Telur dadar merupakan menu yang ringkas, namun jika dipelbagaikan dan betul teknik memasaknya, ianya pasti akan menjadi menu yang luar biasa.
Eh, ada aneka jenis telur dadar? Ya! Untuk itu, berikut kami senaraikan 5 resepi telur dadar yang sedap, beraneka dan mengenyangkan yang boleh anda cuba.
#1 Telur Dadar Thai
Ini merupakan salah satu resepi telur dadar yang boleh dikatakan viral. Ianya rangup dan lembut, satu kombinasi yang padu! Resepi ini dikongsikan oleh Murni Rahmat di laman Facebook.
Bahan-bahan:
4 biji telur
1 sudu besar tepung gandum/jagung/beras
4 sudu air sejuk/2 ketul ais
Garam atau perencah
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Kacau telur bersama bahan lain hingga sebati.
Panaskan minyak hingga betul-betul panas.
Tuang telur ke dalam kuali daripada jarak yang tinggi.
Goreng seperti biasa hingga masak.
#2 Telur Dadar Gulung
Telur dadar gulung ini ala-ala telur dadar Korea. Ianya bukan sahaja cantik, malah enak dan secukup rasa. Resepi ini dikongsikan oleh Nurliyana Abdul Rahaman di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Telur
Lobak (dipotong dadu)
Bawang besar (dipotong dadu)
Cili (dihiris halus)
Kobis (dihiris halus)
Daun bawang (dihiris)
Serbuk lada hitam
Garam secukup rasa
Cara-cara:
Gaul rata semua bahan.
Tuang dalam non stick pan (minyak diratakan sedikit).
Setelah bahagian bawah dah nampak masak, boleh mula gulung padat sedikit demi sedikit. Gulung dalam pan.
Siap dan boleh dipotong.
#3 Telur Dadar ala Taiwan
Selalunya orang Taiwan akan menikmati telur dadar tiram, tapi resepi ini diubahsuai menggunakan isi udang. Rasanya juga sama enaknya, jadi anda wajib cuba. Resepi ini dikongsikan oleh Wan LuQman di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Isi udang
1 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil sos ikan
Lada sulah
Daun ketumbar
Tepung ubi kayu
Tepung beras
1 sudu besar kicap cair
2 biji telur
Bawang putih
Cara-cara:
Gaulkan sos tiram, kicap cair, sos ikan dan lada sulah bersama telur.
Tambah daun ketumbar dan daung bawang. Ketepikan.
Tumis bawang putih dan udang. Ketepikan.
Bancuhan tepung ubi (4sudu besar) dan tepung beras (1sudu besar) dibancuh cair dengan air.
Bila kuali dah panas, taburkan bancuhan tepung ke atasnya (seperti lempeng).
Setelah bancuhan tepung mula masak, masukkan bancuhan telur tadi bersama udang dan bawang putih.
Boleh gaul atau pecahkan, mengikut citarasa masing-masing. Siap.
#4 Tortang Talong
Tortang Talong merupakan telur dadar versi Filipina. Jika belum pernah mencubanya, anda wajib cuba kerana rasanya memang sedap dimakan begitu sahaja. Resepi ini dikongsikan oleh Khairul Azhar Aamiin di laman Facebook.
Bahan-bahan:
2 biji telur ayam
Bawang (dihiris)
Cili padi (dihiris)
2 biji terung (dibakar sehingga kulit hitam)
Garam
Minyak untuk menggoreng
Cara-cara:
Bakar terung sehingga hitam, kemudian kikis bahagian kulit yang hitam.
Lenyek isi terung. Pastikan tidak sampai hancur, ketepikan.
Pecahkan telur ayam dan masukkan bawang merah serta cili padi.
Perasakan dengan garam. Pukul sebati.
Goreng bancuhan telur seperti telur dadar biasa.
Masukkan terung tadi sebelum telur mengeras.
Goreng sehingga masak.
#5 Telur Dadar Goreng Tepung
Selalunya kita buat resepi telur dadar yang selalu dimakan dengan nasi. Kali ini, resepi ini boleh dinikmati begitu sahaja sebagai snek – telur dadar goreng tepung. Resepi ini dikongsikan oleh Eka Zahra di laman Facebook.
Bahan-bahan:
Telur
Tepung serbaguna (pedas)
Minyak untuk menggoreng
Sedikit air
Cara-cara:
Goreng telur dadar kemudian potong.
Ambil secukupnya tepung serbaguna, kemudian bancuh dengan air (jangan terlampau cair).
Celupkan telur dadar ke dalam bancuhan tepung. Kemudian, golekkan ke dalam tepung serbaguna yang kering pula.
Goreng hingga kecoklatan.
Angkat dan toskan. Siap.
Resepi Menarik Lain
Selain koleksi resepi telur dadar, kami juga ada menulis tentang koleksi resepi lain yang menarik. Jangan lupa untuk komen dan kongsikan kepada rakan-rakan. Selamat mencuba!