Bila bercuti di Terengganu, kedai ikan celup tepung wajib anda singgah.

Sebut sahaja menu-menu yang berkaitan dengan goreng tepung, pasti ada di kalangan pembaca yang sudah mula kecur air liur, bukan? Tidak dinafikan, lauk goreng tepung memang mampu membangkitkan selera sesiapa sahaja!

Lauk yang digunakan selalunya makanan laut seperti sotong, ketam, udang dan ikan. Tepung yang digunakan juga memainkan peranan penting untuk menjamin kerangupan dan keenakan menu tersebut.

Dalam banyak-banyak negeri, kami yakin anda pasti terfikirkan tentang negeri ini bila kami sebut tentang lauk goreng tepung – Terengganu!

Jadi, teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang restoran di Terengganu yang menghidangkan lauk goreng tepung kegemaran ramai ini ya!

#1 Warung Adik Beradik (Sri Kolam)

Warung Adik Beradik (Sri Kolam)

Imej via Foursquare

Restoran ini merupakan salah satu restoran yang wajib anda singgah jika anda berkunjung ke Terengganu. Terutamanya buat pencinta lauk goreng tepung, dijamin puas hati!

Lauk Goreng Tepung @ Warung Adik Beradik (Sri kolam)

Imej via Foursquare

Antara lauk goreng tepung yang disajikan di sini ialah sotong goreng tepung, udang goreng tepung dan ketam goreng tepung. Sos yang dihidangkan juga beraneka – ada masam, pedas dan manis. Harganya cukup berpatutan dengan kualitinya.

Terletak bersebelahan dengan pantai, restoran ini membangkitkan suasana santai kepada pengunjung. Sambil mengenakan lauk goreng tepung yang rangup di siang hari, mereka juga boleh menikmati pemandangan yang cantik.

Alamat: Kampung Teliput, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam

#2 Firdausy Seafood

Lokasi restoran ini cukup strategik. Terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, tidak hairanlah restoran ini menjadi tumpuan ramai. Bukan sahaja kerana lokasinya yang strategik, malah hidangannya juga enak-enak belaka.

Lauk Goreng Tepung @ Firdausy Seafood Corner

Imej via Foursquare

Pelbagai pilihan makanan goreng tepung disajikan di restoran Firdausy Seafood ini. Antaranya lauk untuk hidangan goreng tepung di sini ialah ikan, udang, ketam dan pari. Lebih menarik, bayam dan cendawan goreng tepung turut disajikan!

Ais Jagung @ Firdausy Seafood Corner

Imej via Foursquare

Selain itu, masakan panas juga turut dihidangkan di restoran ini. Minuman yang laku keras di sini ialah Ais Jagung. Pasti menyegarkan tekak apabila dikenakan bersama masakan panas dan lauk goreng tepung!

Alamat: 11843, Jln Pantai Puteri, Kampung Tok Jembal, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Isnin, bermula dari jam 11 pagi hingga 8 malam

#3 Warung Pok Nong

Nama restoran ini sudah tidak asing lagi di Kuala Terengganu. Bukan sahaja di Terengganu, malah, kami yakin pasti di negeri lain nama restoran ini cukup terkenal.

Warung Pok Nong

Imej via Foursquare

Merupakan antara restoran yang menjadi kegemaran ramai pengunjung di Terengganu, Warung Pok Nong ini sudah beroperasi lebih 20 tahun! Namun, restoran ini tetap tersenarai sebagai antara restoran yang paling ramai pengunjung di Terengganu.

Lauk Goreng Tepung @ Warung Pok Nong

Imej via Foursquare

Antara lauk goreng tepung yang disajikan di sini ialah ikan goreng tepung, sotong goreng tepung, udang goreng tepung dan banyak lagi! Keistimewaan utamanya ialah kerangupan dan kesegaran lauk yang disajikan, dijamin enak berganda-ganda!

Pelanggan yang menyerbu restoran Warung Pok Nong ini juga cukup ramai. Malah, ada yang datang sanggup dari jauh semata-mata untuk mencuba lauk goreng tepung di sini, memang menarik!

Alamat: A1693 Jalan Pantai, T145, Kampung Teliput, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu operasi: Setiap hari kecuali Selasa, bermula dari 3:30 petang hingga 8 malam

#4 NR Cafe

NR Cafe

Imej via Foursquare

Nama restoran NR Cafe ini sudah tidak asing lagi di Kuala Terengganu. Terkenal dengan dekorasi kedai yang unik dan menu-menu yang menarik, restoran ini juga sentiasa dipenuhi dengan pelanggan walaupun pada waktu lewat malam!

Udang goreng tepung @ NR Cafe

Imej via Foursquare

Antara menu yang cukup laku di NR Cafe ini ialah lauk goreng tepung, seperti sotong goreng tepung dan udang goreng tepung. Rata-rata pelanggan yang pernah merasai menu-menu ini memuji kesegaran lauk yang dijanjikan NR Cafe.

ABC Special @ NR Cafe

Imej via Foursquare

Selain itu, menu lain seperti masakan panas dan pencuci mulut juga turut disediakan di sini. Antara pencuci mulut yang wajib anda cuba ialah ABC Special. Berganda kesedapannya apabila dikenakan setelah anda mencuba lauk goreng tepung!

Alamat: Lot 24354, Jalan Kubang Badak, Kampung Tok Jembal, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu operasi: Setiap hari, kebiasaannya bermula dari jam 4:30 petang hingga 12:30 tengah malam

#5 Haji Pok Long ICT (Ikan Celup Tepung)

Sebut sahaja tentang ICT atau Ikan Celup Tepung, restoran mana yang selalu terlintas di minda? Warung Pok Nong? ICT Teluk Ketapang? Kami yakin nama restoran ini pasti terlintas di minda ramai penggemar ICT, bukan?

Restoran Haji Pok Long ICT ini cukup terkenal dengan hidangan lauk goreng tepung yang berbagai. Antaranya ialah sotong goreng tepung, udang goreng tepung, ketam goreng tepung dan banyak lagi. Kebanyakannya ialah makanan laut yang segar-segar belaka!

Pencuci Mulut dan Lauk Goreng Tepung @ ICT Haji Pok Long

Imej via Foursquare

Kerangupan dan kesegaran lauk yang dihidangkan menjadi punca utama lauk goreng tepung di restoran ini disukai ramai. Selain lauk goreng tepung, pencuci mulut ABC juga merupakan antara menu yang dipesan ramai di sini, anda wajib merasainya!

Alamat: Pantai Teluk Ketapang, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu operasi: Setiap hari, bermula dari jam 2:15 petang hingga 7:30 malam

Ada di kalangan pembaca yang sudah mula kecur air liur membayangkan keenakan lauk goreng tepung ke? Jika ya, jangan lepaskan peluang ini, terutama kepada yang merancang untuk berkunjung ke Terengganu.

Anda juga digalakkan untuk datang lebih awal, kerana restoran-restoran ini selalunya dipenuhi ramai pelanggan. Tempat parkir juga kadang-kadang ada yang sampai berebut! Selamat menjamu selera ya!

Selain artikel ikan celup tepung di Terengganu, kami juga menulis artikel menarik lain seperti kedai makan thai di KL dan tempat makan butter chicken di KL.

Penulis: Nurul Hani

Berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik berbagai genre di seluruh Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.