Kalau setiap kali makanan anda perlu dilengkapkan dengan sambal pedas atau anda jenis yang suka pesan makanan pedas, artikel ini khas untuk anda.

Orang Malaysia dan makanan pedas memang tidak dapat dipisahkan. Kadang-kadang nak makan pun rasa  tak bersemangat kalau tak ada sambal sebagai penyeri hidangan. Kalau nak uji tahap kepedasan mana yang anda boleh tahan, jom terjah 9 restoran yang menghidangkan menu pedas gila-gila!

RESTORAN SAMBAL HIJAU SUNGAI PENCHALA

sambal hijau

Imej dari Facebook Restoran Sambal Hijau

Sambal hijau yang diangkat sebagai nama restoran sudah tentu menjadi ‘highlight’ di sini. Hanya kerana sambal hijau yang pedas berapi cukup untuk membuatkan restoran ini dibanjiri pelanggan.

Sambal hijau itu menjadi penyeri bagi lauk-pauk melayu tradisional lain yang ditawarkan kepada pengunjung. Lauk yang paling ‘famous’ dekat sini ialah Tempoyak Ikan Patin. Memang terangkat! Ikan bakar pun ada.

Alamat : 2990, Jalan Sungai Penchala, Kampung Sungai Penchala, 60000 Kuala Lumpur

Waktu Operasi : 7.30 pagi hingga 2.00 pagi

RESTORAN RASO OMAK DEN

Raso Omak Den

Imej dari Instagram

Kalau nak merasa lauk masak lemak ‘style’ Negeri Sembilan, dekat Melawati pun dah ada! Antara lauk yang paling laris dekat sini ialah Daging Salai Masak Lemak, Sambal Tempoyak Daun Kayu, dan Ayam Kampung Masak Lemak. Lauk dekat sini memang pedas-pedas belaka, dan cukup menyelerakan. Bagi yang mementingkan kebersihan restoran, inilah tempatnya. Pemilik restoran memilih untuk memasak semua hidangan di rumah bagi menjamin kualiti dan kebersihannya.  Aneka ikan bakar turut mendapat permintaan tinggi. Nak bersarapan dekat sini pun boleh!

Alamat :318, Lorong Selangor, Taman Melawati, 53100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi : Sabtu hingga Khamis : 8.00 pagi hingga 6.00 petang , Ditutup setiap Jumaat.

RESTORAN AYAM GEPUK PAK GEMBUS

Ayam gepuk pak gembus

Imej dari lobakmerah.com

Peminat makanan pedas pasti tak senang duduk bila tonton video viral tentang restoran ini. Restoran ini cukup terkenal dengan cara penyediaan sambal tumbuknya yang dibuat dengan jumlah cili yang sangat banyak.

Bila anda sampai ke restoran ini, kaunter menumbuk cililah yang akan menyambut kedatangan anda. Sambal tumbuk itu yang menjadi highlight kepada nasi ayam gembus.  

Sesuai dengan tagline restoran ini ‘Tentukan Sendiri Pedasmu, Anda Pedas Kami Puas!”, pelanggan boleh memilih sendiri berapa banyak cili nak diletak dalam sambal supaya sesuai dengan tahap kepedasan masing- masing.

Alamat :108-134,Jalan Gombak,53100 Kuala Lumpur

Waktu Operasi : 11.00 pagi hingga 10.00 malam

 

  1. SALT & PEPPER

Salt & Pepper

Imej dari Facebook Salt & Pepper

Kalau anda rasa tak puas dengan kepedasan Spicy Chicken McDeluxe, apa kata cabar deria rasa anda dengan Explosive Inner Core Burger dekat sini. Dibuat dengan menggunakan lima jenis cili terpedas di dunia antaranya bhut jolokia, carolina reaper, seven pot prima dan big black mama.

Cili padi tak mainlah! Bila rasa sendiri barulah anda tahu kenapa burger ini diberi gelaran burger neraka! Menu burger lain juga cukup unik antaranya Screaming Nachos dan Crabby Patty Burger. Makanan western dekat sini pun cukup sedap!

Alamat : 46, Jalan 3/70, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi : 3.00 petang hingga 11.30 malam

TEMPAT MAKAN LESEHAN

Tempat Makan Lesehan

Imej dari Instagram Malayfoodlicious

Kalau nak tahu, lesehan bermaksud bersila. Jadi bila sampai ke sini, buka kasut dan  silakan duduk di atas lantai bagi menikmati kepedasan dekat sini. Ada 22 jenis sambal untuk anda cuba.

Kebanyakannya pedas tak terkata. Nama menu dekat sini pula pelik-pelik sampai rasa rugi tak cuba. Antara menu popular dekat sini ialah nasi bergaduh iaitu nasi dengan ayam atau daging penyet yang dihidangkan dengan tiga jenis sambal.

Nasi Goreng Gila pula ada cukup banyak isi seperti ayam, daging, hati , paru dan udang. Menu Indonesia lain seperti Mee Pangsit, Sup Rawon dan Mee Jawa juga sedap-sedap belaka.

Alamat : 46, Jalan 3/70, Seksyen 3 Bandar Baru Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

Waktu Operasi : 12.00 tengah hari hingga 11.00 malam

CIBIUK

Cibiuk

Imej dari Instagram Cibiuk

Restoran ini pula menghidangkan menu khas gaya Sunda. Dengan membawakan tagline’ Rajanya Sambal’ anda boleh cuba sambal sebanyak mana yang anda mahu secara percuma! Antaranya sambal mangga dan sambal jeletot yang pedas-pedas manja.

Bagi yang kuat makan pedas, sambal kuring dan sambal cili ijo adalah untuk anda. Bila datang ke sini, jangan lupa untuk mencuba nasi bakar Cibiuk iaitu nasi dalam balutan daun pisang yang dibakar. Memang cukup unik! Restoran ni bukan saja ada 5 cawangan sekitar KL, dekat Negeri Sembilan dan Melaka pun ada.

Boleh lawati laman web rasmi restoran untuk alamat cawangan terdekat dengan anda. 

Waktu Operasi : 11.00 pagi hingga 11.00 malam

PECEL LELE LAKULANJAYA

Pecel Lele

Imej dari Facebook Pecel Lele Lakulanjaya

Asyik cerita makan ayam saja, mari kita terjah restoran pecel lele pula. Restoran ini memang padat dengan pelanggan. Namun, penantian anda sangat berbaloi demi mencuba pecel lele bakar dekat sini.  

Sudahlah ikannya besar, diperap pula dengan sos istimewa sebelum dibakar. Makan pula dengan sambal pedas, memang cukup menyelerakan. Ayam penyet dekat sini pun boleh tahan lazat.

Alamat : No. 2, Jalan Hentian 3, Off Jalan Reko, Selangor, 43000 Kajang

Waku Operasi : 8.00 pagi hingga 10.00 malam

WINGSTOP

Wingstop

Imej dari Facebook Wingstop

Francais terkenal dari Amerika kini melebarkan sayap ke Kuala Lumpur untuk peminat ayam goreng. Ada 7 jenis perisa ayam yang ditawarkan untuk pelanggan.

Perisa ayam yang wajib ditempah antaranya Garlic Parmesan dan Hickory Smoked BBQ. Bagi yang suka pedas, anda boleh pesan perisa Sambal Pedas, atau Atomic. Perisa Sambal Pedas boleh dikira ‘mild’ lagi di sini tetapi, ayam perisa Atomic bukan pedas main-main.

Yang uniknya dekat sini, bukan sahaja makanan yang pedas, tapi minuman dekat sini pun pedas. Mango habanero milkshake memang wajib cuba. Mula -mula rasa manis lepas tu dah lama-lama barulah rasa pedas menyengat tu datang.  Memang lain daripada yang lain.

Alamat : Lot G51, The Street, The Curve, Mutiara Damansara, 47800 Petaling Jaya, Selangor.

Waktu Operasi : Isnin hingga Khamis : 10.00 pagi hingga 10.00 malam, Jumaat hingga Ahad : 10.00 pagi hingga 11.00 malam

RESTORAN KOTAK

kotak

Imej dari jolygram.com

Peminat makanan pedas jangan lepaskan peluang untuk merasai kepedasan makanan di Restoran Kotak. Kalau kebanyakan restoran Indonesia berkonsepkan tradisional, restoran ini pula kelihatan lebih moden. Mi Sedaap dekat sini cukup popular kerana kepedasannya yang tak terkata.

Nasi Ayam Geprek juga mesti dicuba oleh pelanggan yang sukakan ekstra pedas. Kebanyakan menu di sini juga dihidangkan dengan sambal istimewa seperti sambal merah, sambal hijau dan sambal matah gaya asli Indonesia.

Alamat :  7, Jalan SS 15/8b, Ss 15, 47500 Subang Jaya, Selangor

Waktu Operasi : Isnin hingga Sabtu : 7.30 pagi hingga 12.00 tengah malam, Ahad : 7.30 pagi hingga 10.00 malam

Kesimpulan

Sekarang anda sudah tahu lubuk-lubuk makanan pedas di sekitar KL dan Selangor. Jadi, datang beramai-ramai dengan keluarga dan kawan yang suka makan pedas sekepala dengan anda.

Pasti puas hati dan menepati cita rasa anda. Walaupun kebanyakannya berkonsepkan makanan Indonesia, tetapi ada juga hidangan burger dan ayam goreng yang anda boleh cuba bagi mencabar tahap kepedasan masing-masing. Pasti anda akan teringat-ingat akan kepedasan makanan dan membuatkan anda mahu datang lagi.

Penulis: Nazirah Hassan

Penulis yang gemar 'travel' dan mencuba tempat makan baru.

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.