Selalunya bila singgah di negeri utara, tidak sahlah jika anda tidak ‘pekena’ makanan ruji kebanyakan pengunjung di sini – Nasi Kandar!

Tidak kira anda berkunjung ke Pulau Pinang atau Kedah, Nasi Kandar sememangnya cukup digilai ramai. Sampaikan ada yang sanggup datang dari jauh kerana teringin merasai resepi asli Nasi Kandar sendiri!

Bagi yang merancang untuk berkunjung ke Gurun, Kedah, kami tahu restoran apa yang menghidangkan Nasi Kandar yang bukan sahaja luar biasa sedapnya malah harganya juga berpatutan dengan kualitinya.

Nama Restoran Nasi Kandar Haji Ramli ini memang tidak asing lagi di sini. Walaupun sudah beroperasi lebih daripada 10 tahun, restoran ini berjaya menempa nama sebagai antara restoran Nasi Kandar terbaik di Kedah! Mari kita lihat apa yang istimewa di sini.

Nasi Kandar Ayam Kampung Goreng @ Nasi Kandar Haji Ramli

Imej via Foursquare

Nasi Kandar Ayam Kampung Goreng, Antara yang Paling Digilai

Menu ini mungkin kedengaran biasa sahaja tetapi setelah mencubanya, kami yakin anda pasti terkejut dengan rasanya yang bukan biasa-biasa!

Kunci utama keenakan menu-menu di sini ialah ianya menggunakan bahan mentah gred A. Ayam kampung goreng yang bersaiz besar ini cukup enak dan segar, ianya juga digoreng rangup. Sememangnya menyelerakan dikenakan bersama kuah campur!

Nasi Kandar Ayam Madu @ Nasi Kandar Haji Ramli

Imej via Foursquare

Nasi Kandar Ayam Madu, Manis dan Mengancam

Lauk ini cukup sinonim dengan Nasi Kandar – Ayam Madu! Merupakan antara menu paling laku di Restoran Nasi Kandar Haji Ramli, tidak keterlaluan juga jika kami katakan menu ini boleh bikin sesiapa sahaja ketagih.

Ayam madu yang manis dan bersaiz besar ini menjadi kunci utama mengapa menu ini begitu istimewa. Cukup enak walaupun dimakan begitu sahaja tanpa kuah campur, kami berani jamin!

Nasi Kandar Ikan Keli Goreng @ Nasi Kandar Haji Ramli

Imej via Foursquare

Nasi Kandar Berlaukkan Ikan Keli Goreng, Cukup Rangup

Tidak sahlah jika ikan keli goreng tidak tersenarai sebagai lauk yang paling digilai di Restoran Nasi Kandar Haji Ramli ini! Bukan biasa-biasa ikan keli goreng yang disajikan di sini.

Ikan keli yang segar isinya dan bersaiz besar ini cukup rangup. Rasanya juga tidak terlalu masin atau tawar. Dikenakan bersama Nasi Kandar dan lauk tambahan yang lain, sepinggan pasti tak cukup!

Nasi Kandar Udang Sambal Petai @ Nasi Kandar Haji Ramli

Imej via Foursquare

Nasi Kandar Udang Sambal Petai, Paling Meletup!

Jarang sekali didengari tapi bukan bermakna menu ini tiada di sini. Nasi Kandar berlaukkan udang sambal petai juga merupakan antara menu yang popular di Restoran Nasi Kandar Haji Ramli.

Saiz udangnya memang besar! Sambalnya juga manis dan pedas, sedapnya dijamin hingga menjilat jari! Cukup ‘kaw’ dikenakan bersama Nasi Kandar panas-panas.

Nasi Kandar Gulai Sotong @ Nasi Kandar Haji Ramli

Imej via Foursquare

Banyak Lagi

Antara lauk lain yang anda boleh cuba ialah Nasi Kandar berlaukkan gulai sotong. Sotong yang bersaiz agak besar dan gulai yang pekat kuahnya – satu gabungan yang menjanjikan kepuasan yang tidak terkira!

cendawan goreng tepung @ nasi kandar haji ramli

Imej via Foursquare

Sambal Petai Rebung @ Nasi Kandar Haji Ramli

Imej via Foursquare

Selain itu, lauk sampingan seperti cendawan goreng tepung, sambal petai rebung dan sayur campur juga menjadi pelengkap yang terbaik untuk menu Nasi Kandar di sini. Harganya juga sangat berpatutan, berbaloi dengan keenakan yang dijanjikan.

Jika kami senaraikan satu persatu lauk terbaik di Restoran Nasi Kandar Haji Ramli ini, memang takkan berkesudahan! Kami yakin pasti ada di kalangan pembaca yang sudah mula kecur air liur, bukan?

Terletak di Kampung Kepala Parit Dalam di Simpang Empat, Kedah dan beroperasi dari jam 11 pagi hingga 10 malam, lekaslah serbu Restoran Nasi Kandar Haji Ramli ya!

Penulis: Nurul Hani Muhamad Sabri

Nurul Hani Muhamad Sabri

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.