Bercadang untuk berkunjung ke Sepang, namun masih tercari-cari tempat makan di Sepang yang boleh anda singgah?

Bila kami sebut sahaja tentang Sepang, apakah perkara pertama yang terlintas di minda anda? Pasti Litar Antarabangsa Sepang mula menjengah di minda, bukan?

Sambil melancong, semestinya anda ingin mengisi perut dengan makanan enak-enak, bukan? Berikut kami senaraikan 7 tempat makan menarik di Sepang. Teruskan membaca ya!

#1 Restoran Nasi Padang Minang Batang Kapeh

Alamat: Jalan besar, Kampung Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 11 pagi – 4 petang

Jika anda teringin untuk mencuba masakan kampung yang terlajak sedap, anda wajib singgah Restoran Nasi Padang Minang Batang Kapeh ini!

Lauk-pauk yang dihidangkan juga cukup beraneka. Namun, yang paling laku di sini ialah ikan bakar. Agak-agak apa yang membuatkan menu ini begitu digemari ya?

ikan bakar @ restoran padang sepang

Imej via Foursquare

ikan bakar @ restoran padang

Imej via Foursquare

Menurut pelanggan, ikan bakar di sini cukup sedap. Isi ikannya ‘juicy’ dan segar. Lebih padu jika dicicah bersama sambal kicap!

masak lemak siput sedut @ nasi padang sepang

Imej via Foursquare

Selain itu, menu lain seperti ayam bakar, iken keli goreng, masak lemak siput sedut dan aneka jenis ulam-ulaman juga turut disediakan.

#2 Restoran Pak Wan

Alamat: 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 12 pagi

Restoran ini dibuka dari pagi hingga tengah malam. Menu mereka juga ada berbagai jenis, dari menu sarapan hingga ke makan malam, semuanya sedap=sedap belaka!

 

capati @ pak wan sepang

Imej via Foursquare

Untuk menu sarapan, kami cadangkan agar anda cuba capati dan lempeng di sini. Jika anda cicah capati dengan kuah kari atau kuah sardin, kami jamin rasanya pasti sedap!

ikan patin pak wan sepang

Imej via Foursquare

Untuk tengah hari pula, semestinya nasi campur menjadi pilihan. Lauk-pauk yang disediakan cukup banyak, antara yang anda boleh cuba ialah gulai patin tempoyak, kari ikan, ikan bakar dan banyak lagi.

Menu makan malam juga turut disediakan. Ada kuetiau, nasi goreng, mi dan juga sate. Sate merupakan antara menu yang kerap menjadi pilihan ramai pada waktu malam, jadi anda wajib cuba!

#3 Full La Mak Cafe

Alamat: 21, Jalan Seroja 6, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 12 tengah hari – 12 tengah malam, manakala pada Jumaat dibuka 3 petang – 1 pagi

Nama restorannya sahaja sudah unik, belum lagi anda lihat nama menunya. Yang pasti, bila anda merasai menu-menu di sini, kami yakin anda juga akan teruja dengan keenakannya, fulamak!

sizzling mee sepang

Imej via Foursquare

nasi goreng bantal sepang

Imej via Foursquare

Antara menu yang laku keras di Full La Mak Cafe ialah Nasi Goreng Bantal, Nasi Ayam Fullamak, Mi Racun dan banyak lagi. Namanya memang unik, namun usah gundah. Menu-menu ini merupakan antara yang paling kerap dipesan di sini.

#4 Razak Patin Tempoyak

Alamat: No. 14, 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 7 pagi – 6 petang

Patin tempoyak merupakan hidangan yang cukup popular di Pahang. Walaupun ianya turut disediakan di restoran luar Pahang, namun rasanya kadangkala tidak sesedap patin tempoyak yang asli.

patin tempoyak @ razak tempoyak sepang

Imej via Instagram

Jangan risau! Jika anda berada di Sepang, restoran Patin Razak Tempoyak ini pasti akan menyenangkan hati anda. Patin tempoyak di sini dikatakan sedap setanding patin tempoyak Pahang!

patin tempoyak @ razak tempoyak sepang

Imej via Instagram

Menurut ramai, isi ikan patin cukup lembut dan segar, bau hanyir pun tiada langsung! Gulai tempoyak pula pedas dan berlemak. Lebih ‘kaw’ jika dimakan bersama masakan kampung lain!

#5 Restoran Adik Abang

Alamat: Medan 23, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 6.30 pagi – 6 petang, manakala Sabtu dibuka 6.30 pagi – 1 tengah hari

Selalunya, menu sarapan apa yang wajib ada dalam senarai anda? Nasi lemak? Roti Canai? Lontong? Ketiga-tiga menu ini boleh anda nikmati di Restoran Adik Abang, yang merupakan antara port sarapan tersedap di Sepang.

lontong sotong @ adik abang

Imej via Foursquare

Lontong di sini lain daripada yang lain. Selalunya kita akan makan lontong bersama sambal biasa sahaja. Namun di sini, sambal yang disediakan ialah sambal sotong kembang. Memang sedaplah jawabnya!

roti canai @ adik abang sepang

Imej via Foursquare

Selain lontong, roti canai di sini juga tidak kurang sedapnya. Jika dimakan bersama kuah kari mereka yang cukup disukai ramai, kami yakin anda juga pasti akan jatuh cinta dengannya.

#6 Restoran Taman Klasik Rumbia

Alamat: 286, Jalan Haji Jumani, 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Dibuka pada hari minggu, 7 pagi – 12 tengah hari

Satu lagi ‘port’ sarapan yang wajib anda singgah di Sepang – Restoran Klasik Rumbia. Yang menarik tentang restoran ini ialah, menu yang dihidangkan cukup beraneka.

Sebut sahaja tentang menu sarapan, pasti sesetengah restoran menyediakan beberapa menu sahaja. Namun, tidak di restoran ini! Selain nasi lemak, menu lain juga turut disediakan.

Antara menu yang boleh anda cuba ialah nasi lemak telur goyang, mee goreng telur goyang, bihun sup, ubi bakar, pulut durian dan banyak lagi. Memang cocok dengan citarasa ramai!

#7 Restoran Perantau

Alamat: 43, Jalan Bunga Raya 2, Bandar Baru Salak Tinggi, 43900 Sepang, Selangor

Waktu Operasi: Setiap hari, 6.30 pagi – 3 pagi

Restoran Perantau ini cukup sesuai untuk anda singgah untuk makan malam. Kebanyakan makanan yang disediakan berasaskan hidangan tempatan, Thai dan Barat.

makan @ perantau

Imej via Foursquare

abc @ perantau

Imej via Foursquare

Antara menu yang boleh didapati di sini ialah kerabu maggie, tomyam, kerang bakar, daging masak merah dan banyak lagi. Untuk pencuci mulut pula, anda wajib cuba ABC mereka!

Kesimpulan

Bagaimana? Sudah jumpa tempat makan mana di Sepang yang anda mahu singgah atau sudah mula rambang mata? Ini baru sahaja 7 kami senaraikan, jika kami senaraikan semuanya pasti anda akan lebih keliru, bukan?

Jika anda sudah memasang niat untuk terjah tempat-tempat makan ini, kami nasihatkan agar anda datang pada waktu yang sesuai. Bukan apa, takut ruang dalam restoran dan ruang parkir penuh.

Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.