Mencari restoran Laksa Penang di Pulau Pinang yang best ?

Laksa mempunyai berbagai versi di negara kita. Ada Laksa Johor, Laksa Sarawak, Laksa Kelantan dan banyak lagi. Laksa Utara juga merupakan salah satunya.

Mahu menikmati Laksa Penang yang menepati citarasa anda? Berikut kami senaraikan 7 restoran Laksa Penang di Pulau Pinang yang sedap, asli dan halal.

Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut!

#1 Laksa Janggus

Alamat: 338 MK, Jalan Bharu, Kampung Perlis, 11000, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Rabu, 3.30 petang – 8 malam

Laksa Janggus merupakan antara restoran yang sangat terkenal di Balik Pulau. Semestinya laksa di sini menjadi buruan ramai, sampaikan ada yang sanggup datang dari jauh untuk mencubanya.

Kalau anda sukakan kuah laksa yang pekat, anda pasti akan menyukai laksa di restoran ini. Kuahnya yang pekat dan aromanya yang memikat membuatkan ramai pengunjung ketagih dengannya.

restoran laksa penang

Imej via Foursquare

Bukan itu sahaja, saiz hidangannya juga besar. Harganya juga murah, tak sampai RM 5 pun semangkuk. Berbaloi dengan kelazatan dan kekenyangan yang dijamin.

Oh ya, jangan lupa pesan pisang goreng di sini. Rangup dan enak, sangat sesuai dinikmati bersama Laksa Penang untuk makan petang!

#2 Laksa Tempurung

Alamat: Bandar Bayan Baru, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari, hari minggu bermula 2 petang – 9 malam manakala hujung minggu bermula 12.30 tengah hari – 9 malam

Satu lagi restoran viral di Penang yang wajib anda terjah ialah restoran Laksa Tempurung. Dari luar nampak seperti restoran Laksa biasa sahaja, namun kelazatan Laksa Penang di sini memang luar biasa.

Keunikan utama Laksa di restoran ini semestinya terletak pada tempurung yang digunakan untuk menyajikan Laksa.

restoran laksa penang

Imej via Foursquare

Kuah Laksa di sini tidak cair namun tidak pula terlampau pekat. Ianya juga menggunakan resepi asli Laksa Penang, jadi jika anda pencinta Laksa Penang kami berani jamin yang anda akan menggemari Laksa di sini.

Laksanya juga agak pedas, jadi ia menjadi bonus kepada anda jika anda sukakan makanan pedas. Kalau tak tahan pedas, pesan sahaja air kelapa bersama. Manis dan menyegarkan tekak!

Yang paling menarik, restoran ini terletak di tepi pantai. Bolehlah anda menikmati Laksa Penang yang sedap tak terhingga sambil ditiup angin sepoi-sepoi bahasa di tepian pantai.

#3 Laksa Udang Iryani Pulau Pinang

Alamat: Pengkalan Tambang, Permatang Pauh, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Selasa, 12 tengah hari – 7 malam

Biasanya kita akan menikmati Laksa yang tidak berlauk. Paling-paling pun ada telur rebus sahaja. Berbeza dengan Laksa di restoran Laksa Udang Iryani yang terletak di Permatang Pauh ini.

Restoran ini ada menyediakan Laksa Udang! Anda pasti tertanya-tanya sesuai ke kombinasi Laksa Penang dan udang? Semestinya ya! Buktinya, ramai pengunjungnya meninggalkan ulasan yang positif tentang menu tersebut.

restoran laksa penang

Imej via Foursquare

Laksa Udangnya menggunakan sambal udang, memang sesuai dinikmati oleh pencinta makanan pedas. Selain itu, anda juga boleh cuba Laksa Sotong yang turut digilai ramai pengunjung di sini.

Harga yang ditawarkan juga sangat berpatutan, RM 5.50 untuk Laksa Udang & Laksa Sotong dan RM 3 untuk Laksa Biasa. Sangat berbaloi, memang rugi kalau anda tak cuba!

#4 Laksa Beras Kampung Petani (Ana)

Alamat: Kampung Petani, 14400 Kubang Semang, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Jumaat, 10.30 pagi – 5.30 petang

Berada di sekitar Kubang Semang? Apa kata anda cuba Laksa Penang di restoran Laksa Beras Kampung Petani ini? Restoran ini juga merupakan antara port Laksa Penang terbaik yang wajib anda kunjungi.

Tadi kami bercakap pasal Laksa Udang, kali ini pula tentang Laksa Campur. Eh, campur bagaimana tu? Restoran ini menyajikan laksa bersama cucur udang, bunyinya unik namun rasanya sangat sedap!

restoran laksa penang

Imej via Foursquare

Laksa Campur di sini bukan sahaja lazat, malah ianya juga mengenyangkan dek kerana kehadiran cucurnya. Sedikit tips daripada kami, pesan sahaja cucur lebih. Lebih banyak, lebih mengenyangkan dan menyelerakan!

#5 Laksa Aunty Ruby

Alamat: 21, Jalan Sentul 4, Taman Sentul Jaya, 14100 Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Ahad, 12 tengah hari – 6.30 petang

Di Bukit Mertajam, nama restoran Laksa Aunty Ruby ini sudah tidak asing lagi. Jika anda tanyakan tentang restoran ini kepada orang Bukit Mertajam, mereka pasti tahu. Memang popular!

restoran laksa penang

Imej via Foursquare

Suasana di restoran ini cukup santai kerana ianya terletak di bawah pokok. Ala-ala warung kedai kopi, memang sesuai jika anda ingin menikmati Laksa Penang yang ‘padu’ sambil bersantai bersama rakan-rakan.

Selain Laksa, cucur udang dan rojak juga merupakan menu yang wajib anda pesan jika ke sini. Cucur udangnya rangup di luar dan lembut di dalam, dijamin sedap!

#6 D’uwais Corner (Laksa Kuah Kaw)

Alamat: 1368 mk11 , Jalan Bukit Lada, Lebuh Kampung Bukit, 11900 Bayan Lepas, Pulau Pinang

Waktu Operasi: Setiap hari kecuali Khamis, 1.45 tengah hari – 7.30 malam

Melihat namanya sahaja anda boleh teka yang Laksa Penang di restoran D’uwais Corner (Laksa Kuah Kaw) ini memang lazat. Kepekatan kuahnya menjadi keistimewaan utama menu tersebut.

restoran laksa penang

Imej via Foursquare

Gambar tidak menipu ya, kuah Laksa Penang di sini memang sepekat ini! Walaupun kuahnya pekat, ianya tidak pula mendak. Saiz hidangannya juga agak besar, jadi kekenyangan sudah semestinya terjamin.

Selain Laksa, ais kepal di sini juga merupakan antara menu yang terlaris. Sangat sesuai dinikmati untuk makan petang bersama Laksa yang pedas.

#7 Laksa Mamu Famous Sungai Pinang

Alamat: Taman Lita, 11600 Jelutong, Penang

Waktu Operasi: Setiap hari, 3 petang – 9 malam

Gerai ini mungkin nampak biasa sahaja dari luarnya, tapi jika anda mencuba Laksa Penang di sini, anda pasti akan terpegun dengan kelazatan dan keasliannya.

laksa penang

Imej via Foursquare

Gerai Laksa Mamu Famous Sungai Pinang ini sudah beroperasi hampir 30 tahun,memang legend! Laksa di sini dimasak menggunakan dapur arang, jadi aroma Laksa lebih harum dan kuahnya juga pekat.

Kesimpulan

Anda pasti sudah tak sabar-sabar mahu terjah restoran Laksa Penang di Pulau Pinang yang kami senaraikan ini, bukan? Jangan lepaskan peluang ini, singgah sahaja jika berpeluang ke sana.

Kami juga ingin nasihatkan agar anda datang pada waktu yang sesuai, kerana pada waktu kemuncak selalunya ramai pelanggan yang menyerbu. Takut nanti terlepas peluang pula.

Selamat menjamu selera!

Penulis: Nurul Hani

Nurul Hani

Merupakan seorang pelajar di salah satu universiti tempatan dan berminat untuk berkongsikan tempat makan menarik di Malaysia.

    Tinggalkan Komen!

    Langgan Info Kami

    Berkaitan

    .