Artikel kali ini akan membawa anda ke kawasan Dengkil pula. Jangan tak tahu, di Dengkil juga memiliki tempat makan yang enak dan berpatutan.
Bagi anda yang baru pertama kali berada di Dengkil, atau secara kebetulan datang ke Dengkil ini dan tidak tahu hendak makan di mana, boleh lah jadikan artikel ini sebagai rujukan. Cukup mudah untuk menjejaki tempat makan di kawasan sekitar Dengkil, tambahan pula telah tersedia senarai restoran yang sememangnya best untuk dicuba.
Senang sahaja untuk ke Restoran Sri Manis ini kerana ia terletak di tepi jalan utama ke Dengkil. Restoran yang terletak di Kampung Dato Ahmad Razali ini menyajikan pelbagai masakan kampung yang terdiri dari lauk pauk tradisi yang memang meletops.
Namun, jika anda datang pada hari Jumaat, restoran ini menyediakan menu istimewa iaitu Ayam Golek Havoc yang memang havoc rasanya. Apa yang menariknya, isi ayam ini begitu lembut serta memiliki aroma yang tersendiri.
Pada sebelah malam, restoran ini menyediakan masakan panas termasuklah menu makanan barat. Roti sangkaya juga enak dimakan sebagai hidangan ringan.
Suasana restoran kemas, bersih dan teratur sangat menarik perhatian ramai. Harga makanan di sini pula tidak begitu mahal dan biashe – biashe saja. Tapi keenakan makanan di sini gerenti luar biasa rasanya.
Alamat : Lot 11 Jalan Anggerik,Kampung Dato’ Ahmad Razali,Dengkil, Dengkil,Sepang, 43000 Sepang, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.30 pagi hingga 2.00 pagi setiap hari
Bagi yang teringin masakan orang Nogori, boleh cuba datang ke sini. Macam – macam disajikan, pilih sahaja yang mana berkenan.
Ada asam pedas, daging salai masak lemak, ikan keli masak lemak, telur itik masak lemak, sambal belacan, ulam – ulaman dan banyak lagi. Menu anda akan dimasak dan dihidangkan di dalam periuk tanah @ claypot.
Terdapat juga hidangan makanan barat disediakan di sebelah malam. Anda boleh mencubanya mengikut selera dan pilihan masing – masing.
Restoran ini menyediakan set makan yang murah harganya serta mampu milik iaitu bermula dari RM 7.00 hingga RM 9.00 sahaja termasuk air sirap. Murah bukan ?
Alamat : 73, Ground Floor, Jalan Cyber Valley 1A/3, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 10.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari (kecuali Ahad tutup)
Restoran Gegey ini telah ditubuhkan sejak tahun 2016 lagi. Gegey membawa maksud “bising” dalam Bahasa Kelantan dan restoran ini dimiliki oleh anak jati Kelantan.
Paling istimewa menu di sini adalah minumannya yang pelbagai jenis, warna, rupa dan rasa. Terdapat lima jenis minuman extreme yang ditawarkan iaitu Oreo, Chocoholic, Red Velvet, Donut dan juga Rainbow. Memang menarik dan sedap air di sini.
Selain minuman, terdapat Nasi Gegey, Nasi Kerabu Gegey serta ayam goreng untuk dinikmati. Makanan ini akan disediakan di dalam bungkusan kertas sahaja dan suasana di restoran ini begitu santai dan rileks.
Harga makanan dan minum di sini sangat berpatutan dan air yang anda pesan boleh dikongsi bersama rakan – rakan dan keluarga kerana saiz gelasnya agas besar.
Alamat: G-09, Jalan Dengkil Centre Point, Taman Dengkil Centre Point
Waktu Operasi: Dibuka mulai jam 11.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari (kecuali Isnin tutup)
Kalau dah nama kedai pun tomyam, pastinya hidangan tomyam ada di sediakan di Y Tomyam Seafood. Kecur liur mendengar nama menu tomyam ini. Rata – rata tomyam digemari ramai.
Pelbagai menu ala Thai disediakan di sini. Bagi anda yang gemar hidangan ala Thai, boleh datang menjamu selera di sini.
Untuk menu jimat, anda boleh memesan hidangan set yang sangat berbaloi harganya. Antara pilihan set yang disediakan terdiri dari ikan siakap, sayur goreng (boleh pilih samada kalian, kangkong, sayur campur), tomyam, nasi putih dan juga pilihan air buah – buahan.
Alamat : Lot 8377 43800 Dengkil, Selangor
Kafe Kayu ini terletak tidak jauh dari Putrajaya Convention Centre (PICC) iaitu kira – kira 15 minit sahaja. Masakan asam pedas, antara menu yang mesti anda cuba. Ia menggunakan pelbagai jenis ikan segar yang terdiri dari ikan jenahak, ikan merah, kembung, bawal, pari dan juga tenggiri.
Selain asam pedas ikan, anda juga boleh mencuba set nasi yang terdiri dari set bawal goreng serta set ayam goreng berempah. Sebagai melengkapi hidangan ini, anda boleh memilih kuah samada asam pedas ataupun kari.
Antara menu lain yang istimewa di sini adalah gulai lemak itik, daging salai, kari kepala ikan, sup, ikan bakar dan banyak lagi.
Alamat : Kampung Ambar Tenang, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 10.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari
Bagi anda yang inginkan suasana damai ketika menjamu selera, apa kata datang ke Restoran Tasik Idaman yang terletak di Dengkil ini. Lokasinya begitu strategik dengan rimbunan pepohon menghijau serta tasik yang tenang pasti membuatkan selera anda semakin terasa.
Jika datang menjamu selera di sini, pastikan tiba awal kerana ia sering dikunjungi ramai biarpun lokasinya agak tersorok. Semasa berada di dalam restoran, anda mungkin akan terasa bergoyang kerana ianya dibina di atas air.
Menu yang tersenarai sudah pastinya membuatkan anda bingung untuk memilih. Semuanya sedap dan menyelerakan.
Anda boleh memilih menu ikan bakar, sotong goreng tepung, sup daging, tomyam, ketam cili, kepah masak pedas, kalian ikan masin, udang goreng butter dan banyak lagi. Hidangan yang disajikan memang terbaik, tambahan pula harga dan kualitinya sangat memuaskan hati. Rugi tak makan di sini.
Alamat : 44A, Jalan Idaman 84/89, Batu 26, Jalan Jenderam,Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 5.00 petang hingga 1.00 pagi setiap hari
Hidangan masakan Melayu pastinya menjadi pilihan ramai terutama masyarakat Melayu. Namun, ia juga turut digemari oleh bangsa lain seperti Cina dan India.
Keenakan hidangan ini pastinya membuka selera ramai. Sebuah restoran yang terletak di Kampung Jenderam Hulu, Dengkil ini menjadi tumpuan ramai terutama menjelang waktu makan tengahari.
Pelbagai lauk pauk makanan kampung disediakan yang kadang kala sukar untuk dijumpai di restoran lain. Malah, penggunaan rempah ratus asli pastinya memberi keunikan yang tersendiri terhadap menu tersebut.
Anda boleh memilih apa sahaja lauk pauk yang tersedia, diikuti pula sambal belacan serta ulam – ulaman sebagai pelengkap hidangan. Pastinya memukau anda jika terlihat deretan lauk ikan bakar, gulai ayam kampung, kari daging, sambal udang petai, asam pedas, gulai rebung dan banyak lagi.
Jika anda ingin bersarapan di sini pun boleh juga kerana pada waktu pagi turut disediakan nasi lemak, bihun goreng, nasi goreng, kuih muih dan banyak lagi.
Alamat :No 229 Batu 29, Kampung Jenderam Hulu, Dengkil Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat (Sabtu dan Ahad tutup)
Cendol dimakan semasa cuaca panas mentari tegak di atas kepala, memang awesome. Siapa yang tidak suka pada cendol, tambahan pula ketika tekak terasa begitu dahaga dan kepanasan.
Pesan pula cendol durian, bertambah padu lah rasanya. Kombinasi yang cukup luar biasa dan enak rasanya. Terasa lemak santan dan durian bergabung, pastinya memuaskan hati anda.
Bukan cendol durian sahaja, namun terdapat cendol durian+jagung, cendol durian+labu, cendol durian+keladi dan cendol durian+pulut. Selain itu, anda boleh menikmati mee kari, laksa, cucur udang serta keropok lekor di sini.
Alamat : Kampung Dengkil, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 10.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari
Peminat – peminat mee hailam boleh menjejakkan kaki di Warung Pak Man. Di sini pasti anda akan dapat menikmati mee hailam yang sangat – sangat enak rasanya.
Walaupun hanyalah sebuah warung, namun hidangan yang disediakan setaraf restoran – restoran terkenal. Tambahan pula mee hailam yang dipenuhi dengan lauk – pauk yang agak banyak.
Kuah mee hailamnya pekat dan rasanya begitu menyelerakan. Selain mee hailam, anda juga boleh mencuba lontong di sini. Pastinya makanan di sini dapat memenuhi selera anda.
Alamat : No.2B Gerai PLB, Pekan Dengkil, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 pagi hingga 3.00 petang setiap hari (kecuali Ahad tutup)
Ramal Seafood telah pun dibuka di kawasan Dengkil. Bagi peminat – peminat restoran Ramal Seafood, anda tidak perlu lagi datang ke Sg Merab untuk menikmati hidangan makan malam di sana.
Tanpa perlu memandu jauh, kini penduduk Dengkil boleh rasai keenakan masakan di Ramal Seafood. Ia menampilkan pelbagai hidangan masakan panas yang enak serta begitu pantas disediakan oleh tukang masak.
Antara yang sering menjadi pilihan ramai adalah tomyamnya yang pekat, ikan siakap tiga rasa, telur bungkus, sup cendawan dan banyak lagi. Anda juga boleh memesan sate sebagai hidangan sampingan, dagingnya lembut dan begitu terasa perapannya.
Lokasi yang terletak di jalan utama ke Dengkil ini pastinya memudahkan anda untuk menjejakinya.
Alamat : B15, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 6.00 petang hingga 1.00 pagi setiap hari
Gerai Jo terletak di Medan Selera Dengkil. Menyajikan dua jenis hidangan sahaja namun ia mendapat perhatian ramai terutama pelanggan tetapnya yang datang dari serata tempat.
Hidangan roti canai dan nasi lemak telur goyang yang sering menjadi pilihan. Tambahan pula, telur goyang yang diletakkan di atas nasi lemak cukup mengliurkan.
Anda juga boleh memesan nasi lemak ayam goreng dan juga roti canai telur selain roti kosong. Kuah roti canainya juga tidak kurang hebat rasanya. Jangan lupa order teh tarik juga !
Alamat : B15, Kampung Batu Dua Jalan Ayer Hitam, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 1.00 petang setiap hari
Biasa kita dengar menu daging salai je kan? Kali ni apa kata anda cuba pula nasi goreng daging salai di Dengkil Heritage. Kelainan ini membuatkan ramai pelanggan tertarik untuk mencubanya.
Daging salai yang digunakan untuk memasak nasi goreng ini adalah daging salai gulai lemak, pastinya anda akan merasai nasi goreng ini sedikit berlemak. Namun, ianya tetap memiliki keunikan dan keenakan yang tersendiri.
Antara lain yang boleh anda rasai juga adalah nasi goreng ayam salai, mee goreng daging bakar, set nasi daging salai dan juga set jenahak cili api. Sememangnya masakan yang dimasak oleh Mahmud Buyamin ini memiliki keenakan luar biasa dan telah berkecimpung dalam dunia masakan sejak 30 tahun yang lalu.
Alamat : Kampung Dato Ahmad Razali, 43800 Dengkil, Selangor
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 7.00 pagi hingga 4.00 petang setiap hari
Warung Bakso Jawa ini menyediakan bakso dari Jawa yang sememangnya lazat dan tidak dapat dipertikaikan. Bebola dagingnya cukup banyak, ditambah pula keenakan kuahnya yang begitu menyelerakan.
Selain bakso, terdapat set nasi ayam penyet, lele penyet dan juga mee kari yang tiada tandingannya. Jangan lupa juga untuk memesan minuman teh botol yang begitu popular di Indonesia, pasti asyik sekali.
Alamat : Lot 172 GF, Kampung Dengkil, Jalan Bundar 2, Dengkil
Waktu Operasi : Dibuka mulai jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam setiap hari (kecuali Khamis tutup)
Restoran Selera Kak Zam menyediakan pelbagai menu sarapan pagi dan makan tengahari. Selain itu juga, Selera Kak Zam turut menyediakan perkhidmatan katering buat para pelanggannya.
Antara sarapan pagi yang disediakan terdiri dari nasi lemak, mee goreng, bihun goreng, maggi goreng, kuetiaw goreng, nasi goreng serta kuih muih tradisional. Menjelang tengahari pula, pelbagai jenis lauk pauk bermasak untuk para pelanggan yang datang untuk menjamu selera.
Menu tengahari yang disediakan merupakan masakan kampung yang begitu menyelerakan. Ia terdiri dari ulam – ulaman serta sambal belacan, gulai lemak cili padi, asam pedas, kari, ikan sambal, ikan bakar, sambal tumis sotong dan udang serta bermacam lagi. Biasanya menu – menu seperti yang menjadi sambutan ramai.
Alamat : Selera Kak Zam , KM Jalan Banting, 43800 Dengkil
Biarpun Dengkil ini merupakan sebuah pekan kecil yang terletak berhampiran Putrajaya, namun ia juga memiliki tempat – tempat makan yang begitu menarik perhatian. Suasana persekitaran di kawasan Dengkil yang tidak begitu sesak memudahkan perjalanan penduduk sekitar menjejaki tempat makan yang menarik di sini.
Hidangan yang sedap dan menarik tidak bermakna anda perlu mengeluarkan kos yang tinggi untuk menjamu selera. Harga yang sangat berpatutan serta kualiti yang terjaga pastinya membuatkan ramai pelanggan berpuas hati dengan hidangan yang disajikan.