Ikan sembilang antara makanan laut yang jarang – jarang kita temui lebih – lebih lagi di bandar besar seperti Kuala Lumpur. Jika anda teringin untuk menikmatinya, bolehlah datang ke sini untuk menikmati hidangan ikan sembilang.
Kedai makan ini hanya bertiang kayu tidak seperti restoran – restoran lain. Malah ia dikelilingi dengan beberapa pondok kecil dan juga pokok pisang. Biarpun kedai makan ini nampak biasa sahaja, namun ramai pelanggan yang menjamu selera di sini.
Pelanggan yang datang terdiri dari orang sekitar Kuala Lumpur, Shah Alam, Melaka dan juga Negeri Sembilan. Malah, ada juga pelanggan yang datang ke sini dengan menaiki sebuah helicopter. Pasti anda terkejut bukan, tetapi itulah kebenarannya.
Hidangan asam pedas dan juga kari ikan sembilang menjadikan kedai makan ini sering mendapat perhatian ramai. Ia terletak di Sungai Sembilang, Kuala Selangor dan diusahakan oleh Mastuki Kileho.
Setiap hari, Mastuki menyediakan sebanyak 30 hingga 40 kilogram ikan sembilang untuk masakan asam pedas dan juga kari. Kedua – dua hidangan ini merupakan kegemaran ramai pelanggannya. Malah, terdapat begitu ramai pelanggan tetapnya yang sentiasa berkunjung ke kedai makannya demi hidangan asam pedas dan juga kari sembilang.
Hidangan asam pedas dan kari sembilang disajikan di dalam periuk tanah atau ‘claypot’ supaya ia sentiasa panas dan dapat menghasilkan aroma yang menyelerakan. Kedai makan ini pada mulanya tidak mendapat kunjungan ramai. Namun, berita keenakan masakan asam pedas dan kari sembilang yang disajikan telah disampaikan mulut ke mulut oleh pelanggan yang telah pun merasai sendiri keenakan masakan di sini.
Selain ikan sembilang, pelanggan juga boleh memilih ikan pari, cencaru dan juga jenahak sebagai hidangan asam pedas ataupun kari. Ikan sembilang yang dijadikan sajian diperoleh daripada nelayan di jeti berhampiran. Ternyata ikan sembilang yang dimasak merupakan ikan – ikan segar dari laut.
Kesegaran ikan sembilang yang dijadikan hidangan membuatkan ramai pelanggan menjamu selera di sini. Selain ikan yang segar, resepi tradisional asam pedas isteri Mastuki yang berasal dari Melaka ternyata memikat hati para pelanggan.
Asam pedas dan kari ikan akan disajikan bersama nasi putih, telur masin dan juga kepingan timun dengan harga RM 9.00 sahaja. Hidangan asam pedas yang disajikan tidak terlalu pedas membolehkan kanak – kanak juga dapat menikmatinya.
Ramai pelanggan dari luar kawasan datang menjamu selera di sini malah tokoh korporat juga sanggup menaiki helicopter untuk ke sini. Terdapat juga pelanggan yang jauh berulang ke kedai makan ini sekali sebulan semata – mata untuk menikmati asam pedas ikan sembilang. Tambahan pula ikan yang digunakan adalah ikan segar.
Setiap hari kedai makan ini memulakan operasinya mulai jam 1.00 tengahari hingga jam 12.00 tengah malam.
Alamat : Kampung Dungun, 45800 Jeram, Selangor