Mahukan resepi guna tepung gandum? Teruskan membaca kerana kami akan kongsikan 12 resepi yang menarik dan berbaloi untuk dicuba.
Apa yang boleh dimasak dengan menggunakan tepung gandum? Menu utama yang terlintas terhadap bahan ini semestinya cucur. Sebenarnya pelbagai resepi guna tepung gandum yang boleh dicuba. Kebanyakan resepi adalah kuih-muih, kek dan pastri.
Tak ada idea lain untuk memasak dengan tepung gandum? Pilih sahaja menu dan resepi di bawah yang berkenan di hati anda!
Roti Puri
Ada yang teringin untuk makan roti puri? Roti puti memang sedap dicicah bersama sambal bilis, kari ayam dan sambal sardin. Resepi yang dikongsikan oleh Fienaz Shafie ini menggunakan 3 cawan tepung gandum sahaja. Menariknya, beliau tidak menggunakan yis namun roti puri tetap mengembang.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
6 sudu besar minyak masak
Air
Cara penyediaan:
Masukkan kesemua bahan manakala tuang air sedikit demi sedikit (agak-agak sahaja).
Uli sampai adunan doh tidak melekat pada tangan kemudian bentukkan doh menjadi bulat kecil. Adunan ini mampu mendapat 9 biji doh kecil.
Biarkan dalam 15 minit baru canai leper-leper dan terus masuk ke dalam minyak yang tengah panas.
Baby Pancake
Myra Myra menggunakan tepung gandum untuk membuat baby pancake buat anak-anaknya. Kanak-kanak pasti suka menu ini lebih-lebih lagi disapukan aneka inti terutama Nutella. Buat bentuk yang kecil seperti gambar di atas pasti dapat menarik minat mereka.
Bahan-bahan:
1 biji telur gred A
½ cawan susu cair/susu segar
2-3sb gula (kurangkan kalau tidak mau manis)
1sk baking powder
2sb minyak masak
1sk esen vanila
1 cawan tepung gandum
Cara penyediaan:
Pukul atau whisk telur dan gula sampai jadi warna putih. Kemudian masuk esen vanila, susu cair dan minyak masak. Kacau sebati.
Apabila sudah sebati, boleh masukkan tepung gandum yang sudah di ayak bersama baking powder.
Guna kuali non-stick untuk dapatkan permukaan pancake yang cantik. Kalau ada acuan kuali bulat-bulat lebih cantik.
Tart Telur Creamy
Pasti ada penggemar tart di kalangan pembaca. Jika anda seorang daripadanya, jom cuba resepi yang dikongsikan oleh Faizal Md Desa ini. Sedikit tips dari beliau, jika ingin mendapatkan tekstur doh yang licin, anda wajib menggunakan gula kastor. Bukan hanya resepi shell tart dikongsikan malah ada juga resepi untuk intinya.
Bahan-bahan shell tart:
2 cwn tepung gandum
1 cwn tepung jagung (rasa crunchy)
1 cwn majerin*
Esen vanilla*
Telur sebiji*
Baking powder
Gula castor (agak-agak manis)
Cara penyediaan shell tart:
Pukul bahan bertanda * sampai sebati.
Masukkan tepung dan baking powder.
Gaul hingga sebati kesemua bahan dan rehatkan seketika.
Tekap doh dalam acuan tetapi jangan tebal sangat sebab doh akan kembang apabila sudah masak. Jika tebal inti dapat sedikit dan mendap.
Bakar api atas dan bawah 180 darjah selsius selama 30 minit. Jika kembang tidak mengapa kerana adunan akan turun.
Bahan filling tart:
3 biji telur
1 cwn air
Susu pekat (agak-agak)
Sedikit gula
Esen vanilla
Sedikit pewarna kuning
Cara penyediaan filling:
Pukul sebati kesemua bahan kemudian tapis sebanyak dua kali. Tuang ke dalam acuan. Bakar sekali sahaja.
Isi filling ke dalam acuan tetapi jangan penuh sangat nanti melimpah.
Churros
Resepi guna tepung gandum juga sedap dibuat churros. Menu ini sesuai untuk minum petang seisi keluarga. Mana tidaknya, jika dimakan sewaktu panas ia masih rangup. Colek pula bersama sos coklat, memang membuat ramai yang bertambah. Jom cuba resepi milik Myra Myra di bawah.
Bahan-bahan:
1 cawan air
1 cawan tepung gandum
1 sudu besar butter
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanila
1 biji telur gred A
Cara penyediaan:
Didihkan air, masukkan butter, gula, garam dan esen vanila. Tutup api.
Masukkan tepung gandum kemudian kaup balik sampai sebati.
Masukkan telur dan kacau juga sampai sebati.
Masuk adunan ke dalam piping bag dan guna nozzle bunga.
Paipkan terus dalam minyak atau boleh juga paip dulu atas dulang untuk dapat saiz yang sama.
Bahan dip coklat:
Coklat Beryl’s
Susu cair/ susu full cream
Cara penyediaan:
Cairkan cara double boiler.
Roti Kukus
Roti kukus juga dikenali sebagai roti wap. Roti ini pernah tular dengan keunikan dan kesedapannya. Anda boleh meletakkan inti coklat, nutella, matcha dan sebagainya di tengah untuk menambahkan lagi keenakannya. Ikuti resepi dari Umie Nurhayati pasti menjadi kerana beliau turut berkongsikan beberapa tips penting untuk menghasilkan roti kukus yang sempurna.
Bahan-bahan:
500 gm tepung gandum
120 gm gula kaster
300 ml susu segar
2 tsp yis segera
100 ml minyak jagung/ minyak sayur
Cara penyediaan:
Campurkan tepung, gula, yis dan susu segar dalam bekas.
Uli sampai doh tidak melekat di tangan. Adunan memang macam lembik sikit, tetapi teruskan uli sampai doh cantik.
Rehatkan doh selama 30 minit atau sehingga naik 2 kali ganda.
Setelah itu, tumbuk doh bagi mengeluarkan angin. Tambah bahan terakhir iaitu minyak masak.
Uli lagi sampai doh betul-betul elastik. Lebih lama uli lebih elastik.
Terus bahagikan kepada dua bahagian dan bentukkan mengikut acuan roti.
Jangan lupa sapu minyak dikeliling bekas roti kemudian letak kertas minyak. Biar adunan naik 2 kali ganda.
Kukus selama 30 minit atau sehingga masak.
Tip Untuk Kukus Roti Supaya Cantik
Kukus roti apabila pengukus betul-betul panas.
Jangan kukus dengan api yang perlahan kerana wap tidak cukup untuk mengembangkan roti ke tahap maksimum. Guna api sederhana sahaja.
Apabila roti sudah masak, jangan terus buka penutup pengukus itu. Tutup api dan biarkan seketika selama 15 minit untuk mengelakkan roti kukus berkedut.
Pastikan penutup pengukus ditutup dengan kain.
Pastikan roti sudah sejuk baru dipotong lalu letakkan jem.
Corndog
Guna tepung gandum juga boleh menghasilkan corndog yang sedap. Lynn Hassan berkongsikan resepi corndog yang menggunakan 1 paket sosej dengan 1 blok mozarella yang dapat menghasilkan 16 batang corndog. Makan sewaktu panas lebih sedap kerana kerangupannya masih ada. Ada tips untuk mendapatkan corndog yang sedap, teruskan membaca!
Bahan salutan:
1 1/4 cawan tepung gandum
2 tbsp gula kastor
1/2 tsp garam
2tsp baking powder
1 biji telur A
1/2 cawan susu segar
Cara penyediaan:
Campur kesemua bahan kecuali susu. Kacau dengan sudu sahaja. Tuangkan susu sedikit demi sedikit sehingga pekat.
Kacau lagi sehingga dapat kepekatan yang diingini. Masukkan adunan ke dalam gelas tinggi.
Celup sosej dan cheese yang telah dicucuk pada lidi dalam adunan tersebut.
Golekkan pada breadcrumb. Boleh tambah susu apabila adunan pekat semula.
Apabila sudah siap, simpan cepat cepat di dalam freezer. Jika breadcrumb tidak cantik, simpan sekejap di dalam freezer kemudian ulang salut breadcrumb sehingga cantik.
Simpan corn dog yang siap di dalam freezer selama 30 minit.
Nak goreng keluarkan awal supaya cheese tidak beku sangat. Goreng dengan minyak yang penuh.
Tips:
Wajib menggunakan mozarella cheese untuk mendapatkan tekstur cheese yang boleh ditarik sewaktu makan. Cheese dan sosej harus dipotong sama panjang pada lidi.
Tepung salutan tidak boleh cair.
Tidak boleh goreng terlampau cepat kerana cheese tidak cair.
Sup Tepung Gandum
Sup tepung juga dikenali sebagai Pan Mee. Ada yang mengatakan ini adalah menu Chinese. Rasanya memang sedap dan pasti tidak akan menghampakan anda! Makan bersama sambal kicap, garlic atau chilli oil serta taburan ikan bilis goreng lebih menyelerakan. Ikuti resepi milik Senz Ahmad.
Bahan-bahan:
Tepung gandum
Kiub ikan bilis
Telur
Isi ayam
Fishball
Sawi
Cili padi
Kicap manis
Bawang putih
Daun bawang
Minyak
Tepung jagung
Cara penyediaan:
Cincang bawang putih dan goreng. Ketepikan selepas bawang bertukar warna coklat dan masukkan ke dalam mangkuk.
Uli tepung gandum dengan sebiji telur, sedikit minyak bawang putih, secubit garam dan sedikit air. Uli sampai tidak melekat pada tangan. Biarkan seketika.
Kuali yang goreng bawang putih tadi letakkan air, kiub ikan bilis dan isi ayam.
Apabila air telah mendidih, cubit-cubitkan tepung ke dalam air tersebut sehingga tepung habis.
Perasakan dengan garam, gula dan aji.
Masukkan fishball dan sawi. Pekatkan dengan letak sedikit air bancuhan tepung jagung. Biarkan mendidih dan tutup api.
Gorengkan ikan bilis sehingga garing.
Potong daun bawang.
Kisar cili padi, bawang putih dan kicap manis.
Siap untuk dimakan.
Roti Canai
Lain pula resepi roti canai dari Rohizah Mahmad Bidi yang berkongsikan resepi roti canai paling mudah dengan hanya tiga bahan. Beliau menggunakan air ais untuk adunan ini untuk mendapatkan roti canai yang lembut dan rangup.
Bahan-bahan:
Setengah bungkus tepung gandum cap ROS
2 sudu besar majerin Pelangi
1 cawan air ais (bancuh dengan 2 sudu besar susu pekat manis dan sedikit garam)
Cara penyediaan:
Masukkan air ais yang di bancuh bersama susu dan garam.
Tuang ke dalam tepung bersama majerin pelangi.
Gaul dan uli sebati.
Bulatkan adunan tepung.
Campur dengan sedikit majerin Pelangi.
Perap selama 2 atau 3 jam.
Sedia ditebar.
Waffle
Tiada masalah jika tiada tepung instant untuk membuat waffle kerana anda boleh membuatnya sendiri menggunakan tepung gandum sebagai bahan utama. Ikut cara masakan Nor Asiah ini pasti menjadi. Tekstur waffle yang rangup dan gebu pasti digemari ramai. Yang penting, pastikan ada waffle maker di rumah.
Bahan-bahan:
3 cawan tepung gandum
2 1/2 cawan air @ 1 cawan susu full cream dan 1 1/2 air
3/4 cawan minyak masak / butter cair
2 biji telur
Sedikit esen vanila
2 sudu makan susu tepung
3 sudu gula castor
1/2 sudu teh garam
1 sudu makan baking powder
1/4 sudu makan baking soda
Cara penyediaan:
1. Masuk semua bahan ke dalam mangkuk.
2. Pukul hingga sebati menjadi adunan sempurna.
3. Biar adunan selama 10 hingga 15 minit.
4. Masuk dalam acuan waffle sehingga masak.
Dim Sum
Bagi penggemar Dim Sum, anda boleh membuat sendiri di rumah kerana cara penyediaannya sangat mudah walaupun pelbagai langkah perlu dilakukan. Melalui resepi ini, tepung gandum digunakan untuk membuat kulit Dim Sum. Nurul Syazila turut berkongsikan resepi inti dan sos yang sedap.
Bahan inti:
Isi ayam*
Carrot*
Cendawan*
Maggi cukup rasa
Lada hitam
Cara penyediaan inti:
Cincang halus bahan bertanda *.
Kemudian campurkan semua bahan, gaul rata lalu ketepikan.
Letak di dalam peti dahulu sementara nak buat kulit dan sos.
Bahan kulit:
Satu cawan tepung gandum
¹/² cawan tepung jagung
¹/² cawan air panas
Cara penyediaan kulit:
Campurkan tepung dan air lalu gaulkan. Jika keras sedikit tambah sedikit demi sedikit air panas.
Gaul hingga mudah terbentuk dan doh tidak melekat di tangan.
Bahan sos:
Sedikit kicap manis
1 sb sos tomato
1 sb sos cili
1 sb sos tiram
Sedikit air limau
¹/² cawan air
Secukup rasa
Cara penyediaan:
Campurkan kesemua bahan. Kacau atas api perlahan hingga mendidih. Siap.
Note: Bahan-bahan dim sum terpulang nak letak atau tambah apa-apa bahan.
Roti Boy @ Mexican Bun
Amy Akim berkongsikan resepi roti aau bun kegemaran ramai iaitu Roti Boy. Sebanyak 3 cawan tepung gandum diperlukan dalam resepi ini. Hasil roti memang terbaik kerana luarannya yang rangup tetapi dalam rotinya yang lembut dan gebu. Jom cubanya sekarang untuk dijadikan menu petang.
Bahan roti:
300gram @ 3 cawan tepung gandum
70gram gula
30gram marjerin
Sebiji telur
1 sudu besar mauripan
150ml susu segar
Esen vanila
Secubit garam
Salted Butter@buttercup (untuk inti)
Bahan topping:
50gram tepung gandum
40gram gula
60gram marjerin
Sebiji telur
2 sudu besar (nescafe + air suam sekadar boleh larut)
Esen vanila
Cara penyediaan:
1. Campurkan yis atau mauripan dengan susu segar dan gula. Biarkan dalam 10 minit.
2. Dalam bekas lain, ayak tepung gandum dan masukkan marjerin lalu gaul sampai jadi macam serbuk roti. Kemudian masukkan telur, secubit garam dan esen vanila.
3. Masukkan bancuhan yis atau mauripan tadi. Uli sampai tepung tidak melekat di tangan. 4. Tambah tepung sedikit demi sedikit kalau adunan lembik. Uli doh dalam 10 minit. Lagi lama uli lagi lembut doh roti.
4. Tutup doh dengan kain yang lembap. Saya guna napkin sahaja. Perap doh selama 1 jam.
5. Selepas doh naik, tumbuk-tumbuk doh untuk buang angin.
6. Bahagikan doh kepada 10 bahagian. Saya buat 50 gram untuk setiap doh jadi boleh dapat 13 biji roti.
7. Masukkan butter dalam doh untuk jadikan inti roti dan bulat-bulatkan. Letak atas baking tray yang disapu marjerin. Tutup dan biarkan dalam 10 minit.
8. Sementara itu, boleh sediakan topping. Kisar marjerin dan gula, kemudian baru masukkan bahan-bahan lain. Akhir sekali baru masukkan tepung. Kisar sebati. Masukkan ke dalam piping beg.
9. Buat lingkaran topping dari tengah roti. Cukup topping bahagian atas tidak perlu sampai bawah sebab topping akan cair ke bawah semasa roti dibakar.
10. Panaskan oven dalam 10 minit, baru bakar roti guna api atas dan bawah dengan suhu 170°c selama 20 minit bergantung pada suhu oven masing-masing.
Ayam Goreng Crispy
Ramai yang menggunakan tepung Bestari sahaja untuk menghasilkan ayam goreng. Tapi tahukah anda, jika anda mencampurkannya dengan tepung gandum dan tepung beras, ianya lebih rangup. Cuba resepi ayam goreng crispy milik Murni Rahmat yang berganda kesedapannya kerana ayam diperap bersama rempah.
Bahan-bahan:
Seekor ayam dipotong 22 atau 24
5 ulas bawang putih
1 biji bawang besar saiz kecil
1 inci halia
1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil lada putih
1 sudu besar serbuk kari
Garam dan serbuk perasa Adabi
Cara penyediaan:
Kisar semua bahan sampai halus.
Perap pada ayam.
Bahan tepung salut:
1 cawan tepung Bestari pedas
2 cawan tepung gandum (saya pakai jenama Ros sebab ayam akan lebih garing dan rangup)
1 sudu tepung ubi/ beras
Cara-caranya:
Perapkan ayam dengan bahan kisar dan tambah sedikit tepung kering dalam 3 sudu. Perapkan. Jika perapan nampak pekat sangat, tambah air sedikit (perapan tak perlu pekat ye). Sediakan 1 bekas untuk gaul ayam. Tuang sedikit tepung.
Masukkan ayam dalam 5 atau 6 ketul dalam bekas.
Sendukkan tepung salut ke atas ayam.
Gaul tepung pada ayam (ramas sedikit).
Apabila tepung sudah salut elok, gorengkan ayam pada minyak yang sederhana panas (boleh salut 2x untuk kesan lebih rangup).
Goreng ayam dalam minyak yang banyak dan pastikan ayam tenggelam (untuk jimat minyak boleh pakai periuk kecik).
Tutup periuk semasa goreng ayam dan buka penutup di minit terakhir sebelum ayam masak, cara ini akan buat ayam rangup diluar dan berjus di dalam.
Menarik tak resepi guna tepung gandum di atas? Rata-rata resepi memang mudah untuk disediakan walaupun mempunyai banyak langkah penyediaan. Namun hasilnya pasti tidak akan menghampakan anda.
Dah ada idea untuk memasak menggunakan tepung gandum? Apa tunggu lagi, jom cubanya sekarang. Anda bebas untuk membuat mengikut citarasa dan kuantiti yang anda mahu. Selamat mencuba!