Pelajar – pelajar yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) adalah sangat bertuah kerana berpeluang belajar di salah sebuah universiti di dalam taman. Suasana persekitarannya cukup indah dengan kehijauan semulajadi ciptaan Ilahi.

Sudahlah dapat belajar di tempat yang cantik, malah terdapat pelbagai makanan yang begitu menarik, sehingga kan negeri Pulau Pinang ini digelar sebagai syurga makanan. Bagi yang bakal berada di USM, anda tidak perlu khuatir kerana di sini banyak terdapat kafetaria yang menyediakan pelbagai makanan dengan dikenakan caj yang cukup murah.

Jom kita tengok di mana kafe yang menarik di USM ini.

#1. The Kapits

The Kapits terletak di Desasiswa Cahaya Gemilang. Menyediakan pelbagai hidangan ringkas tetapi menarik seperti masakan Barat yang terdiri dari lasagna, spaghetti, pelbagai jenis minuman terutamanya kopi. 

Spaghetti @The Kapits

Imej via facebook

Kafe ini turut menyajikan kek serta brownies yang memang sedap. Rugi kalau tak cuba, sesuai dijadikan minum petang bersama secawan kopi, sepadan tau ! Kopi signature di sini adalah “Kopi Balak” yang merupakan black coffee bersama gula yang dihidangkan di dalam botol kaca.

Burger @The Kapits

Imej via facebook

Dekorasi di kafe ini nampak old school tapi cukup menarik. Ruang makan agak terhad, jadi kena lah pandai cari masa yang sesuai untuk menjamu selera di sini. Rata – rata pelanggan di sini sudah semestinya pelajar USM sendiri, malah kakitangan serta pensyarah Universiti turut gemar menjamu selera di sini.

Alamat : 8, Jalan Gemilang, Desasiswa Cahaya Gemilang, 11800 USM Penang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari Jumaat hingga Sabtu dan dibuka mulai jam 4.00 petang hingga 12.00 malam setiap hari Sabtu dan Ahad

#2. Kafetaria Restu

Kafetaria Restu ini terletak di bilik penginapan pelajar iaitu di Desasiswa Restu. Dari pagi hinggalah ke malam, kafetaria di sini sering dikunjungi para pelajar untuk menjamu selera.

Hidangan makanan di sini mungkin agak sama dengan kafe – kafe di Desasiswa lain, namun terdapat satu menu yang paling menjadi igauan ramai, iaitu Nasi Pecal. Kalau sebut Nasi Pecal, sudah tentu ramai yang tahu gerai yang mana menjual hidangan ini.

Nasi Pecal @Desasiswa

Imej via deskgram

Menu ini sebenarnya ringkas sahaja, anda boleh memilih samada set ayam goreng atau ikan goreng. Yang menjadi hidangan ini istimewa adalah kerana ia dihidangkan bersama kuah yang menarik dan unik rasanya. Set nasi ini turut dilengkapi dengan keropok ikan serta hirisan sayur. Memang lain dari yang lain rasanya.

Kuetiaw Sup @Kafetaria Restu

Imej via foursquare

Selain itu juga, terdapat masakan panas yang anda boleh nikmati di sini. Menu berasaskan sup juga tidak kurang hebat, dengan hirisan ayam atau daging yang agak banyak pastinya mengenyangkan.

Alamat : Kafetaria Restu, Desasiswa Restu, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari

#3. Cafe Saujana

Kafetaria Saujana terletak di Desasiswa Saujana, berhampiran pintu stadium Universiti Sains Malaysia. Memang banyak menu yang disediakan di sini. Kalau pada waktu pagi, bolehlah anda mencuba bihun sup yang memang best, harga pula hanyalah RM 3.00 semangkuk, murah kan?

Bihun @Sup Saujana Cafe

Imej via jaakechik1

Nasi lemak, bihun goreng, mee goreng, nasi goreng juga disediakan pada waktu pagi. Kuih muih juga ada. Menjelang tengahari, nasi campurlah yang menjadi pilihan pelajar.

Nasi Campur @ Kafetaria Saujana

Imej via foursquare

Pada sebelah malam, ramai pelajar lebih suka memesan makanan panas yang begitu menyelerakan. Namun, ada juga nasi campur disediakan namun tidaklah begitu banyak. Menu sup memang disediakan dari pagi hingga ke malam kerana ramai yang menggemari sup panas.

Alamat : Kafetaria Saujana, Desasiswa Saujana, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari

#4. Cafe Indah Kembara

Sebagai pelajar, pastinya anda mahukan hidangan yang murah, sedap dan puas hati kan? Maklumlah, hidup sebagai seorang pelajar pastinya sering berjimat cermat untuk meneruskan kehidupan di kampus. Desasiswa Indah Kembara ini menjadi penginapan buat para pelajar USM dan 20 peratus penghuni desasiswa ini terdiri dari Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).

Nasi Campur @Kafetaria Indah Kembara

Imej via foursquare

Jika anda mahukan nasi campur yang murah dan sedap, apa kata datang ke kafe Desasiswa Indah Kembara. Sudahlah murah, sedap pula tu. Dengan harga serendah RM 3.00, anda boleh mendapat nasi campur yang terdiri dari sayur dan satu jenis lauk.

Sate @Indah Kembara

Imej via facebook

Makan malam di sini banyak juga yang menarik, lebih – lebih lagi masakan panas. Memang lah menjadi tumpuan. Mulai jam 3.00 petang pula, terdapat sate bakar dijual di sini. Dagingnya lembut dan begitu terasa perapan dagingnya.

Alamat : Kafetaria Indah Kembara, Desasiswa Indah Kembara, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari

#5. U-Raxa Cafe

U-Raxa Cafe terletak di Kompleks EUREKA USM dikendalikan oleh USAINS Holding Sdn Bhd. Cafe ini menyediakan pelbagai makanan tradisional serta makanan tempatan yang menjadi kegemaran ramai. Saiz ruang makan kafe ini tidak terlalu besar, namun masih boleh menampung keperluan pelajar yang datang menjamu selera di sini.

Kuetiaw @U-Raxa

Imej via facebook

Seperti mana kafe – kafe lain di sekitar USM, kafe ini turut menggunakan perkhidmatan layan diri. Pelanggan perlu membuat pesanan dan mengambil sendiri hidangan yang telah disediakan. Pelbagai menu menarik di kafe ini, kebanyakan menu merupakan set hidangan seperti nasi beriani, nasi Arab, nasi ayam, masakan panas dan sebagainya.

Nasi Ayam @U-Raxa

Imej via facebook

Anda juga boleh mendapatkan pelbagai jenis kuih muih tradisional yang semakin jarang ditemui. Antara kuih – muih yang terdapat di sini adalah seperti kuih bingka, lepat pisang, ketayap dan bermacam lagi. Terdapat juga makanan Barat dan makanan panas disediakan.

Alamat : U-Raxa Cafe, Kompleks EUREKA USM, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari

#6. Kafetaria Fajar Harapan

Desasiswa Fajar Harapan ini terletak berhampiran tasik yang memberi pemandangan cukup indah terutama waktu pagi. Menjadi lokasi kegemaran ramai kerana ia juga terletak berhampiran Masjid Khalid Al Walid, Pusat Pengajian dan juga dekat dengan pintu masuk USM (Pintu Sg Dua).

Corndog@Fajar Harapan

Imej via picpanzee

Oleh kerana kafeteria ini agak dekat dengan Pusat – Pusat Pengajian, maka tidak hairanlah ia sering dikunjungi para pelajar berdekatan. Menyediakan menu sarapan pagi, tengahari dan juga malam, pastinya sangat memudahkan.

Yang menarik lagi, kafe di sini turut menjual corndog yang begitu popular dan viral masa kini. Harganya pula di bawah RM 10.00 untuk sebiji. Cukup murah dan pastinya rasanya juga memiliki keenakan yang tersendiri.

Nasi Berlauk Fajar Harapan

Imej via picpanzee

Menjelang tengahari kafe ini sentiasa dipenuhi pelajar dan juga pensyarah yang menjamu selera kerana lauk – pauknya yang banyak dan enak. Dari segi harga pula sangat murah dan berbaloi. Kadang kala harga yang begitu murah dikenakan buat hidangan nasi campur.

Alamat : Desasiswa Indah Kembara, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari

#7. BumbleDees

Kafe BumbleDees ini terletak di Rumah Tetamu lama di USM. Ia merupakan sebuah restoran yang berada di dalam sebuah rumah kolonial lama yang telah dijadikan kafe. BumbleDees menyediakan menu makanan Barat dengan harga yang berpatutan.

Nasi Goreng Ayam @BumbleDees

Imej via facebook

Pelbagai menu menarik boleh anda nikmati di sini seperti pasta, pelbagai jenis nasi goreng bersama ayam panggang, chicken chop, fish and chips, mushroom soup with garlic bread dan banyak lagi pilihan. Terdapat juga menu set nasi putih dan bawal goreng yang merupakan menu berbeza.

Spghetti BumbleDees

Imej via facebook

Dekorasi kafe ini pastinya akan membawa anda seolah – olah sedang berada di zaman kolonial suatu tika dahulu. Ruang makannya begitu selesa dan mendamaikan.

Alamat : B07, Rumah Tetamu Universiti Sains Malaysia, Jalan Pemimpin, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari (kecuali Ahad tutup)

#8. Red House Cafe

Kenapa kafetaria ini dikenali sebagai Red House Cafe ? Kalau anda hendak tahu, ia mendapat nama kerana warna restoran ini diwarnakan dengan warna merah.

Lasagna @Red House USM

Imej via facebook

Red House Cafe antara tempat makan yang juga murah di USM ini. Ia menjadi tumpuan ramai waktu tengahari kerana menyediakan nasi campur dengan harga yang begitu berpatutan.

Nasi Campur @Red House USM

Imej via facebook

Kafe ini juga sering menjadi tempat para pelajar mengadakan majlis keraian tertentu kerana ruang yang disediakan begitu selesa. Malah, hidangan yang disediakan begitu enak dengan harga yang dikenakan juga begitu memuaskan. Pada hari biasa juga, kafe ini turut menyajikan masakan panas buat para pelajar yang datang menjamu selera.

Alamat : Jalan Universiti, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai 8.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari (kecuali Sabtu dan Ahad tutup)

#9. D’Bistro Tekun

Kafe D’Bistro Tekun ini terletak di Desasiswa Tekun. Ruang makan di kafe ini selesa, luas serta bersih. Sangat sesuai untuk pelajar – pelajar menjamu selera sambil berehat seketika, malah kafe ini turut menyediakan tayangan filem / drama / perlawanan bola secara percuma.

Chicken Chop @Kafetaria Tekun

Imej via facebook

Terdapat beberapa gerai makanan yang menyajikan pelbagai menu yang menarik. Pada sebelah pagi, anda boleh lah mencuba roti canainya yang garing dan lembut, nasi lemak, kuih muih dan sebagainya. Jika hendak makan tengahari, terdapat nasi campur / nasi kandar yang tersedia, dengan pilihan lauk pauk yang begitu banyak.

Ada juga nasi ayam, nasi beriani, nasi tomato, pecal, bihun sup, mee kari dan sebagainya boleh menjadi pilihan anda. Masakan panas juga disediakan terutamanya pada waktu malam. Makanan Barat yang pelbagai juga sangat menarik dan enak.

Nasi Ayam Grill @Kafetaria Tekun

Imej via facebook

Jangan lupa untuk mencuba Bobba Milk Tea di sini, memang sedap lah ! Terdapat buah – buahan potong yang boleh jadikan sebagai pencuci mulut. Potongan kek seperti red velvet juga sangat mengliurkan. Di kafe ini juga anda boleh membuat bayaran menggunakan QRpay, debit kad atau kad kredit, selaras dengan sistem cashless yang semakin mendapat sambutan.

Alamat : Desasiswa Tekun , Kompleks RST Universiti Sains Malaysia , Halaman Bukit Gambir 4, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari

#10. Dataran Usahawan

Dataran Usahawan Siswa Universiti Sains Malaysia (USM) ini terletak di sebelah Desasiswa Tekun. Ia diwujudkan bagi membantu para pelajar menjana pendapatan sampingan semasa tempoh pengajian mereka di dalam kampus.

Burger Ayam @Dataran Keusahawanan

Imej via facebook

Gerai – gerai perniagaan telah dibuka bagi membolehkan para pelajar menjalankan perniagaan sambil dipantau oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan & Sahsiah Pelajar (PPKSP) USM. Antara makanan yang terdapar di Dataran Usahawan adalah terdiri dari makanan ringan seperti western food, burger, celop-celop, buah-buahan potong, roti, waffle fruity, jagung dan serta minuman.

Chicken Chop @Dataran Usahawan

Imej via facebook

Alamat : Bersebelahan Desasiswa Tekun, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 petang hingga 12.00 tengah  malam setiap hari (kecuali cuti semestar tutup)

#11. Kafetaria Bakti Permai

Kafetaria yang terdapat di Desasiswa Bakti Permai ini terdiri dari 11 buah gerai yang menjual beraneka makanan serta minuman. Sesuai dengan tema yang digunakan iaitu “Desasiswaku di Perantauan”, kafe ini menyediakan pelbagai hidangan yang enak seperti di rumah.

Maggi Sup @Kafeteria Bakti Permai

Imej via foursquare

Makanan yang dijual terdiri dari sarapan pagi seperti roti canai, pelbagai pilihan sup, nasi goreng, mee goreng, tomyam, nasi campur, masakan panas, makanan ringan, roti, buah  buahan, kuih – muih dan banyak lagi.

ABC @Kafeteria Bakti Permai

Imej via foursquare

Paling best di kafetaria Bakti Permai adalah Air Batu Campur (ABC) yang sedap dan murah. Lemak dan manis rasanya secukup rasa, pasti menyegarkan hari anda.

Alamat : Desasiswa Bakti Permai, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari (kecuali cuti semester tutup)

#12. Kafetaria Cahaya Gemilang

Desasiswa Cahaya Gemilang terletak Lorong Cahaya, USM. Cahaya Gemilang adalah hasil gabungan nama Desasiswa Cahaya dan juga Desasiswa Gemilang.

Pavlova @Kafetaria Cahaya Gemilang

Imej via foursquare

Kedudukan desasiswa ini terletak berhampiran Pusat Kesihatan USM, Pusat Pengajian Sains Fizik, Pusat Jagaan Kanak-Kanak [Hadhanah] dan Unit Kediaman Keluarga Ijazah Pertama. Oleh kerana desasiswa ini begitu hampir dengan tempat tersebut, maka sebab itu juga kafetaria Cahaya Gemilang menjadi tumpuan ramai.

Nasi Campur @Cahaya Gemilang

Imej via foursquare

Sering menjadi tumpuan setiap masa mulai sarapan pagi, makan tengahari hinggalah makan malam. Yang menjadi tumpuan adalah ketika makan tengahari kerana ramai pelajar berpusu – pusu menjamu selera di sini kerana lauk – pauknya yang banyak dan menyelerakan. Menu dessert yang paling best dekat sini adalah pavlova yang sering menjadi kegilaan ramai pelajar.

Alamat : Desasiswa Cahaya Gemilang, Universiti Sains Malaysia, 11800 Pulau Pinang
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari (kecuali cuti semester tutup)

Kesimpulan

Kebanyakan tempat yang disenaraikan menyediakan menu yang mampu menepati selera para pelajar. Selain mudah didapati, harga makanan juga adalah sangat murah bertepatan dengan status pelajar yang perlu berjimat cermat.

Harga memang murah dan berbaloi makan di sekitar USM ini. Siapa tak cuba makanan di sekitar ini adalah sangat – sangat rugi.

Penulis: Itawrah

Itawrah

Seorang yang rajin mencari tempat makan yang viral dan menarik di Malaysia.

    Tinggalkan Komen!

    Langgan Info Kami

    Berkaitan

    .