Bila singgah di Kelantan, gerai makanan apa yang selalu terlintas di fikiran anda? Nasi Kerabu? Teh Ais Madu? Nasi Kak Wok? KST Ikan Bakar Wakaf Che Yeh ? Ish banyak betul! Anda pasti runsing gerai makanan mana yang anda patut pergi, bukan?

Di Kelantan, tidak dinafikan banyak gerai makanan yang menyajikan makanan Kelantan dan makanan Siam, jadi tidak hairanlah makanan negeri Kelantan sememangnya antara yang paling terkenal di negara kita. Jika anda menginginkan kelainan, kami tahu gerai makanan makanan mana yang patut anda jelajah!

Samer Maggi Tiram yang bertempat di Pengkalan Chepa, Kelantan merupakan warung yang sememangnya terkenal dan sentiasa penuh dengan pelanggan. Pengkalan Chepa merupakan antara tempat tumpuan pelancong di Kelantan, tidak kira luar atau dalam negara.

Jadi, gerai Samer Maggi Tiram ini acap kali diserbu pelanggan! Mungkin anda merasakan yang menu di sini hanyalah maggi kosong yang biasa-biasa sahaja dan lauknya juga ala kadar dan boleh dijangka, tapi kami yakin anda pasti terkejut dengan kepelbagaian dan kelazatan makanan di sini!

maggi sotong

Imej via Foursquare

Maggi Sotong, Bukan Biasa-Biasa

Antara menu yang istimewa di sini termasuklah Maggi Sotong. Maggi Sotong di sini bukan biasa-biasa. Lihat sahaja sotongnya, memang besar dan puas hati! Sotong yang dihidangkan juga bukan seketul dua, dengan kuantiti maggi yang banyak dan kuahnya yang pekat dan tidak terlalu pedas. Dihidangkan bersama perahan limau nipis untuk menguatkan rasa maggi, siapa sahaja yang tidak teruja dan berpuas hati dengan kelazatannya?

Maggi Special

Imej via Twitter

Maggi yang Berbagai Lauk

Selain itu, Samer Maggi Tiram juga ada menghidangkan maggi lain seperti Maggi Tiram, Maggi Udang, Maggi Belut dan Maggi Telur Sotong. Bagi penggemar makanan laut, kami yakin anda pasti sedang menelan air liur sambil membaca entri ini, bukan?

Harga untuk setiap maggi ini juga sangat berpatutan dan anda boleh memesan maggi kesukaan anda mengikut cara masakannya, sama ada goreng, kari atau tomyam. Di sini juga ada menghidangkan Maggi Ketam dan harganya mengikut saiz, sama ada gred A atau gred B. Wah, memang pelbagai betul menu di sini!

Special @ Samer Maggi tiram

Imej via Instagram

bihun sotong

Imej via Foursquare

Menu Lain dan Banyak Lagi

Bukan sahaja maggi yang dihidangkan di sini, malah mee, bihun, kuey tiaw juga turut disediakan! Anda boleh memilih menu mana yang menjadi kesukaan anda, dan anda juga boleh memilih cara masakannya! Selain itu, cara masakan makaanan laut itu sendiri juga boleh dipilih.

Antara pesanan yang tertinggi di Samer Maggi Tiram ialah semestinya lauk goreng tepung. Tepung yang menyaluti makanan laut di sini tidak terlalu tebal, tidak berminyak dan semestinya sangat rangup. Dicicah pula dengan sos yang manis dan pedas, pasti enak dimakan semasa perut anda sedang berkeroncong.

Nasi goreng chicken chop

Imej via Instagram

Teringin juga nak makan nasi? Jangan risau! Samer Maggi Tiram juga ada menyediakan nasi goreng. Antara nasi goreng yang disediakan termasuklah Nasi Goreng Chicken Chop. Bunyinya sahaja sudah menarik! Menggabungkan nasi goreng dan makanan barat Chicken Chop, kami berani jamin yang anda pasti akan kenyang dengan hidangannya yang banyak dan lazat!

Selain itu, di sini juga ada disediakan Nasi Goreng Special, yang menggabungkan nasi goreng bersama pelbagai jenis lauk di Samer Maggi Tiram iaitu sotong, telur sotong, tiram dan udang! Fuhh, memang mengancam!

Bagi sesiapa yang sudah mula kecur air liur tu, cepat-cepatlah terjah Samer Maggi Tiram ya! Anda perlu datang awal kerana tempat parkir kereta di sini sentiasa penuh! Almaklumlah bila gerai makanannya menyediakan makanan yang luar biasa sedapnya, pelanggannya mestilah sentiasa ramai!

Waktu operasinya ialah pada jam 4 petang hingga 2 pagi setiap hari. Bila lagi mahu cuba maggi terbaik di Pengkalan Chepa? Mari serbu Samer Maggi Tiram!

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.