Semua tahu yang di Malaysia ini amat mudah untuk jumpa makanan. Oleh kerana kita ada pelbagai bangsa, jadi makanan kita juga pelbagai. Bukan sahaja makanan dari Malaysia, malah dari luar negara juga. Inilah yang anda akan temui di Restoran Simpang Tiga yang terletak di Ipoh, Perak.

 

Restoran Simpang Tiga

Apabila makan di sini, anda akan terasa makan di Jakarta. Masakan tidak, menu yang terkenal di sini adalah nasi padang yang berasal dari Indonesia.

 

Menu Restoran Simpang Tiga

Restoran Simpang Tiga terkenal dengan masakan Padang, iaitu sebuah daerah di Indonesia. Kebiasaannya, restoran seperti ini amat terkenal dengan Nasi Padang dan Ayam Penyet mereka. Masakan lain termasuk Bergedil, Gulai Kikil, Ayam Khalazan, Masak Lemak Telur Itik, dan Ikan Goreng Terbang (Talapia).

Sebenarnya Restoran Simpang Tiga menyediakan kira-kira 100 masakan panas. Restoran Simpang Tiga mengekalkan menu utama dan mempelbagaikannya dengan citarasa yang lain. Jika anda sudah biasa dengan masakan Padang dan mahu mencuba masakan lain, Restoran Simpang Tiga juga menyediakan masakan barat dan makanan laut.

Restoran Simpang Tiga
Imej via Foursquare

Jika anda baru pertama kali mencuba masakan Padang dan keliru dengan beberapa nama masakan, anda boleh bertanya kepada pelayan tentang menu mereka. Sekiranya anda mahu merasai suasana makan seperti dirumah, nasi disediakan di dalam bekas nasi untuk anda ceduk sendiri nasi ke dalam pinggan anda. Tambahan pula, makanan memang disajikan secara berhidang.

Restoran Simpang Tiga menyediakan pelbagai jenis lauk-pauk pada waktu tengahari. Inilah juga masa puncak di sini. Pada masa ini, Restoran Simpang Tiga yang mampu menampung sehingga 500 orang akan dipenuhi dengan pelanggan. Ruang yang luas ini berikutan restoran ini mengambil 3 lot rumah kedai di Greentown Square Ipoh.

Selain daripada waktu tengahari yang sibuk, ia juga dipenuhi pelanggan semasa bulan Ramadhan di iaitu semasa waktu berbuka puasa.

Tarikan menu yang sering dipuji adalah telur bistiknya dan sambalnya. sambalnya dikatakan wajib dicuba.

Menyentuh tentang hiasan dalamannya pula, Restoran Simpang Tiga memasukkan ciri-ciri tradisional dan masih mengekalkan ciri-ciri itu sehingga kini.

Setelah beroperasi selama enam tahun, nama restoran ini terus menjadi perbualan hangat. Ini menunjukkan keupayaannya dalam mengekalkan standard yang tinggi untuk pelanggan. Maka, ini jugalah yang telah menarik lebih ramai orang untuk mengunjunginya. Oleh itu, jika anda tidak membuat tempahan lebih awal iaitu sebelum waktu makan tengah hari, anda mungkin terpaksa menunggu lebih lama sebelum dapat menjamu selera.

 

Harga Makanan Di Restoran Simpang Tiga

Makanan di restoran ini walaupun dikatakan sedikit mahal tapi amat berbaloi dengan wang anda. Ini kerana, selain makanannya yang sedap, mereka turut menitikberatkan kebersihan restoran dan keselesaan pelanggan. Masakan pula sudah tentulah dijamin halal.

Harga bermula dari RM3.80 dan mengikut jenis lauk yang diminta. Diingatkan bahawa anda bukan sahaja perlu membayar harga makanan, tapi anda juga dikenakan GST sebanyak 6% dan caj perkhidmatan sebanyak 5%.

Sekiranya anda datang untuk makan malam, adalah lebih baik untuk memilih ala carte bagi mengelakkan anda berasa kecewa dengan lebihan makanan pada waktu siang yang sudah tidak panas.

Bagi mereka yang beragama Islam, surau disediakan untuk memudahkan pelanggan menunaikan kewajipan. Ruang parkir juga ada di sekitar premis Restoran Simpang Tinggi.

Restoran Simpang Tiga terletak di alamat D-G, Greentown Square, Jalan Dato’ Seri Ahmad Said, Kg. Kastam Greentown, 30450 Ipoh, Perak. Ia dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 10 malam.

Restoran Simpang Tiga menyediakan ruang khas bagi mereka yang ingin mengadakan majlis-majlis khas dan jamuan makan di restoran. Ruang khas ini berhawa dingin dan boleh memuatkan kira-kira 200 tetamu. Pelanggan boleh menghubungi mereka di talian 05-2551220 untuk tempahan dan pertanyaan.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.