulan

Sudah jumpa tempat makan steamboat di Johor yang ingin diserbu? Jika berpeluang ke sini, singgah sahaja satu persatu kerana semuanya menarik.

Semoga artikel ini memberi manfaat kepada anda dalam mencari tempat makan yang sedap. Jangan lupa kongsikan kepada rakan-rakan dan di media sosial. Selamat menjamu selera!

Artikel Menarik Lain

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.