Dahulunya daerah Dungun ini menjadi sebuah kubu pertahanan peperangan dan turut menjadi pilihan para pedagang serta angkatan tentera dari Sumatera. Namun, kini daerah Dungun telah menjadi salah satu tempat pelancongan yang memiliki beberapa kawasan yang begitu menarik. Antara tempat – tempat yang boleh anda lawati adalah Bukit Besi, Air Terjun Chemerong, Pulau Tenggol, Tanjung Jara, Rantau Abang, Pantai Paka, Pantai Batu Pelandok dan banyak lagi.
Setelah melawati tempat – tempat menarik di sekitar Dungun, jangan lupa pula untuk singgah menjamu selera setelah puas bersiar – siar. Tempat makan di sini cukup menarik dan pastinya sedap. Harga pula sangatlah ok !
Restoran Singgang Ulam Budu merupakan salah satu tempat makan yang menyajikan masakan ala kampung citarasa pantai timur dan lokasinya sungguh menarik perhatian ramai. Ini kerana kedudukan restoran ini yang berhampiran pantai memberi satu suasana yang bagi mendamaikan.
Anda pasti akan terpikat dengan menu tradisional Terengganu ini. Menunya ringkas, namun pasti dapat membuka selera sesiapa sahaja yang menggemari masakan ala kampung.
Antara menu tradisional masakan negeri ini ialah nasi putih, ikan singgang, ikan patin masak tempoyak, ikan bakar, kerabu perut lembu, siput sedut, ikan singgang, ikan panggang, gulai kambing, rebung masak lemak, sayur lemak serta dua menu istimewa iaitu singgang ketam dan singgang telur ikan.
Mulai jam 5.00 petang pula, masakan panas akan disajikan mengikut pesanan pelanggan. Antara menunya adalah seperti tomyam udang galah, kambing bakar, ikan bakar, sotong bakar, ayam kampong, maggi ketam, lidah lembu, roti bakar gogeh, teh tarik madu dan banyak lagi.
Alamat : PT14909B, Jalan Pantai Kampung Sura Tengah, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari (kecuali Khamis tutup)
Di Atas Sungei merupakan sebuah restoran yang terletak di atas sebatang sungai yang mengalir ke Laut China Selatan. Anda boleh menikmati hidangan dengan suasana yang begitu tenang.
Restoran Di Atas Sungei ini menyediakan menu masakan Melayu yang begitu istimewa. Apa yang menariknya, Chef Ann yang merupakan tukang masak di sini akan bertemu dengan pelanggan di setiap meja serta mencadangkan menu yang sesuai dengan anda.
Antara menu yang menarik di sini adalah fillet ikan kukus yang begitu sesuai dimakan seisi keluarga yang mempunyai anak kecil. Kerang cili yang dimasak bersama cili, lemon dan garam juga sangat mengliurkan. Udang buttermilk nya juga cukup memuaskan hati, tambahan pula saiznya agak besar.
Menu ayam roselle juga begitu istimewa, memberi rasa yang begitu halus, manis dan masam. Mee mamak yang diadun bersama kicap juga memberi kenikmatan yang sebenar.
Alamat: Di Atas Sungei, Tanjong Jara Resort,Batu 8, off Jalan Dungun, 23000 Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka setiap hari mulai jam 7.00 malam hingga 10.30 malam setiap hari
Hola West, seperti namanya, ia merupakan sebuah restoran sederhana yang menyajikan hidangan makanan Barat buat pelanggannya. Hidangan yang disajikan pula memiliki standard yang tersendiri, namun harga yang dikenakan sangat murah dan berpatutan.
Suasana restorannya sangat menarik dan unik sekali. Ia seakan sebuah warung kampung, namun memiliki dekorasi yang menarik dan menambat hati para pelanggan dengan menu yang disajikan.
Antara menu yang boleh anda cuba di sini adalah sup cendawan bersama roti, roti John, burger, steak, salmon, fish and chip, sandwich dan banyak lagi. Jangan lupa juga mencuba tiram segar di sini ya !
Air minuman mocktail di sini sangat menjadi kegemaran ramai. Pastinya anda terkejut melihat kunjungan pelanggan yang datang ke sini begitu ramai biarpun kedainya kelihatan biasa sahaja, namun memiliki keunikan yang luar biasa.
Alamat : 561-A, Jalan Pantai Sura, Kampung Sura Pantai, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari (kecuali Jumaat dan Sabtu tutup)
Sekarang ni mana – mana restoran ada menyajikan menu shellout. Tak kira lah di ibu kota, di Dungun, Terengganu juga tak ketinggalan juga.
Kalau nak makan shellout di sekitar Dungun, anda boleh mencubanya di Restoran Juz. Menu shelloutnya memang mantap ! Ada udang, sotong, ketam, kupang, jagung dan bermacam lagi bersama kuah yang begitu luar biasa.
Selain shellout, anda juga boleh mencuba menu makanan Barat yang juga enak di sini, terutamanya chicken chop dan lamb chop. Memang sedap juga rasanya. Terdapat juga sate, roti bakar, masakan panas dan juga keropok di sini.
Alamat : Kampung Balai Besar, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 12.00 tengahari hingga 12.00 tengah malam setiap hari
Era Café merupakan sebuah kedai makan yang terletak di sebelah jalanraya menjadi tumpuan ramai terutama penduduk sekitar. Menyediakan menu harian yang sangat digemari ramai.
Pada sebelah pagi, Era Café menyediakan menu seperti nasi lemak, nasi dagang Terengganu, lontong, roti canai, nasi minyak, nasi kunyit, laksa, laksam, mee goreng dan kuih muih. Menu pada sebelah tengahari pula turut disediakan seperti nasi ayam dan nasi campur dengan pelbagai jenis lauk pauk kampung.
Era Café sering menjadi tumpuan kerana menunya yang pelbagai dan harganya pula juga murah dan sangat berbaloi.
Alamat : B97 Batu 48 Jalan Besar Dungun / Kemaman Dungun, 23000 Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari
Sebut sahaja roti nan, pasti ramai yang mengenalinya lebih – lebih penggemar makanan di kedai mamak, pasti tahu. Namun, jika di negeri sebelah Pantai Timur, roti nan ini lebih dikenali dengan nama roti tempayan.
Di Dungun, Terengganu ini terdapat sebuah restoran dikenali sebagai Kedai Roti Tempayan Aidil Putra yang agak popular. Ia menyediakan roti nan bersama gulai ayam, kambing atau daging yang dimakan bersama. Kedai ini dimiliki oleh orang Melayu tempatan dan bukannya dimiliki oleh seorang mamak.
Roti tempayan di sini begitu lembut biarpun telah sejuk. Saiz rotinya juga agak besar, namun anda perlu sabar menanti kerana kadangkala pelanggan agak ramai. Roti tempayan anda akan dibuat sebaik sahaja menerima pesanan.
Selain roti tempayan, terdapat menu lain seperti masakan panas, sup tulang, kerabu, ikan bakar, nasi minyak, aiskrim jeli kelapa, pulut mangga dan pulut durian yang boleh dijadikan hidangan sampingan.
Alamat : Batu 50, Jalan Paka Dungun, 23100 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 petang hingga 1.00 pagi setiap hari (kecuali Jumaat tutup)
Yong Tau Fuu merupakan makanan masyarakat Cina, namun kini turut menjadi hidangan ramai tidak mengira bangsa. Keenakan yong tau fuu sebenarnya terletak pada sos pencicah serta kuah sup yang dimakan bersama.
Jika anda ingin menikmati yong tau fuu yang enak, datanglah ke Yong Tau Fuu Dungun ini. Sos pencicah yang menggunakan resepi tersendiri pastinya memberi keenakan yang tidak terduga. Pelbagai pilihan lauk untuk dijadikan yong tau fuu anda.
Selain itu, terdapat menu lain seperti nasi goreng sotong, mee hailam, mee rebus, nasi goreng tok, nasi goreng cik, berger bakar homemade, sotong kangkung, ikan bakar dan banyak lagi menu disediakan. Sambil makan yong tau fuu, anda juga boleh mencuba hidangan lain yang boleh dimakan bersama.
Alamat : L3609 Jalan Balai Besar, Taman Gemilang Balai Besar, 23000 Dungun Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari
Jika anda berada di negeri Pantai Timur, pastinya tercari – cari tempat yang menjual nasi dagang yang sedap kan? Kalau anda berada di sekitar Dungun, anda boleh menikmatinya di Warung Telor Power Pak Din.
Nasi dagang di sini mungkin sama seperti di tempat lain, namun ia memiliki keenakan serta keunikan yang tersendiri. Tambahan pula gulai ikan aya nya yang sedap ditambah pula acar sayur yang rangup.
Selain nasi dagang, menu yang turut disukai ramai adalah telur separuh masak herba. Telur ini dimasak dengan rempah ratus khas yang sangat bagus untuk kesihatan.
Terdapat juga menu lain seperti nasi lemak, pulut kuning dan juga nasi minyak. Pengunjung memang ramai datang menjamu selera di sini.
Alamat : Taman Raya, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari
Nama Martion bukanlah nama yang asing di kalangan penduduk sekitar Dungun. Mungkin namanya kedengaran seperti nama seseorang, namun di Dungun, ia merupakan sebuah restoran makanan Barat yang begitu menarik perhatian.
Ruang makan yang disediakan buat para pelanggan begitu luas dan juga selesa. Ia menyajikan hidangan makanan Barat dengan harga yang berpatutuan.
Saiz hidangan agak besar mungkin menyebabkan anda sukar menghabiskannya sendiri. Jadi, pastikan anda datang ke restoran di saat perut anda benar – benar lapar. Anda boleh mencuba hidangan steak yang begitu lembut, spaghetti, chicken chop bersama fries, meatball dan bermacam lagi.
Alamat : Lot 5565 Jalan Pantai Sura 23000 Dungun, Terengganu (Jalan Pantai Dungun)
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 3.30 petang hingga 12.30 pagi setiap hari
Jarang dapat melihat restoran berkonsepkan ala hipster di sekitar Dungun ini. Namun, The Dapo telah membawa kelainan dengan menampilkan konsep ala hipster di restoran mereka.
Penggunaan konsep ala hipster ini membuatkan pelanggan yang datang menjamu selera begitu selesa dengan suasananya yang santai. Restoran ini bukan sahaja sesuai buat seisi keluarga, namun sesuai juga untuk anda menjamu selera bersama rakan – rakan.
Menu makanan di sini berkonsepkan makanan Barat dan menu yang paling mendapat permintaan ramai adalah chicken chop. Ia bukan sahaja sedap, malah harganya juga begitu berpatutan.
Alamat : Batu 49, Jalan Bungaraya, 23000 Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 4.00 petang hingga 12.00 tengah malam setiap hari
Chemistree Café & Lounge merupakan sebuah restoran yang menyajikan hidangan Barat yang memang terbaik di Dungun. Ia memberi kelainan suasana untuk anda menjamu selera.
Pelbagai hidangan yang boleh anda nikmati di sini sama seperti di restoran makanan Barat yang lain. Antaranya adalah pasta, lasagne, chicken chop, steak, lamb chop, fish and chip dan banyak lagi.
Rata – rata pelanggan yang telah datang menjamu selera di sini memberi maklum balas yang sangat positif tentang restoran ini. Jadi, anda tidak perlu ragu untuk datang dan makan di sini.
Alamat : Jalan Pantai Sura Hujung, 23000 Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 4.30 petang hingga 12.00 tengah malam setiap hari (kecuali Isnin tutup)
Di Pantai Dungun terdapat gerai yang begitu menarik perhatian ramai pengunjung. Gerai ini diperbuat daripada kontena yang menjadi ruang makan para pelanggan.
Petok Coffee nama gerai ini dan menggunakan konsep layan diri di kedai makannya. Pelanggan perlu membuat pesanan di kaunter dan memilih menu yang menjadi pilihan.
Tiada sebarang masakan panas ala Thai di sini, namun ianya menyajikan menu makanan Barat serta mee udang dan juga asam pedas. Bagi menu makanan Barat, anda boleh mencuba Western Talam yang terdiri dari chicken chop, French fries, meatball dan juga spaghetii carbonara.
Mee udang di sini juga sedap dan anda pastinya akan merasai kesegaran serta kemanisan isi udang tersebut. Inginkan secawan kopi ? Pastikan anda mencuba French Coffee yang merupakan signature di sini.
Alamat : 561-A, Jalan Pantai Sura, Kampung Sura Pantai, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 3.00 petang hingga 11.00 malam setiap hari
Restoran Ikan Bakar Darul Falah merupakan salah satu rangkaian perniagaan Darul Falah Group. Ia menyediakan pelbagai menu masakan panas ala Thai, seafood serta banyak lagi.
Istimewa restoran ini turut menyajikan belut sebagai salah satu hidangan yang begitu unik. Antara menu yang boleh anda cuba berasaskan belut ini adalah seperti tomyam belut, maggi belut, paprik belut, sup belut, belut goreng kunyit, belut masak pedas, belut masak halia dan banyak lagi.
Bagi anda yang belum pernah mencuba belut sebagai hidangan, apa kata anda mencubanya di sini. Rasailah keenakan serta keunikan belut yang disajikan.
Alamat: 15, Jalan Lapangan Terbang, Taman Sura Jaya, 23000 Kuala Dungun, Terengganu
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 12.00 tengah malam setiap hari
Sememangnya nasi dagang dan negeri Terengganu sangat sinonim kerana ia antara makanan tradisi masyarakat tempatan. Namun, keunikan menu belut juga pastinya memberi kelainan buat anda yang belum pernah mencubanya.
Apa kata, jika anda berada di daerah Dungun ini, singgahlah ke restoran yang menghidangkan menu belut yang jarang ditemui di tempat lain. Rasailah keenakan serta keunikan yang anda boleh nikmati dari hidangan belut.