Daya penarik Restoran Rebung ialah pemiliknya sendiri iaitu Chef Ismail (Dato’) dan Sheikh Muszaphar Shukor Al Marie (Dato’ Dr). Sheikh Muszaphar merupakan angkasawan pertama Malaysia.

Chef Ismail pula bukanlah nama asing di Malaysia. Namanya sudah sebaris dengan nama besar seperti Chef Wan. Kedua-dua nama ini sudah cukup kuat sebagai sebuah jenama.

 

Restoran Rebung

 

Apabila nama Restoran Rebung disebut bagi mereka yang tidak pernah mengenalinya, nama Chef Ismail dan Sheikh Muszaphar pasti digandingkan dengannya. Apalagi nama seorang chef yang sudah terlalu banyak muncul di media serta menerbitkan banyak buku resepi. Oleh itu, jangkaan terhadap Restoran Rebung amatlah tinggi.

 

Menyajikan Masakan Melayu Di KL

Jadi, perkara pertama yang menjadi taruhan adalah makanannya. Restoran Rebung menyediakan pelbagai jenis masakan Melayu. Maka, bagi anda yang ingin memperkenalkan rakan-rakan dari luar negara untuk merasai masakan Melayu, Restoran Rebung adalah pilihan yang terbaik. Malah, ini diakui sendiri oleh pelancong-pelancong asing yang berkunjung ke Restoran Rebung.

Bagi anda yang sudah biasa dengan makanan di Malaysia, ini bukanlah sesuatu yang luar biasa. Namun, bagi pengunjung dari luar negara, kepelbagaian lauk-pauk dengan kepelbagaian rasa menjadi pujian mereka. oleh itu, tidak pelik jika anda melihat pengunjungnya datang dari serata dunia.

 

Restoran Rebung Chef Ismail Menu

Sekadar menyebut beberapa jenis masakan, tiada siapa yang boleh menolak siput sedut masak lemak cili api, rebung dan perut masak lemak cili api, asam pedas ikan pari, sate, nasi lemak, laksa, bubur cha cha, pengat pisang dan kuih-muih.

Restoran Rebung
Restoran Rebung

Imej via Foursquare

 

Di tengah bandar Kuala Lumpur, anda disajikan dengan memori semasa di kampung. Untuk pengalaman ini, anda cuma perlu membayar sekitar RM50 seorang sekiranya anda memilih hidangan berupa buffet dari resepi seorang chef terkenal. Pemiliknya sudah masak benar dengan tekak orang Malaysia. Pendek kata, terasa seperti makan masakan dari air tangan ibu.

Suasana Yang Selesa

Hiasan dalamannya ringkas dalam suasana yang luas, bersih dan selesa. Tiada apa yang menjadi kritikan apatah lagi setelah tumpuan beralih kepada makanan yang lazat-lazat. Pengurus dan pelayan juga bersikap mesra kepada pelanggan malah ringan membantu mereka yang baru mengenali masakan Malaysia.

Jika bernasib baik, anda juga akan disapa oleh Chef Ismail semasa anda sedang menjamu selera. Sudah tentu ini sesuatu yang mengujakan. Anda bukan sahaja dapat makan di restoran yang dimiliki chef ternama, malah anda juga boleh mengambil gambar bersamanya. Itu pun jika anda tidak terlupa dek kerana terlampau gembira.

 

Info Restoran Rebung Bukit Aman

Ada satu perkara yang menjadi keluhan iaitu lokasinya. Restoran Rebung terletak di tingkat 5, parkir bertingkat Bukit Aman, Jalan Tanglin, Taman Botani Perdana. Ia jauh dari mana-mana stesen LRT. Oleh itu, bagi mereka yang tidak memandu, lebih mudah jika mendapatkan teksi untuk ke sana.

Namun, sebagaimana kata mereka yang pernah berkunjung ke Restoran Rebung, kesukaran ini amat berbaloi. Ia bukanlah lagi suatu hal bila pulang dengan kenyang dan kepuasan. Percaya atau tidak, ada yang sudah sepuluh kali dan mungkin lebih sudah menjamu selera di restoran milik Chef Ismail ini. Boleh dikatakan rata-rata memberi 4 sehingga 5 bintang kepada Restoran Rebung.

Restoran Rebung dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi sehingga 10 malam. Kalau anda bimbang tidak mendapat tempat sejurus tiba di sana, boleh sahaja membuat tempahan dengan menghubungi 03-22763535. Jika anda masih rindu dengan masakan mereka dan ingin mendapatkan khidmat katering bagi majlis anda, sila hubungi 03-22762525.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.