Ada beberapa perkara yang menarik perhatian saya mengenai restoran ini. Satu, namanya. Dua, suasananya. Ketiga, pemiliknya. Tiga perkara ini juga yang selalu menjadi pemangkin untuk pelanggan mencuba tempat yang baru. Jika bagus, maka ia akan menambah nama baik yang mereka sudah sedia miliki.

 

Restoran Golek Golek

 

Maksud Golek Golek

Saya tak tahu bagaimana mereka mendapat nama “Golek-Golek”. Jika anda datang dari lebuhraya dari arah Gombak, anda akan nampak Shell di sebelah kanan. ‘Exit’ ke Restoran Golek-Golek di sebelah kiri lebuhraya. Setibanya di simpang, ada jalan naik ke bukit. Restoran ini berada di atas bukit. Ia juga berada di depan Sukhumvit Garden.

Ada pelanggan yang bergurau nama “golek-golek” diperolehi daripada keadaan anda jika jatuh dari restoran itu dan bergolek menuruni bukit.

Restoran Golek-Golek merupakan sebuah rumah tradisional Melaka. Keadaan sekitarnya yang dikelilingi pokok-pokok dan binaannya yang klasik menimbulkan rasa adanya kewujudan kuasa mistik. Ini mungkin disebabkan oleh budaya kita amat dipengaruhi dengan kisah-kisah seperti itu jika kena tempatnya.

Tidak mustahil atas dasar yang sama juga pengarah Shamsul Yusof telah memilih ia sebagai lokasi filem Munafik yang mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.

Pemilik restoran ini pula ialah Ahadiat Akashah dan isterinya. Siapa yang tidak mengenali Ahadiat Akashah, seorang novelis terkenal suatu masa dulu. Malah, novelnya yang bertajuk Lagenda Budak Setan telah dijadikan filem. Ahadiat Akashah terkenal dengan idea-idea luarbiasanya.

Mungkin pada masa kini, generasi muda lebih gemar menggelarnya ‘hipster’. Oleh itu, anda akan mendapati meja makan anda adalah meja mesin jahit lama berjenama Singer yang mungkin ibu atau nenek anda pernah miliki suatu masa dulu.

 

Menu Di Restoran Golek Golek

Makanan di sini berkonsepkan masakan Melayu, Cina dan Barat. Antara yang terkenal ialah ikan bakar sambal petai, ikan sebelah nabi, udang galah gulai lemak, keli salai, dan pilihan lain yang terdiri daripada sotong, lala, ketam, dan kerang. Menu yang dipuji ramai adalah ikan bakar.

 

Restoran Golek Golek

Restoran Golek Golek
Imej via Foursquare

 

Jika anda datang dalam satu kumpulan yang besar, anda boleh memilih set berkumpulan. Ia terdiri daripada set untuk 4 orang dan set untuk 6 orang dengan beberapa menu pilihan. Ianya adalah lebih menjimatkan dengan pelbagai kombinasi masakan yang menarik. Set untuk 4 orang berjumlah RM120 manakala RM180 bagi kumpulan berjumlah 6 orang.

Antara menu di dalam set ialah siakap petai, daging salai gulai lemak cili api, terung sambal tenggiri masin, dan jus buah 1.5 liter.

Pelanggan rata-rata berpuas hati dengan masakan, layanan dan keselesaan makan di Restoran Golek-Golek. Cuma, jika anda datang pada waktu malam, mungkin ada nyamuk yang ikut serta. Pihak restoran ada membakar tempat telur bagi menghalau nyamuk yang agak berkesan.

Jika anda tak mahu ambil risiko, pilih tempat makan paling dekat dengan rumah. Selain makan di luar, anda juga boleh makan di dalam rumah tradisional ini. Sambil duduk di lantai, ini pasti lebih mengimbau suasana makan di kampung halaman.

Restoran Golek-Golek dibuka dari hari Selasa sehingga Ahad dari pukul 7 petang sehingga 12 malam. Jumaat adalah hari cuti mereka. Jika anda datang berkumpulan, saya galakkan anda membuat tempahan terlebih dahulu.

Jika secara tak sengaja anda tiba sebelum waktu operasi, anda tidak akan dilayan. Tapi, anda boleh melawat dan melihat-lihat rumah tradisional mereka.

Alamat Restoran Golek-Golek ialah Lot 2074, Lingkaran Tengah 2, KM10, Gombak, Selangor. Untuk tempahan, sila hubungi 017-4070007. Boleh lawati Facebook mereka di sini.

Penulis: Awal Faiz

Sebahagian daripada Tim saji.my yang menulis tempat makan menarik di Malaysia. Penggemar makanan pedas dan western. Agak-agaknya ada tak kedai yang menjual makanan seperti di dalam 'Master Chef' ?

Tinggalkan Komen!

Langgan Info Kami

Berkaitan

.